08 April 2011

3 kanak-kanak China maut selepas minum susu dicemari nitrit

04 Jamadilawwal 1432H. [MOD] -

BEIJING: Tiga kanak-kanak mati manakala 35 yang lain sakit selepas meminum susu yang dicemari nitrit di Gansu, iaitu skandal keselamatan makanan terbaru yang melanda industri tenusu negara itu.

Agensi berita Xinhua melaporkan 35 mangsa terbabit adalah kanak-kanak di bawah usia 14 tahun dan kini dirawat di dua hospital di bandaraya Pingliang.

“Siasatan awal menunjukkan semua pesakit diracuni nitrit selepas meminum susu yang dibekalkan dua ladang tenusu," menurut laporan Xinhua.
Nitrit digunakan untuk merawat daging.

Kedua-dua ladang tenusu itu ditutup dan pengurus mereka sedang disiasat.

Pada 2008, sekurang-kurangnya enam kanak-kanak maut dan hampir 300,000 yang lain jatuh sakit akibat meminum susu tepung yang dicampur melamin. - Reuters

PM tegas lawan rasuah pegawai kerajaan!

04 Jamadilawwal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 8 April: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa Ops 3B akan diteruskan dalam ketegasan kerajaan melawan rasuah amat menyedihkan.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat, Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar) berkata, ini memandangkan ketegasan yang sama tidak pernah kelihatan dalam melawan rasuah melibatkan pimpinan politik Barisan Nasional.

“Ini bukan kali pertama kerajaan BN lebih tegas bertindak terhadap penjawat awam berbanding pemimpin mereka sendiri,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas tragedi kematian Ahmad Sarbani Mohamed, Penolong Pengarah Pejabat Kastam Pelabuhan Klang yang mengejutkan rakyat Malaysia.

Allahyarham ditemui meninggal dunia di Pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane pada 6 April yang lalu.

Tambahnya, terlalu banyak persoalan yang masih tidak terjawab tentang kematian Allahyarham Sarbani yang berlaku ketika Suruhanjaya Siasatan DiRaja tentang kematian Teoh Beng Hock sewaktu siasatan SPRM.

Kebetulan pula, ujarnya Allahyarham tinggal di kuarters Kastam yang terletak di kawasan Dun beliau, Seri Setia.

“Beberapa hari yang lalu saya mendapat maklumat bahawa pegawai-pegawai Kastam merasakan diri mereka menjadi kambing hitam dalam Operasi 3B yang dilaksanakan oleh SPRM untuk menyiasat rasuah dan penyelewengan Kastam,” katanya.

Justeru, katanya Suruhanjaya Siasatan DiRaja mesti ditubuhkan untuk mensyiasat kematian Allahyarham Sarbani dengan serta-merta dengan melibatkan masyarakat sivil serta menyiasat struktur dan organisasi SPRM dalam kes ini.

Katanya lagi, kenyataan Najib bahawa Allahyarham Sarbani datang ke SPRM secara sukarela tidak masuk akal memandangkan beliau telah ditahan dalam Ops 3B pada 1 April dan dibebaskan atas ikatjamin pada 2 April yang lalu.

“Mengapa beliau hendak ke SPRM sekiranya tidak dipanggil oleh SPRM?” soalnya.

Menurutnya, sudah tersebar SMS kononnya meskipun kematian Allahyarham Sarbani dikesali namun ketegasan kerajaan menentang rasuah harus mendapat sokongan rakyat.

Soalnya, siapa yang bertanggungjawab menghantar SMS begini ketika Allahyarham Sarbani baru sahaja dikebumikan.

Tambahnya, Najib dan Nazri juga mengambil kesempatan meneruskan desakan penubuhan Suruhanjaya DiRaja dalam isu video Datuk T.

Menurutnya, malang sekali pemimpin BN nampaknya lebih mahu bermain politik dan bukannya menjawab persoalan yang bermain di minda ramai penjawat awam dan rakyat umum yang cintakan keadilan dan kebenaran.

Pada masa yang sama, beliau berharap pihak Cuepacs dapat tegas memperjuangkan kebajikan penjawat awam yang disiasat oleh SPRM dan seolah-olah bersalah sebelum diputuskan oleh mahkamah.

“Kami juga berharap Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) yang baru ditubuhkan dapat memulakan siasatan ini untuk memulihkan keyakinan penjawat awam dan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan selepas rentetan satu demi satu kes malang,” katanya.

Harakahdaily/-

PR mahu kembalikan kekayaan pada rakyat Sarawak

04 Jamadilawwal 1432H. [MOD] -

KOTA SAMARAHAN, 8 April: Mohamad Sabu berkata, kesungguhan PAS menyertai pilihan raya Sarawak adalah kerana mahu membela hak rakyat negeri ini yang lebih 20 tahun ditindas BN.

Sambil mengulangi bahawa rakyat sepatutnya menikmati hasil kekayaan negeri, beliau juga mahu rakyat bangkit menghentikan segera kerakusan pemimpin negeri yang mengaut kekayaan negeri.

Rakyat, katanya harus keluar dari belengu kemiskinan dengan menukar kepimpinan negeri ini yang ternyata mengabaikan kebajikan mereka.

"Kita (PAS dan Pakatan Rakyat) datang untuk kembalikan kekayaan Sarawak kepada rakyat Sarawak. Sangat sedih apabila rakyat Sarawak antara paling miskin di Malaysia sedangkan Sarawak ada petroleum.

"Inilah dia Sarawak tanah airku," kata Mohamad (gambar) yang juga AJK PAS Pusat sinis dalam satu ceramah di Kampung Sidang Baru di sini.

Turut serta berceramah, Naib Presiden dan Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Idris Ahmad serta Adun Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim.

"Dari Miri ke Sibu lebih kurang 120 km, kalau di Semenanjung sejam naik kereta. Kalau saya bawa 45 minit, kena saman ekor, Mahfuz bela," katanya disambut gelak ketawa hadirin.

"Di sini, Sibu ke Miri 3 jam lebih, kerana jalan raya bukan macam naik kereta, tapi macam naik kuda," tambahnya menggambarkan kemudahan asas yang jauh ketinggalan.

Membandingkan dengan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat, beliau berkata rakyat akan lebih kaya jika Pakatan Rakyat memerintah.

Beliau memberi contoh Selangor yang kaya dengan hasil negeri tetapi di bawah Pakatan Rakyat, kekayaan itu dinikmati rakyat.

Ianya termasuk 20 meter padu air percuma, wang masuk universiti RM1,000, skim warga emas dan banyak lagi.

"Dalam tempoh sekarang, rakyatlah yang menjadi raja, bukan lagi Tan Sri (Abdul) Taib Mahmud.

"Undilah Pakatan Rakyat, kalau satu penggal mereka perintah baik, sambung tugas mereka, kalau buruk lebih dari BN, patah balik undi parti yang anda mahu," katanya.

Nazri Abdullah
Harakahdaily/-

KALAU `WANITA ITU' ISTERI NAZRI, MUSTAHIL NAZRI TIDAK KENAL

04 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

SIAPA orang pertama sepatutnya boleh ditunjukkan video seks yang kununnya melibatkan DS Anwar selain dari pihak Polis? Sudah tentulah isteri beliau iaitu DS Wan Azizah kerana beliau juga mahu menyedapkan hatinya akibat fitnah yang diicipta melalui video berkenaan.

Memang benar, terlalu berat buat DS Wan Azizah serta keluarga untuk menonton video lucah berkenaan dan sememangnya dari awal beliau telah menolak untuk menontonnya atas alasan ianya jelas satu fitnah, keduanya kerana hukumnya haram disisi agama jika menonton video adegan seks samada tulin atau tidak video itu.

Namun, Alhamdulillah, Allah memberi jalan kepadanya untuk mengesahkan siapa sebenar lelaki berperut boroi dan kadangkala tidak berjanggut itu. Maka, ada tangan yang gatal datang dari mana telah memuat turunkan klip video tersebut ke dalam youtube walaupun dibuat suntingan ke atas beberapa babak terutamanya babak yang memperlihatkan perbezaan susuk tubuh badan DS Anwar.

Apabila DS Wan Azizah dimaklumkan bahawa tiada adegan seks yang terdapat di dalam klip video pada youtube berkenaan, maka beliau bersetuju untuk menontonnya bersama anak-anak beliau. Akhirnya, kepastian diperolehi olehnya dan mengesahkan bahawa lelaki berperut boroi dan lenggang jalan seperti itu bukanlah suaminya.

Apabila ini terbongkar, maka amat menyulitkan pihak yang melakukan konspirasi jahat ini untuk meneruskan kerja fitnah mereka. Hajat dihati mahu melihat DS Wan Azizah melenting atau setidak-tidaknya meletakkan jawatan di dalam politik bersama suami dan anaknya. Isteri mana mahu mempertahankan suaminya yang melanggan pelacur? Anak mana yang mahu membela ayahnya yang bermain kayu tiga dengan ibunya? Adakah DS Wan Azizah lebih pentingkan politik daripada moral keluarganya?

Sehubungan itu, apabila beliau dan anaknya telah memastikan bahawa itu bukan DS Anwar yang amat dikenalinya maka menjadi kewajipan pula baginya untuk mempertahankan suaminya. Apatah lagi beliau pun tahu sewaktu rakaman itu dibuat, beliau serta anak-anaknya berada bersama DS Anwar beserta beberapa pimpinan PKR di rumahnya. Bukti Twitter dan Facebook DS Anwar juga amat kukuh sebagai alibi di dalam kes ini walaupun Utusan Meloya agak bodoh di dalam pengiraan masa 2 jam kununnya DS Anwar hilang di dalam Twitter berkenaan.

Peliknya, seorang menteri bernama Nazri pula `susah hati' dengan kenyataan DS Wan Azizah yang menolak tuduhan ke atas DS Anwar. Mengapa beliau susah hati sangat? Adakah beliau berharap sangat lelaki boroi itu adalah Anwar? Nazri Aziz berkata," Wan Azizah tidak cekap bagi kenal pasti (lelaki dalam video) kerana ia pasangannya,” kata Nazri sambil menambah terdapat percanggahan kepentingan dalam perkara tersebut (Malaysiakini).

Wahai Nazri, untuk mengenal suami sendiri tidak perlu cekap. Perlu kepada cekap adalah menangkap Rahim serta `three strooges' yang mengaku menayangkan video lucah yang tulin itu di Sri Carcosa. Perkataan `cekap' ini harus Nazri tujukan kepada KPN bukan DS Wan Azizah. Seandainya wanita yang melakukan adegan di dalam video tersebut mirip wajah isteri Nazri, mustahil Nazri tidak kenal, bukan?

Cukuplah semuanya ini. Sehingga kini semakin ramai yang tidak percaya apa yang mereka lakukan terhadap DS Anwar. Usah ditegak benang yang basah. Kita tunggu siasatan Polis untuk mengenalpasti siapa lelaki boroi itu, sementara itu juga kita tunggu sejauh mana geng `three strooges' ini mahu diselamatkan atas kesalahan menayangkan video lucah.

Oleh: WFAUZDIN NS

Mufti: Letak jawatan tanda protes, ada media sendiri

04 Jamadilawwal 1432H. [MOD] -

KUCHING, 8 April: PAS mencadangkan Jabatan Mufti negeri-negeri seluruh negara mengeluarkan media sendiri bagi menyuarakan pandangan mereka agar tidak lagi dipermainkan oleh Umno melalui media mereka.

Mufti juga dicadangkan agar meletakkan jawatan sebagai tanda protes, kerana tiada guna ujud jabatan mufti kalau sekadar untuk dilihat mengiakan pandangan kerajaan.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar kanan) berkata, kejadian yang berlaku terhadap Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria (gambar bawah) amat jelas bagaimana para mufti dipermainkan oleh media Umno khasnya Utusan Malaysia.

Ekoran tindakan media Umno menggelapkan kenyataan mufti mengenai sikap mereka dalam isu video seks, para mufti telah difitnah seolah-olah memperkatakan isu remeh seperti poco-poco sahaja.

Padahal, Harussani sendiri berkata, beliau telah membuat kenyataan mengecam tindakan mengedarkan video itu kepada Utusan tetapi kenyataan itu tidak disiarkan oleh akhbar itu.

Antara mangsa salah lapor ini adalah Tuan Ibrahim sendiri yang tidak tahu sikap sebenar Harussani dalam isu ini.

"Bagi mengelak buruk sangka umum kepada jabatan Mufti dicadangkan sabuah akhbar jabatan mufti bagi memuatkan pandangan, pendirian dan fatwa mufti diujudkan, di samping ianya dapat menyelaraskan pandangan terhadap beberapa isu berkaitan agama," cadang Tuan Ibrahim dalam kenyataannya.

Kata Tuan Ibrahim, PAS menyanjung tinggi beberapa kenyataan tegas yang dikemukakan oleh para Mufti berhubung isu klip video ini.

Beliau merujuk kenyataan sebenar para mufti yang disiarkan oleh media alternatif tetapi digelapkan oleh media tradisional yang dikawal Umno dan BN.

Kenyataan begini amat dinanti oleh rakyat kerana ketegasan mereka akan dilihat pendirian rasmi para mufti. Sayangnya kenyataan begini jarang dikeluarkan oleh media tradisional kerana ianya bertentangan dengan agenda tersembunyi UmNo, kata Tuan Ibrahim.

Bagi beliau, tindakan media tradisional ini sekali lagi membuktikan isu video adalah agenda Umno bagi mematikan karear politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekaligus merencatkan perubahan politik yang sedang berjalan di Sarawak.

Katanya, apa yang membimbangkan ada ura-ura pihak tertentu yang akan mengedarkan klip video ini di Sarawak, khususnya di kawasan Melayu bagi tujuan jahat mereka ini.

Memandangkan tiadanya senbarang tindakan phak polis bagi mengambil tindakan kepada Trio Umno yang menayangkan klip ini dan tindakan media perdana menyiarkan klip ini, maka tindakan ini tidak mustahil, tambahnya.

"PAS melihat para mufti bukan lagi menjadi rujukan kerajaan, bahkan mereka hanya diminta pandangan dan dihormati sekiranya ianya menguntungkkan pemerintah," katanya.

Kata Tuan Ibrahim, sehubungan tindakan biadab kerajaan Umno kepada mufti maka disarankan;

1. Mufti mengadakan muzakarah segera bagi mengeluarkan ketetapan agar tuduhan berupa qazaf dapat dihentikan, agar tidak ada lagi yang menanggung dosa setiap hari di kalangan rakyat.

2. Mufti mendesak kerajaan negeri-negeri agar mewartakan larangan melakukan tuduhan berupa elemen qazaf, kerana ianya termasuk dosa besar yang kesaksiannya tidak boleh diterima sampai bila- bila. PAS melahirkan kebimbangan mereka yang jatuh dalam katagori ini menjadi saksi perkahwinan dan muamalah lain, menyebabkan urusan tersebut tidak sah, dan menanggung dosa sampai mati.

3. Mufti mestilah memboikot mana-mana majis pemimpin Umno yang gagal mengambil perhatian terhadap kesahan besar dan telah dibuat teguran oleh para mufti. Ini alan mencerminkan ketegasan para mufti sebagaimana yg dikehendaki oleh hadis Rasulullah "Bilamana zahir penyelewengan dalam urusan agama, hendaklah orang alim di kalangan kamu menzahirkan pendirian dan ilmunya (sikapnya)."

4. Meletakkan jawatan tanda protes, kerana tiada guna ujud jabatan mufti kalau sekadar untuk dilihat mengiakan pandangan kerajaan, namun bilamana ianya tidak menguntungkan kerajaan Umno, pandangan itu disembunyikan oleh media perdana, sehingga rakyat biasa tidak mengetahui pandangan mufti.

Harakahdaily/-

Baru Bian KM Sarawak jika BN ditumbangkan

04 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian akan dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak jika Pakatan Rakyat menumbangkan BN pada pilihanr raya negeri ke-10, 16 April ini.

Persetujuan itu diputuskan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat dan diumumkan di Kuching ketika pelancaran manifesto mereka yang 'Ketuanan Rakyat'.

Hadir ketika pengumuman itu adalah Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan ahli jawatankuasa pusat PAS, Datuk Seri Nizar Jamaluddin serta calon-calon Pakatan yang bertanding pada pilihan raya ini.

Malaysiakini/-

Kes Teoh, Sarbani adalah sama, kata MP Pakatan

04 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak silap ketika mendakwa tiada persamaan antara kematian Teoh Beng Hock dan penolong pengarah Kastam, Ahmad Sarbani Mohamed, kata beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat hari ini.

Dengan menolak persamaan antara kedua-dua kes berkenaan, Najib sebenarnya cuba memperlihatkan ketidak-seriusan dalam kematian Ahmad Sarbani ketika dalam jagaan Suruhanjaya Pencegahan Rasiah Malaysia (SPRM).

"Najib adalah salah kerana ada persamaan dengan kematian Teoh Beng Hock. Kedua-dua mereka mati di bangunan kerajaan kettika dalam tahanan agensi pihak berkuasa,” kata ahli parlimen Klang, Charles Santiago.

Santiago dan tiga lagi ahli parlimen - MP Shah Alam Khalid Samad, MP Teluk Intan M Manogaran dan MP Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud hari berjumpa dengan pengarah SPRM Selangor bagi melahirkan kebimbangan mereka berhubung keselamatan orang ramai kepada suruhanjaya itu.

Malaysiakini/-

Pastikan siasatan kematian pegawai Kastam adil

04 Jamadilawwal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR,: Anggota Jawatankuasa Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Salahudin Ayub, berjanji akan mempastikan siasatan yang adil dilakukan ekoran kematian seorang pegawai kanan Kastam pagi ini di perkarangan bangunan SPRM Kuala Lumpur.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS dan anggota Parlimen Kubang Kerian memberi reaksi segera terhadap kematian Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang berkhidmat sebagai pembantu pengarah di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor.

"Sebagai salah seorang Anggota Jawatankuasa Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pelbagai pihak yang berwajib bagi memastikan satu penyiasatan yang adil dapat dilaksanakan dengan segera ke atas kes ini," katanya dalam satu kenyataan media.

Bagi beliau, kematian seorang pegawai Kastam yang membantu siasatan kes rasuah yang dikatakan jatuh dari tingkat tiga bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane di ibu negara pagi ini sangat menyedihkan.

"Sebagai anggota Parlimen, saya akan memastikan ia disiasat dengan cara yang telus dan diberikan penjelasan yang wajar oleh SPRM.

"Kita bimbang, ketika kematian Teoh Beng Hock masih lagi sedang disiasat oleh Suruhanjaya Diraja, kematian pegawai Kastam ini akan memberikan persepsi yang lebih buruk kepada SPRM," kata Salahudin. (gambar bawah)

Kematian pegawai kanan Kastam yang dikatakan jatuh dari tingkat 3 bangunan SPRM ke gelanggang badminton berhampiran pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur mengejutkan banyak pihak.

Pegawai kanan itu membantu siasatan membabitkan cukai tidak berbayar dan telah dibebaskan dengan ikat jamin dua hari lalu.

Pengarah Penyiasatan SPRM Mustafar Ali berkata, Allahyarham Ahmad Sarbani ditahan pada 1 April lalu di Klang berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, dia kemudiannya dilepaskan pada 2 April lalu pada jam 12.30 petang.

Lelaki itu datang semula ke pejabat SPRM di Jalan Cochrani di Kuala Lumpur untuk bertemu seorang pegawai penyiasat berhubung kesnya hari ini, kata Mustafar lagi.

Pegawai penyiasat telah memintanya menunggu di situ sementara pergi mengambil fail kes tersebut.

Bagaimanapun, apabila balik semula ke situ, dia mendapati pegawai Kastam itu sudah tidak ada.

Mayat Ahmad ditemui terbaring di atas gelanggang badmintion pada jam 10.15 pagi, kata Mustafar.

Siasatan ke atas Allahyarham dijalankan ekoran penahanan sejumlah 62 orang pegawai Kastam dalam satu operasi di Pulau Pinang, Selangor dan Pahang.

Operasi berkenaan dijalankan oleh satu tindakan bersama oleh SPRM, JKDM, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara.

Seorang lagi dikesan mempunyai lebih RM1 bilion manakala dua lagi yang ditahan mempunyai lebih RM500,000 di dalam akaun masing-masing.

Salah seorang pegawai kastam yang ditahan dalam operasi itu dikesan mempunyai wang berjumlah beberapa juta di dalam akaunnya.

Harakahdaily/-

Gempa Bumi Susulan Di Jepun: Dua Terbunuh

04 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

TOKYO: Pihak berkuasa Jepun melaporkan dua orang awam terbunuh manakala ratusan lagi cedera dalam gempa bumi susulan yang melada negara itu pada Khamis.

Gempa bumi berukuran 7.1 skala Ricther tersebut melanda pantai timur Honshu, Jepun pada pukul 10.32 malam turut menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Jurucakap Jabatan Bomba, Junichi Sawada mengesahkan bahawa dua orang dilaporkan terkorban dalam bencana tersebut.

Seorang lelaki warga emas berusia 78 tahun meninggal dunia akibat terkena serangan jantung manakala seorang wanita berusia 60 tahun maut apabila tangki oksigennya tidak berfungsi akibat bekalan elektrik terputus.

Setakat ini pasukan polis Jepun mengesahkan 132 orang cedera dalam gegaran tersebut.

Gempa bumi yang terbaru itu berlaku di kawasan berhampiran dengan gempa bumi paling teruk melanda Jepun pada 11 Mac lalu dengan kekuatan 9.0 skala Ritcher. -AFP

Kenali calon PAS di Sarawak

04 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Calon-calon PAS yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 2011

N22 SEBUYAU

Haji Adam bin Ahid, 62, seorang anak watan DUN Sebuyau merupakan Pesuruhjaya PAS Sarawak dan aktivis sepenuh masa untuk party. Adam sudah berkahwin dan mempunyai 4 orang anak.

Di sini, Adam merupakan pemimpin yang dikenali ramai dan bergaul mesra dengan penduduk Cina and Iban. Dalam pilihanraya negeri Sarawak kali ini, Adam berdepan dengan perlawanan tiga penjuru berdepand dengan penyandang DUN Sebuyau, Julaihi Narawi (BN-PBB) and Ali bin Semsu, seorang calon bebas.

Pada tahun 2006, Sebuyau yang terletak di dalam kawasan parlimen Batang Lupar menyaksikan perlawanan satu lawan satu antara Julaihi dan calon PKR, Mohamed Akek.

Julaihi yang memperolehi 3,748 undi menewaskan Akek, 1,300 undi dengan majoriti 2,448 undi.

Statistik Pengundi Sebuyau:
Jumlah Pengundi: 8,042
Malay/Melanau: 64.26%
Chinese: 3.85%
Iban: 31.77%
Bidayuh: 0.11%

N24 BETING MARO

Abang Ahmad Kerdee bin Abang Masagus merupakan seorang pemuda berkarisma dan sudahpun berjaya menarik tumpuan untuk PAS Sarawak kerana pesona ‘selebriti’nya in pilihanraya negeri Sarawak.

Ahmad, seorang peguam berasal dari Sibu, sudahpun berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Ahmad, anak ketiga daripada tujuh adik beradik ialah seorang graduan Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau kini juga merupakan penasihat undang-undang untuk PAS Sarawak.

Di Beting Maro, Ahmad akan berentap satu-lawan-satu menghadapi Razali Gapor dari BN-PBB.

Pada tahun 2006, Bolhassan Di @Ahmad, calon BN-PBB menewaskan calon PAS, Alem Din dengan mendapat 2,796 undi berbanding 1,901 undi.

Statistik Pengundi Beting Maro:
Jumlah Pengundi: 7,868
Malay/Melanau: 90.42%
Chinese: 1.47%
Iban: 8.11%

N20 SADONG JAYA

Di DUN ini, PAS sekali lagi mempertaruhkan seorang pemuda hebat, Abang Eddy Alyanni bin Abang Fauzi, 34 yang merupakan calon tunggal PAS pada pilihanraya umum 2008 yang lalu bertanding di Parlimen Batang Lupar, namun tewas di tangan calon BN-PBB, Rohani Abdul Karim.

Ketika ini, Eddy juga berkhidmat sebagai Ketua Pemuda PAS Sarawak dan Pengarah Pasti di Bumi Kenyalang ini.

Pada pilihanraya negeri ke sepuluh ini, Eddy akan berdepan dalam perlawanan tiga penjuru, berdepan dengan Aidel Lariwoo (BN-PBB) and Mahayudin Wahab, calon bebas.

Dalam PRN 2006, calon BN-PBB Wan Wahab Wan Sanusi dari BN-PBB menewaskan calon PKR, Plee Ling dengan majoriti 858 dengan mendapat 2,715 undi berbanding 1,857 undi yang diperoleh oleh Plee.

Statistik Pengundi Sadong Jaya:
Jumlah Pengundi: 7,656
Malay/Melanau: 82.84%
Chinese: 7.64%
Iban: 9.42%
Orang Ulu: 0.01%
Others: 0.09%

N15 MUARA TUANG

Satu daripada dua calon wanita PAS akan berentap di DUN ini. Noraini Hamzah, 49 berasal dari Kelantan sudah menetap di Sarawak untuk tiga dekad yang lalu selepas perkahwinannya dengan seorang anak watan Muara Tuang.

Noraini juga dikenali sebagai ‘superwoman’ di mana beliau menjaga tugasnya sebagai ahli perniagaan, suri rumah separa masa dan sebagai seorang aktivis parti dengan baik.

Noraini merupakan bekas Ketua Penerangan PKR Sarawak sebelum beliau membuat keputusan untuk bersama PAS untuk meneruskan perjuangan rakyat. Beliau telah berkahwin dan dikurniakan dua orang anak.

Untuk pilihanraya negeri Sarawak kali ini, Noraini akan menghadapi tentangan hebat daripada adik Ketua Menteri Sarawak, Ali Mahmud (BN-PBB) yang juga merupakan penyandang kepada DUN ini. Noraini hampir menang percuma di DUN ini semasa sesi penamaan calon tempoh hari apabila Ali gagal mengemukan penyataan kewangan pilihanrayanya bagi tahun 2006 sebelum tempoh penamaan tamat.

Pada 2006, Ali menang di DUN dengan mendapat 7.863 undi menewaskan calon PKR, Abang Ibrahim Abang Othman (1,536 undi) and calon bebas, Jong Nyuk Chan (415 undi).

Statistik Pengundi Muara Tuang:
Jumlah Pengundi: 18,820
Malay/Melanau: 52.65%
Chinese: 15.63%
Iban: 18.85%
Bidayuh: 11.45%
Others: 0.42%

N03 TANJONG DATU

Seorang lagi wanita, Nani Sahari diberi kepercayaan oleh PAS untuk merampas kerusi DUN Tanjong Datu daripada penyandang kerusi ini, Adenan Satem daripada BN-PBB.

Nani, 42 berasal daripada Kampung Pula, Petrajaya, Sarawak merupakan seorang graduan UiTM pada tahun 1993.

Nani yang sekarangnya bertugas sebagai seorang pembantu klinik di Sarawak merupakan bekas Ketua Wanita PKR Sarawak pada tahun 2009 sebelum menyertai PAS tahun lalu.

Di DUN ini, Nani akan menghadapi satu lagi pertanding tiga penjuru berdepan dengan penyandang kerusi, Adenan and calon bebas, Gilbert Asson Kulong.

Pada tahun 2006, Adenan menang kerusi ini dengan mendapat 4,545 undi menewaskan Sobey Daud, PKR (409) dan Larry Dominic Linang, Bebas (357).

Statistik Pengundi Tanjong Datu:
Jumlah Pengundi: 7,936
Malay/Melanau: 53.06%
Chinese: 19.63%
Iban: 17.34%
Bidayuh: 9.97%

Harakahdaily/-

Taib letak adik sendiri di Muara Tuang dipersoal

04 Jamadilawwal 1432H. [MOD] -

KOTA SAMARAHAN, : Tindakan Ketua Menteri Sarawak meletakkan adiknya sendiri, Datuk Sri Mohd Ali Mahmud, untuk bertanding di DUN Muara Tuang menyerlah amalan kronisme di kalangan keluarga Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Tindakan ini juga melambangkan Barisan Nasional (BN) tidak sedar apakah kehendak rakyat Sarawak sebenarnya sekarang hatta tidak sedar bahawa rakyat sudah muak dengan kekayaan dan kuasa yang berpusat di sekitar Taib Mahmud.

(Gambar: Mahfuz bersama calon PAS, Noraini [dua dari kiri] semasa perarakan calon)

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, hasrat rakyat untuk melakukan perubahan boleh dilaksanakan dengan memberikan undi kepada calon PAS yang bertanding di situ.

Hasrat ini, katanya, semakin jelas apabila golongan muda turut menyertai PAS melalui beberapa cawangan penaja PAS di Dun tersebut.

Menurutnya, sewaktu merasmikan penubuhan cawangan penaja malam tadi, ketua cawangannya, Abdul Rahman Doli meluahkan kebimbangan masa depan Sarawak jika tak berlaku perubahan politik baru.

"Isu di sini ialah soal kronisme di mana mereka tidak lagi begitu gembira dengan kepimpinan Tan Sri Taib Mahmud apatah lagi calon yang bertanding ini adik beliau sendiri.

"Kita lihat juga semalam kehadiran anak muda yang begitu mempunyai semangat yang tinggi untuk melakukan perubahan dan ini menunjukkan hasrat rakyat yang sebelum ini kita tidak tahu dan apabila PAS bertanding, baru kita tahu mereka cari kita," katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon di Dewan Suarah hari ini.

Beliau juga berkata, BN tidak lagi menghadapi laluan mudah untuk mengekalkan kedudukannya di Dun tersebut.

"BN tak akan mendapat jalan yang mudah seperti sebelum ini. Kalau sebelum ini mereka ada jalan mudah untuk menang besar tapi saya percaya kali ini jalannya sukar.

"Contohnya, seperti yang berlaku di Tenang, BN berhempas pulas menurunkan jentera untuk melawan PAS," katanya.

Tambahnya, tindakan adik Taib itu kekal bertanding di Dun tersebut menunjukkan beliau dan abangnya Taib ingin menambahkan kekayaan.

"Muara Tuang ini mereka anggap begitu mudah untu menang dahulu, tetapi penolakan orang terhadap Taib Mahmud orang melihat bahawa tidak wajar untuk Taib Mahmud bertanding lagi dan mengekalkan adiknya, seolah-olah Taib Mahmud ingin meneruskan empayar kekayaannya," katanya.

Hazayani Zakaria
Harakahdaily/-

PAS akan pertahan walaupun Felda arah tutup Pasti

04 Jamadilawwal 1432H. [MOD] -

BERA, : PAS Kawasan Bera menyifatkan arahan berpindah daripada Pengurus Felda Bukit Mendi kepada kelas Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di tanah rancangan berkenaan kerana dikatakan menyalahi Akta Penempatan Berkelompok (GSA) hanyalah bermotif politik semata-mata.

Ketua Pemuda PAS Kawasan, Mohd Shahrul Mohamed berkata, ini disebabkan apabila seseorang peneroka Felda sudah selesai membayar hutang kepada agensi tersebut dan mendapat geran bermakna mereka tidak lagi tertakluk di bawah akta berkenaan

Justeru jika terdapat sebarang tindakan pihak Felda bagi menghalang operasi Pasti berkenaan, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang.

“Pasti Bukit Mendi dimulakan tahun ini dan baru-baru ini pihak pengurusan Felda telah menghantar surat peringatan kerana mendakwa penubuhannya tidak mendapat kelulusan mereka serta menyalahi peraturan Akta GSA.

“Pengurus Felda meminta Pasti memindahkan kelas daripada rumah tersebut sehingga mendapat kebenaran dari pihak Felda. Surat itu turut menyatakan sekiranya ingkar atau tidak mengendahkan peringatan itu maka tindakan selanjutnya akan dibuat.

“Bagaimanapun, setelah mengadakan perbincangan, kami mengambil keputusan kelas tersebut tidak akan ditutup malah satu laporan polis telah dibuat baru-baru ini atas nasihat peguam,” katanya.

Menurut Shahrul, kelas Pasti itu ditubuhkan berikutan mendapat permintaan daripada masyarakat setempat dan sehingga kini terdapat 13 kanak-kanak pra-sekolah mengikuti pengajian dan ini menunjukkan Pasti mendapat sokongan ibu bapa dan penjaga di sini.

Pasti tersebut beroperasi di sebuah rumah peneroka dengan kadar sewa sebanyak RM180 sebulan. Bagaimanapun, pihak Pasti dikatakan telah membelanjakan RM14,000 sebagai perbelanjaan kos baik pulih dan ubah suai.

“Kita menubuhkan Pasti bukan atas dasar politik tetapi bertujuan memberi pendidikan terbaik kepada kanak-kanak. Justeru saya berpendapat pendidikan yang berteraskan Islam dan akhlak tidak sepatutnya diheret menjadi mangsa politik

“Bukan saya kata tabika atau pra-sekolah tidak bagus tetapi Pasti mempunyai sukatan mata pelajaran tersendiri yang boleh diterima masyarakat dan sudah terbukti keberhasilannya,” katanya.

Jelasnya, sukatan mata pelajaran yang diajar adalah didikan asas kepada kanak-kanak dan bukannya yang sesuka hati. Malah, gurunya pula lepasan Kursus Asas Pendidikan Pasti, sementara modul pendidikannya diperbaharui atau dikemas kini dalam tempoh tiga atau empat tahun sekali.

Mohd Shahrul berkata, Pasti bukan hanya menghadkan pendaftaran kepada warga PAS sahaja malah di sesetengah tempat bukan Islam juga ada yang menghantar anak mereka ke situ.

Katanya, sememangnya sukatan mata pelajaran adalah berbeza dengan tabika atau pra-sekolah kerana keunikan itulah yang menarik minat ibu bapa untuk menghantar anak mereka.

“Kalau mata pelajaran atau teknik pembelajaran yang diajar sama dengan kelas yang lain, buat apa lagi kami menubuhkan Pasti,” katanya.

Khairil Abdul Rahim
Harakahdaily/-

Takziah: Bawa 'kain putih' kalau disiasat SPRM

04 Jamadilawwal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR,: Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat kesal dengan kejadian yang berlaku ke atas seorang pegawai kastam yang bertugas di Pelabuhan Klang yang ditemui mati ketika dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.

Sambil menyuarakan rasa kesal dengan kejadian yang tidak sepatutnya berlaku itu, mereka juga turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham di atas kematiannya yang agak tragis.

Ahli Parlimen Shah Alam (PAS), Khalid Samad berkata, kematian Allahyarham menimbulkan satu tanda tanya yang sama juga dengan mendiang Teoh Beng Hock kerana ia dilaporkan terjatuh ketika dalam proses siatan SPRM.

Menurut beliau, perkataan terjatuh memberikan gambaran tidak sengaja, tetapi yang menimbulkan tanda tanya, yang dikatakan terjatuh itu bukan kanak-kanak tetapi orang dewasa.

"Kalau kanak-kanak yang jatuh mungkin benar tidak sengaja kerana melompat dan sebagainya tetapi kalau orang dewasa, ini mungkin kerana terpaksa melompat atau ditolak," katanya ketika mencelah perbahasan yang sedang disampaikan oleh Ahli Parlimen Indra Mahkota (PKR), Azan Ismail, pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum itu, Azan ketika berucap membahaskan pembentangan Rang Undang-undang Perkapalan Saudagar (Pindaan dan Peluasan) 2010 bagi bacaan kali kedua, turut menyentuh perkara itu dan turut merakamkan rasa kesal, terharu serta takziah kepada keluarga mangsa bagi pihak dirinya serta kesemua rakan-rakannya ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, beliau turut mendesak Dewan Rakyat agar mengambil perhatian serius mengenai perkara itu supaya mendesak kerajaan jangan membiarkan lagi kejadian seperti itu berlaku pada masa akan datang.

"Kejadian terbaru ini jelas akan lebih menghakiskan lagi kepercayaan rakyat terhadap SPRM. Secara kebetulannya pula mangsa dan SPRM adalah sama-sama dari agensi penting kerajaan yang sama-sama terlibat dengan tugas penguatkuasaan undang-undang," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani (PKR), Datuk Johari Abdul ketika bangun mencelah berkata, kejadian terbaru itu ternyata bukan sekadar menghakiskan lagi kepercayaan rakyat terhadap SPRM, tetapi menjadikan SPRM bukan lagi agensi yang boleh diharapkan lagi untuk melakukan penyiasatan, tetapi tempat kematian.

"Selepas ini kalau ada sesiapa lagi yang akan disiasat oleh SPRM termasuk ahli-ahli Parlimen sendiri mestilah turut membawa bersama kain putih," katanya sinis.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff yang juga dari PKR ketika bangun untuk turut memperkatakan perkara itu turut bersetuju dengan hujahan tersebut, tetapi dihalang oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk diperkatakan dengan lebih jauh.

Sebelum itu, kesemua ahli Parlimen terbabit turut gagal untuk memperkatakan perkara itu dengan lebih jauh kerana dihalang keras oleh beliau, atas alasan perkara itu menyimpang dari tajuk perbahasan.

Ketika membangkitkan perkara itu, mereka turut diganggu oleh wakil BN yang membawa gambaran kejadian itu adalah kejadian amat kecil kepada mereka dan tidak perlu dibangkitkan di Dewan Rakyat.

Aziz Muda
Harakahdaily/-

Ambil peluang buat perubahan

04 Jamadilawwal 1432H. [MOD] -

MIRI, 6 April: Calon Pakatan Rakyat bagi N63 Piasau, Ling Sie Kiong (DAP) mengingatkan pengundi agar mengambil peluang terbaik ketika pilihan raya negeri (PRN10) 16 April ini.

Beliau yakin rakyat Sarawak boleh membuat perubahan pada kali ini setelah mereka melihat segala salahlaku BN selama ini.

Beliau merujuk kepada isu semasa melibat kepimpinan negeri Sarawak khasnya yang dibangkitkan banyak pihak apatah lagi menjelang PRN10.

(Gambar: Kiong bersama pemimpin DAP dan PAS ketika penamaan calon. Pic Ismail Hashim)

Kiong ditemui dalam sidang media selepas tamat proses penamaan calon di Dewan Suarah, dekat sini.

Peguam muda berusia 28 itu baharu sahaja bertunang Disember lalu berazam membawa suara rakyat Miri khusus yang tidak pernah didengar selama ini.

Turut berada di situ adalah Setiausaha Publisiti DAP yang juga Exco Selangor, Teresa Kok, Bendahari PAS Kawasan Miri, Dzaidin Sobri, Bendahari Pemuda PAS Kawasan Miri, Naufal dan AJK PAS Miri, Idris Yasin.

Pagi ini berlangsung juga proses penamaan calon di dua kawasan negeri yang berada di bawah Parlimen Miri.

Untuk kawasan Senadin berlangsung di Stadium Tertutup di mana calon Pakatan dari PKR Dr Michael menentang Lee Kim Shin (SUPP BN).

Dalam masa sama di Pujut, Pakatan Rakyat meletakkan Fong Pau Teck sebagai calon menentang Andy Chia Chu Fatt (SUPP BN).

Tempat penamaan itu walaupun berasingan tetapi dekat dalam jarak antara satu cuma 300 meter sahaja.

Suasana pilihan raya masih belum kelihatan di sini dan dikatakan memang begitulah keadaannya.

Ismail Hashim
Harakahdaily/-

PAS buka jalan rakyat Sarawak buat perubahan

04 Jamadilawwal 1432H. [MOD] -

KOTA SAMARAHAN, : Rakyat Sarawak sudah menyedari salah laku Ketua Menteri mereka, Tan Sri Abdul Taib Mahmud namun takut untuk membuat perubahan, kata ahli jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Beliau berkata, PAS sudah bersedia untuk membantu rakyat Sarawak keluar daripada ketakutan itu dan membuat perubahan di negeri ini.

"Rakyat Sarawak ngin meyakinkan parti-parti yang bertanding khususnya Pakatan Rakyat bahawa salah laku keluarga Taib Mahmud diketahui umum tapi mereka kurang berani menunjukkan kemarahan.

"Mereka gerun dan takut untuk buat perubahan dan mengharapkan kami untuk tanamkan keyakinan untuk jatuhkan Taib. Kita buat satu mukadimah masuk ke Muara Tuang supaya mereka berasa yakin," katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon di Dewan Suarah, dekat sini hari ini.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu juga berkata, PAS sudah pasti ingin merampas kerusi itu dari BN, apatah lagi calonnya ialah adik Taib sendiri.

Namun katanya, jika hanya berjaya mengurangkan majoriti BN sekalipun, ianya merupakan kejayaan besar kerana PAS baru pertama kali bertanding di Dun itu.

"Peluang untuk PAS menang nampaknya 50-50 kerana ini kali pertama PAS bertanding di sini. Sebelum ini PKR bertanding dan mereka kalah dengan majoriti enam ribu lebih. Jadi kita rasa kalau pun kita dapat kurangkan majoriti pun satu kejayaan besar," katanya.

Mengulas mengenai calon wanita yang diletakkan PAS pula, beliau berkata ianya satu keputusan tepat kerana majoriti pengundi di Muara Tuang terdiri daripada wanita.

"Sebahagian besar pengundi di Dun ini adalah wanita jadi dengan PAS meletakkan Noraini yang dikenali di kalangan kebanyakan wanita di sini ini satu pilihan yang tepat," katanya.

Ini juga, katanya satu penghormatan kepada Dun Sarawak apabila memberi peluang kepada calon wanita.

"PAS memang mahu mengenengahkan lebih ramai calon wanita dan ini merupakan penghormatan kepada Dewan Undangan Negeri Sarawak kerana boleh memberi peluang kepada calon wanita untuk menganggotai dewan," katanya.

PAS meletakkan Noraini Hamzah, 49, bagi menentang calon BN-PBB, Datuk Seri Mohamad Ali Mahmud, 61.

Hazayani Zakaria
Harakahdaily/-