04 Jamadilawwal 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR,: Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat kesal dengan kejadian yang berlaku ke atas seorang pegawai kastam yang bertugas di Pelabuhan Klang yang ditemui mati ketika dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.
Sambil menyuarakan rasa kesal dengan kejadian yang tidak sepatutnya berlaku itu, mereka juga turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham di atas kematiannya yang agak tragis.
Ahli Parlimen Shah Alam (PAS), Khalid Samad berkata, kematian Allahyarham menimbulkan satu tanda tanya yang sama juga dengan mendiang Teoh Beng Hock kerana ia dilaporkan terjatuh ketika dalam proses siatan SPRM.
Menurut beliau, perkataan terjatuh memberikan gambaran tidak sengaja, tetapi yang menimbulkan tanda tanya, yang dikatakan terjatuh itu bukan kanak-kanak tetapi orang dewasa.
"Kalau kanak-kanak yang jatuh mungkin benar tidak sengaja kerana melompat dan sebagainya tetapi kalau orang dewasa, ini mungkin kerana terpaksa melompat atau ditolak," katanya ketika mencelah perbahasan yang sedang disampaikan oleh Ahli Parlimen Indra Mahkota (PKR), Azan Ismail, pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum itu, Azan ketika berucap membahaskan pembentangan Rang Undang-undang Perkapalan Saudagar (Pindaan dan Peluasan) 2010 bagi bacaan kali kedua, turut menyentuh perkara itu dan turut merakamkan rasa kesal, terharu serta takziah kepada keluarga mangsa bagi pihak dirinya serta kesemua rakan-rakannya ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat.
Sehubungan itu, beliau turut mendesak Dewan Rakyat agar mengambil perhatian serius mengenai perkara itu supaya mendesak kerajaan jangan membiarkan lagi kejadian seperti itu berlaku pada masa akan datang.
"Kejadian terbaru ini jelas akan lebih menghakiskan lagi kepercayaan rakyat terhadap SPRM. Secara kebetulannya pula mangsa dan SPRM adalah sama-sama dari agensi penting kerajaan yang sama-sama terlibat dengan tugas penguatkuasaan undang-undang," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani (PKR), Datuk Johari Abdul ketika bangun mencelah berkata, kejadian terbaru itu ternyata bukan sekadar menghakiskan lagi kepercayaan rakyat terhadap SPRM, tetapi menjadikan SPRM bukan lagi agensi yang boleh diharapkan lagi untuk melakukan penyiasatan, tetapi tempat kematian.
"Selepas ini kalau ada sesiapa lagi yang akan disiasat oleh SPRM termasuk ahli-ahli Parlimen sendiri mestilah turut membawa bersama kain putih," katanya sinis.
Ahli Parlimen Balik Pulau, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff yang juga dari PKR ketika bangun untuk turut memperkatakan perkara itu turut bersetuju dengan hujahan tersebut, tetapi dihalang oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk diperkatakan dengan lebih jauh.
Sebelum itu, kesemua ahli Parlimen terbabit turut gagal untuk memperkatakan perkara itu dengan lebih jauh kerana dihalang keras oleh beliau, atas alasan perkara itu menyimpang dari tajuk perbahasan.
Ketika membangkitkan perkara itu, mereka turut diganggu oleh wakil BN yang membawa gambaran kejadian itu adalah kejadian amat kecil kepada mereka dan tidak perlu dibangkitkan di Dewan Rakyat.
Aziz Muda
Harakahdaily/-
1 ulasan:
terbukti barisan nasional bukan pembela rakyat,klu tiada keuntungan pada mereka,mati le 10ribu org pun,mereka xkan peduli...mereka akan ckp itu semua perkara biasa..sokong lagi barisan,supaya nasib rakyat terus tidak dipedulikan walaupun nyawa melayang..
Catat Ulasan