04 Mac 2011

Enam Lagi Rakyat Malaysia Pulang Dari Libya Esok

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Mereka terdiri tiga pelajar lelaki dan dua pelajar perempuan serta seorang petugas Ranhill Berhad, demikian menurut kenyataan Wisma Putra pada Jumaat.

Mereka dijangka tiba pada 7.30 pagi menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH187.

Lima pelajar itu adalah antara tujuh pelajar yang ditaja oleh World Islamic Call Society untuk mengikuti pengajian di Universiti Dakwah Islamiah di Tripoli.

Libya kini bergolak akibat bantahan rakyatnya terhadap pemimpin negara itu Muammar Gaddafi.

mStar/-

Halim : Ali Rustam Mungkin Dalang Bawa Ummi Hafilda Dalam Ceramah BN

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 4 MAC : Pengarah pilihanraya kecil PAS bagi kawasan Merlimau, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman menyelar Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam yang membenarkan siri ceramah BN diselubungi dengan kisah fitnah dan mengaibkan oleh Ummi Hafilda terhadap Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Halim, hal seperti ini tidak sepatutnya berlaku apatah lagi kes fitnah terhadap Anwar masih dibicarakan di mahkamah dan Ummi tidak ada kredibiliti untuk bercakap tentang hal itu.

Oleh kerana sikap yang ditonjolkan oleh ketua menteri itu, Halim tidak menolak kemungkinan, Ali Rustam mungkin adalah dalang yang membawa Ummi dalam usaha terdesak BN untuk meraih undi di Merlimau. �

"Bukan dia (Ali Rustam) nak ambil tindakan, dia lah yang menaja ini (Ummi Hafilda) datang kemari.

"Adakah pihak Ali RUstam ini terdesak sangat? Sampai bawa dia ke mari. Maknanya Umno Melaka ini benar-benar terdesak sehingga bawa Ummi Hafilda ke pilihanraya kecil,"katanya kepada Tv Selangor.

Halim juga turut mempersoalkan tujuan Ummi Hafilda berceramah dalam kempen pilihanraya DUN Merlimau jika bukan didorong atau diminta oleh pihak tertentu berbuat demikian.

Senada dengan Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar, Halim juga menyifatkan Ummi sebagai askar upahan rejim Umno-BN.

"Kenapa sekarang dia bangkit. Tak kena mengena datang cerita keburukan orang di sini. Kes liwat ini masih bicara di mahkamah. Siapa dia ini? Askar upahan ?

"Pengundi di sini tak makan dengan isu begitu. Dia bertindak sebagai askar upahan saja. kalau tidak, dia tak akan datang sini, datang sini buat apa,"kata Halim.

Ummi Hafilda seperti yang dijangka terus menabur fitnah terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saudara kandungnya sendiri, Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat.

Tv Selangor/-

Kerdau: BN mahu cetuskan ketegangan

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

TEMERLOH, 4 Mac: Barisan Nasional (BN) didakwa semakin agresif melakukan provokasi sehingga sanggup ‘menyerang’ ke bilik gerakan PAS dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kerdau.

Terbaru, kira-kira jam 3.30 pagi tadi, lebih 50 petugas Umno menghampiri markas PRK PAS di Kampung Desa Murni dengan menunjukkan kemarahan, mengeluarkan kata-kata ugutan dan memasang bendera BN melindungi bendera PAS yang telah sedia dinaikkan.

Menurut Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Temerloh, Fairus Hisyam Nordin, yang berada di tempat kejadian, apa yang memeranjatkan provokasi tersebut diketuai sendiri oleh Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Said.

“Malam tadi kira-kira jam 3.30 pagi lebih 50 orang petugas BN datang ke bilik gerakan PAS di Desa Murni diketuai Ismail Said, mereka berteriak dengan nada marah dan menghamburkan kata-kata berbentuk ugutan.

“Masa itu kami dalam khemah cuma ada 15 orang dan tidak melayan provokasi tersebut kerana jika melawan mungkin mereka akan gunakan sebagai kempen di media kononnya PAS ganas, walaupun mereka yang memulakan.

“Tak cukup dengan itu, kami syak beberapa orang anggota polis berulang kali mengambil gambar juga untuk tujuan mengugut sebab ada antara kami yang berkerja sebagai kaki tangan awam. Manakala yang lain menaikkan berdera BN di hadapan bendera PAS,” katanya.

Tambah Fairus, beliau kecewa dengan tindakan provokasi pihak Umno itu dan akan membuat laporan polis dan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini bagi mengelakkan insiden yang sama berulang.

Pusat mengundi Desa Murni dijaga oleh kontingen dari PAS Kawasan Temerloh.

Sementara itu Ketua Pemuda PAS Pahang, Suhaimi Saad, kecewa dengan pembabitan ahli parlimen tersebut yang sepatutnya bertindak mempertahankan demokrasi dan keamanan.

“Kita faham jika budak-budak Umno yang bertindak secara tidak bertamadun begitu, tapi bila melibatkan seorang ahli parlimen yang merupakan penggubal undang, itu jadi pelik. Sepatutnya dia tidak bertindak kebudaka-budakan walaupun kita tahu Desa Murni ada kampung beliau.

“Apa jadi jika Pemuda PAS melayan karenah dan provokasi mereka... tidakkah nanti akan terjadi perkara yang buruk seperti pergaduhan? Kenapa tak boleh fikir?,” soal Suhaimi.

Dalam pada itu, seorang penyokong PKR mengadu tayar kereta beliau dipancetkan ketika pergi mendengar ceramah ketua umum parti mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim di Rumpun Makmur malam semalam.

Sebelum ini, berlaku juga gangguan kepada program PAS di kawasan Felda Mohamad Sabu berceramah dan Bob Lokman di waktu yang berlainan.

Harakahdaily/-
Oleh : Khairil Abdul Rahim.

Fuziah Gesa Peneroka Tuntut Janji Najib

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA KRAU 4 MAC : Peneroka Felda digesa oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Fuziah Salleh menuntut janji Perdana Menteri Najib Razak untuk memberi wang tabungan penanaman semula kumpulan tabungan penanaman semula (CES) dan Lembaga Sawit Malaysia (MPOB) yang dijanjikan beliau sebelum 6 Mac ini.

Dakwa Fuziah, Najib yang hadir berkempen di Jengka beberapa hari lalu telah menjanjikan kononnya akan membayar tunggakan bernilai RM13 ribu kepada peneroka Jengka 22 menerusi CES dan RM4 ribu seorang kepada peneroka skim penanaman semula MPOB dalam usahanya meraih undi peneroka di kawasan itu.

"Tiba-tiba ingat kepada peneroka Jengka 22 yang selama ini ada duit CES yang tertunggak sebanyak RM 13 ribu. Kenapa teringat? Kenapa Jengka 22 sahaja? Kenapa
tak teringat semua peneroka CES di seluruh negara. Saya nak cabar BN beri kepada semua sebelum 6 Mac beri duit CES kepada peneroka getah yang tanam semula kelapa sawit di seluruh negara setuju atau tidak?

"RM4 ribu itu hanya boleh dibayar selepas pokok ditebang. (Anda) tahu kan? tapi berani dia menjanjikan. Terdesak dan takutnya dia kepada penduduk Jengka 23. Sekarang tuan-tuan tuntut dia bayar sebelum pokok ditebang,"ujar Fuziah.

Menurut Fuziah lagi, apa yang membimbangkan ialah tawaran Najib jelas bertentangan dengan peraturan MPOB dan hanya akan merugikan peneroka yang menebang pokok mereka segera.

"6 Mac tarikh akhir kita beri pada dia beri duit RM4 ribu MPOB. Tuan-tuan jangan tebang pokok. Sekarang ini harga sawit tinggi RM813 setan. Duit ini hanya diberi bila harga sawit kurang RM400 setan. Saya tahu, dan MPOB semua tahu. Tapi kerana PM takut sangat tak dapat undi dari Felda Jengka 23, itulah tawaran beliau." kata Fuziah di hadapan kira-kira 700 hadirin di Felcra Rumpun Makmur, Kuala Krau malam tadi.

Ini bukan kali pertama Najib berjanji kepada masyarakat Felda, semasa PRK Parlimen Hulu Selangor, tahun lalu beliau berjanji untuk menyelesaikan isu perumahan generasi kedua Felda di Felda Soeharto, Gedangsa dan Sg Tengi.

Perdana Menteri juga pernah berjanji ketika PRK Tenang bulan lalu apabila mengumumkan 500 lot tanah kepada generasi kedua di Felda Cemplak, Cemplak Barat dan Felda Tenang namun sehingga hari ini tiada tanda-tanda ianya dilaksanakan.

Fuziah menyatakan ini merupakan taktik biasa Umno yang selalu melupakan rakyat dan hanya 'teringat'kan mereka bila menjelang pilihanraya.

"Pilihanraya kecil ini ialah waktu orang Kerdau dapat imbuhan. Selama ini jalan tuan-tuan berlubang, ada BN ingat? Selama ini susah payah tuan-tuan, ada
Najib dan BN ingat? Tapi sekarang PRK, tiba-tiba ingat. Tiba-tiba ingat dan tiba-tiba buat jalan," kata Fuziah.

Justeru beliau menggesa masyarakat Kerdau menjadi lebih proaktif dalam memperjuangkan nasib mereka dan tidak hanya menerima sahaja apa yang disogok dan
digula-gulakan kerajaan UMNO.

"Kita kena tunjukkan bahawa kita sudah berani kepada kerajaan BN. jangan kamu nak gula-gulakan kami, jangan nak beli kami dan kami tuntut hak kami dan bukan
untuk digula-gulakan,"kata Fuziah.

Tv Selangor/-

Pelajar syukur terima sumbangan kerajaan negeri

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

GEORGETOWN, 4 Mac: Pelajar Mesir dari Pulau Pinang beruntung mempunyai kerajaan negeri yang dipimpin walaupun bukan Islam tetapi tahu menilai keresahan dan kerumitan ibu bapa untuk mencari dana membiayai semula pembelajaran mereka.

Mereka berpendapat apa gunanya jika pemimpin kerajaan yang memerintah tidak mahu menyelami kesusahan keluarga untuk menghantar kembali anak-anak bagi meneruskan pembelajaran di Mesir.

Ketika ditemui di Dewan Sri Pinang selepas program penyerahan cek RM2,000 kepada 318 pelajar oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng kelamrin, ramai tersenyum kerana ibu bapa mereka hanya perlu menambah sahaja kewangan bagi mencukupkan tambang untuk kembali belajar.

Tambang RM2,000 itu diberikan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) menerusi Pusat Urus Zakat (PUZ) yang memperuntukan RM1,000 seorang manakala kerajaan negeri pula RM1,000.

Mereka juga boleh berbangga kerana Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang tetap mengutamakan mereka untuk menyambung pembelajaran kembali selepas pergolakan negara Afrika Utara itu reda.

Sharifuddin Fuat dari Maahad Qiraat Al-Azhar mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan negeri kerana menghulurkan bantuan kepada pelajar.

“Walaupun RM2,000 tapi ia sudah memadai untuk kami teruskan usaha sehingga tamat pengajian.

"Orang kata RM2,000 itu sikit berbanding tambang sebenar tetapi bagi kami ia satu penghargaan yang luar biasa dari kerajaan yang ketua menteri bukan Islam," tegasnya.

Mohd Zahid Ismail dari Univesiti Al Azhar, Kaherah dalam bidang Syariah pula berkata, sumbangan berkenaan memberi galakan yang tidak terhingga untuknyai berjuang di medan ilmu sehinggalah pulang menabur bakti pada tanahair tercinta.

"Pemberian itu sebagai satu azimat untuk kami belajar dengan lebih bersungguh. Biar kepulangan kami nanti lebih diberkati," terang beliau.

Muhamad Faiz Abdul Jalil dari Univesiti Al-Azhar Cawangan Zagazig bangga dengan keprihatin kerajaan negeri mengadakan majlis meraikan sumbangan tersebut.

"Kami ucapkan terimakasih pada Yang Dipertua Maipp, Ustaz Elias Zakaria, Pengarah PUZ, Dr Azman Samad serta kepimpinan kerajaan negeri kerana sanggup membiayai pemergian semula ke Mesir," ujarnya yang mengambil jurusan Usuluddin.

Harakahdaily/-
Oleh : Mohd Sabri Said.

Apa lagi mahu diharap pada kerajaan BN

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KEPALA BATAS, 4 Mac: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menegaskan, negara tidak memerlukan pemimpin yang jahat dan bodoh tetapi mahukan individu yang baik akhlak, amanah dan bijaksana dalam mengatur peluang untuk memajukan negara.

Tambahnya lagi, kepimpinan yang ego, rakus dan gilakan kuasa pastinya merugikan pembangunan negara kerana bertindak bukan berdasarkan kehendak rakyat sebaliknya mengikut kepala atau arahan pihak ketiga walaupun tahu setiap arahan itu rakyat yang menanggungnya.

"Negara tidak memerlukan seorang pemimpin yang jahat dan bodoh kerana sikap tersebut tidak menguntungkan pentadbiran negara. Bertambah parah kalau individu itu tidak berakhlak, melakukan penyelewengan dan bersikap ego," ujarnya ketika berucap pada majlis Karnival Penang Harmoni di Dewan Millenium, di sini malam tadi.

Kerakusan dan kezaliman ketika memerintah, tegasnya, bukan sahaja dirasai oleh rakyat bahkan pelabur juga terasa bimbang untuk meneruskan usaha menaman modal di negara ini.

Sebab itu, hari ini ekonomi Malaysia semakin mengucup setelah kebanyakan pelabur lari.

Bagaimanapun, katanya sejak kebelakangan ini apabila empat negeri di bawah Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor menunjukan prestasi ekonomi membanggakan berbanding negeri di bawah Barisan Nasional (BN).

Katanya, untuk mencapai tahap negara maju, rakyat harus menolak pemimpin jahat yang merampas harta rakyat dan gagal merencanakan pembangunan mengikut acuan sebenar, bukannya program 'mi segera' yang akhirnya menguntungkan kroni.

Sekarang ini, ujarnya kepimpinan negara seakan filem 'Ali Baba dan 40 orang penyamun' kerana menipu dan ditipu.

“Apa tidaknya, di era kepimpinan Tun Dr Mahathir, beliau yang dianggap pandai merampas hak rakyat akhirnya ditipu pula oleh Menteri Pengangkutan ketika itu,” katanya.

Begitu juga dengan Perdana Menteri kelima, Tun Abddulah Ahmad Badawi juga menjadi mangsa penipuan Menteri Pengangkutan.

"Apa lagi nak harapkan BN memerintah nanti semua harta rakyat dikebas satu persatu. Melainkan rakyat bangkit jadi 'Marjinah' hasil lakonan Seniwati Negara, Sarimah yang mengajak rakannya menuang air panas ke dalam tong yang ada penyamun," katanya disambut gelak ketawa hadirin.

Turun berceramah pada malam tadi ialah Ketua Wanita DAP, Choong Eng dan penulis lirik, Bob Lokman.

Harakahdaily/-
Oleh : Mohd Sabri Said.

Najib tidak tolak kemungkinan pilihan raya umum awal

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Najib di Melbourne hari ini.

MELBOURNE, 4 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak menolak kemungkinan akan mengadakan pilihan raya umum awal, yang disebut-sebut bakal diadakan tahun ini.
Bagaimanapun tegas Najib beliau tidak memerlukan mandat baru menerusi pilihan raya umum ke-13 untuk meneruskan pembaharuan-pembaharuan seperti memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan.

Dalam temu bual dengan Reuters sempena lawatan ke Australia hari ini, Najib berkata, prestasi yang baik pada pilihan raya negeri Sarawak akan membantu menilai tanggapan orang ramai dan kemungkinan akan memberikan petanda ke arah pilihan raya umum awal.

Mandat semasa kerajaan pusat hanya berakhir April 2013.

Di DUN Sarawak, BN kini memiliki 63 daripada 71 kerusi.

Najib, yang perikatan pimpinannya Barisan Nasional (BN) yang menyaksikan prestasi buruk tiga tahun lalu, berjanji untuk memulihkan keyakinan pelabur di Malaysia dengan melaksanakan pembaharuan termasuk memperkenalkan cukai tertangguh berganda.

Ketika pilihan raya umum 8 Mac 2008, Najib merupakan timbalan perdana menteri. Beliau menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri Najib April 2009.

“Ia persoalan mengenai penilaian di akar umbi, bagaimana rakyat fikir tentang kerajaan, sama ada kita boleh ada faktor rasa selesa dan rakyat ada keyakinan ke atas kerajaan dan kedudukan pembangkang,” katanya.

“Saya tidak menolak apa jua kemungkinan. Kemungkinan awal atau kemungkinan kemudian. Saya masih menilai situasi. Sarawak akan menjadi sebahagian daripada penilaian (saya), sudah pasti,” kata Najib yang juga pengerusi BN.

Najib merujuk kepada kejayaan BN dalam empat daripada lima pilihan raya kecil yang lalu, mengatasi Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang turut berhadapan dengan kes liwat kedua dalam hidupnya.

BN berhadapan dengan dua pilihan raya kecil serentak iaitu DUN Merlimau dan Kerdau dengan pengundian pada Ahad ini.

“Setakat ini ia (kedudukan, sokongan) nampak baik. Setakat ini laporan dari lapangan agak menggalakkan tetapi kami tidak boleh memandang ringan, kerana pembangkang akan lebih bersungguh-sungguh kali ini untuk menerokai laluan di Sarawak,” kata beliau.

Katanya perkembangan-perkembangan itu adalah usaha ke arah membentuk keyakinan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun Najib mengakui bahawa pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri bukan segala ukurannya jika mengambil kira keputusan akhir pilihan raya umum.

TheMalaysianInsider/-

Persediaan Sebelum Tidur

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Hadith:

DIRIWAYATKAN daripada Abdullah bin Zaid al-Ansari r.a bahawa dia pernah melihat Nabi Muhammad SAW berbaring terlentang di dalam masjid, meletakkan sebelah kakinya pada sebelah kakinya yang lain.

Riwayat al-Bukhari

Huraian Hadith:

Sekiranya hendak tidur kita disarankan mengikut sunah Rasulullah SAW.

Dalam suatu riwayat menerangkan: "Daripada 'Aisyah r.a katanya: "Nabi SAW apabila berbaring di tempat tidurnya pada setiap malam, baginda mengangkat kedua tangannya (seperti berdoa), lalu meniup dan membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq, surah an-Nas, kemudian baginda menyapukan tangannya itu ke seluruh badan yang dimulai dari kepalanya dan mukanya dan bahagian depan daripada badannya, Baginda melakukannya sebanyak tiga kali. (at-Tirmizi)

Selain itu sebelum tidur baginda menunaikan sembahyang witir kerana Nabi SAW juga telah mengingatkan umatnya bahawa syaitan sering mengganggu manusia ketika tidur.

Oleh itu kita dianjurkan supaya mengamalkan solat witir setiap kali sebelum tidur.

Ketika baginda terbangun daripada tidur di tengah malam pula, baginda akan membasuh muka dan kedua belah tangan sebelum baginda tidur semula.

Berkenaan dengan cara tidur pula, Rasulullah SAW selain daripada tidur miring ke sebelah kanan, baginda juga pernah tidur terlentang dengan cara meletakkan satu kaki di atas yang lain sebagaimana maksud hadis di atas.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Pembangkang Libya tolak Chavez sebagai orang tengah

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

BENGHAZI: Kumpulan pembangkang dan pemberontak di Libya hari ini menolak pembabitan Presiden Venezuela, Hugo Chavez sebagai orang tengah dalam rundingan bagi membawa semula keamanan serta meleraikan krisis politik di negara itu.

“Kami mempunyai kenyataan yang jelas. Ia sudah terlambat. Sudah banyak darah mengalir," kata Mustafa Gheriani, jurucakap pembangkang yang mengisytiharkan penubuhan Majlis Kebangsaan di bandar timur Benghazi, sebelum ini.

Chavez, yang menjadi rakan pemimpin rapat dengan Presiden Libya, Muammar Gaddafi mencadangkan agar satu misi pengaman antarabangsa diwujudkan di kalangan negara yang menjadi rakan baik Libya bagi mengadakan rundingan bagi mengelak perang saudara. “Kami tidak akan berunding dengan sesiapa mengenai rakyat kita yang sudah terkorban.

"Salah satu jalan untuk kami berunding dengan Chavez ialah jika Gaddafi meninggalkan negara ini ke Venezuela.

“Selepas itu kami akan meminta Gaddafi dihantar semula ke Libya untuk dihadapkan ke muka pengadilan," katanya.

Berita Harian/-

ADUN Lenggeng didapati bersalah rasuah

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Negeri Sembilan, Mustafa Salim didapati bersalah menerima suapan RM2,000 daripada seorang kontraktor bertujuan mengeluarkan surat sokongan berkaitan dengan projek pasir, lebih dua tahun lalu.

Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mendapati ADUN Barisan Nasional itu bersalah terhadap dua tuduhan menerima suapan daripada M Manimaran untuk tujuan itu. Dia didakwa di bawah Seksyen 10(a)(aa) Akta Anti-Rasuah 1997, menerima wang suapan di sebuah restoran di Mantin pada 31 Ogos 2008 dan boleh dikenakan hukuman penjara antara 14 hari dan 20 tahun serta denda lima kali ganda daripada jumlah suapan atau minimum RM10,000. Hakim Mahkamah Sesyen, Amran Jantan dijangka menjatuhkan hukuman terhadap Mustafa pada jam 2.45 petang ini

Kapal misi hantar makanan ke Libya berpatah balik

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

ROM: Sebuah kapal yang membawa muatan 1,000 tan tepung ke bandar Benghazi di timur Libya dilaporkan berpatah balik semalam selepas menerima laporan kawasan itu terdapat pengeboman udara.

Menurut laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kapal itu berpatah balik tanpa menurunkan semua muatan tepung yang sepatutnya dihantar ke negara bergolak itu.

“Keputusan itu dibuat pemilik kapal berkenaan kerana ia berisiko. Kami juga peka terhadap operasi pengemboman dari udara di kawasan berkenaan," kata Greg Barrow, jurucakap Program Makanan Dunia PBB yang beribu pejabat di Rom, Itali.

Berita Harian/-

Pengeboman untuk takutkan pemberontak: Anak Gaddafi

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

LONDON: Serangan bom ke atas bandar pelabuhan Brega hanya bertujuan untuk menakut-nakutkan pemberontak Libya ke atas Presiden Muammar Gaddafi, kata anaknya, Seif Al-Islam kepada stesen televisyen Britain, Sky News, lewat malam tadi.

“Operasi pengeboman udara itu hanya untuk menakut-nakutkan mereka supaya menjauhi kawasan berkenaan. “Sebenarnya tiada bandar di sana. Bandar Brega terletak berbatu jauhnya. Saya bercakap mengenai pelabuhan yang mempunyai pusat penapisan minyak," katanya. Seif berkata, rejim pemerintahan tetap akan mempertahankan pelabuhan itu daripada jatuh ke tengan pemberontak.

"Ini adalah hub minyak dan gas di Libya. Kepada kami semua, kami makan, kami hidup kerana Brega. Tanpa Brega enam juta rakyat tidak mempunyai masa depan kerana kita eksport semua hasil minyak kami dari sana," katanya.

Berita Harian/-

Kejadian rusuhan kian buruk, 180,000 tinggalkan Libya - PBB

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

GENEVA 4 Mac - Sekurang-kurangnya 180,000 orang telah meninggalkan Libya akibat daripada kejadian rusuhan yang semakin buruk ketika ini, menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR), hari ini.

Kebanyakan individu yang meninggalkan negara yang sedang bergolak itu adalah pekerja dari Mesir dan Tunisia termasuk pekerja dari beberapa negara lain.

Utusan Malaysia/-

PM Mesir pula letak jawatan, Essam Sharaf jadi PM baru

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KAHERAH 4 Mac - Perdana Menteri Mesir, Ahmed Syafiq meletakkan jawatannya berkuat kuasa semalam, satu lagi sambutan kegembiraan bagi penunjuk perasaan yang mahukan sisa pemerintahan rejim Presiden Hosni Mubarak dibersihkan.

Bekas Menteri Pengangkutan, Essam Sharaf dilantik untuk menggantikan Shafiq dan membentuk kerajaan baru.

Angkatan bersenjata memerintah negara itu sejak Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan pada 18 Februari lalu ekoran protes selama 18 hari di seluruh negara tersebut.

Utusan Malaysia/-

Pemberontak minta PBB matikan serangan tentera

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

BREGA - Pemberontak Libya meminta pertolongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghentikan serangan udara tentera upahan Afrika yang diarah pemimpin Muammar Gadaffi untuk menyerang rakyatnya sendiri, semalam.

Pasukan tentera Gaddafi melancarkan serangan, kelmarin terhadap pemberontak melalui darat dan udara sebagai amaran jika ada negara Barat mahu campur tangan dalam krisis negara itu.

Askar Gaddafi dilaporkan berjaya mendapat semula Brega selepas seminggu ditawan pemberontak dan mereka akan bergerak ke ibu negara Libya jika beliau tetap enggan meletak jawatan.

Terdahulu, Gaddafi mengecam bahawa ribuan rakyatnya akan terbunuh jika Amerika Syarikat atau Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) campur tangan dalam krisis negaranya.

Serangan bom turut berlaku berdekatan terminal minyak kelmarin, di mana sekurang-kurangnya 14 orang terkorban.

Sinar Harian/-