17 Jun 2011

51 laman web tempatan telah digodam masih bermasalah .

Senarai laman we yang telah digodam sehingga kelmarin.
15 Rejab 1432H. [MOD] -

Menurut kenyataan akhbar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), sebanyak 51 laman web tempatan telah diserang sehingga awal pagi kelmarin menyebabkan 41 daripadanya berjaya digodan dan mengalami gangguan pada tahap yang berbeza.

Laman SKMM - www.skmm.gov.my. juga diserang tetapi tidak berjaya.

Pada pagi kami cuba mengakses beberapa laman web yang tersenarai diatas dan ternyata sebahagian besar yang kami cuba mesih mengalami gangguan yang serius malah tidak dapat diakses langsung. Setiap laman yang berjaya dimasuki memerlukan waktu yang lama.

Serangan itu berlaku ekoran kenyataan sebuah kumpulan dikenali Anonymous untuk menggodam laman web rasmi kerajaan www.malaysia.gov.my semalam dengan alasan kononnya kerajaan mengenakan sekatan Internet.

Dalam perkembangan berkaitan pihak Polis menyatakan telah mendapat petunjuk baru mengenai pihak yang menggodam laman web rasmi kerajaan dan swasta sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya 41 laman web agensi kerajaan mengalami gangguan sejak semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar ketika mengesahkan perkara itu, bagaimanapun enggan mendedahkan petunjuk tersebut kerana bimbang menganggu siasatan.

"Masih awal lagi untuk kita dedahkan siapa yang terlibat kerana siasatan sedang berjalan. Kita sedang membantu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menangani isu tersebut," katanya pada sidang akhbar kelmarin.

16 Jun 2011

NGO gesa kaji menyeluruh isu murtad

14 Rejab 1432H. [MOD] -

Pelbagai NGO Islam mahukan kerajaan membuat kajian terperinci terhadap punca sebenar 'bermaharajalelanya' fenomena murtad di negara ini.

Ini kerana, menurut mereka, tanpa mengetahui punca sebenar masalah itu, gelaja itu tidak akan dapat ditangani dengan berkesan.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) beranggapan stastistik baru yang didedahkan di parlimen kelmarin merupakan petunjuk supaya kajian menyeluruh mesti dilakukan.

"Saya ingat (kita) perlu menjalankan kajian yang terperinci punca (orang Islam) keluar dari agama Islam, sebab kita tidak tahu lagi apakah yang menyebabkan mereka berbuat demikian," kata Presiden ABIM Dr Muhd Razak Idris.

Malaysiakini kelmarin melaporkan, permohonan untuk murtad adalah 686 manakala permohonan yang diluluskan adalah 135 orang antara tahun 2000 hingga 2010.

Laporan itu berdasarkan statistik yang diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di parlimen yang menyatakan permohonan menukar status agama oleh orang Islam di Mahkamah Syariah berjumlah 863 kes dan sebanyak 168 kes diluluskan.

Bagaimanapun perangkaan yang dibekalkan itu tidak selaras dengan jumlah yang dikira.

Menteri berkenaan semalam dilaporkan menafikan laporan itu kerana sehingga kini belum ada satu pun kes yang diluluskan oleh Mahkamah Syariah.

Pekida: Kenapa mereka berjaya

Sementara itu, Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin pula berpendapat, kajian tersebut perlu menjurus untuk mencari punca kerana kefahaman agama umat Islam masih belum kuat.

"Banyak masalah yang berlaku sebenarnya, tetapi mereka (yang terlibat) sukar meluahkannya, (melainkan) hanya kepada orang yang dipercayai sahaja," katanya.

Beliau mencadangkan, tumpuan perlu dibuat di Sabah kerana negeri tersebut mencatatkan jumlah permohonan keluar murtad yang tertinggi iaitu sebanyak 238 kes.

Menurut Zaid (kiri) lagi, mungkin kefahaman Islam tidak dipupuk melalui institusi kekeluargaan dengan baik.

Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) pula berkata, kajian perlu dilakukan bagi memastikan sama ada faktor teknikal, seperti orang Islam yang dibesarkan oleh bukan Islam, menjadi penyumbang kepada gejala itu.

"(Ia) perkembangan yang membimbangkan, kajian segenap sudut boleh dilakukan dari segi undang-undang yang memerlukan peruntukkan kemas dan seragam kerana undang-undang yang ada di negeri tidak seragam," kata jurucakap PEMBELA Dr Yusri Mohamad.

Sementara itu, Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiyah Malaysia (Pekida) pula meminta pihak berkuasa agama mengkaji bagaimana golongan bukan Islam dapat mempengaruhi umat Islam menukar agamanya.

"Kenapa (orang) Kristian berjaya? Mereka boleh duduk sekali (dengan masyarakat). Kita orang Islam tidak boleh duduk sekali. Saya buat (kesimpulan) ini secara umum," kata Presiden Jamaludin Yusof dalam nada menyindir.

malaysiakini/-

Murtad: Mengapa Perkasa senyap

14 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Jun: Perkasa yang dikatakan ingin mempertahankan hak orang Melayu Islam dalam semua aspek dan hak pribumi tetapi mengapa senyap daripada memperkatakan isu murtad.

Dewan Pemuda PAS Pusat melihat penyata rasmi yang dikeluarkan oleh Parlimen Malaysia jawapan bertulis daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mengatakan Mahkamah Syariah telah menerima 863 kes permohonan untuk menukar status agama Islam dari tahun 2000 hingga 2010 ketika menjawab soalan lisan daripada Er Teck Hwa (DAP-Bakri) dengan sebanyak 135 orang yang diluluskan untuk keluar Islam tanpa dapat mendengar suara daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) walaupun presidennya juga adalah seorang ahli parlimen.

“Apakah pendirian Perkasa di dalam isu murtad sepertimana yang dilaporkan di dalam Dewan Rakyat pada 14 Jun lepas?

“Apa yang dilakukan oleh Datuk Ibrahim Ali setelah diperjelaskan oleh Datuk Seri Jamil Khir berkaitan statistik tersebut?” tanya Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Dr Raja Ahmad al-Hiss (gambar).

Pemuda PAS, katanya curiga pendekatan selama ini yang dimainkan oleh Perkasa jika isu murtad langsung tidak memberikan kesan sensitif terhadap perjuangannya yang wujud selama ini.

Baginya, hanya dengan keberanian di dalam akhbar sahaja, Perkasa sesuai menukar namanya kepada Perkasi.

“Bagi kami, perjuangan Perkasa hanya berkisar elemen politik kepartian semata-mata. Perkasa langsung tidak sensitif terhadap isu murtad yang melanda umat Islam kini,” katanya.

Menurutnya, Perkasa akan hanya sensitif terhadap isu politik yang menyentuh PAS, PKR dan DAP sahaja dan akan terus menjuarai isu politik untuk mempertahankan Umno Barisan Nasional (BN) sahaja.

Beliau menambah, jelas rakyat perlu menolak perjuangan Perkasa yang berteraskan politik semata-mata tanpa melihat bahawa isu murtad sebagai keutamaan daripada isu politik tanah air.

Dalam masa yang sama, ujarnya Perkasa dilihat takut menegur kerajaan di dalam isu aqidah dan kepentingan agama selama ini.

harakahdaily/-

Adik bongsu kembar 3 mati dipercayai didera

14 Rejab 1432H. [MOD] -

GAMBAR lama kembar tiga yang dilahirkan pada 8 Mac 2008, Khoo Jin Ghi (kanan) meninggal dunia di rumahnya di Parit Jawa, Isnin lalu.

MUAR: Keceriaan hidup pasangan kembar tiga yang dilahirkan ketika hari mengundi Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dekat Parit Jawa di sini, berakhir tragedi apabila adik bongsu mereka mati dipercayai akibat didera.

Khoo Jin Ghi, tiga tahun, turut dikenali sebagai Patrick Tey, meninggal dunia selepas dirujuk untuk rawatan kecemasan di sebuah hospital swasta dekat Batu Pahat pada Isnin lalu.

Jin Ghi bersama ibu bapanya serta dua lagi saudara kembarnya dikenali sebagai Jin Siang dan Jin Teng, menetap di Parit Bulat dekat Parit Jawa di sini, sejak dilahirkan pada 8 Mac 2008.

Kesan kecederaan pada pipi dan kepala mangsa menimbulkan kecurigaan kepada doktor yang merawatnya, mendorong pengurusan hospital terbabit membuat laporan polis terhadap kemungkinan kanak-kanak itu menjadi mangsa deraan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Lee Choon Guan berkata, susulan kejadian itu, polis menahan bapa mangsa yang berusia 39 tahun untuk membantu siasatan lanjut terhadap punca kematian anaknya.

“Setakat ini, kita masih menjalankan siasatan dan menunggu laporan bedah siasat yang dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian kanak-kanak terbabit. Sehingga ini, saya tidak boleh mengesahkan, sama ada ia kes dera atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bagaimanapun, difahamkan kes terbabit sedang disiasat mengikut Seksyen 31, Akta Kanak-Kanak 2001, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu tinjauan Berita Harian ke rumah mangsa, mendapati rumah dua tingkat yang didiami keluarga mangsa terletak agak jauh daripada jiran terdekat dan ketika tinjauan dibuat, rumah itu tidak berpenghuni.

Sementara itu, pengurusan sebuah pusat jagaan kanak-kanak yang terletak berhampiran, mengakui tiga beradik kembar itu dihantar ke situ oleh ibu mereka sejak April lalu untuk mendapatkan asuhan itu.

“Biasanya, sebelah pagi ibu kanak-kanak terbabit akan menghantar tiga beradik itu ke sini, dan mereka akan dihantar pulang ke rumah oleh pengurusan pusat ini pada sebelah petang,” katanya yang enggan dikenali, ketika ditemui.

Petugas itu berkata, beberapa hari sebelum cuti persekolahan pada 28 Mei 2011 lalu, mangsa tidak dihantar ke pusat terbabit bersama dua saudaranya dengan alasan berada di rumah kerana sakit.

Difahamkan ibu pasangan kembar tiga itu bekerja sebagai pengurus sebuah syarikat ukur, manakala bapa mereka menjalankan perniagaan jual beli sawit.

beritaharian/-

Pengarah Ditamas Dakwa Diarah Khir Toyo Untuk Berbohong Kepada SPRM

14 Rejab 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM : Pengarah Ditamas Sdn Bhd (Ditamas), Datuk Shamsuddin Hayroni mengaku berbohong kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, (SPRM) atas arahan Dr Mohd Khir Toyo bersabit penjualan dua lot tanah di bawah harga pasaran kepada bekas menteri besar selangor.

Shamsuddin memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam berkata beliau hanya menukar keterangannya kepada SPRM 7 Jun lalu kerana ingin menceritakan perkara yang benar.

Keterangan terbaru Shamsuddin kepada SPRM dibuat selepas badan itu menggugurkan tuduhan beliau bersubahat dengan Khir Toyo dalam melakukan jenayah itu.

Shamsudin ketika menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwaraya, menyatakan dia menyedari terdapat beberapa keterangan diberikan pada 2009 lalu yang tidak benar dan perlu dibetulkan.

Antara keterangan berbeza adalah Shamsuddin melantik kontraktor, Nasir Ismail bagi kerja pengubahsuaian banglo mewah itu (2009). Samsuddin berkata sebenarnya Khir Toyo yang melantik Nasir bagi kerja berkenaan.

Beliau juga menjelaskan Khir meminta beliau memberitahu SPRM bahawa beliau menjual lot banglo itu di bawah harga pasaran kerana menghadapi masalah kewangan dan bukan atas tuntutan bekas menteri besar selangor itu.

Shamsuddin memberitahu mahkamah semalam bahawa beliau menunaikan permintaan Khir mmbeli dua lot itu kerana bimbang projek-projeknya di Selangor akan terjejas jika beliau engkar.

Justeru Shamsuddin tidak ada pilihan selain menjual dua lot itu untuk RM3.5juta sungguhpun harga pasaran adalah lebih RM6juta.

Shamsudin menolak andaian peguambela, Kamarul Hisham Kamaruddin kononnya pembelian rumah banglo itu diarahkan Dr Mohd Khir adalah rekaannya setelah tuduhan terhadapnya digugurkan.

Ketika Hakim Datuk Mokhtarudin Baki mengulangi pertanyaan, Shamsuddin berkata dia memahami maksud arahan Dr Mohd Khir itu bahawa dia diarahkan membeli rumah banglo itu menerusi cara percakapan dan bahasa tubuh ditunjukkan Bekas Menteri Besar itu.

Beliau ketika ditanya mengaku membuat bayaran tunai RM1.5 juta sebanyak tiga kali iaitu RM500,000 kepada jurulandskap Nasir Ismail tanpa dibekalkan resit.

Shamsuddin juga mengaku tidak meminta resit bagi tujuan pembayaran itu tetapi bila ditanya berulang kali, mengakui ia penting sebagai bukti.

Shamsuddin juga berkata, dia memulakan kerjaya sebagai Kontraktor sebelum 1995 dan sebagai Pemaju pada 1995 atau selepas itu serta mengakui pernah berurusan dengan Kerajaan Negeri ketika Tan Sri Abu Hassan Omar menjadi Menteri Besar Selangor.

Beliau mendapat beberapa projek pembangunan perumahan dari anak syarikat Kerajaan Negeri, PKNS dan PNSB seperti di Bandar Baru Bangi dan Sungai Long Cheras menerusi dua syarikatnya, RongNiaga dan Bidalan Lumayan.

Mengulas berhubung dakwaan Kamarul Hisham bahawa dia adalah Pemaju pengalaman dan berjaya, dia hanya menjawab – Alhamdullillah tetapi ditegur oleh Mokhtarudin dan bersetuju dengan apa dikatakan peguambela itu.

Kes perbicaraan rasuah Dr Khir Toyo masuk hari ke enam hari ini dengan Shamsuddin tampil memberi keterangan.

Dr Khir Toyo didakwa memperoleh dua lot tanah dan sebuah banglo bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta daripada syarikat kepunyaan Shamsuddin, Ditamas.

Sebagai balasan, Dr Khir Toyo dituduh menggunakan kedudukan sebagai Menteri Besar untuk memperolehi pelbagai projek bagi Ditamas dan Shamsudin.

Khir Toyo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika disabit kesalahan.

tv selangor/-

DNA babi: Kerajaan perlu tegas beri sijil halal

14 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Jun: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut dan merasa bimbang dengan pendedahan sejak akhir-akhir ini mengenai pelbagai produk makanan yang digunakan dengan meluas oleh umat Islam mengandungi DNA babi.

Presidennya, SM Mohamed Idris (gambar) berkata, terbaru pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendedahkan keputusan oleh Jabatan Kimia Malaysia yang menguji sampel produk HP Sauce dan Tabasco Pepper Sauce mengesahkan terdapat asid deoksiribonukleik (DNA) babi di dalamnya.

Laporan akhbar hari ini menyatakan semua pemegang dan pemohon baru Sijil Halal Malaysia yang menggunakan produk HP Sauce dan Tabasco Pepper Sauce diarah menukarkannya kepada produk lain yang memiliki sijil halal berikutan penemuan DNA babi dalam produk berkenaan.

“Bagi umat Islam, sebarang isu yang berkaitan persoalan halal haram perlu diambil serius, kerana ia sesuatu yang amat sensitif kepada mereka,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

CAP juga, ujarnya menggesa pihak berkuasa bertindak tegas dengan menguji sampel produk berkaitan dengan sos selain daripada jenama berkenaan memandangkan begitu banyak sos yang dikeluarkan dalam negara atau pun dari luar negara.

Beliau menambah, perkara itu perlu diberi perhatian serius kerana sos digunakan di dalam banyak bahan masakan di rumah dan juga di kedai, restoran dan gerai-gerai makanan terutamanya dalam makanan ala Barat.

Menurutnya lagi, melalui pembangunan teknologi makanan, pemprosesan makanan menjadi semakin kompleks dan pengguna juga mempunyai pelbagai makanan yang diproses untuk dipilih dan keadaan itulah yang mendedahkan pengguna kepada pelbagai jenis makanan yang mungkin mengandungi bahan haram.

Oleh sebab itu, tegasnya CAP menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya menarik balik dengan segera penjualan dua produk itu yang dijual di Malaysia.

“CAP menggesa rakyat Malaysia supaya berhati-hati dan menghentikan segera pengambilan sos sehingga kandungannya disahkan halal oleh Jakim,” ujarnya.

Pengguna juga, katanya perlu mengelak daripada mengambil produk Chicken Burger Patties dan Chicken Taiwan Sausage kerana Sijil Pengesahan Halal telah ditarik balik.

Sehubungan itu, ujarnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mestilah dengan segera mengambil tindakan untuk menarik balik sepenuhnya produk itu dari pasaran kerana ia sesuatu yang serius dan memerlukan tindakan segera.

harakahdaily/-

30,000 pemuda Perak sertai Bersih 2.0

14 Rejab 1432H. [MOD] -

IPOH, 16 Jun: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menyokong penegasan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan bahawa akan tetap menerus perancangan bagi menjayakan himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai ini di Kuala Lumpur.

Ketua penerangannya, Mohd Akmal Kamarudin berkata, seramai 30 ribu akan bersama-sama untuk turun di dalam himpunan tersebut dan menyeru kepada rakyat Negeri Perak yang dinafikan hak mereka memilih menteri besar yang sah supaya dapat turut bersama.

“Kami tegaskan bahawa apa yang akan dilakukan ini adalah satu jihad menegakkan keadilan dan kami ingin pastikan satu cara yang akan merubah sistem pilihan raya yang benar-benar bersih tanpa penyelewangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulangi bahawa himpunan itu bukan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan, tetapi ianya bertujuan menuntut agar kerajaan akur dengan tuntutan rakyat supaya pilihan raya perlu bersih bagi memastikan Umno Barisan Nasional (BN) tumbang pada pilihan raya yang akan datang kerana telah banyak menyusahkan dan menipu rakyat selama ini.

“Kita hanya menuntut pihak Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia agar melaksanakan tuntutan penggunaan dakwat kekal (sebagaimana yang dilakukan di Indonesia dan India) untuk menghalang pengundian berganda, pemansuhan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain di luar negara.

“Penyemakan semula daftar pemilih yang lengkap demi memastikan segala kesalahan dan ketimpangan yang sedia ada dapat dihapuskan dan menyediakan satu daftar pemilih yang sebenar-benarnya telus dan meyakinkan,” katanya.

Selain itu, ujarnya semua parti yang bertanding sepatutnya menerima akses yang sama rata kepada media yang dikawal kerajaan terutamanya TV dan radio.

Tambahnya, iklan politik daripada semua parti mestilah diterima tanpa sebarang sikap pilih kasih sementara media juga perlu memberi hak menjawab sekiranya terdapat laporan berunsur negatif yang berkaitan dengan seseorang ahli politik atau parti politik.

“Kami tidak gentar dengan pelbagai ugutan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab bagi memastikan kegagalan himpunan ini nanti tetapi

kami pertegaskan bahawa himpunan tersebut adalah hak dan demokrasi yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara.

“Kami bersama badan bukan kerajaan atas nama Bersih akan bersedia berdepan dengan Perkasa yang mengetuai Kotor (Badan Bertindak Pilihanraya Kotor) nanti,” katanya.

harakahdaily/-

Tahniah, media perdana iklan Bersih 2.0

14 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Jun: Bukan senang hendak mendapat liputan di media perdana mengenai aktiviti pembangkang di negara ini, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).

“Nampaknya program Bersih 2.0 yang diadakan pada 9 Julai ini mendapat liputan yang meluas di kaca televisyen dan dada akhbar,” katanya kepada Harakahdaily.

Justeru, katanya sekalung tahniah diberikan kepada pemilik media, kerana mengiklankan program tidak berbayar.

Katanya, program Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sudah pun berjaya walaupun belum sampai masanya, kerana ia mendapat ulasan yang meluas oleh pemimpin BN.

Ini, ujarnya adalah tanda aras kejayaan rakyat yang hendak memulih sistem demokrasi di negara ini.

Menurutnya, setakat hari ini lebih daripada 400 laporan polis yang dibuat oleh Umno, cuma berlainan nama untuk menggagalkan tuntutan rakyat.

Katanya, Datuk Seri Khalid Abu Bakar selaku Timbalan Ketua Polis Negara telah memberi amaran untuk membuat tangkapan awal sebagai usaha untuk menakutkan rakyat.

“Kita harapkan supaya pihak polis jangan dipandang oleh rakyat hanya untuk menjaga keselamatan Umno, bukan keselamatan negara, bertindaklah secara profesional, bukan emosional,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kenapa demonstrasi kepala lembu di Shah Alam tidak ada gangguan.

“Setitik air pun tidak disembur kepada mereka, sedangkan ini adalah demo yang berbentuk perkauman dan penghinaan kepada agama, ia boleh terbakar negara.

“Cuba bayangkan jika demo itu dibuat oleh penyokong Pakatan Rakyat, sudah pasti mereka yang terlibat disumbat di dalam ISA,” ujarnya lagi.

HARAKAHDAILY/-

2 rakan karib mati berpelukan

14 Rejab 1432H. [MOD] -

Nasional Cetak . Emel Rakan .
2 rakan karib mati berpelukan
Oleh Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@bharian.com.my
2011/06/16

Amierul Hakim (kiri) dan Mohd Adhamerudin.
Mangsa lemas ketika mandi di pusat perkelahan bersama dua rakan lain

KUANTAN: Menyayat hati apabila mayat dua sahabat karib yang lemas ketika mandi di pusat perkelahan Pasir Kubur, dekat Sungai Lembing di sini, semalam, ditemui dalam keadaan berpelukan.
Mayat mangsa, bekas pelajar Kolej Matrikulasi Gambang, Amierul Hakim Mustafa, 19, dari Indera Mahkota 8, di sini dan pelajar jurusan Bioteknologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, Mohd Adhamerudin Omar, 21, dari Taman GPT, Jalan Padang Sanai, Kuala Nerang, Kedah ditemui kira-kira jam 9.15 pagi oleh sepasukan anggota polis yang menjalankan misi mencari mangsa.

Bapa Amierul, Mustafa Awang, 51, ketika ditemui di lokasi kejadian, berkata beliau dimaklumkan anaknya bersama tiga rakan pergi ke lokasi kejadian kira-kira jam 8 pagi selepas selesai mendaki Bukit Panorama, di situ.

Beliau yang sedang berniaga di Stadium Darul Makmur, di sini, dimaklumkan mengenai kejadian terbabit melalui seorang rakannya sebelum bergegas ke tempat kejadian untuk melihat keadaan anaknya.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, saya tidak dapat menahan kesedihan ketika melihat sepasukan anggota penyelamat sedang mengangkat mayat Amierul selepas ditemui dalam sungai berkenaan.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah petang kelmarin dan tidak sempat untuk bertemu dengannya pagi ini (semalam) kerana arwah tiada dalam bilik dan menyangka dia ke masjid untuk menunaikan solat Subuh,” katanya.
Mustafa berkata, beliau langsung tidak mengetahui arwah pergi berkelah kerana rutin hariannya setiap pagi ke masjid untuk menunaikan solat Subuh atau mengadakan aktiviti lain namun tetap reda dengan kejadian terbabit.

“Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Bukit Kuin 2, di sini, selepas Asar,” katanya.

Difahamkan, Amierul sedang menunggu panggilan untuk melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) manakala Mohd Adhamerudin adalah pelajar semester empat di UIAM dan bekerja sambilan di sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Ubi, di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha, ketika dihubungi di sini mengesahkan kejadian yang berlaku.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua mangsa bersama dua rakan menunaikan solat Subuh di Masjid Jamek Sungai Lembing sebelum mendaki Bukit Panorama, Sungai Lembing.

"Selepas pendakian, kedua mangsa mandi manakala dua lagi rakan Mohd Adhamerudin, Mohd Ezuan Mohd Adnan, 22, dari Taman Rapat Setia, Ipoh dan Arif Kamal Nasir, 21, dari Indera Mahkota, di sini, sedang memasak untuk menyediakan sarapan pagi.

"Bagaimanapun, tiba-tiba seorang daripada rakan mangsa berkenaan mendakwa terdengar bunyi jeritan meminta pertolongan sebelum melihat tangan mangsa terkapai-kapai dan cuba membantu namun gagal berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata, rakan mangsa kemudian menghubungi polis sebelum sepasukan anggota bersama Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Indera Mahkota dan penduduk kampung bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan gerakan mencari mangsa.

"Bagaimanapun, kedua-dua mayat mangsa ditemui polis dalam keadaan berpeluk di sungai itu tidak jauh daripada tempat kejadian sebelum dibawa ke tebing dan dihantar ke Rumah Mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini untuk bedah siasat," katanya.

berita harian/-

Data Pelancongan Sabah bocor selepas digodam

14 Rejab 1432H. [MOD] -

Di sebalik jaminan polis bahawa tidak ada data yang akan bocor dalam serangan ke atas laman web kerajaan malam semalam, satu set data pengguna didakwa berjaya dicuri dari laman Pelancongan Sabah dan disiarkan di Internet.

Data 392 akaun pengguna laman itu kemudian dimuat-naikkan ke sebuah portal bebas yang tidak dikenali. Ia turut memuatkan emel pengguna, nama pertama dan akhir pengguna dan juga kata lauan mereka yang telah dipadamkan.

Sementara itu, The Star/Asia News Network melaporkan laman yang digodam itu dikesan awal pagi ini oleh ketua pegawai eksekutif syarikat berkenaan.

"Sebahagian daripada laman web itu didapati telah dipadamkan apabila saya melayarinya,” kata Dhillon Andrew Kannabhiran, yang mengetuai Hack In The Box (M) Sdn Bhd.

"Saya baru pulang dari lawatan luar negara,” kata portal itu.

Laman Pelancongan Sabah telah dihentikan seketika.

F-Secure Corporation (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat perisian keselamatan komputer mengesahkan perkara itu.

malaysiakini/-

Indonesia tingkat kawalan keselamatan

14 Rejab 1432H. [MOD] -

ABU BAKAR membaca dokumen di dalam sel tahanan di Jakarta.
3,000 polis, tentera dikerah kawal pusat beli-belah

JAKARTA: Indonesia semalam mengetatkan kawalan keselamatan di pusat beli belah di Jakarta berikutan ancaman bom sehari sebelum perbicaraan pendakwah radikal Abu Bakar Bashir atas tuduhan keganasan, kata polis.

“Saya mengarahkan kawalan keselamatan di pusat beli belah diutamakan, kami akan menghantar lebih banyak pegawai untuk memastikan keselamatan awam,” kata ketua polis Jakarta, Sutarman memberitahu wartawan.

Lebih 3,000 polis dan tentera yang dibantu oleh kenderaan berperisai dan beberapa penembak hendap akan mengawal perbicaraan di mahkamah daerah selatan Jakarta, kata polis.

Polis mengambil beberapa langkah pencegahan khusus selepas menerima pesanan ringkas telefon mengancam berlakunya serangan pengganas berleluasa di negara majoriti Islam itu, kata Suratman.

“Banyak pesanan sms disebarkan dengan beberapa ancaman serius. Kami tidak memandang ringan ancaman ini,” tambahnya.

Abu Bakar, 72, didakwa menyediakan pembiayaian lebih daripada AS$62,000 (RM187,770) kepada kumpulan pengganas mirip al-Qaeda di Acheh yang merancang serangan di Indonesia dan pendakwa memohon untuk hukuman seumur hidup.

