15 April 2009

DS Nizar dicalonkan Naib Presiden Pas

Tahun ini adalah tahun pemilihan bagi PAS. Sekarang ini PAS Kawasan di seluruh negara sedang sibuk bermesyuarat.

Saya menjangkakan tahun ini akan ada pemimpin baru yang muncul untuk mendepani POLITIK BARU yang diasaskan oleh PAS. Antara nama-nama baru yang bakal diketengahkan ialah Menteri Besar Perak iaitu Datuk Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin yang begitu popular dan telah teruji kepimpinan dan ketahanannya.

Nizar berjaya membuktikan bahawa beliau mempunyai karisma, personaliti dan ciri-ciri seorang pemimpin yang baik. Beliau sudahpun memperolehi pencalonan sebagai Naib Presiden dari PAS kawasan Kelana Jaya dan juga Temerloh.

Selain Nizar saya menjangkakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Hj Azizan Abdul Razak juga akan melakukan 'comeback' setelah tidak dipilih menjadi Naib Presiden pada pemilihan lalu.

Beliau juga membuktikan keupayaannya memimpin kerajaan Kedah sehingga kini.Ustaz Azizan sehingga kini telah mendapat pencalonan sebagai Timbalan Presiden dari PAS kawasan Temerloh.

Dalam masa terdekat ini lebih banyak PAS Kawasan akan mengadakan Mesyuarat Agong. Saya menjangkakan lebih ramai pemimpin-pemimpin baru akan dicalonkan kerana PAS sememangnya tidak ketandusan pemimpin.Seperkara yang penting ialah demokrasi di dalam PAS tetap subur tidak sebagaimana Umno yang membunuh demokrasi.

Selain itu pencalonan dan pemilihan di dalam PAS dijalankan dalam suasana penuh beradab dan berhemah tidak seperti Umno yang dipenuhi oleh rasuah, fitnah dan sebagainya.

Syabas PAS, Allahu Akhbar.
-muslimeen united

Hari ini ADUN Titi Serong ceramah di Kuala Krai Kelantan.

Satu ceramah Penerangan Isu-isu Semasa yang diadakan Kuala Krai Kelantan yang diadakan pada malam ini akan membariskan dua orang penceramah utama iaitu Speaker DUN Kelantan, Ust. Nasharuddin Daud dan ADUN Titi Serong Perak, Drs. Khalil Idham Lim.

Benarkah dakwaan Najib krisis politik Terengganu bukan krisis besar ?

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, krisis politik di Terengganu bukan sesuatu yang luar biasa sehingga tidak dapat diselesaikan. Persoalannya benarkah dakwaan Perdana Menteri ?

"Ia bukannya satu krisis yang besar," kata Perdana Menteri ketika diminta mengulas tindakan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri daripada Barisan Nasional yang tidak menghadiri persidangan hari ini kerana bimbang keselamatan mereka setelah tiga daripada mereka menerima SMS berbentuk ugutan.

SMS itu dipercayai ada kaitan dengan ura-ura usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Datuk Ahmad Said akan dibentangkan pada persidangan dewan itu.

Namun saya menjangkakan krisis politik Umno Terengganu dijangka berlarutan kerana persoalannya ialah rasa tidak puashati kumpulan Idris terhadap Ahmad Said berlarutan sekian lama .

Kalaulah perkara ini kecil sahaja kenapa pula Najib membuat kenyataan segera dan menggelabah pula Muhyiddin untuk berjumpa Ahmad Said bagi mendapatkan gambaran yang sebenar kemelut itu.

Beberapa persoalan besar mesti dijawab dalam krisis ini, antaranya benarkah sebagaimana yang dinafikan Najib bahawa kumpulan wakil rakyat itu cuba untuk menyingkirkan Ahmad.

Selain itu persoalan lain ialah siapakah yang mengirim SMS berbentuk ugutan kepada 3 ADUN sehingga membawa kepada laporan Polis.

SMS kata ADUN PR sakit : Alhamdulillah semua kami sihat.

Sejak masa kempen di Bukit Gantang saya mula menerima SMS dan pangilan talifon dari teman seperjuangan jauh dan dekat menanyakan adakah benar MB Nizar sudah kena santau dan sedang di rawat oleh Dr. Harun Din.

Beberapa hari lepas ada yang bertanyakan saya mengenai benarkah MP Bagan Serai, Hj. Mohsin Fadli sakit dan sudah masuk ICU.

Hari ini saya menerima beberapa panggilan talifon yang menyebut ADUN yang lain sakit pula. Sekali ini mereka bertanyakan benarkah SMS yang mengatakan ADUN Selingsing, Hj. Hussin Din dalam keadaan tenat dan dikatakan otaknya sudah tidak berfungsi.

Malam ini saya menerima berita lain lagi mengatakan ADUN Gunung Semanggol sakit.

Itulah berta-berita angin yang menyebut kami dalam keadaan sakit, namun Alhamdulillah semua kami Ahli Parlimen dan ADUN Pakatan Rakyat dalam keadaan sihat. Khususnya bagi ADUN PR Perak mereka dalam keadaan sihat dan sedang menunggu pembubaran DUN pada Mei depan dan kalau tidak ada aral melintang pada bulan Jun ada Pilihanraya peringkat DUN di Perak.

Saya tidak tahu bagaimana puncanya sehingga tersebarnya macam-macam sms mencerita dan bertanyakan kami sakit. Kemungkinan yang saya dapat jawab ialah sifat sayang yang berlebihan kepada mereka sehingga sangat perihatin sehingga sangat sensitif mengenai kesihatan ADUN berkenaan.

Rusuhan : Kenyataan terdesak Zambry setelah kalah di mahkamah dan Bukit Gantang.

Zambry Abdul Kadir hari ini cuba mengulas kenyataan yang didakwanya berbaur ugutan Setiausaha Agung Pas Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar, dalam Harakahdaily yang kononnya lagi ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Saya cuba mencari tulisan yang dimaksudkan oleh Zambry tetapi sehingga posting ini saya mula tulis saya gagal mendapatkannya.

Dalam kenyataan Zambry hari ini beliau juga menyifatkan tindakan pemimpin parti pembangkang mengancam mahu mengadakan rusuhan antikerajaan ala Thailand di Perak bagi memaksa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai amat berbahaya.


Zambry berkata, kenyataan yang dikeluarkan pemimpin pembangkang terbabit itu jelas tidak bertanggungjawab dan sengaja mahu mencetuskan ketegangan dan keadaaan huru-hara dalam masyarakat.

Kalaulah Zambry mengatakan tindakan pembangkang amat bahaya, adakah tindakan Zambry yang merampas kuasa itu tidak merupakan satu bahaya ? malah itulah punca masalahnya di Perak.

"Saya melihat seolah-olah pembangkang merasakan diri mereka begitu berkuasa dalam suasana politik di Perak sehingga mereka boleh melontarkan pandangan dan ancaman seperti itu," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Bagi saya kenyataan Zambry di atas tidak lebih dari tindakan terdesak yang menafsirkan beberapa kenyataan yang belum jelas maksud dan tujuannya lagi.

Kalaupun Harakahdaily ada menyiarkan tulisan dan pandangan pimpinan PAS yang dikaitkan dengan masalah Thailand yang bergolak sekarang, persoalannya adakah salah sebagai satu ingatan dan kenyataan yang perlu diambil ingatan oleh bukan sahaja pemimpin negara malah seluruh rakyat Malaysia.

Alasannya tidak ada seorang pun pada pandangan saya rakyat Malaysia yang mahu berlakunya pergolakan politik seperti apa yang berlaku di Thailand.

Keamanan dan kesejahteraan sejagat khususnya dalam negara yang kita sayangi ini adalah tonggak perjuangan yang mesti kita pertahankan bersama.

Cuma masalahnya sekarang Zambry mungkin dalam keadaan kelelahan untuk mempertahankan "kerajaan haram" yang diambilnya sejak 6 Februari yang lepas. Tindakannya untuk mendapatkan status halal nampaknya sering mengalami kebuntuan dan simpang siur yang makin rumit.

Maka kenyataannya hari ini perlu diabaikan dan malah satu kenyataan yang tidak berasas dalam keadaan semua warga Perak menikmati keamanan dan kedamaian tanpa mengira bangsa dan agama.

Cuma buktinya rakyat bersatu di Bukit Gantang dan menolak calon parti Zambry, itulah yang menyakitkan !

Mahkamah Persekutuan dengar kes Zambry lwn Speaker

Mahkamah Persekutuan pagi ini memutuskan bahawa Menteri Besar BN Perak rampasan kuasa , Datuk Zambry Abd Kadir dan enam exco kudetanya nya, telah menggunakan prosedur yang betul untuk mencabar penggantungan mereka daripada menghadiri sidang DUN Perak.

Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Alauddin Md Sheriff, yang mengetuai panel lima orang hakim, berkata ia boleh mendengar perkara itu secara membuat permohonan dan bukannya melalui semakan kehakiman.

Zambry dan enam orang exco kerajaannya memohon kepada Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Speaker DUN Perak, V Sivakumar yang menggantung mereka selepas BN menubuhkan kerajaan negeri di Perak Februari lalu tanpa pembubaran DUN.

Zambry digantung selama 18 bulan manakala enam exconya digantung selama setahun.

Mahkamah Persekutuan membuat keputusan sebulat suara itu pagi ini bagi menolak permohonan peguam Sivakumar - Sulaiman Abdullah - semalam terhadap permohonan untuk membatalkan penggantungan tersebut.

Sulaiman berhujah semalam bahawa Zambry dan enam pemohon tersebut sepatutnya membuat permohonan secara semakan kehakiman dan bukannya melalui saman asal untuk mendapatkan beberapa pengisytiharan.

Kemelut politik Terengganu: 10 ADUN boikot, paksa MB undur

KUALA TERENGGANU: Sepuluh wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Terengganu hari ini 'memulaukan' persidangan Dewan Undangan Negeri pagi ini - yang berlangsung buat hari kedua - berkaitan dengan kemelut politik negeri itu.

Mereka terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Muhammad Ramli Noh, Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Datuk Rosol Wahid (Ajil), Alias Abdullah (Alor Limbat), Zakaria Abdullah (Paka), Ramlan Ali (Jabi), Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih) dan Mohd Pehimi Yusof (Kota Putera).

Ketiadaan kesemua mereka pada sesi soal jawab pagi ini, yang dihadiri semua 10 anggota exco dan Menteri Besar Datuk Ahmad Said, menyebabkan ia didominasi semua lapan ADUN dari PAS.

Hanya tiga wakil rakyat BN yang kelihatan menghadiri sidang Dewan pagi ini.

Difahamkan mereka berbuat demikian untuk menekan Menteri Besar yang dilantik Mac 2008supaya meletakkan jawatan.

Tindakan kesemua ADUN BN itu dipercayai mempunyai kaitan dengan SMS berbentuk ugutan yang diterima oleh tiga wakil rakyat BN iaitu Permaisuri, Paka dan Ajil malam semalam berhubung kemelut politik di negeri ini.

Bagaimanapun Rosol ketika ditemui wartawan memberitahu, tindakan mereka bukan bertujuan memulaukan sidang DUN.

Sebaliknya jelas beliau, pihaknya bertindak demikian demi faktor keselamatan selepas menerima SMS berbentuk ugutan semalam.

Tengah malam tadi pula tiga ADUN BN Terengganu termasuk Rosol membuat laporan polis setelah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk ugutan, dipercayai berhubung kemelut politik di negeri ini.

Isu itu dipercayai berlaku selepas Ahmad membuat kenyataan untuk mengambil tindakan tegas termasuk memecat ADUN BN, jika mereka membentangkan usul tidak percaya terhadap beliau.

Terengganu mempunyai 32 kerusi Dewan Undangan Negeri, lapan daripadanya diwakili pembangkang.Msatar.

Mahkamah: Zambry, 6 Exco kudeta gunakan prosedur betul cabar Speaker

PUTRAJAYA: Menteri Besar Perak rampasan kuasa ,Zambry Abdul Kadir dan enam Exco kudeta beliau telah menggunakan prosedur yang betul untuk mencabar penggantungan mereka oleh Speaker DUN, V. Sivakumar Februari lalu.

Ia diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan sebentar tadi.

Krisis di Perak : Bubar DUN langkah terbaik.

Pagi tadi saya menerima SMS dari Dato' Ngeh Koo Ham yang sedang dalam perjalan ke Putra Jaya untuk mengikuti kes pembicaraan saman MB Perak kudeta,Zambry Abdul Kadir ke atas Speaker Kerajaan Negeri Perak, V. Sivakumar.

Selepas sembahyang subuh bersama dengan penduduk taman Sri Tenggara saya disapa oleh beberapa orang jemaah mengenai kedudukan politik di Perak sekarang.

Dalam bahasa yang mudah saya menceritakan kan kes Zambry dengan Siva adalah masalah rumah tangga(DUN) dengan masalah di mahkamah. Kalau mahkamah sudah putuskan satu keputusan tidak sah, Speaker akan buat keputusan yang baru di dalam mesyuarat jawatan Kuasa hak dan kebebasan. Sesudah itu Zambry ke mahkamah lagi.

Tidak tahulah berapa banyak lagi keputusan akan dibuat, dan berapa lama lagi Zambry akan minta perintah mahkamah. Macam kata P. Ramlee "berapa lama daaaaa".

Tidak ada cara lain kecuali dengan pembubaran DUN yang akan menyelesaikan krisis di Perak sekarang. kembalikan hak kepada rakyat untuk memilih itulah jalan yang terbaik.

14 April 2009

DI ZAMAN NABI MUHAMMAD SAW, ARTIS PUN JOIN ISLAM

Saya tertarik semenjak mendengar beberapa berita sejak kebelakangan ini, yang memaparkan beberapa orang artis Malaysia yang semakin tertarik dengan Islam. Antaranya seperti Siti Nurhaliza, Amy search, dan semalam baru sahaja ditambah dengan seorang lagi artis yang tertarik dengan dakwah PAS di Malaysia.

Sebelum ini saya pernah menulis artikel “Siti Nurhaliza : Orang Yang Tersesat Pasti Rindukan Kebenaran”…. Yang khusus saya tulis sempena lawatan Siti Nurhaliza di Pejabat Tok Guru Nik Aziz. Sebelum ini, Akil Hayy juga sudah menonjolkan satu contoh yang baik untuk dicontohi oleh artis-artis lain hari ini.

Saya teringat kisah yang sangat mendorong saya untuk menulis artikel ringkas ini. Iaitu, ketika zaman Nabi Muhammad SAW, juga terdapat golongan yang boleh saya gelarkan sebagai golongan artis. Mereka ialah penyair-penyair Arab yang hebat dan terkenal. Mereka disanjung kerana syair-syair mereka. Hari ini pula, golongan artis juga menjadi pujaan dan sanjungan banyak pihak.

Golongan bangsawan Arab suka untuk menjadikan anak-anak mereka sebagai penyair hebat ketika dewasa nanti. Dan tidak dinafikan, ibu bapa yang ada sekarang, turut menyukai apabila anak mereka menjadi seorang artis ketika dewasan kelak. Malangnya. Mereka (Arab Jahiliah) juga sangat suka syair-syair yang memuja seorang wanita, dan ia juga biasa kita dengari di dalam kebanyakan lagu-lagu di Malaysia .

Sampai satu ketika, beberapa penyair hebat ini tertarik dengan Islam. Mereka tertarik apabila Nabi Muhammad SAW membacakan al Quran dan susunan ayat al Quran itu sangat menarik sehinggakan syair-syair karangan mereka kalah dengan bahasa al Quran. Memang benar, peristiwa itu sedang terjadi hari ini, iaitu dengan melaksanakan sistem perundangan di dalam al Quran, golongan artis hari ini juga akan tertarik.

Susunan ayat al Quran berjaya menawan hati penyair-penyair hebat ketika itu. Begitu juga apabila kita melaksanakan Islam, dan menegakkan kebenaran berdasarkan al Quran, sudah pasti golongan-golongan artis ini akan tertarik. Begitu juga golongan cendekiawan hari ini yang sibuk mengkaji tentang mukjizat al Quran.

Antara penyair yang memeluk Agama Islam ialah Hassan bin Thabit. Beliau adalah seorang penyair hebat di zaman tersebut dan beliau mampu untuk menuturkan syair secara sepontan. Adakah artis hari ini boleh menyanyi secara spontan dengan lirik yang dikarang secara spontan? Penyair Arab Jahiliah jauh lebih hebat, dan mereka memeluk juga Agama Islam, apatah lagi artis hari ini?

Hassan bin Thabit yang telah memeluk Agama Islam ketika itu, telah menjadi pertahanan kepada Nabi Muhammad SAW. Beliau telah mengemukakan syair-syair yang menceritakan tentang kemuliaan Nabi Muhammad SAW, sehingga golongan-golongan penyair di zaman tersebut kagum dengan keindahan syair tersebut.

Inilah peranan penyair untuk menyampaikan mesej Islam kepada golongan penyair juga. Ya, hari ini golongan artis yang telah join Islam ini berperanan untuk menyebarkan Islam kepada peminat-peminat lagu. Raihan dilihat sebagai salah satu daripada golongan tersebut, dan beberapa orang artis lain yang telah menerima dakwah PAS sendiri baru-baru ini. Hebat bukan?

Tetapi, malangya, Gangstarz telah melatih penyair-penyair Jahiliah hari ini, yang meruntuhkan akhlak! Begitu juga Malasian Idol dan banyak lagi yang kita ketahui, yang telah melatih anak-anak Malaysia hari ini supaya menjadi seperti penyair-penyari Jahiliyah ketika zaman Nabi Muhammad SAW. Malang sekali!

Selain itu, terdapat seorang artis kontroversi di zaman Nabi Muhammad SAW. Namanya ialah Ka’ab bin Zuhair. Beliau adalah seorang penyair yang hebat dan berperanan sebagai penghina Nabi Muhammad SAW di dalam syair-syairnya. Alhamdulillah, setakat ini, kita masih belum melihat artis tanah air yang menghina golongan ulama’.

Sehingga sampai pembukaan Mekah, Baginda SAW melarang umat Islam membunuh sesiapa ketika itu. Mereka masuk ke Mekah secara beramai-ramai. Tetapi Baginda SAW menghalalkan darah beberapa orang, antaranya Kaab bin Zuhair. Ini kerana penghinaannya terhadap Nabi Muhammad SAW sangat keterlaluan.

Tetapi, ketika pembukaan Mekah ketika itu, beliau datang bertemu Nabi Muhammad SAW menyatakan hasratnya untuk kembali kepada Islam dan Baginda SAM menerima taubatnya. Setelah itu, artis ini menjadi seorang yang terpuji dan syair-syairnya banyak memuji kemuliaan Nabi Muhammad SAW dan Islam.

Inilah beberapa peristiwa yang sedang terjadi hari ini. Golongan artis sedikit demi sedikit akan terbuka hati mereka untuk menerima Islam. Mereka merasakan ia adalah satu jalan kembali, dan memang benarlah, orang yang tersesat pasti rindukan kebenaran. Selama ini, orang mendakwa bahawa dakwah Tok Guru Nik Aziz tidak berkesan.

Mereka berkata begitu kerana menuduh penampilan Tok Guru sebagai “kuno”, dan mesej dakwah tidak dapat disampaikan. Tetapi hari ini bagaimana? Adakah golongan artis pergi berjumpa orang-orang yang memburukkan Tok Guru ini? Sebaliknya, mereka (artis) sendiri yang datang kepada Islam!

Salam Perjuangan
Dr Fikrah (http://drfikrah.blogspot.com)

Selisih faham, prasangka buruk barah kebahagiaan

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Setiap perbalahan sesama manusia perlu diselesai melalui meja rundingan, permuafakatan

PEMILIHAN manusia sebagai khalifah di muka bumi dengan tujuan jelas dan membawa tanggungjawab cukup berat. Sebagai khalifah Allah yang bertanggungjawab memastikan kemakmuran bumi dan seluruh penghuninya, kita seharusnya sentiasa menginsafi tugas dipikul itu satu amanah yang jika tidak dilaksanakan dengan baik, pelbagai bentuk masalah pasti akan datang tanpa diundang.

Tanggungjawab khalifah mencakupi pelbagai aspek terutama yang berkaitan hubungan dengan Allah sebagai pencipta yang Maha Agung (al-Khaliq) dan hubungan dengan sesama manusia (al-Makhluq).

Jika dilihat daripada aspek hubungan dengan Allah, jelas bahawa pengabdian diri kepada-Nya menjadi keutamaan kepada manusia, sesuai dengan tanggungjawab sebagai khalifah. Hal ini selaras dengan tujuan utama penciptaan manusia iaitu untuk mengabdikan jiwa dan raga hanya kepada-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan (Ingatlah) Aku tidak menciptakan Jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku." (Surah az-Dzariyaat, ayat 56)

Justeru, segala bentuk hak Allah perlulah dijadikan keutamaan, lebih-lebih lagi ketika bertembung dengan kehendak manusia yang kebiasaannya bersifat keduniaan semata-mata. Semua tindak-tanduk khalifah haruslah mengarah kepada kebaikan serta sentiasa menurut garis panduan al-Quran dan sunnah.

Oleh itu, gesaan sesetengah pihak untuk meminda hukum dan ketetapan dalam al-Quran yang dikira sudah tidak lagi relevan dengan zaman ini, perlulah ditolak dengan cara terbaik supaya hak Allah sentiasa terpelihara.

Jika hubungan dengan Allah sentiasa dijadikan keutamaan, maka terpeliharalah iman daripada segala bentuk anasir jahat yang sentiasa mengarah kepada keburukan dan kejahatan. Malah, keberkatan Allah akan terus dinikmati, kesan daripada keimanan teguh serta jitu kepada-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan jika penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah ruah berkatnya, dari langit dan bumi." (Surah al-A'raaf, ayat 96)

Menyentuh hubungan sesama manusia pula, Islam menggariskan tatacara dan panduan bagi menjaga hubungan itu. Menerusi hubungan baik sesama manusia, kehidupan di dunia akan disinari cahaya keharmonian dan kebahagiaan.

Baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Perbandingan orang mukmin dalam berkasih-sayang mereka, dalam perasaan belas kasihan mereka dan dalam rasa simpati mereka adalah laksana tubuh badan yang satu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jelas setiap individu Muslim itu adalah bersaudara dan saling memerlukan antara satu sama lain. Dalam konteks lebih luas, hubungan antara sesama manusia tidaklah terbatas antara Muslim bahkan Islam menggesa umatnya berbuat baik dan berkasih sayang dengan berlainan agama serta kepercayaan.

Inilah antara keindahan Islam yang ternyata menolak permusuhan dan perbalahan sesama manusia supaya kehidupan di muka bumi sentiasa berada dalam keadaan harmoni dan bahagia. Adalah menyedihkan apabila segelintir kita terus-menerus berada dalam keadaan berselisih faham dan berprasangka buruk.

Sesungguhnya masalah ini jika dibiarkan akan menjadi barah bakal memusnahkan kebahagiaan hidup, malah lebih teruk lagi menjauhkan kita daripada rahmat dan keberkatan Allah. Menjadi tuntutan dalam Islam supaya setiap permasalahan dan perselisihan diselesaikan dengan cara terbaik seperti melalui meja rundingan dan permuafakatan.

Dengan cara itu, titik pertemuan dapat dicari dan jurang perselisihan pendapat dapat dikurangkan. Lebih penting adalah menjamin keberkatan, rahmat dan keredaan Allah terus dinikmati bagi meneruskan kehidupan di dunia penuh cabaran yang saban hari bertukar-ganti.

Hakikatnya setiap perselisihan berlaku sesama manusia, haruslah dirujuk kepada al-Quran dan sunnah. Firman Allah yang bermaksud: "Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (al-Quran) dan Rasul-Nya (sunnah)." (Surah an-Nisa', ayat 59)

Sebagai ummah terbaik, kita seharusnya sentiasa bersikap positif dan bersangka baik sesama manusia. Jika ada perkara belum diketahui kebenarannya, maka selidik dengan teliti. Hanya dengan itu kita dapat menjauhkan diri daripada terus berprasangka buruk..

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa." (Surah al-Hujuraat, ayat 12)

Marilah kita bertekad untuk sentiasa memelihara hubungan dengan Allah dan sesama manusia. Semoga kita tidak tergolong di kalangan manusia yang dimurkai Allah dan ditimpa kehinaan kerana tidak mementingkan hubungan itu.

Firman Allah yang bermaksud: "Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia." (Surah Ali-Imran, ayat 112)

Menegur pemimpin perlu dilakukan secara bijaksana

Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

KEWUJUDAN kepemimpinan yang stabil bagi sesebuah negara dilihat sebagai satu aspek penting dalam Islam. Tanpa kepemimpinan yang positif dan ikhlas berjuang, kepentingan rakyat tidak akan mampu ditadbir dengan baik.

Apabila masyarakat dibiarkan tanpa pemimpin nescaya keadaan akan menjadi huru-hara di mana golongan kuat menindas yang lemah. Tanpa pemimpin, undang-undang rimba akan ditegakkan dan kezaliman bermaharajalela.

Justeru, urusan kepemimpinan adalah antara satu dasar utama dalam Islam. Firman Allah yang bermaksud: "Allah menjanjikan orang yang beriman dan beramal salih daripada kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah yang memegang kuasa pemimpin di bumi, seperti Dia menjadikan orang sebelum mereka khalifah yang berkuasa." (Surah al-Nur, ayat 55)

Lantaran itu, Islam meletakkan beberapa dasar penting bagaimana rakyat perlu berinteraksi dengan pemimpin yang berkuasa dalam sesebuah negara demi menjamin kestabilan politik serta kemakmuran masyarakat.

Ketaatan kepada pemimpin adalah satu dasar yang pokok. Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, dan Ulil Amri (pemimpin) di antara kamu." (Surah al-Nisaa', ayat 59)

Namun, Islam hanya menetapkan kewajipan untuk mendengar dan taat kepada pemimpin selagi mana pemimpin itu tidak menyuruh membuat perkara berunsur maksiat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Diwajibkan mendengar dan taat (kepada pemimpin) ke atas setiap Muslim sama ada dalam hal yang dia suka atau benci selagi mana dia tidak diperintah untuk melakukan maksiat. Jika dia diperintah melakukan maksiat maka tidak wajib untuk mendengar dan tidak wajib taat." (Hadis riwayat Bukhari)

Jika pemimpin memerintahkan untuk melakukan perbuatan bertentangan syarak, yang diingkari hanyalah perbuatan itu akan tetapi kesetiaan kepada pemimpin tetap perlu diteruskan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ketahuilah! Sesiapa yang dipimpin oleh seorang pemimpin lalu dia melihat sesuatu kemaksiatan kepada Allah (yang dilakukan oleh pemimpin itu), maka bencilah kemaksiatan kepada Allah itu. Akan tetapi jangan menarik ketaatannya (kepada pemimpin itu)." (Hadis riwayat Muslim)

Jika pemimpin melakukan kesalahan maka hendaklah mereka dinasihati dengan cara baik berbekalkan niat untuk membawa kebaikan kepada masyarakat keseluruhannya tanpa ada motif lain. Dalam Musnad Ahmad diriwayatkan Rasulullah SAW menyenaraikan tiga perkara yang Allah reda untuk diamalkan bagi hamba-Nya yang mana salah satu darinya adalah: "Kalian menasihati orang yang Allah angkat menjadi pemimpin atas urusan kalian."

Menasihati atau menegur pemimpin tidak boleh dilakukan secara terbuka, dengan kata berbentuk cacian dan menghina atau tujuan menanam perasaan benci di kalangan masyarakat terhadap pemimpin itu. Hendaklah kita sedari pemimpin adalah manusia biasa yang ada kalanya melakukan kesilapan dalam menguruskan urusan pentadbiran.

Namun, jika pemimpin melakukan kesilapan ia bukan bererti kita dibenarkan untuk mencela secara terbuka tetapi hendaklah menasihatinya dan memperjelaskan kesalahannya dengan cara penuh hikmah.

Rasulullah SAW menunjukkan contoh cara menasihati pemimpin melalui sabda yang bermaksud: "Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin dalam sesuatu urusan, janganlah dia melakukannya secara terang-terangan. Akan tetapi hendaklah dia mengambil tangan pemimpin itu dan ajaklah (nasihatilah) dia secara tersembunyi. Jika dia (pemimpin) menerima (nasihat itu) maka itulah yang diharapkan. Jika dia tidak menerima (nasihat) maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat) sudah melaksanakan tanggungjawabnya." (Hadis riwayat Ahmad)

Menerusi prinsip ini, bukan bermakna umat Islam hanya membisu apabila kemaksiatan atau kezaliman seperti rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa berlaku dengan alasan ia berpunca daripada pihak pemimpin. Maksiat serta kezaliman tetap perlu diingkari dan diperjelaskan secara umum kepada masyarakat bahawa perkara itu bertentangan syarak dan terlarang.

Pemimpin yang ingkar terhadap maksiat sudah diberitahu Rasulullah SAW menerusi bimbingan wahyu Ilahi dan Baginda menyuruh umat Islam untuk taat kepada pemimpin itu selagi mana dia adalah seorang Muslim dan tidak wujud tanda jelas bahawa dia kafir daripada agama Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Akan ada sepeninggalanku nanti pemimpin (yang) kalian mengenalnya dan mengingkari (kejelekannya), maka barang siapa mengingkarinya (bererti) dia sudah berlepas diri, dan barang siapa membencinya (bererti) dia sudah selamat, akan tetapi barang siapa yang meredainya (akan) mengikutinya. Sahabat bertanya: Apakah tidak kita perangi (saja) dengan pedang? Baginda menjawab: Jangan, selama mana mereka masih menegakkan solat di tengah-tengah kalian." (Hadis riwayat Muslim)

Demikianlah beberapa prinsip bagaimana umat Islam harus berurusan dengan pemimpin demi mencapai kestabilan politik dan kesatuan umat yang menjadi faktor penting dalam membentuk umat Islam yang kuat dan digeruni musuh. Perpecahan hanya akan melemahkan umat Islam dan menggembirakan musuh Allah.

Islam galak dakwah secara berhikmah

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Kesabaran Rasulullah sebar risalah suci perlu dicontohi sepanjang zaman

DAKWAH kepada Islam adalah antara kewajipan yang dituntut kepada ummah dalam usaha menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Kewajipan berdakwah adalah seruan kepada melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Firman Allah yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik." (Surah al-Nahl, ayat 125)

Kewajipan berdakwah satu kewajipan yang besar lagi getir serta menjadi tonggak utama kepada agama, menjadi tiang atau paksi menegakkan binaan Islam, menyempurnakan segala peraturannya serta mengangkat martabat Islam hingga ke puncaknya.

Oleh itu, Allah memerintahkan umat Islam menyampaikan mesej Islam dengan penuh berhikmah. Hikmah adalah pendekatan terbaik dalam menyampaikan ajaran Islam di samping mempunyai kaitan dengan kesenian berdakwah.

Sheikh al-Sabuni ketika menafsirkan ayat itu, menjelaskan pengertian berdakwah dengan hikmah bermaksud menyeru dan mengajak manusia kepada agama Allah dan syariat-Nya yang suci secara bijaksana, berlemah-lembut dan beradab, sehingga dapat memberi kesan seterusnya diterima dengan sukarela.

Ulama dakwah mengklasifikasikan hikmah kepada beberapa jenis, iaitu hikmah mengenal status manusia, memilih masa sesuai, mencari titik pertemuan sebagai tempat bermula untuk maju secara sistematik.

Pendakwah terbabit dalam medan dakwah sudah pasti akan berdepan pelbagai ragam serta perangai manusia seperti mereka yang kuat berpegang dengan tradisi, mereka yang bersifat konservatif, kumpulan jahil dan bodoh dan yang masih ragu kerana salah faham.

Dalam konteks ini, pendakwah hendaklah berdepan sasaran masing-masing melalui cara yang sesuai dengan tahap keilmuan dan kecerdasan di samping mengambil kira aspek pemikiran, perasaan serta sahsiah peribadi mereka.

Pendakwah yang berjaya mampu menyampaikan mesej dakwah dan buah fikirannya kepada sekalian manusia sekalipun berbeza daripada segi pemikirannya, sahsiah peribadinya dan darjat serta dapat menarik seterusnya mengubah pemikiran mereka.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Kami diperintah supaya berbicara dengan manusia menurut kadar akal (kecerdasan mereka masing-masing)." (Hadis riwayat Muslim)

Pendakwah juga mesti bijak memilih waktu dan suasana sesuai seperti bilakah masanya dia perlu diam, bilakah pula waktunya dia mesti berbicara dan begitulah seterusnya sehingga dia dapat memperoleh hasil yang baik daripada strateginya itu.

Jika ditinjau dalam sirah Rasulullah SAW pada permulaan Islam, Baginda menerima perintah Ilahi seperti firman Allah bermaksud: "Berilah peringatan kepada keluargamu yang terdekat." (Surah al-Syu'ara', ayat 214)

Bertolak daripada itu, Rasulullah SAW memulakan misi dakwah secara rahsia terutama pada tiga tahun pertama melalui hubungan individu.

Baginda mendekati individu yang hampir dengannya dan juga kaum kerabat terdekat untuk sama-sama berkumpul dan bernaung di bawah lembayung Islam.

Kemudian, Rasulullah SAW berhasrat menyampaikan Islam kepada khalayak, tetapi dihalang Abu Lahab dengan membangkitkan isu yang menimbulkan fitnah. Apakah reaksi Baginda?

Rasulullah SAW hanya diam dengan tidak membalas, bahkan tetap tenang dan itu adalah jawapan sebenar, bahkan itulah jawapan paling tepat dalam suasana sedemikian.

Di samping itu, Rasulullah SAW mempunyai kesenian dalam berbicara. Baginda berbicara buat pertama kalinya kepada kaum kerabat dengan ringkas kerana mereka baru mendengar mengenai Islam.

Jika bicara terlalu panjang lebar, mereka pasti menjauhi Baginda. Bicara Rasulullah SAW pada asasnya sangat padat dengan hikmah dan amat rapi susunan bahasanya.

Rasulullah SAW berbicara ibarat seorang yang membangun atau mendirikan rumah, menyusun batu-bata selapis demi selapis sehingga menjadi bangunan kuat, kukuh dan indah.

Seorang manusia pada hakikatnya susah menerima buah fikiran baru yang dirasakan asing sama sekali. Justeru, pendakwah mesti pandai atau berhikmah memulakan perbicaraan yang sudah tentu menuntut tafsiran mendalam berpandukan ilmu yang sahih.

Pendakwah perlu berhikmah dalam mencari titik pertemuan sebagai tempat bertolak dan dari sana dia maju secara perlahan, selangkah demi selangkah dengan istiqamah ke arah matlamatnya..

Ajaran Islam cukup daya tarikan, pendakwah mesti pandai memilih cara tepat dan kaedah unik untuk menyampaikannya dengan pendekatan menarik bagi mengajak khalayak mendampingi Islam.

Ini jelas menerusi surat perutusan Rasulullah SAW kepada Raja Heraklius di Rom dan Muqauqis di Mesir yang beragama Nasrani. Rasulullah SAW memanggil mereka dengan gelaran Ahlul Kitab yang bermaksud tuan punya kitab suci.

Ini dirakamkan Allah dalam ayat 64, surah Ali-Imran bermaksud: "Wahai ahli kitab marilah kepada kalimah yang sama antara kami dan kamu, iaitu janganlah kita menyembah melainkan Allah dan janganlah kita mempersekutukan sesuatu apapun dengan Dia, dan janganlah sebahagian daripada kita menjadikan sebahagian lainnya sebagai tuhan selain Allah dan jika mereka berpaling katakanlah: Saksikanlah bahawa kami ini adalah orang Islam."

Pendakwah mesti pandai memulakan dan mengakhiri perbicaraannya. Ketika mengakhiri perbicaraan gunakan perkataan yang boleh menusuk ke lubuk hati, bukan kata pahit dan kesat yang meninggalkan kesan buruk.

Satu lagi saluran berkesan menyampaikan dakwah teladan yang baik dan bahasa bersesuaian dengan keadaan. Rasulullah SAW semasa pertama kali menjejakkan kaki di Madinah al-Munawwarah dan sebelum masuk kota, Baginda SAW mendirikan Masjid Quba iaitu masjid pertama dalam sejarah Islam.

Rasulullah SAW berhenti di tempat itu, tanpa banyak berbicara Baginda terus memulakan kerja. Diriwayatkan seorang wanita bernama Syamus Nu'man yang hadir pada waktu itu berkata: "Aku melihat Rasulullah SAW waktu mula sampai, Baginda turun dan berhenti, lalu mengajak sahabat mendirikan masjid itu, aku melihat Baginda mengangkat batu besar sehingga terhuyung-hayang kerana beratnya batu itu, seorang sahabat datang dan berkata kepada Baginda: Ya Rasulullah biarkanlah! Serahkanlah kepadaku untuk mengangkatnya. Rasulullah SAW menjawab: Tidak, ambil saja batu lain yang seperti ini."

Demikianlah Rasulullah SAW mempamerkan teladan berkesan kepada sahabatnya iaitu turut bersama kaum Muhajirin sehingga masjid itu disempurnakan. Rasulullah SAW bukan saja pandai mengarah dan banyak bercakap tetapi juga banyak membuat kerja.

Begitulah antara pengertian hikmah berdakwah yang menjadi aset terpenting dalam menjamin kelangsungan serta kejayaan dakwah Islam kepada umat manusia sejagat. Manusia hari ini bukan setakat mendengar apa diperkatakan tetapi melihat bagaimanakah tingkah laku pendakwah di rumahnya dan dalam lingkungan masyarakat.

Tuan Guru Ghazali Batu 26: Penasihat Sultan Perak

Mohd Fadli Ghani

SALAH seorang ulama besar Perak yang bersama-sama mengasaskan PAS pada 1951 selain Mufti Haji Ismail Hamzah, Sheikh Zubir al-Filfulani, Mufti Haji Ghazali Abdullah, Tuan Guru Haji Mohd Arshad Mohd Salleh dan Tuan Guru Haji Abdul Samad Nuh ialah Tuan Guru Dato� Haji Ghazali Arshad atau lebih masyhur namanya sebagai Tuan Guru Haji Ghazali Batu 26.

Penglibatan para ulama terkenal ini dalam PAS telah meletakan PAS sebagai sebuah parti yang berpengaruh di Perak dan negeri ini menjadi kubu kuat PAS pada dekad 1950-an.

Tuan Guru Haji Ghazali walaupun lebih terkenal kerana institusi pendidikannya di Batu 26, Bagan Datoh dan kegiatan dakwah beliau sebagai penasihat Sultan Perak dalam soal agama, beliau sebenarnya pakar rujuk PAS dalam soal hukum agama.

Tuan Guru Haji Ghazali bin Arshad bin Muhamad Rashid bin Sheikh Mansur telah dilahirkan di Pasir Panjang Laut, Setiawan Perak pada 13 Rabiul Akhir 1319 Hijriyah (1901).

Moyangnya Sheikh Mansur berasal dari Yaman, manakala ibunya, Hajah Puteri Madinah Mat Saman berketurunan Megat Terawis, pahlawan Perak yang terkenal itu.

Walaupun bapanya tinggal di luar bandar tetapi mempunyai kesedaran agama yang tinggi kerana di sekitar Setiawan ketika itu terdapat beberapa orang ulama seperti Kadi Haji Alias Hussein (ayahanda Dr Haji Abbas Alias, bekas Yang Dipertua Agung PAS) dan Kiyai Haji Abdul Latif Abdul Hamid (ayahanda Ustaz Baharuddin Latif, bekas Setiausaha Agung PAS).

Pada awalnya, Haji Ghazali dihantar belajar di Sekolah Melayu Pasir Panjang Laut selama lima tahun. Pada 1912, beliau dimasukkan ke Pondok Lubuk Merbau, kemudian berhijrah ke Kedah kerana berguru dengan Tuan Hussin Kedah di Pondok Bagan Ulu, Pantai Merdeka dan Pondok Selengkoh, Sungai Limau, Yan. Setelah itu, beliau mengambil masa lima tahun lagi untuk mendalami ilmu agama di Madrasah al-Masriyah, Tanah Liat, Bukit Mertajam di bawah bimbingan Sheikh Salleh Masri sehingga 1919.

