TAWAU – Seorang daripada tertuduh yang didakwa menjadi anggota
pengganas yang menceroboh Sabah hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di
sini bahawa dia disuruh dan diupah oleh seseorang yang tidak
dinamakannya.
Hooland Kalbi yang bercakap dalam bahasa Bajau dari kandang tertuduh
mendedahkan demikian pada prosiding pendakwaan terhadap lapan individu
yang didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas, dua daripadanya turut
dituduh melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Kenyataan Hooland di hadapan Hakim Ravinthran diterjemah oleh jurubahasa mahkamah.
Hooland turut menyatakan bahawa dia bodoh kerana melakukannya.
Sejurus kenyataan Hooland diterjemah, Hakim Ravinthran meminta
jurubahasa menjelaskan kepada tertuduh bahawa dia tidak perlu berkata
demikian dan segala pengakuan akan dibuat selepas diwakili peguam pada
12 April nanti.
Ketika prosiding pagi ini, Hakim Ravinthran memberi peluang kepada
setiap tertuduh untuk memberitahu mahkamah berhubung pertuduhan ke atas
mereka dan jurubahasa perlu menjelaskan beban hukuman bagi setiap
kesalahan.
Tertuduh juga diterangkan tentang pembelaan mereka yang perlu
diwakili peguam kerana tuduhan ke atas mereka membabitkan hukuman berat
iaitu gantung dan penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
Lapan warga Filipina didakwa di Mahkamah Tinggi di sini hari ini dan
dua daripadanya bakal berdepan hukuman mati kerana dituduh melancarkan
perang terhadap Yang di-Pertuan Agong. Dua tertuduh itu bersama empat
yang lain turut didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas manakala dua
lagi didakwa cuba melindungi pengganas.
Ini merupakan kali kedua tuduhan melancarkan perang terhadap Yang
di-Pertuan Agung dikenakan di negara ini selepas insiden kumpulan
pemberontak Al Maunah di Bukit Jenalik Sauk, Perak pada tahun 2000.
Sementara itu Timhar Hadir, yang juga didakwa atas kesalahan sama
(menjadi anggota pengganas)
memberitahu bahawa dia datang ke Malaysia
pada Febuari lepas menggunakan pasport antarabangsa.
Bagaimanapun Hakim Ravinthran meminta dia tidak menyatakan selanjutnya sebelum berbincang dengan pihak peguam.
Seorang lagi tertuduh yang menghadapi tuduhan sama, Habil Suhaili
merupakan tertuduh yang mengambil masa agak lama untuk memahami
pertuduhan.
Dia yang kelihatan berusia lebih daripada 60 tahun tidak dipakaikan
‘straight jacket’ seperti tertuduh lain dan jurubahasa membacakan
pertuduhan
berulang kali dalam bahasa Suluk.
Habil sempat menyatakan bahawa dia tidak melakukannya namun hakim menjelaskan pengakuan itu tidak akan direkod.
Tertuduh pertama Atik Hussin Abu Bakar yang didakwa atas tuduhan
melancarkan perang dan menjadi anggota pengganas hanya memohon
penjelasan hukuman yang akan dihadapinya.
Atik Hussin yang berbahasa Bajau kelihatan bersahaja seperti tertuduh lain.
Empat tertuduh lagi, Lin Mad Salleh, Basad Manuel, Kadir Uyung dan
Lating Tiong hanya menyatakan ‘nothing to say’ (tiada apa yang hendak
dicakapkan).
Basad menghadapi dua pertuduhan yang sama seperti Atik Hussin
manakala Lin hanya didakwa menjadi anggota pengganas dan Kadir serta
Lating menghadapi tuduhan melindungi kumpulan pengganas.
Kesemua terduduh hanya menundukkan kepala ketika berada di kerusi sebelum dibawa ke kandang tertuduh untuk dibaca pertuduhan.
Kesemua mereka tidak dibenarkan jamin.
Sementara itu, wartawan dan jurugambar yang membuat liputan di
Mahkamah Tinggi Tawau hari ini dikawal ketat oleh anggota polis lengkap
bersenjata dan hanya seorang wartawan daripada setiap organisasi yang
dibenar masuk.
Kesemua wartawan yang dibenar memasuki mahkamah pada pukul 9 pagi
hanya dibolehkan membawa buku nota dan pen manakala semua alat
komunikasi dan peralatan lain tidak dibenarkan.
Tiada wartawan asing hadir membuat liputan prosiding hari ini.
Lapan tertuduh yang ditutup bahagian kepala dibawa menaiki lori polis kira-kira 10.10 pagi. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan