21 Disember 2008

Wan Farid diumum calon BN di KT

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Salleh diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari depan.

Ia diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di majlis pengumuman calon BN di Kuala Terengganu petang ini.

Najib juga merupakan pengarah pilihanraya kecil tersebut. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan tarikh penamaan calon pada 6 Januari depan.

Wan Ahmad Farid, 46 - bekas peguam lulusan Universiti Thames Valley, London - merupakan anak jati Kuala Terengganu.



Pada 1987, beliau menjadi peguam termasuk peguam syarie dan menjadi setiausaha Jawatankuasa Peguam Negeri Terengganu.

Di dalam politik, beliau menjadi ahli jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu pada 1995 sebelum menjadi Ketua Pemuda bahagian pada 1998 dan menjadi menjadi exco pemuda Umno pusat dari 1999 hingga 2004.

Pada tahun 2001, beliau dipilih menjadi timbalan ketua Umno bahagian Kuala Terengganu sebelum dilantik menjadi setiausaha politik kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri pada 31 Disember 2003 dan sekaligus beliau meninggalkan kerjaya peguamnya.

Beliau menjadi ketua Umno bahagian Kuala Terengganu apabila mengalahkan penyandang jawatan, Senator Datuk Roslan Awang Chik.

Pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Razali Ismail di Genting Highland pada 28 November lalu.

PAS pula akan mengumumkan calonnya esok. Antara nama yang disebut-sebut sebagai calon PAS ialah Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ahli Dewan Undangan Negeri Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi; Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mustafa Ali; Timbalannya, Datuk Wan Mutalib Embong dan tokoh korporat, Mohd Khazani Abdullah.

Selain itu, Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) telah menyatakan minat untuk bertanding. Tiga orang lagi telah menyatakan minat mereka untuk bertanding sebagai calon bebas.

Mereka ialah Maimun Yusuf yang bertanding dalam pilihanraya umum lalu dan dua orang lagi ialah usahawan, Mohd Azlan Ismail dan Isma Airfath Hassanuddin dari Rantau Panjang, Kelantan.malaysiakini

Kabinet tangguh keputusan syor Sime Darby ambil alih IJN-ikuti komen MAHATHIR DAN KAKITANGAN IJN

[DIKEMAS KINI, 10 MALAM](Jumaat Disember 19, 2008-KUALA LUMPUR: Kabinet menangguhkan keputusan berhubung cadangan Sime Darby untuk mengambil alih Institut Jantung Negara (IJN) sementara menunggu perbincangan lanjut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak mengesahkan perkara tersebut pada sidang media sebentar tadi.

Kata beliau, kerajaan hanya bersetuju pada dasarnya tertakluk pada syarat bahawa tanggungjawab sosial IJN tidak akan dipinggir atau dikurangkan sama sekali.

"Selain itu, sekiranya IJN diserahkan kepada Sime Darby, ia bereti bahawa sumbangan kerajaan untuk pembedahan akan terus dilakukan.

"Ini bermakna tanggungjawab sosialnya akan disumbangkan dan ia tidak diabaikan atau dikorbankan sama sekali," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan penangguhan itu diambil demi kepentingan rakyat sementara menunggu perbincangan susulan yang mendalam.

IJN diurus oleh IJN Holdings Sdn. Bhd., milik penuh Kementerian Kewangan.

Malah, kata beliau, keputusan itu juga tiada kaitan dengan pilihan raya kecil Kuala Terengganu bulan depan.

Tambah beliau, kajian itu akan mengambil masa beberapa bulan.

Bagaimanapun, Najib berkata, faktor masa tidak penting.

"Apa yang penting ialah keputuan itu akan menguntungkan rakyat dan akan menjadikan IJN pusat jantung bertaraf dunia," katanya.

Cadangan pengambilalihan itu mendapat reaksi bercampur aduk dengan banyak pihak berpendapat ia tidak wajar diswastakan.

KOMEN MAHATHIR

Turut memberikan pandangan hari ini ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang telah dua kali menjalani pembedahan pintasan koronari jantung sebanyak dua kali, berpendapat IJN wajar kekal seperti sekarang.

"Saya jarang menentang penswastaan tetapi dalam hal ini, saya merasakan penswastaan adalah salah untuk dilaksanakan," kata beliau dalam blognya hari ini.

