04 Mac 2011

Pelajar syukur terima sumbangan kerajaan negeri

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

GEORGETOWN, 4 Mac: Pelajar Mesir dari Pulau Pinang beruntung mempunyai kerajaan negeri yang dipimpin walaupun bukan Islam tetapi tahu menilai keresahan dan kerumitan ibu bapa untuk mencari dana membiayai semula pembelajaran mereka.

Mereka berpendapat apa gunanya jika pemimpin kerajaan yang memerintah tidak mahu menyelami kesusahan keluarga untuk menghantar kembali anak-anak bagi meneruskan pembelajaran di Mesir.

Ketika ditemui di Dewan Sri Pinang selepas program penyerahan cek RM2,000 kepada 318 pelajar oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng kelamrin, ramai tersenyum kerana ibu bapa mereka hanya perlu menambah sahaja kewangan bagi mencukupkan tambang untuk kembali belajar.

Tambang RM2,000 itu diberikan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) menerusi Pusat Urus Zakat (PUZ) yang memperuntukan RM1,000 seorang manakala kerajaan negeri pula RM1,000.

Mereka juga boleh berbangga kerana Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang tetap mengutamakan mereka untuk menyambung pembelajaran kembali selepas pergolakan negara Afrika Utara itu reda.

Sharifuddin Fuat dari Maahad Qiraat Al-Azhar mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan negeri kerana menghulurkan bantuan kepada pelajar.

“Walaupun RM2,000 tapi ia sudah memadai untuk kami teruskan usaha sehingga tamat pengajian.

"Orang kata RM2,000 itu sikit berbanding tambang sebenar tetapi bagi kami ia satu penghargaan yang luar biasa dari kerajaan yang ketua menteri bukan Islam," tegasnya.

Mohd Zahid Ismail dari Univesiti Al Azhar, Kaherah dalam bidang Syariah pula berkata, sumbangan berkenaan memberi galakan yang tidak terhingga untuknyai berjuang di medan ilmu sehinggalah pulang menabur bakti pada tanahair tercinta.

"Pemberian itu sebagai satu azimat untuk kami belajar dengan lebih bersungguh. Biar kepulangan kami nanti lebih diberkati," terang beliau.

Muhamad Faiz Abdul Jalil dari Univesiti Al-Azhar Cawangan Zagazig bangga dengan keprihatin kerajaan negeri mengadakan majlis meraikan sumbangan tersebut.

"Kami ucapkan terimakasih pada Yang Dipertua Maipp, Ustaz Elias Zakaria, Pengarah PUZ, Dr Azman Samad serta kepimpinan kerajaan negeri kerana sanggup membiayai pemergian semula ke Mesir," ujarnya yang mengambil jurusan Usuluddin.

Harakahdaily/-
Oleh : Mohd Sabri Said.

Tiada ulasan: