14 Jun 2009
Anwar: Sedia bincang dengan Najib, tapi bukan k'jaan perpaduan
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat sedia berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tetapi tidak timbul langsung isu kerajaan perpaduan dengan Umno."Tidak timbul isu kerajaan perpaduan. Isu kerajaan perpaduan tidak berbangkit sama sekali," tegas beliau dalam ucapannya di Kongres Nasional Khas PKR di Nilai hari ini.
"PAS telah menjelaskan pandangan degan sebaiknya. Kita sedia berbincang dengan syarat hentikan kezaliman, bebaskan badan kehakiman dan pastikan pilihanraya yang bebas dan adil.
"Kalau ini semangat yang ada, tidak ada masalah untuk kita berbincang. Tidak timbul isu yang diwarkan-warkan, (iaitu) kerajaan perpaduan," tegas Anwar.
Beliau mengulas isu kerajaan perpaduan yang diutarakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sehingga mencetuskan andaiaan bahawa parti Islam itu berniat bergabung dengan Umno.
"Selepas Muktamar PAS, saya hubungi Ustaz Abdul Hadi dan berbincang panjang. Kita akan jelaskan melalui kenyataan media yang bakal keluarkan," tambahnya.
Sementara itu, Anwar berkata, PKR tidak bersetuju dengan tindakan "mengharamkan badan tertentu dengan sewenang-wenangnya" atas "prinsip kebebasan".
Walaupun beliau tidak menyebut nama pertubuhan tersebut, ia dipercayai berkaitan dengan usul yang diluluskan muktamar PAS berhubung isu tersebut minggu lalu.
Muktamar itu mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang membawa aliran Islam liberal dan mengharamkannya jika terbukti bertentangan dengan syariat Islam serta membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya.
Ia bagaimanapun mendapat bantahan meluas daripada pemimpin-pemimpin Pakatan, yang disertai PAS, dan sejumlah NGO.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga membantah cadangan tersebut.
Sidang akhbar
PAS Shah Alam semalam menyatakan hasratnya untuk menarik balik sebahagian perkataan dalam usul tersebut, antaranya "mengharamkan", dengan alasan ia tidak sempat dimuktamadkan sebelum dibawa ke mukamar.
Yang Dipertuanya, Khalid Samad dijadual mengadakan sidang akhbar jam 2 petang esok bagi menjelaskan lagi kontroversi usul tersebut.
Timbalan presiden PKR, Dr Syed Husin Ali sebelum ini turut dilaporkan tidak bersetuju dengan usul PAS kawasan Shah Alam yang diterima tanpa bahas.
PKR hari ini melangsungkan kongres khas bagi meminda perlembagaanya "bagi menjadi parti paling demokrasi di Malaysia".
Kongres itu akan membincang dan meluluskan tujuh usul penting termasuk menghadkan tempoh presiden, menambah jumlah naib presiden serta memperuntukkan 30 peratus jawatan penting kepada wanita.
Empat usul lagi ialah mengurangkan had umur ahli Angkatan Muda PKR (AMK) daripada 40 kepada 35 tahun; memindahkan hak memilih pucuk pimpinan kepada ahli biasa; memperkenalkan sistem undi sulit dalam parti; menukar istilah bahagian kepada cabang, cawangan kepada ranting, majlis kepimpinan tertinggi kepada majlis pimpinan dan badan perhubungan negeri ditukar kepada majlis pimpinan negeri. Malaysiakini.
Pindaan dilulus 'selepas pengiraan undi penuh emosi'
Kongres khas PKR hari ini meluluskan pindaan perlembagaan parti itu "selepas pengiraan undi yang penuh emosi".PKR meminda perlembagaannya bagi menghadkan tempoh presiden, menambah jumlah naib presiden serta memperuntukkan 30 peratus jawatan penting kepada wanita.
Empat usul lagi ialah mengurangkan had umur ahli Angkatan Muda PKR (AMK) daripada 40 kepada 35 tahun; memindahkan hak memilih pucuk pimpinan kepada ahli biasa; memperkenalkan sistem undi sulit dalam parti; menukar istilah bahagian kepada cabang, cawangan kepada ranting, majlis kepimpinan tertinggi kepada majlis pimpinan dan badan perhubungan negeri ditukar kepada majlis pimpinan negeri.
Pengarah Komunikasi, Jonson Chong, berkata dengan sokongan lebih dua pertiga perwakilan, pindaan itu diterima seperti peruntukan Perkara 31.1 perlembagaan PKR.
Dalam satu kenyataan, 941 perwakilan bersetuju dengan pindaan itu, 103 menentang dan sembilan lagi bersikap berkecuali "selepas pengiraan undi penuh emosi".
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan dengan lebih lanjut apa yang dimaksudkan dengan 'pengiraan undi penuh emosi' itu.
Difahamkam pengiraan undi dijalankan secara angkat tangan. Semua pindaan tidak diundi secara berperingkat, sebaliknya dibuat secara sekaligus.
Cadangan yang dibentangkan naib presiden Sivarasa Rasiah itu diluluskan setelah mendapat sokongan lebih 88 peratus daripada 1,061 perwakilan yang hadir.
'Kemungkinan p'raya mengejut'
"Dengan sokongan jelas dan padu yang ditunjukkan dalam kongres ini, kepimpinan PKR bersedia membangun dan mengukuhkan parti demi menghadapi kemungkinan pilihanraya mengejut di Perak dan Sarawak pada masa depan," kata Jonson.
Malaysiakini difahamkam, dalam perbahasan cadangan itu - yang tertutup kepada media - terdapat beberapa perwakilan tidak bersetuju dengan beberapa bahagian tertentu dalam cadangan pindaan itu.
Juga difahankan seorang perwakilan menyifatkan pertukaran nama bahagian dan cawangan kepada cabang dan ranting "tidak bersifat progresif".
Beliau sebaliknya mencadangkan istilah zon dan kawasan. Ucapan itu disambut tepukan gemuruh perwakilan.
Seorang lagi perwakilan dikatakan meminta cadangan had umur keanggotaan Angkatan Muda PKR diturunkan daripada 40 sehingga 35 tahun ditangguhkan terlebih dahulu kerana ia belum sesuai dilaksanakan lagi buat masa ini.
Kira-kira 1,000 perwakilan bersidang di kongres khas PKR hari ini bagi membincangkan pindaan perlembagaan parti itu. Malaysiakini.
Tahniah kepada Presiden Iran.
Zaid Ibrahim masuk PKR
Bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zaid Ibrahim secara rasminya menyertai PKR hari ini.Ketika mengumumkan perkara itu, ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Zaid akan dilantik menganggotai Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.
Katanya, Zaid secara rasminya akan mengisi jawatan tersebut selepas disahkan presiden Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan setelah “dirasmikan dalam mesyuarat” secepat mungkin.
Bercakap dalam satu sidang akhbar di Bangi hari ini, Anwar berkata, Zaid juga akan dilantik sebagai anggota biro politik PKR. Turut sama naib presiden, Sivarasa Rasiah dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim.
Anwar juga menyifatkan penyertaan Zaid itu sebagai satu penghormatan kepada PKR.
"Ini berita yang cukup menggembirakan. Ia berkuatkuasa hari ini. Satu penghormatan dan lonjakan kepada perjuangan kita,” katanya.
Zaid, tambahnya merupakan seorang yang serius mempertahankan hak asasi dan kebebasan badan kehakiman di Malaysia.
"Sikap ketegasan dan keberanian beliau (dapat dilihat), terutama dalam isu hak asasi, kebebasan, proses demokrasi dan bebebasan badan kehakiman,” katanya.
Reaksi Zaid
Anwar yang juga ketua pembangkang, turut menganggap penyertaan Zaid itu sebagai satu langkah positif kepada PKR dalam usaha untuk mengukuhkan hubungan dalam Pakatan Rakyat.
"Saya percaya perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat. (Presiden PAS, Datuk Seri) Hadi tidak ada sekarang. Mesyuarat akan diadakan Isnin depan (bila Hadi dapat hadir).
Sementara itu Zaid berkata, beliau menyertai PKR kerana yakin dengan parti pelbagai kaum itu yang mahu membela nasib rakyat.
“Saya percaya, kalau diberi peluang, saya akan berusaha membantu Anwar dan pemimpin lain. Saya berminat dan berhasrat mengukuhkan Pakatan rakyat," katanya.
Menurut Zaid lagi, beliau bersedia membantu Pakatan menjadi alternatif yang benar-benar rakyat boleh harapkan untuk menubuhkan kerajaan yang baik.
Bagaimanapun, dengan merendah diri Zaid berkata: "Saya belum pakar lagi. Saya harap dapat memainkan peranan. Saya bukan pakar.”
Ditanya kenapa beliau mengumumkan penyertaannya hari ini, Zaid berkata:
“Saya selalu ingin sertai PKR. Saya beritahu Anwar. Tetapi saya rasa hendak berehat sekejap. Jadi, saya rasa hari ini hari yang sesuai.
“Ini hari yang bersejarah apabila kita akan meminda perlembagaan,” katanya. Malaysiakini.
13 Jun 2009
PAS kutuk serangan di Selatan Thailand
KUALA LUMPUR, 12 Jun : - PAS mengutuk keras serangan yang dilakukan ke atas umat Islam di selatan Thailand.Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang mendesak agar tindakan tegas diambil ke atas pihak-pihak yang melakukan keganasan tersebut.
"PAs mengutuk serangan yang berlaku di Selatan Thailand dan amat kecewa dengan apa yang berlaku. "Kami juga mendesak agar siasatan segera dilakukan dan satu tindakan tegas perlu diambil ke atas pihak-pihak yang melakukan serangan ini," tegas Hadi. Beliau juga menjelaskan, PAS bersedia untuk memainkan peranan penting untuk menyelesaikan konflik di Selatan Thailand jika mendapat jemputan.
PAS, kata Hadi, tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan mana-mana pihak di Selatan Thailand. Selatan Thailand bergolak lagi pada 9 Jun lalu bila 11 jemaah ditembak ketika solat isyak di Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan, Sungai Golok kira-kira pukul 8.50 malam (waktu Malaysia). Setelah melepaskan tembakan dari dua pintu masuk masjid, enam penyerang itu dikatakan masih tidak berpuas hati dan masuk ke dalam masjid sebelum melepaskan beberapa das lagi tembakan bagi memastikan jemaah terbabit benar-benar mati.
Tragedi terbaru yang menjadikan masjid sebagai sasaran, berlaku pada hari yang sama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva melawat Malaysia dan memperbaharui komitmen untuk mengakhiri konflik yang berlarutan sejak 2004 di wilayah bergolak itu. Kejadian itu menambahkan jumlah korban yang kini mencecah lebih 3,700 orang dan masyarakat Islam di wilayah itu bimbang kejadian lebih buruk akan menyusul semula dan ramai yang percaya kejadian terbaru didalangi pihak berkuasa.
Bagaimanapun sehingga kini masih belum dapat dipastikan motif sebenar pembunuhan kejam itu tetapi ada yang berpendapat berpunca daripada dendam dan pihak tentera Thai menafikan sebarang pembabitan anggota mereka. Harakahdaily.
Puasa dijangka 22 Ogos, Aidilfitri 20 Sept.
Umat Islam di negara ini dijangka mula berpuasa pada 22 Ogos ini dan akan menyambut Aidilfitri pada Ahad 20 September.Penolong Pegawai Tadbir Unit Falak Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia, Ahmad Taufan Abd. Rashid berkata, jika tarikh itu digunakan, ibadat puasa tahun ini hanya dikerjakan selama 29 hari.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa tarikh sebenar puasa dan Aidilfitri tertakluk sepenuhnya kepada perisytiharan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kelak.
''Berdasarkan kepada kiraan falak, anak bulan Ramadan tidak akan wujud pada hari rukyah (20 Ogos) kerana tempohnya tidak sampai pada tahap kematangan berikutan jarak antara waktu berlakunya ijtimak (detik pemisahan) antara bulan Syaaban dan Ramadan adalah satu jam sebelum Maghrib," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Berhubung penentuan tarikh Aidilfitri, Ahmad Taufan berkata, ijtimak Ramadan dan Syawal berlaku pada pukul 2.44 pagi pada hari rukyah 29 Ramadan (19 September) dengan usia anak bulan Syawal mencapai lebih 16 jam.
''Oleh itu, menurut kaedah yang diamalkan di Malaysia, anak bulan Syawal dijangka wujud dan boleh kelihatan pada petang hari rukyah 19 September.
''Jika kaedah itu diguna pakai, kita jangkakan umat Islam akan menyambut Aidilfitri pada Ahad 20 September," katanya.
DEBAT PEMUDA PAKATAN TINDAKAN TIDAK BIJAK
Oleh: WFAUZDIN NSPEMUDA Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, Pas dan DAP merancang untuk mengadakan siri perdebatan berkaitan isu pokoknya iaitu Kerajaan Perpaduan dan hala tuju PR di masa hadapan. Siri perdebatan itu dirancang akan diadakan pada 16 Jun ini bertempat di Dewan MBSA, Sek 11, Shah Alam. Tajuk perdebatan adalah " Pasca Muktamar Pas - Kerajaan Perpaduan?" yang dianjurkan oleh AMK Selangor dan Shah Alam yang melibatkan Ketua Pemuda ketiga-tiga parti berkenaan. Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis juga dijangka hadir sebagai ahli panel.
Meskipun siri perdebatan merupakan satu kaedah yang baik di dalam menjana pemikiran serta bertukar-tukar pandangan, tetapi perdebatan yang diadakan secara terbuka di antara sesama rakan bukanlah satu kaedah yang bijaksana. Adalah lebih baik, bijak serta berhemah sekiranya muzakarah dilakukan terlebih dahulu oleh pimpinan utama ketiga-tiga parti berkenaan bagi merungkai permasalahan yang wujud. Saya merasa pelik mengapa ketika parti Pas khususnya dan melibatkan juga PR menghadapi tekanan sedemikian rupa, pucuk pimpinan masih lagi menangguh untuk memberikan penjelasan terperinci berkaitan apa sebenarnya yang berlaku di dalam muktamar Pas tersebut. Memang telah ada pertemuan baru-baru ini di antara DS Anwar, Tuan Guru Hj Hadi dan Lim Kit Siang, tetapi kelihatannya isu ini tidak dapat diperjelaskan sebaik mungkin. Tidak cukup pertemuan 6 mata bagi menyelesaikan isu ini dan adakah pihak Pemuda PR di dalam PKR, Pas dan DAPtidak dibawa bersama semasa pertemuan penting tersebut? Adakah majlis kepimpinan atau AJK parti masing-masing tidak dibawa bersama bagi mendengar sendiri keputusan yang telah diambil oleh ketiga-tiga pimpinan tertinggi PR itu?
Sekiranya pimpinan PR menganggap isu ini sudah selesai dengan pertemuan 6 mata tersebut, mengapa perlu atau relevennya debat di antara Pemuda PR ini diadakan? Bukankah nanti akan memperlihatkan pekong masing-masing? Bagaimana nanti mereka boleh berhujah secara berkesan tanpa mengetahui buah butir perbincangan ketiga-tiga pimpinan tertinggi mereka itu? Amat tidak bijak sama sekali siri perdebatan yang hendak diadakan atas tajuk yang dikatakan sudah selesai itu. Jika ingin diadakan juga perdebatan tersebut, mereka yang paling layak dijemput bersama sebagai panel debat adalah Timbalan Presiden Pas Ustaz Nasha sendiri atau Pesuruhjaya Pas Selangor iaitu Dr Hassan Ali dan Setiausaha Pas iaitu Mustafa Ali. Mereka dikatakan `master mind' di dalam isu yang timbul sekarang.
Saya berpandangan terlalu banyak buruk dari baiknya sekiranya debat ini diteruskan. Belum pernah terjadi perdebatan diadakan sesama rakan seperjuangan apatah lagi di khalayak ramai. Mungkin pihak media pun teramat berminat untuk menyiarkan secara langsung perdebatan ini sekiranya diberi peluang kerana mereka mungkin mendapat `peluru' percuma menjelang PRK Manek Urai nanti. Tidak hairan juga Umno khususnya tentu bergembira apabila melihat tenaga Pemuda PR menyengseng lengan bagi mempertahankan hujah parti masing-masing, sedangkan yang membuat onar duduk dengan aman dan tenteram di kerusi jawatan yang dipegangnya. Mudah-mudahan Pemuda PR menilai kembali tindakan mereka yang `kebudak-budakan' itu./ wfauzdin.blogspot.com
ADUN DAP LEBIH BERMORAL DARI KM MELAKA DAN KETUA PEMUDA UMNO
ISU rasuah sememangnya satu isu yang teramat dipandang berat oleh PR, dan isu ini mendapat kesepakatan bersama di dalam PR yang terdiri dari tiga parti yang berlainan dasar untuk ditentang secara habis-habisan. Malahan Ketua Pembangkang DS Anwar sendiri di dalam setiap perbahasan di Parlimen sentiasa menekankan betapa rasuah boleh menghancurkan negara. Itulah yang menjadikan PR dilihat lebih bersih dari Umno/Bn.Pimpinan PR bukan sahaja akan menentukan setiap pemimpin atau Wakil Rakyat mereka bebas dari rasuah, bahkan PR akan terlebih awal bertindak sekiranya diragui kejujuran atau kebersihan seseorang Wakil Rakyat mereka. Ini tradisi di dalam PR, dan tradisi ini kini menjadi amalan secara sukarela oleh mana-mana Wakil Rakyat dari PR. Wakil Rakyat yang merasakan mereka menjadi sasaran tuduhan rasuah atau penyelewengan lebih rela meninggalkan jawatannya walaupun pada akhirnya terbukti tidak bersalah. Contoh paling dekat adalah apa yang terjadi kepada bekas TKM 1 P.Pinang Fairus yang suka rela melepaskan jawatannya selaku Adun, Exco dan TKM 1 P.Pinang demi menjaga nama baik parti. Akhirnya beliau disahkan tidak bersalah.
Terbaru pula, Adun Jawi juga dari P.Pinang wakil DAP iaitu YB Tan Beng Huat telah pun menyerahkan surat perletakan jawatannya selaku Adun tetapi dengan bersyarat. Beliau hanya akan meneruskan perletakan jawatannya sekiranya segala tuduhan rasuah yang dilaporkan ke atasnya didapati tidak berasas. Inilah sikap pemimpin yang sukar untuk kita cari, apatah lagi mahu mencari pemimpin seperti ini di kalangan Umno/Bn. Di dalam Umno, terbukti terlibat dengan rasuah setelah disiasat oleh Lembaga Disiplin Umno pun masih memegang jawatan di dalam parti dan kerajaan. Ali Rustam masih menjadi KM Melaka, dan KJ pula tetap dengan jawatannya selaku Ketua Pemuda Umno. Itu belum dikira yang lain-lain lagi termasuk yang pernah Tun Mahathir perkatakan.
Berdasarkan itu, mana mungkin PR boleh menghormati Umno apatah lagi ingin mewujudkan kerjasama dalam aspek apa pun. Bagaimana ingin bekerjasama dengan Umno untuk menghapuskan rasuah jika pemimpin mereka sendiri redha dengan puak-puak rasuah di dalam parti mereka sendiri? Sebab itulah ramai di kalangan rakyat terkeliru dalam bentuk apakah kerjasama yang ingin dipraktikkan oleh Pas dengan Umno ini. Mampukah kita membersihkan `najis-najis' rasuah yang sudah sebati di dalam parti tersebut? Tidakkah kita melihat sendiri betapa rakan-rakan kita di dalam PR begitu komited menentang rasuah berbanding dengan Umno/Bn, tetapi mengapa kita terliur sangat hendak berada di sisi Umno/Bn? Untuk tujuan dakwah? Umno bukan semudah itu untuk kita dakwah mereka, dan kita lihat sendiri entah berapa ramai tokoh-tokoh agama termasuk bekas Naib Presiden Pas sendiri Ustaz Nakhaei cuba untuk `mendakwah' Umno tetapi ke mana perginya ustaz tersebut? Ke mana perginya bekas Imam Besar Masjid Negara Ustaz Firdaus? Ustazah Mashitah usah diceritakanlah kerana beliau pun terlalu banyak termakan budi Umno. Tiba pula giliran bekas Pengerusi Kagat Mej Jen (B) Jamil Khir untuk cuba memperbaiki kerajaan Umno, tetapi awal mula pertama mula beliau sudah terperangkap dengan isu pertukaran agama.
Kita sebenarnya tiada pilihan yang lain selain dari PR. Kita telah semai benih-benih ini sekian lama dengan air mata dan darah rakyat. Almarhum Ustaz Fadzil Noor sampai meninggal dunia masih percaya kepada gabungan yang diasaskannya ini. Bukan sedikit yang menderita untuk menjadikan PR dan Pas seperti sekarang. Oleh yang demikian, lupakan saja idea yang dikatakan `karut' oleh Mursyidul Am itu apatah lagi Umno/Bn tidak pernah memohon maaf kepada Pas terhadap apa yang pernah mereka lakukan terhadap Pas. Jika ada lagi mana-mana pemimpin yang masih berharap agar idea tersebut dapat direalisasikan, sudah tentu rakyat akan menolaknya di dalam pilihanraya akan datang.
Akhirkata, syabas buat Adun Jawi yang berani membuktikan bahawa orang bukan Islam juga kadangkala jauh lebih bermaruah dari orang Islam sendiri. / wfauzdin.blogspot.com
Subash akui lebih tenang selepas memeluk Islam
Oleh AU YEONG HOWSEBELUM bergelar saudara baru, pengarah M. Subash atau nama Islamnya, Manaan Subash memang sudah lama meminati ajaran Islam yang dianggapnya cukup indah.
Keinginannya untuk mempelajari tentang Islam semakin membuak-buak apabila dia bertemu dengan seorang pengurut tradisional, Ustaz Ibrahim Mat Isa yang mengubati sakit belakang yang dialaminya sejak tahun lalu.
Ketika itu, Subash sering mendapat nasihat, bimbingan dan ceramah agama setiap kali dia berurut lebih sejam dengan ustaz yang cacat penglihatan itu.
Akhirnya, tanggal 15 Disember lalu, Subash memeluk Islam. Walaupun ahli-ahli keluarga menentang pada awalnya, tetapi setelah melihat kesungguhan Subash, mereka akhirnya merestui kehendak murninya itu.
"Kehidupan saya berasa lebih tenang, fokus dan terarah selepas saya memeluk Islam. Saya memilih agama Islam kerana ia menganjurkan konsep Yang Esa," katanya selepas majlis pratonton filem Jomlah C.I.U.M di sini, semalam.
Filem ini mengisahkan usaha seorang ustaz buta untuk membina sebuah surau untuk membawa golongan muda-mudi yang sesat ke jalan yang diredhai Allah.
Ustaz yang menghadapi masalah kewangan berasa terharu apabila mengetahui sami Buddha (Mannaan Subash) dan rahib Kristian (aktres Kenchana Devi) sanggup menolongnya untuk membina surau tersebut.
Menariknya, watak ustaz buta itu dipegang sendiri oleh Ustaz Ibrahim setelah Subash sendiri menawarkan watak itu kepadanya.
Ustaz Ibrahim Mat Isa
Sementara itu, Ustaz Ibrahim memberitahu, dia mengenali Subash apabila pelakon itu sering mendapat rawatan urutnya dan kagum dengan minatnya yang ingin mempelajari tentang Islam.
Katanya, selepas selesai menjalani rawatan, Subash akan menghabiskan masa berbincang mengenai Islam.
"Saya akan bercerita tentang Allah, Nabi Muhammad dan lain-lain kepadanya. Saya akan memberi banyak penjelasan jika dia mempunyai kekeliruan," katanya.
Ibrahim berkata, dia bersyukur kerana dapat menemani Subash ke Jabatan Agama Islam untuk mendaftarkan diri sebagai saudara baru, tahun lalu.
Presiden PAS perlu minta maaf dengan DAP, PKR - Karpal
PULAU PINANG: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu meminta maaf kepada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana mencadangkan perbincangan isu kerajaan perpaduan dengan Umno kerana jelas ia tidak jujur, kata Pengerusi DAP Karpal Singh.Katanya DAP mengkritik para pemimpin PAS setiap kali mereka mengeluarkan kenyataan yang melampau.
"Hadi Awang telah memalukan pakatan pembangkang dan selepas ini beliau kena berfikir dua kali sebelum bercakap," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am PAS dalam nada penuh emosi dan marah dipetik sebagai berkata bahawa pemimpin ini (pemimpin PAS) mahu merosakkan parti itu.
"Malah Nik Aziz secara terbuka mengkritik rakannya dalam PAS kerana menyokong agenda perbincangan kerajaan perpaduan dengan Umno," katanya.
Katanya DAP juga tidak membiarkan walaupun Abdul Hadi yang mencadangkan perbincangan kerajaan perpaduan dengan Umno baru-baru ini.
Di ALOR SETAR, Pengerusi Dewan Perhimpunan Melayu Kedah, Tan Sri Khalid Abdullah membidas Nik Abdul Aziz kerana menyifatkan anggota parti itu yang mempertahan cadangan Hadi untuk membentuk kerajaan perpaduan sebagai "boneka Umno."
"Sebagai seorang muslim yang baik, beliau sepatutnya bercakap benda yang baik dan lebih baik mendiamkan diri jika nak cakap benda buruk," katanya ketika dihubungi.
Akhbar hari ini melaporkan kenyataan Nik Aziz yang menyifatkan orang PAS yang terus mempertahan cadangan Abdul Hadi sebagai boneka Umno.
Khalid berkata idea mewujudkan kerajaan perpaduan antara Umno dan PAS adalah perkara baik selaras dengan kehendak Islam.
"Islam tidak pernah menggalakkan umatnya berpecah belah malah menyuruh mereka bersatupadu. Agama mesti didahulukan, bukannya parti," kata Khalid.
Idea kerajaan perpaduan disuarakan oleh Abdul Hadi pada Muktamar Pas Ke55 Ahad lepas tetapi ditentang Nik Aziz. BERNAMA
Kesan Zikir Terhadap Otak Manusia
Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan. Otak mula memahami perkara baru, melihat dari sudut perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedang sebelum berzikir otak tidak begini. Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.
Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993. satu kajian yang dilakukan di Universiti Washington dan ujian ini dilakukan melalui ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar. Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan. Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks.
Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang-ulang kali, aktiviti saraf otak merebak pada kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain. Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama. Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya.
Oleh itu, saudara-saudara ku seIslam, ketika saintis Barat baru menemui mukjizat ini, kita umat terpilih ini telah lama mengamalkannya dan menerima manfaatnya. Malang bagi mereka yang masih memandang enteng kepentingan berzikir dan mengabaikannya.
12 Jun 2009
Tahniah kepada PJ Perak yang baru.
Teka-teki siapakah yang akan dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Perak yang baru telah terjawab apabila Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak , Ust. Abu Bakar Husein dilantik ke jawatan itu mengganti tempat yang dikosongkan oleh mantan Naib Presiden PAS sesi lalu, Ust. Ahmad Awang.Pemilihan Ust. Bakar dianggap sebagai suatu penerusan kepada tradisi bagi negeri Perak yang membarisi dikalangan ulama sebagai Pesuruhjaya nya.
Sesampainya saya di Perak pada tahun 1991 saya masih ingat pada masa itu PJ nya ialah Ust. Azizan Desa, sesudah itu diganti oleh Ust. Kamarussin Awang Basir, Tuan Guru Hj. Sabran Asmawi dan sessi lalu Ust. Ahmad Awang.
Demikianlah silih berganti PJ PAS Perak dikalangan yang bergelar Ustaz dan sekali ini tekaan banyak pihak PJ akan dilantik dikalangan Ustaz terjawab sudah.
Berasal dari Kuala Kurau dalam Parlimen Parit Buntar, Ust Abu Bakar Husein adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai YDP PAS Kawasan gopeng untuk beberapa penggal yang lalu. Dalam Pilihanraya umum yang lepas, beliau bertanding di DUN Pengkalan Baru dan hanya kalah dengan majoriti yang begitu kecil iaitu 14 undi kepada calon BN. Beliau juga adalah pesara guru agama yang pernah berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Izuddin Shah, Ipoh.
Banyak yang mepertanyakan kepada saya mengenai kedudukan DS. Nizar setelah beliau tidak dipilih ke jawatan itu ?
Sebenarnya saya masih melihat banyak peranan yang masih berada di pundak DS. Nizar untuk meneruskan gelombang rakyat bagi mengembalikan kuasa di Perak dengan kerjasama tentunya dari PJ yang baru ini.
Saya yakin dengan kemampuan Ust. Bakar untuk menerajui PAS Perak, seperti yang di sebutkan oleh Ketua Penerangan PAS Perak, Ust. Misbah dalam blognya bahawa perlantikan beliau sebagai Pesuruhjaya PAS Perak disambut baik oleh kawasan-kawasan dan dewan-dewan. Dengan pengalaman sebagai pendidik agama, seluruh PAS Kawasan di Perak mengharapkan agar pengalaman mentarbiyyah di gunakan untuk mentarbiyyah ahli-ahli PAS. Beliau sememangnya sangat meminati bidang tarbiyyah haraki.
Menurutnya lagi Markaz Tarbiyyah Air Kuning sentiasa aktif dengan program-program Tarbiyyah yang dikendalikan oleh Lajnah yang dipengerusikan oleh beliau sebelum dari ini . Pengisian tarbiyyah begitu hidup sepanjang beliau menerajui lajnah tersebut. Pembentangan kertas-kertas tarbiyyah tidak hanya terikat dengan teks tertentu, malahan persoalan ekonomi, politik, ISA dan berbagai-bagai isu semasa di peringkat nasional dan antarabangsa turut diketengahkan. Pimpinan PAS silih berganti menyampaikan pengisian dengan tajuk-tajuk yang mencakupi semua aspek.
Seterusnya yang ditunggu oleh Ahli PAS di Perak ialah siapakah saf kepimpinan yang akan disenaraikan sebagai "tentera" yang akan bersama dengan "panglima" baru PAS Perak ini. Setahu saya Ust. Bakar masih di Mekah mengerjakan Umrah. Pastinya beliau akan menggunakan sepenuhnya masa untuk mendapatkan "ilham" sepanjang munajat beliau sebelum bali ke Perak.
Tahniah , Ust. Abu Bakar Husein.
Benarkah Sivakumar tidak ada kuasa gantung Zambry dan enam Exco Perak ?
Suatu perkara yang malang berlaku lagi di Negeri Perak apabila rakyat nya dan seluruh rakyat termasuk pengamal undang-undang "diperbodohkan" dengan pencabulan terhadap hak Speaker bagi sebuah kerajaan negeri khasnya di Perak.Sebagai seorang ADUN Perak saya memahami dengan jelas kuasa Speaker yang terkandung dalam Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan adalah sesuatu yang mutlak dan tidak boleh ditafsirkan oleh pihak lain melainkan Speaker. Namun zaman telah berubah bila UBN telah "merobek-robek" situasi berkenaan menjadi seperti sekarang demi kuasa yang telah hilang untuk dikembalikan.
Perintah Tetap 89 menjelaskan : "Keputusan Tuan Speaker berkenaan dengan sebarang tafsiran dalam mana-mana Perintah-perintah Tetap ini atau berkenaan dengan sebarang amalan tertakluk kepada usul yang dibawa dengan maksud itu, adalah muktamad, dan Tuan Speaker, dari semasa ke semasa, boleh mengeluarkan keputusan-keputusan berkenaan dengan perkara-perkara ini".
Bukankah perintah tetap ini memberi kuasa muktamad kepada Speaker untuk mentafsir kandungan keseluruhan Perintah-perintah Tetap. Hanya Speaker sahaja yang berhak mentafsir Perintah-perintah Tetap. Pihak lain tidak mempunyai kuasa langsung dalam memberi pentafsiran undang-undang Dewan Negeri.
Seperti kata Dr. Aziz Bari bahawa perlembagaan tidak membenarkan mahkamah mencampuri urusan dan prosiding dewan. Katanya ini dinyatakan dengan jelas oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 72; khususnya 72(1) yang dengan jelas menyebut bahawa "Sahnya apa-apa perjalanan dalam mana-mana Dewan Negeri tidak boleh dipersoal dalam mana-mana mahkamah".
Dengan itu, Aziz berpendapat, mahkamah telah bertindak di luar kuasa atau 'ultra vires'.
Namun kelmarin diedarkan keputusan hakin "coklat Hacks" yang saya sertakan dibawah untuk perhatian kepada pencinta keadilan:
Sivakumar tidak ada kuasa gantung Zambry dan enam Exco Perak
PUTRAJAYA: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exconya tidak boleh digantung daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri atas dakwaan menghina kerana kesalahan itu tidak diperuntukan di bawah perlembagaan negeri, demkian diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di sini.
Hakim Datuk Seri S. Augustine Paul, dalam penghakiman bertulis, berkata Parkara 44 Perlembagaan Negeri Perak dibaca bersama Perintah Tetap Enakmen Dewan Undangan Negeri (Hak Istimewa) 1959 tidak memperuntukan kesalahan menghina dan hukuman penggantungan daripada menghadiri sidang DUN.
Oleh itu, perintah penggantungan selama 18 bulan bagi Zambry dan 12 bulan bagi ahli exco itu dibuat oleh Speaker V. Sivakumar adalah tidak sah dan batal kerana Sivakumar tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian, katanya.
"Kuasa menangani isu menghina, yang tidak diperuntukan dalam Perintah Tetap DUN, bukan sesuatu yang Speaker boleh mengambil maklum kerana ia memerlukan satu undang-undang berkaitan dengan itu," kata Augustine dalam penghakiman 64 muka surat bertarikh 3 Jun dan diperoleh hari ini.
"Perlu ada pihak berkuasa undang-undang yang khusus untuk mengetahui dan memberi hukuman bagi kesalahan menghina. Ini khususnya ketara di mana dakwaan menghina dilakukan di luar persidangan DUN," katanya.
Pada 16 April lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa perintah penggantungan terhadap Zambry dan enam anggota exco Zainol Fadzi Paharuddin, Datuk Ramly Zahari, Hamidah Osman, Datuk Saarani Mohamad, Mohd Zahir Abdul Khalid dan Dr Mah Hang Soon oleh Sivakumar adalah melampaui perlembagaan negeri dan oleh itu tidak sah dan batal.
Pada 2 Mac lepas, Zambry dan anggota exco berkenaan memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Ipoh bagi membatalkan keputusan Speaker DUN menggantung dan melarang mereka menghadiri sidang Dewan kerana tindakan itu bertentangan dengan undang-undang.
Mereka juga memohon satu pengisytiharan bahawa mereka berhak mengambil bahagian dalam sidang Dewan dan menjalankan fungsi serta kewajipan masing-masing.
Pada 18 Februari lepas, Sivakumar menggantung dan melarang Zambry dan enam exco berkenaan kerana didakwa melantik seorang ahli exco bertentangan dengan undang-undang dan tindakan menghina itu telah memalukan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, sebagai Menteri Besar Perak.
Mereka turut didakwa menghalang barisan exco Mohamad Nizar daripada menjalankan tugas di bawah Perlembagaan Negeri Perak.
Dalam penghakiman itu, Augustine berkata: "Penggantungan terhadap pemohon dilakukan berdasarkan Perintah Tetap 72 DUN. Tuduhan terhadap mereka menyatakan tindakan mereka itu diibaratkan sebagai menghina.
"Oleh kerana penghinaan tidak dinyatakan secara khusus, tindakan itu tidak boleh diletakkan di bawah bidang Perintah Tetap 72.
"Perintah Tetap 72 memberi kuasa kepada Jawatankuasa Hak Istimewa mengambil maklum sebarang perkara yang nampak menjejaskan kuasa dan hak istimewa dewan itu," kata Augustine.
Zambry dan enam anggota exco itu diwakili oleh peguam utama Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin manakala Sulaiman Abdullah bertindak bagi Sivakumar. BERNAMA
Langgan:
Catatan (Atom)