"Biarkan institusi ini sebagimana sekarang. Ia ada kebanggaan kita dan ia melakukan kerja yang baik," tambah beliau.

Oleh kerana Barisan Nasional (BN) sudah tidak popular sekarang, tambah beliau, mengapa harus memberikan satu lagi isu kepada pembangkang untuk mengkritik kerajaan pusat.

Tun Dr. Mahathir Mohamad gembira dengan keputusan kerajaan untuk menangguhkan penswastaan Institut Jantung Negara (IJN).

Ketika ditemui wartawan lewat petang ini, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak fikir penswastaan itu adalah satu idea yang baik memandangkan institut itu "adalah badan amal yang unik" berdasarkan kepada prestasinya yang cemerlang setakat ini.

"Setakat ini tiada aduan mengenai IJN.

"Mereka telah menunjukkan prestasi cemerlang. Berkhidmat kepada yang kaya dan miskin.

"Semua orang telah mendapat manfaat daripada IJN termasuk saya sendiri," katanya selepas menerima RM150,000 bagi pihak Yayasan Kuala Lumpur untuk Menjenayahkan Perang, yang dipengerusikannya.

KOMEN PAKAT IJN

Sementara itu, doktor-doktor IJN berkata, pihaknya gembira untuk berkhidmat dengan institut berkenaan dalam keadaan semasa dan tidak mahu dijadikan 'kambing hitam' dalam cadangan penswastaan pusat perubatan berkenaan.

Dalam kenyataan yang ditandatangani 33 daripada 35 pakar runding perubatan yang berkhidmat di IJN, mereka menegaskan, syor penswastaan tersebut bukan merupakan respons kepada tuntutan mereka untuk mendapatkan skim gaji yang lebih baik.

Doktor-doktor berkenaan menambah, kakitangan perubatan tidak terlibat dalam perundingan pengambilalihan IJN.

KOMEN-KOMEN SEBELUM PENANGGUHAN PENGAMBILALIHAN IJN

KOMEN MENTERI KEWANGAN

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula berkata, kerajaan tidak menghalang hasrat Sime Darby Bhd untuk menguasai pegangan dalam IJN tetapi konglomerat itu perlu memberi jaminan akan mengutamakan golongan miskin.

"Kita kini dalam proses memuktamadkan perkara ini bersamasama Kementerian Kesihatan walaupun pada dasarnya kita tidak membantah cadangan itu," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai AIDS di Parlimen di sini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, Sime Darby perlu menyatakan komitmennya bahawa perhatian kepada golongan miskin tidak akan dikurangkan sekiranya IJN akan berpindah kepada Sime Darby.

"Apa sahaja kedudukan IJN, program sosial perlu diberikan keutamaan," kata beliau semasa mengulas isu berkenaan.

KOMEN MENTERI KESIHATAN

Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai berkata, modus operandi dan objektif IJN akan kekal sebagai pusat jantung yang berkhidmat untuk rakyat walaupun ia diambilalih pada masa akan datang.

Katanya, hasrat Sime Darby untuk menguasai pegangan dalam IJN Holdings Sdn Bhd, yang mengendalikan IJN, masih pada peringkat perbincangan.

"Modus operandi yang sedia ada tetap akan dikekalkan jika hasrat syarikat korporat itu (Sime Darby) untuk menguasai pegangan dalam IJN tercapai," katanya kepada pemberita selepas melawat dua pesakit yang menghidap "Dilated Cardiomyopathy" di IJN di sini hari ini.

Liow berkata, kerajaan akan terus memberi bantuan kepada 80 peratus pesakit kerajaan yang dirawat di IJN walaupun organisasi lain mengambil alih IJN.

"IJN mempunyai 80 peratus pesakit daripada kerajaan termasuk pesakitpesakit miskin, mereka dihantar oleh kerajaan dan kos rawatannya ditanggung oleh kerajaan.

"Oleh itu IJN tidak boleh mengenakan bayaran yang lebih tinggi daripada apa yang ditetapkan oleh kerajaan jika diambi lalih organisasi lain," katanya.

Liow berkata, Sime Darby harus mempunyai komitmen yang tinggi terhadap tanggungjawab sosial jika ingin mengambil alih IJN.

"Sime Darby atau siapapun yang ingin mengambil alih IJN perlu mempunyai komitmen yang penuh terhadap tanggungjawab sosial dan perlu meneruskan komitmen itu serta menjaga kesejahteraan orang ramai yang memerlukan bantuannya," katanya.

Beliau berkata, cadangan yang dihantar Sime Darby masih dikaji pada peringkat Kementerian Kewangan dan Unit Perancangan Ekonomi.

KOMEN MCA

MCA berharap agar IJN tidak diswastakan kerana ia selama ini sedikit sebanyak membantu meningkatkan imej kerajaan dan membantu rakyat yang tidak berkemampuan.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, institusi kerajaan itu banyak mengharumkan nama kerajaan.

"Kita berharap IJN tidak diswastakan. Ini bukan soal wang dan ringgit. Ini soal tanggungjawab kerajaan untuk memastikan dapat memberikan perkhidmatan dengan bayaran yang mampu dibayar oleh rakyat.

"Dalam konteks ini IJN sudah mencapai kejayaan cemerlang dan sedikit sebanyak meningkatkan imej kerajaan sebagai kerajaan yang bertanggungjawab di mana duit tidak boleh membelinya (imej itu)," katanya kepada pemberita di Wisma MCA di sini.

Beliau yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, banyak projek yang diswastakan di negara ini mengakibatkan bayaran yang meningkat dan beliau tidak melihat manamana projek yang diswastakan bayarannya menurun.

Dr. Chua berkata, aspek kedua yang penting ialah sama ada penswastaan boleh menjamin kecekapan dan keberkesanan khidmat yang diberikan.

"Sudah tentu apabila bayaran meningkat ia akan membebankan rakyat (berpendapatan rendah)," katanya.-Mstar

Mahalnya sewa rumah PM.

KUALA LUMPUR, 17 Dis: Dewan Rakyat diberitahu, Kerajaan Malaysia menyewa kediaman Perdana Menteri, Sri Perdana sebanyak RM4.15 juta setahun atau RM345, 833.33 sebulan dari Putrajaya Holding.

Untuk menyelenggarakannya pula, kerajaan menanggung RM1.89 juta setahun atau RM158,051.40 sebulan.
Kediaman Timbalan Perdana Menteri pula yang bernama Seri Satria, kerajaan menyewa sebanyak RM2.74 juta setahun atau RM228,333.33 sebulan manakala penyelenggaraannya adalah RM94,156 sebulan.

Ini bermakna, kerajaan menanggung RM27,545 sehari untuk membayar sewa dan menyelenggarakan kedua-dua istana pemimpin negara ini.

"Inilah bangunan yang Almarhum Datuk Fadzil Nor dulu cadang untuk dilelongkan jika BA (ketika itu) berkuasa. Saya tidak tahu tentang anda tetapi saya sendiri tidak terbayang begitu banyaknya wang yang dibelanjakan untuk menampung PM dan TPM kita sekeluarga," tulis Roslan Shahir, Setiausaha Akhbar Presiden PAS dalam blognya.

Sewa sehari Seri Perdana bersamaan RM11,527.77 sehari, sedangkan gaji pokok permulaan seorang guru dengan diploma hanyalah RM1,405.71.

Dengan RM1,405.71 inilah guru tadi menampung keluarga dan kehidupan hariannya sedangkan kita membayar RM11, 527.77 sehari buat PM kita!

Malah menurut jadual tangga gaji baru seorang Ketua Polis Negara pun dibayar lebih murah (perbandingan gaji pokok permulaan) dari kita menyewakan Seri perdana untuk Perdana Menteri kita.

Gaji pokok permulaan KPN adalah RM9, 615.98 (menurut Pekeliling Perkhidmatan Bil. 8 tahun 2007) sebulan.

"Jadi apa nak kita lakukan?" tanya Roslan.

Dalam pada itu, tulisnya, rakyat diseru berjimat cermat. Tahun depan mungkin keadaan ekonomi semakin gawat, syarikat-syarikat gergasi dunia sudah mula memberhentikan para pekerjanya.

"Dan kita dalam susah-susah memuntahkan dari isi perut hampir RM10 juta setahun bagi menempatkan tak sampai 10 orang di dua istana kerana mereka adalah PM dan TPM kita," tulis beliau.-SIASAHDAILY

PAS bantah IJN dijual pada Sime Darby

KUALA LUMPUR, 19 Dis - PAS membantah keras hasrat kerajaan mahu menjual Institut Jantung Negara (IJN) kepada Sime Darby Berhad. Penjualan IJN atas dasar penswastaan itu menandakan kedudukan kewangan negara barada pada tahap kritikal akibat dari penyelewengan dan rasuah yang semakin meningkat, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar.
"Kita mempersoalkan apa keperluan terdesak kerajaan mahu menjual IJN ini kepada Sime Darby sedangkan IJN tidak menghadapi masalah kewangan sebaliknya kerajaan yang menghadapi masalah kewangan.

"Kalau Kementerian Kewangan sudah tidak mampu menguruskan IJN serahkan saja kepada Kementerian Kesihatan," kata beliau ketika dihubungi sebentar tadi.
Beliau turut mempersoalkan apakah hasrat kerajaan mahu menjual IJN kepada Sime Darby kerana ada pihak tertentu yang bakal memperolehi keuntungan.

Mahfuz menegaskan PAS mebantah penjualan IJN kerana kerana selama ini institusi itu sedikit sebanyak membantu rakyat yang tidak berkemampuan.

Selain itu beliau berkata, banyak projek yang diswastakan di negara ini mengakibatkan bayaran yang meningkat dan beliau tidak melihat mana-mana projek yang diswastakan bayarannya menurun.

"Sudah tentu apabila bayaran meningkat ia akan membebankan golongan berpendapatan rendah," kata beliau.

Beliau juga menegaskan apa yang penting ialah sama ada penswastaan boleh menjamin kecekapan dan keberkesanan khidmat yang diberikan.

"Bila diswastakan tentu akan ramai doktor pakar memilih untuk berkhidmat di hospital swasta kerana tawaran gaji dan beberapa insentif yang menarik dan akhirnya hospital kerajaan tidak lagi mempunyai doktor pakar," tegas Mahfuz.


Bernama pada 17 Disember lalu melaporkan Sime Darby Berhad melalui Sime Darby Healthcare telah menulis surat kepada kerajaan menyatakan hasratnya membeli kepentingan dalam IJN Holdings Sdn Bhd.

Kabinet pada prinsipnya sudah bersetuju untuk menjual kepentingan Kementerian Kewangan kepada Sime Darby Healthcare.

IJN ditubuhkan untuk membantu rakyat mendapatkan rawatan jantung pada kadar yang lebih murah berbanding hospital swasta.

Ketika ini, Kementerian Kewangan melalui syarikat Menteri Kewangan diperbadankan memiliki 99 peratus saham IJN. - mks. _ HARAKAHDAILY

19 Disember 2008

Awas : Jangan lempar kasut

"Jangan lempar kasut," kata Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva ketika bergurau dengan pemberita kelmarin, tiga hari selepas wartawan Iraq menjadi terkenal kerana melemparkan kasut kepada Presiden Amerika Syarikat, George W Bush di Baghdad.

Komen Lula, yang diungkapkan dengan senyuman, menyebabkan barisan pemberita yang membuat liputan sidang kemuncak Latin Amerika di pusat peranginan Bahia, ketawa besar.

‘Keadaan agak panas di sini. Jika anda buka kasut, cuaca panas di sini akan menyebabkan tempat ini bau busuk,” kata Lula.

Saya rasakan ungkapan itu sewajarnya diucapkan oleh kebanyakan pemmpin dunia semasa berhadapan dengan wartawan.

Lebih selamat sidang akhbar dilakukan dalam sebuah bilik yang hanya boleh dimasuki oleh orang yang tidak pakai kasut.

Penuhi hajat OKU cacat penglihatan.

Kelmarin saya membuang lagu diari YB yang dinyanyikan oleh ND Lala sebagai memenuhi satu email yang saya sangat tersentuh untuk melakukan dengan segera hajat seorang pembaca OKU yang menjadi pengunjung blog Cina Islam.

Walaupun yang dimintanya supaya diperlahankan, tetapi saya telah pindahkan lagu itu di blog aduntitiserong.

Mungkin juga tindakan saya ini menjadi ikutan kepada pemunya blog yang ada latar lagu bagi memudahkan OKU mengikuti tulisan di blog anda dengan kecangihan teknologi yang ada.

Disini saya paparkan emailnya.

assalamualaikum tuan...saya muhammad lee abdullah adalah salah seorang oku penglihatan yang kerap juga melawati blog tuan. namun di sini saya ingin membuat sedikit permintaan iaitu agar dapat diperlahankan volume lagu yang berkumandang di blog tuan. ini adalah kerana disebabkan kami (oku penglihatan) ini menggunakan satu perisian pembaca skrin yang bersuara untuk membacakan kepada kami apa-apa yang terkandung di laman web mahupun blog. jadi apabila kuat bunyi lagu mahupun ceramah yang ada itu tentu sekali amat mengganggu bacaan screen reader tersebut. mudah-mudaan tuan tidak keberatan menunaikan hajat saya.terima kasih atas keperihatinan tuan.sekian

muhammad lee abdullah
mat-lee@streamyx.com.

18 Disember 2008

CERAMAH UMUM ISU SEMASA.

ISU NEGERI KEDAH DAN ISU NEGERI PERAK
YB IR. HAJI AMIRUDDIN BIN HAMZAH
(Exco Kerajaan Negeri Kedah)
YB DRS. KHALIL IDHAM LIM ABDULLAH
(ADUN Titi Serong)

Tarikh : 20 Disember 2008 ( Sabtu )
Masa : 9.30 Malam
Tempat : Pekan Bagan Tiang

Semua dijemput hadir

Mahalnya kasut yang dilempar kepada Bush .

Dilaporkan Kasut yang dilemparkan kepada Bush oleh wartawan Iraq, Muntazer mencecah harga US$ 100,000.

Dalam perkembangan berkaitan beberapa siri tunjuk perasaan telah diadakan oleh rakyat Iraq yang menganggap dia sebagai wira dengan dua lemparan kasut yang hampir kena kepala Bush. Mereka menuntut pihak berkuasa Iraq melepaskan Muntazer, sambil melaungkan anti Amerika dan memuji Muntazer sebagai wira serta membakar bendera Amerika . Beberapa orang mengangkat kasut senagai lambang "penghinaan" terbaru kepada Bush.

Mengenai pembebasan Muntazer Rumah Putih berkata, terpulang kepada pemimpin Iraq untuk menghukum wartawan tv negara itu yang melempar kasut ke arah Presiden George W Bush pada lawatannya ke Baghdad, kelmarin.

"Presiden percaya Iraq sebagai negara berdaulat dan demokrasi mereka mempunyai undang-undang untuk diikuti," kata jurucakapnya, Dana Perino.

Muntazer al-Zeidi, 29, dianggap 'hero' oleh dunia Arab selepas insiden melemparkan kasutnya ke arah Bush ketika mengadakan sidang akhbar sempena lawatan perpisahannya ke Iraq, Ahad lalu.

Al-Zeidi yang melompat dengan berteriak 'anjing' kepada Bush sebelum melamparkan kasut kepada pemimpin Amerika itu.

Kerajaan Iraq dalam reaksinya menyifatkan al-Zeidi sebagai 'amat memalukan' dan meminta majikannya yang berpangkalan di Mesir agar memohon maaf.

Abang Zeidi, Durgham berkata, Zeidi dibawa ke hospital Baghdad dengan tangan, mata dan kakinya patah serta luka akibat dipukul anggota pengawal keselamatan Bush.

Ada lagi skim cepat kaya !

Sekian lama negara kita tidak habis dengan cerita skim cepat kaya. Suatu masa ia tumbuh seperti cendawan memenuhi citarasa penduduk yang mudah tertipu dengan berbagai janji dan muslihat.

Hari ini tiga koperasi, dua daripadanya berpangkalan di Kuala Lumpur dan satu lagi di Kelantan, diserbu semalam kerana dikenal pasti menjalankan aktiviti pelaburan bercirikan skim cepat kaya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, berkata dalam serbuan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bersama-sama Bank Negara Malaysia (BNM) itu didapati jumlah pelaburan bagi ketiga-tiga koperasi itu dianggarkan bernilai RM80 juta dengan kira-kira 5,000 keanggotaan.

"Koperasi ini menjalankan skim pelaburan yang dikenali dengan Skim Simpanan Khas Al-Mudharabah dan Skim Usahawan Ternakan yang menawarkan pulangan lumayan antara lapan peratus hingga 12 peratus sebulan.


"Mereka juga menggunakan pelbagai cara untuk memperdayakan pelabur menyertai skim ini, termasuk mendakwa melaksanakan projek seperti pembekalan alat ganti kapal, ternakan lembu, penanaman rumpai laut, penangkapan ikan laut dalam dan pembekalan barangan pengguna," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyempurnaan kerjasama antara MECD dengan Kementerian Pengajian Tinggi, di sini hari ini.

Noh berkata tindakan koperasi mengutip pelaburan bercirikan skim cepat kaya adalah satu kesalahan mengikut Akta Koperasi 1993, justeru ketiga-tiga koperasi itu digantung daripada sebarang aktiviti manakala akaunnya dibekukan untuk siasatan lanjut.

"Jika ada kes maka mereka akan didakwa di mahkamah," katanya.

Selain itu saya ditemui oleh beberapa teman akrab yang memaklumkan sebuah syarikat yang membuka pelaburan untuk projek jati emas yang juga mirip kepada skim cepat kaya. Dengarnya syarikat yang juga berpengkalan itu sudah gulung tikar dan diserbu oleh pelaburnya dari seluruh negara.

Setakatini ramai yang merungut kerana syarikat itu telah cabutlari.

Persoalannya kenapa masiah ada rakyat Malaysia yang belum serik jatuh dalam satu lubang yang sama? Adakah mereka lupa kepada peringatan Tuhan dan RasulNya kepada hamba-hambanya yang beriman.

Islam agama nasihat.

Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka siksa yang amat berat” (QS. Al-Baqarah: 7).

Islam adalah agama nasihat, sabda Rasulullah SAW. Kerana itu, setiap manusia sangat dianjurkan untuk sentiasa memilih isi nasihat yang baik dan menggunakan cara penyampaian yang baik . Sekali lagi ini menunjukkan Islam adalah agama yang menjunjung tinggi keyakinan bahwa nasihat bukan hanya berpeluang besar dalam mencegah orang untuk melakukan kemungkaran, tetapi juga berpeluang memperbaiki perangai manusia yang telah rosak.

Nasihat diumpamakan perahan kepada santan kelapa, yang diambil hanya santan atau kebaikan sahaja. Kerana itu mendengar nasihat berarti mendapatkan kebaikan dari ucapan seseorang, oleh itu wajarlah nasihat hanya didengar dari yang ahlinya bagi memastikan yang diperolihi adalah "mutiara" bagi penyuluh jalan hidup. Seterusnya mencapai kemulian yang diharapkan.

Sabda Rasulullah . “Tolonglah saudaramu yang melakukan kezaliman dan yang dizalimi”. Lalu, salah seorang bertanya, “Wahai Rasulullah, tentu saya akan menolongnya jika dia seorang yang dizalimi, lalu bagaimana saya menolongnya jika ia melakukan kezaliman?” Rasulullah menjawab, “Kamu menahannya atau menghalanginya dari kezaliman, maka hal itu adalah cara untuk menolongnya” (HR Bukhari).

Cara yang paling baik untuk menahan seseorang dari melakukan kejahatan tentunya dengan memberi nasihat. Cara itu bukan hanya boleh menumbuhkan benih cinta dan kasih sayang antara pihak yang dinasihati dengan pihak pemberi nasihat. Tetapi juga mencegah timbulnya rasa sakit hati bagi orang yang terlanjur melakukan kezaliman.

Namun begitu harus diingat kadangkala nasihat secara keras dan nasihat dengan lembut tidak mampu mencegah seseorang dari melakukan kejahatan atau memperbaiki kerosakan perangainya. Ini disebabkan mereka itu tergolong dalam kelompok yang disebutkan dalam Al-Quran, seperti ayat diatas iaitu sebahagian manusia yang sudah ditutup rapat hati, telinga, dan matanya.

17 Disember 2008

PAS mahu tindakan telus dalam pencegahan rasuah

KUALA LUMPUR, 15 Dis - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa meminta agar kerajaan mengamalkan dasar dan tindakan yang lebih telus dalam pelaksanaan rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata demikian dalam perbahasan rang undang-undang SPRM di Dewan Rakyat hari ini.

"Lembaga Penasihat yang dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong seramai tujuh orang merupakan jumlah yang sedikit dan tidak mewakili segmen utama dalam masyarakat, sebagai contoh mempelbagaikan segmen dan bidang iaitu segmen agama,"katanya kepada sidang dewan.

tegasnya, ini disebabkan jenayah rasuah itu sendiri bukan sekadar kesalahan dari sudut undang-undang bahkan juga merupakan kesalahan dari segi agama.
Beliau turut mengulas pelantikan lima orang ahli jawatankuasa aduan dalam SPRM oleh menteri yang dianggap tidak bebas.

"Ia tidak sepatutnya dilantik oleh menteri bagi memastikan ia benar-benar bebas," ujarnya.

Dalam pada itu, Nasharudin sempat menempelak Umno-BN yang kini sedang giat memberikan habuan wang kepada penduduk terengganu menjelang Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari akan datang.

"Kita lihat kini rakyat Terengganu dibayar royalti sebanyak RM400 juta, rasuah kah ini? kerana rasuah merupakan suapan untuk tujuan tertentu.

"Sinonimnya keadaan ini berlaku sebaik sahaja PRK diumumkan di Kuala Terengganu seolah-olah ianya merupakan rasuah berskala besar kini telah diterima umum sebagai norma sebaik sahaja tibanya pilihan raya kecil," katanya lagi.

Pada masa yang sama, beliau juga menegaskan ia merupakan perilaku kerajaan pusat yang sering menyalah gunakan kuasa dalam PRK seperti mana sebelum ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz membacakan rang undang-undang SPRM buat kali kedua.

Beliau berkata, kerajaan telah bersetuju untuk meningkatkan keupayaan BPR sedia ada dengan menambah 5,000 anggota dalam tempoh lima tahun bagi membantu BPR mempercepat proses penyiasatan dan memberi perkhidmatan pencegahan rasuah yang lebih baik kepada masyarakat.mr - HarakahDaily_

Harga petrol, diesel turun kali ke-7

PUTRAJAYA 15 Dis. – Kerajaan hari ini menurunkan lagi harga petrol dan diesel sebanyak 10 sen seliter berkuat kuasa tengah malam ini, kali ketujuh sejak Ogos lalu sejajar dengan penurunan harga minyak mentah di pasaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu kenyataan berkata, petrol RON97 diturunkan daripada RM1.90 kepada RM1.80 seliter, manakala petrol RON92 dan diesel masing-masing daripada RM1.80 kepada RM1.70 sen seliter.

“Penurunan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 10 sen seliter ini adalah sejajar dengan penurunan harga minyak mentah di pasaran.

“Berkuat kuasa tarikh yang sama (tengah malam ini) juga, harga petrol dan diesel bersubsidi bagi nelayan diturunkan sebanyak 13 sen seliter daripada RM1.43 kepada RM1.30 seliter seperti mana yang telah diumumkan sebelum ini,” kata Perdana Menteri.

Penurunan harga petrol dan diesel itu dibuat ketika harga minyak mentah di pasaran dunia hari ini berlegar pada kadar AS$47.35 (RM165.73) setong.

Harga minyak petrol dan diesel mengalami kenaikan tertinggi pada Jun lalu apabila kerajaan menaikkan harga runcit petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter ketika harga minyak mentah dunia meningkat sekitar AS$125 setong.

Bagaimanapun dua bulan kemudian iaitu pada 23 Ogos, kerajaan menurunkan harga runcit petrol RON97 sebanyak 15 sen menjadikannya RM2.55 seliter.-Utusan Malaysia-

Bush dibaling kasut

BAGHDAD 15 Dis. – Seorang wartawan Iraq membaling sepasang kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush semasa lawatan perpisahan beliau ke Iraq, semalam.

Insiden itu menonjolkan kebencian mendalam yang terus dirasai di negara ini terhadap Bush yang mengakui perang di Iraq masih belum dimenangi.