Setelah pengajian peringkat asas ditamatkan, Tuan Guru Haji Ghazali bertolah ke Makkah kerana mahu menambahkan lagi ilmu agamanya. Di Makkah beliau mengambil kesempatan untuk menadah kitab dengan ulama-ulama di Masjidil Haram.

Dalam masa yang sama, Haji Ghazali telah memasuki Madrasah Shaulatiyah al-Hindiyah, sebuah pusat pendidikan Islam yang terkenal di Makkah ketika itu dan dikendalikan oleh ulama-ulama anti-British dari India.

Selepas empat tahun, beliau lulus Syahadah Nihayah pada 1926. Haji Ghazali tidak terus pulang, sebaliknya menyambung pengajian dalam halaqat ulama di Masjidil Haram dan pusat pengajian lain di Makkah sehingga 1930. Antara gurunya di Makkah ialah Sheikh Hassan al-Masyat, Pak Da Ail al-Fathani, Sheikh Muhammad Ali al-Maliki, Sheikh Ahmad Khurasan, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Merbok, Sheikh Harun Kambang Minangkabau, Syed Hussin Abdul Nabi, Sheikh Ibrahim Zaidan dan Sheikh Mokhtar Atarid.

Selepas 11 musim haji menggali ilmu di Makkah, barulah beliau pulang di Malaya. Beliau dikatakan alim dalam ilmu balaghah, mantik, falakiah, tafsir, hadis dan fekah. Selepas kembali ke Tanah Melayu, Haji Ghazali menyambung pengajiannya dengan Tuan Hussin Kedah di Pondok Pokok Sena, Seberang Prai dan sempat bersama dengan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, bekas Bendahari Agung PAS.

Sebaik sahaja pulang ke Perak, Haji Ghazali telah melangsungkan perkahwinan dengan Hajah Zabedah Haji Salleh. Ketika itu juga, beliau memasang tekad untuk membuka pusat pengajian sendiri. Dengan menggunakan bangsal kendurinya, beliau mengasaskan Madrasa ad-Diiniah di Kampung Matang Kunda, Bagan Datoh iaitu di rumah mentuanya.

Penubuhan ini disokong kuat oleh iparnya, Haji Arshad Haji Salleh sehingga Haji Ghazali menamakan madrasah tersebut sebagai Madrasah Irshadiyah Diiniyah. Di peringkat awal madrasah ini mengajarkan ilmu-ilmu asas Islam seperti fiqh, usuluddin, akhlak, tajwid dan bahasa Arab.

Bagaimanapun pada 1935, madrasah ini telah berpindah ke Hujung Matang atau sekarang ini lebih dikenali sebagai Batu 26, Bagan Datoh. Sejak itu, Tuan Guru Haji Ghazali menghabiskan perjuangannya membangunkan generasi baru Islam di madrasah ini seingga akhir hayatnya.

sembah derhaka

Nama Haji Ghazali terkenal dengan cepat di Perak selepas pembukaan madrasah ini. Hal ini menarik perhatian Sultan Iskandar Alang Shah. Pada 1935 baginda mahu melantik beliau sebagai guru agama kepada Sultan Perak. Bagaimanapun beliau memohon sembah derhaka dengan menolak permintaan Sultan itu.

Haji Ghazali kemudian dilantik oleh Sultan Perak sebagai Ahli Majlis Ulama Perak pada 1936. Bagaimanapun kegiatan dakwah beliau terganggu pada 1942 ekoran meletusnya Perang Dunia Kedua yang menyebabkan keluarganya terpaksa berpindah ke Sungai Manik.

Pada 1946 madrasah ini dibuka semula dan menerima pelajar dari seluruh negara. Pada 1960, Haji Ghazali telah mengetuai jawatankuasa yang dianggotai oleh pelajar-pelajar untuk mencari dana bagi membina bangunan baru. Akhirnya pada 1970, madrasah ini berwajah baru dengan nama Sekolah Menegah Agama Irshadiyah Persendirian, dan pada 1998 madrasah ini diambil alih oleh Kementerian Pelajaran.

Sekolah Menegah Agama Irshadiyah telah memperkenalkan sistem pembelajaran agama dan Arab pada sesi pagi, manakala kelas akademik di sebelah petang. Sijil keluaran madrasah ini, iaitu Syahadah Thanawi telah mendapat pengiktirafan Universiti al-Azhar.

Dalam pada itu juga, madrasah ini telah menjadi pusat kegiatan Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP) semenjak awal 1960-an lagi.

Selain memberikan tumpuan kepada kegiatan dakwah khassah di madrasah ini, beliau juga memberi tumpuan kepada dakwah am seperti mengajar di masjid-masjid dan terlibat dalam kegiatan masyarakat.

Kerana keilmuan beliau, pada 1964 Sultan Perak telah menawarkan beliau jawatan Mufti Perak, tetapi beliau sekali lagi memohon sembah derhaka menolak tawaran itu kerana ingin memberi tumpuan kepada madrasahnya.

Pada 1976, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Menilai Darjah Kealiman Calon-calon Mufti Kerajaan Negeri Perak yang memilih bekas Imam Besar Masjid Negara, Haji Ghazali Abdullah yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS sebagai Mufti Perak pada 1977.

Selain kgiatan dakwah ini, Haji Ghazali juga terlibat dalam kegiatan politik semenjak di Makkah lagi. Beliau sebagi pelajar lepasan Madrasah Shaulatiyah mempunyai semangat antipenjajah yang kuat. Kerana itu, beliau mendukung perjuangan Hizbul Muslimin pada 1948 dan terlibat secara aktif dalam Majlis Ulama Hilir Perak. Majlis ini bertanggungjawab mencadangkan kepada Umno supaya mengadakan Persidangan Ulama Se-Malaya pada 1950.

Setelah Persatuan Ulama Se-Malaya ditubuhkan pada 23 Ogos 1951, Haji Ghazali menjadi salah seorang pengasas PAS apabila beliau turut menyertai Persidangan Persatuan Ulama Se-Malaya di Butterwoth pada 24 November 1951. Dalam persidangan ini nama persatuan ini diubah kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS).

Haji Ghazali tidak pernah memegang jawatan tinggi dalam PAS kerana memberikan tumpuan kepada madrasahnya. Namun begitu, beliau telah menjadi tempat rujukan pimpinan PAS dalam hukum-hakam agama. Pada 1962, beliau dilantik menganggotai Jawatankuasa Tarjih Dewan Ulama PAS Pusat, iaitu sebuah jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam soal hukum agama seumpama majlis fatwa PAS.

Penlibatan Haji Ghazali bersama PAS berterusan sehingga akhir hayatnya walaupun beliau tidak menonjol dalam kepemimpinan parti. Selepas bersara daripada kegiatan pendidikan kerana usia lanjut, Haji Ghazali mentelaah kitab-kitab agama di sebuah pondok berhampiran Madrasah Irshadiyah.

Kerana sumbangan besar beliau dalam dunia dakwah dan pendidikan, pada 1989 Tuan Guru Haji Ghazali dianugerahkan sebagai Tokoh Ulamak Silam oleh UKM, diikuti oleh anugerah Tokoh Maal Hijrah Hilir Perak (1989), Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak (1990) dan anugerah Dato� Paduka Mahkota Perak (DPMP) oleh Sultan Perak pada 1992 yang membawa gelaran Dato.

Lima tahun kemudian, iaitu pada 10 Mei 1997, Tuan Guru Dato� Haji Ghazali Arshad telah meninggal dunia dalam usia 98 tahun. Antara muridnya yang terkenal ialah Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh, Ketua Dewan Ulama PAS, Tuan Guru Haji Hashim Abu Bakar (Mudir Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan) dan Prof Madya Dato� Salleh Haji Ahmad, bekas Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) yang juga bekas Ahli Majlis Syura Ulama PAS.

Suami yang layak ditaati isteri

Oleh: Ahmad Baei Jaafar

Ada orang bertanya, mengapa Rasulullah tidak menyatakan secara jelas ciri-ciri lelaki yang seharusnya dipilih oleh bakal isteri. Hadis secara jelas hanya menyebut ciri-ciri wanita yang lazimnya dicari oleh lelaki iaitu yang beragama selain tiga lagi jika perlu.

Kalau lelaki diberi panduan untuk memilih wanita yang baik, mengapa tidak ada panduan untuk wanita bagi mencari suami. Kata mereka, kalau ada panduan sudah pasti isteri tidak tersalah memilih suami pada masa hadapan.

Memang secara jelasnya Rasulullah tidak sebut kerana lazimnya lelaki sahaja yang mencari wanita. Tetapi sebenar kalau wanita benar-benar hendak mencari bakal suami, mereka boleh ikut sepertimana Khadijah memilih suaminya, Rasulullah.


Pada peringkat awalnya Khadijah menghantar perisik untuk melihat peribadinya secara lebih dekat. Perisik yang adil sudah pasti akan membuat laporan yang betul mengenai apa yang dirisikkan itu. Hasilnya dia berjaya berkahwin Muhammad dan ternyata pilihan itu terbaik.

Antara ciri-ciri yang dapat dikesan pada diri Muhammad pada waktu itu ialah:

1. Jujur lalu tidak mengambil kesempatan
2. Amanah dengan tugas
3. Pemalu dengan wanita
4. Beragama lalu takut kepada Allah
5. Boleh menjadi pemimpin.

Percayalah jika suami mempunyai ciri-ciri ini, pasti disenangi oleh isteri, malah saling hormat menghormati sampai bila-bila masa sekalipun pada usia tua. Suami dalam keadaan itu tidak akan melakukan dosa baik sesama manusia apatah lagi dengan Allah SWT.

Walau bagaimanapun, suami yang mempunyai ciri di atas perlu juga mencari wanita yang beragama bagi membentuk rumah tangga yang damai bahagia. Gabungan inilah yang dikatakan serasi ataupun kufu.

Persoalan sekarang, wujudkah lelaki yang memiliki ciri-ciri di atas pada zaman ini? Bolehkah ditemui lelaki sebegini di tepi jalan, di kebun bunga, di pasar dan seumpamanya? Hanya wanita yang agamanya kurang akan bertemu jodoh di tempat-tempat berkenaan dan yang pastinya lelaki itu juga tidak menepati ciri-ciri di atas.

Inilah realiti yang berlaku pada hari ini, pasangan yang berkahwin dalam keadaan itu, bahagianya pada awalnya sahaja tetapi bermasalah pada pertengahan jalan. Malah beberapa kes yang ditemui, pasangan itu tidak pandai atau tidak mahu melakukan solat.

Jelas di sini, selain lelaki yang perlu mencari isteri yang beragama dan beriman selain kecantikan, berharta dan berketurunan baik, wanita juga perlu pandai memilih bakal suami berdasarkan ciri-ciri di atas. Untuk itu, pihak wanita juga perlu ada kumpulan perisik seperti yang dilakukan oleh Khadijah.

Apabila suami isteri sudah mengikut ciri-ciri di atas mereka perlu mengekalkan kedudukan itu sehingga ke akhir hayat. Selain itu suami isteri boleh mengekalkan kebahagiaan yang dicapai dengan berpandukan hadis berikut:

Ahmad, an-Nasaie dan al-Hakim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: “Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan seorang lelaki apabila ia melihatnya, yang taat kepadanya apabila dia menyuruhnya dan ia tidak menyalahi suaminya dengan sesuatu yang tidak menyukakannya pada dirinya dan hartanya” (Hadis Riwayat Muslim).

Isteri yang baik menurut hadis di atas ialah dia mesti bersedia mempamerkan persembahan yang terbaik untuk suaminya sewaktu di dalam rumah. Maksudnya, apabila suami pulang rumah disambut oleh isteri dengan senyum mesra. Dia menyediakan air minuman kerana kemungkinan suami dahaga. Suami dalam keadaan itu akan senang hati walaupun mungkin terdapat masalah yang dihadapi sebelumnya. Masalah berat yang ditanggungnya dapat hilang apabila dilayan sedemikian rupa.

Selain itu isteri terus memberi ketaatan kepada suami dalam semua keadaan terutama apabila diminta oleh suami. Isteri itu juga tidak akan membantah kehendak suami selagi perkara yang disuruh itu tidak melanggar syariat.

Sungguhpun begitu, perkara yang penting dalam hal ini ialah isteri tidak membuatkan sesuatu yang tidak disukai oleh suami. Jadi, semua yang hendak dilakukan isteri, dia akan meminta restu dan pandangan suaminya terlebih dahulu.

Tiga perkara asas ini perlu dijaga oleh isteri dalam berhadapan dengan suami sama ada suami yang memenuhi ciri-ciri di atas atau tidak. Mungkin tidak timbul masalah bila berhadapan dengan suami yang baik, tetapi menjadi cabaran besar bila berhadapan dengan suami sebaliknya. Namun jika isteri dapat mendisiplinkan suaminya, itulah kejayaan yang besar buatnya.

Sebagai contoh, suami melarang isterinya solat atau menutup aurat, dia boleh membantah dengan cara baik. Dia tetap solat dan tetap menutup aurat dengan alasan perintah Allah. Lambat laun suami itu akan faham dan dia juga akan turut melakukan solat secara istiqamah selepas itu.

Jadi, bagi mereka yang baru berkahwin dicadangkan supaya mereka saling menyenaraikan apa yang disukai oleh suami dan isteri, juga apa yang tidak disukai kedua-duanya. Dengan cari ini mereka akan berhati-hati supaya tidak melakukan perkara yang tidak disukai pasangannya.