Wartawan berkenaan, Muntazer al-Zaidi bangun sewaktu Bush mengadakan sidang akhbar bersama-sama Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Malik seraya menjerit dalam bahasa Arab, “ini kucupan perpisahan untuk kamu, anjing!” lalu membaling kasut yang dipakainya.
DIAIBKAN... (Gambar besar) Muntadar Al-Zeidi bangun secara tiba-tiba dari tempat duduk bahagian pemberita dengan memegang kasut di tangan kanannya ketika Bush dan Perdana Menteri Iraq, Nuri Al-Maliki mengadakan sidang akhbar bersama di Baghdad, semalam manakala gambar di bawah (dari kiri ke kanan) dia melontar kasut ke arah Bush sambil melaungkan “Ini kucupan perpisahan untuk kamu, anjing! Ini salam perpisahan daripada balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh di Iraq.” Bush mengelak kasut yang dilontar dan berselindung di sebalik rostum ketika Muntadar mencapai satu lagi kasutnya sebelum melontar ke arah Bush sambil diperhatikan oleh Nuri Al-Maliki yang tergamam. – APn
“Ini salam perpisahan daripada balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh di Iraq,” jerit Muntazer, wartawan untuk televisyen Al-Baghdadia, sebuah stesen milik Iraq berpangkalan di Kaherah.-utusan

16 Disember 2008

MB pertahan keputusan tukar kereta.

ALOR STAR 14 Dis. - Menteri Besar Perak mempertahankan keputusan untuk menggunakan kereta Toyota Camry 2.4 bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri meskipun tindakan itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.

Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kerajaan Perak berpendapat penggunaan kereta buatan Jepun itu memberi jaminan dan khidmat yang lebih baik berbanding Proton Perdana.

"Kita rasakan penggunaan kenderaan Exco dan pegawai cukup lasak dan Toyota Camry merupakan satu model yang boleh melalui proses demikian dengan harga berpatutan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjung hormat ke pejabat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada kerajaan Perak akan mengubah keputusan mengenai kelulusan penggunaan kereta Toyota Camry bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive selepas pelbagai pihak mengkritik tindakan itu.

Kelmarin, Kerajaan Perak dilaporkan meluluskan pembelian 16 buah kereta Toyota Camry 2.4 bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Mohammad Nizar berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kos membaiki serta menyelenggara Proton Perdana yang begitu tinggi dan sering mengalami kerosakan.

Mohammad Nizar berkata, kerajaan Perak akan meneruskan rancangan penukaran kereta berkenaan tetapi belum memutuskan bila kerana perlu menilai kemampuan kewangan negeri.

Ditanya tindakan tersebut sebagai tidak patriotik, beliau berkata: "Hanya kerana pakai kereta tempatan kita dipanggil patriotik? Saya rasa masalah ini tidak timbul."

Kenyataan beberapa pemimpin pembangkang di Perak yang mengatakan tindakan ini tidak patriotik dan penghianat adalah tidak berasas kerana segala penjelasan dan kelemahan pengunaan kerata nasional itu telah dibentangkan dalam Sidang Bajet DUN Perak yang lepas.

Isu yang sama juga telah menyeret kepada keputusan Kerajaan BN Terengganu untuk mengganti kereta tersebut dengan kereta Mercedes Benz.

15 Disember 2008

MB Perak bertemu MB Kedah.

ALOR SETAR, 14 Dis :- YAB Menteri Besar Perak, Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin melakukan kunjungan hormat kepada YAB Menteri Besar Kedah , Ust. Azizan Abdul Razak di Wisma Darul Aman di sini.

Rombongan Perak juga disertai oleh Exco Agama, YB. Zainuddin Yusof dan Exco Pertanian, YB. Jamaluddin Md. Razi, serta dua ADUN lain iaitu Drs. Khalil Idham Lim dan YB. Abdul Yunus Jamhari.

MB Kedah menjelaskan sesuatu sambil diperhatikan oleh MB Perak.


Pertemuan dua Ketua Negeri Pakatan Rakyat itu berlangsung selama 1 jam dalam keadaan penuh akrab dan persahabatan. Mereka saling bertukar pandangan bagi memantapkan lagi pentadbiran kedua negeri.