Beliau dilihat sebagai pemimpin kerohanian militan Asia Tenggara tetapi beliau menafikan peranannya dalam aktiviti pengganas.

Jurucakap mahkamah, Ida Bagus Dwiyantara berkata, hakim yang mengendalikan kes Abu Bakar turut menerima pesanan ringkas ancaman yang berkata akan ada letupan bom di beberapa tempat.

“Polis akan menyediakan kawalan keselamatan khas kepada hakim,” kata Ida Bagus.

Kawalan keselamatan turut ditempatkan di sekeliling mahkamah dan hanya mereka yang mempunyai pas pengenalan khas seperti wartawan dibenarkan memasuki premis.

Indonesia sudah digegarkan dengan beberapa siri serangan pengganas oleh rangkaian Jemaah Islamiah sejak beberapa tahun termasuk pengeboman Bali pada 2002 yang membunuh 202 orang. – AFP.

beritaharian/-

Bahaya menabur fitnah

14 Rejab 1432H. [MOD] -
KHEU Brunei Darussalam

Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benarnya iaitu dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi mukmin yang sejati dan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Amin Yarabbal Alamin.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana melimpahkan nikmat yang tidak terkira banyaknya kepada kita. Di antara nikmat yang utama yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala kepada hambanya ialah lidah. Lidah mempunyai kebaikan dan manfaat yang amat banyak, bagi mereka yang menjaga dan menggunakannya ke arah tujuan yang sebenar seperti berzikir kepada Allah Subhanahu Wata'ala, membaca Al-Quran, berdakwah menyeru manusia ke arah mentaati perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya dan memberi nasihat serta teguran yang berguna kepada sesama manusia. Sesungguhnya lidah itu merupakan nikmat yang amat berharga kerana itu kita hendaklah menjaga dengan sebaik-baiknya, jangan sampai disalahgunakan seperti membuat fitnah.

Namun dalam era kemajuan sains dan teknologi ini, manusia bukan sahaja menyebar fitnah menggunakan lisan, tetapi juga melalui kecanggihan teknologi maklumat, samada melalui media cetak mahupun media elektronik. Tujuan kemudahan itu dicipta adalah untuk memudahkan kita melihat, mendengar dan menyebarkan apa jua berita dan maklumat tentang keadaan yang berlaku di sekeliling kita, samada apa yang berlaku di dalam negeri mahupun di luar negeri. Oleh itu kita hendaklah menggunakan kemudahan-kemudahan tersebut dengan baik dan bijaksana. Namun apa yang membimbangkan pada masa ini terdapat segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan menyalahgunakannya untuk menyebarkan berita-berita yang tidak benar, khabar-khabar angin apatah lagi yang mengandungi unsur-unsur fitnah.

Ahli jumaat yang dirahmati Allah,

Kita perlu mengetahui fitnah itu adalah satu perkara yang buruk dan boleh menjejaskan maruah seseorang. Fitnah ialah tuduhan, khabar, kisah dan lain-lain yang diadakan atau dibuat-buat untuk memburukkan seseorang dan memfitnah pula ialah membuat fitnah dan mengada-adakan sesuatu untuk memburuk-burukkan sesuatu pihak yang dilakukan samada dengan perkataan atau tulisan atau isyarat dan gerakan dan sebagainya, samada perkara itu sememangnya suatu keaiban atau kekurangan mahupun bukan. Orang yang membuat fitnah itu dikatakan juga sebagai orang yang membawa mulut atau mengadu domba.

Adapun perbuatan fitnah itu hukumnya adalah haram dan termasuk dalam perkara dosa-dosa besar. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Qalam ayat 10-11 tafsirnya:

"Dan janganlah kamu menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina, yang suka mencaci, lagi yang suka menyabarkan fitnah hasutan".

Diriwayatkan daripada Huzaifah Radiallahu Anha, beliau mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam bersabda maksudnya:

"Tidak masuk syurga orang yang suka memfitnah (mengadu domba)".

Daripada dalil-dalil tersebut jelas menunjukkan bahawa fitnah itu adalah suatu perkara yang sangat dilarang dan perlu dijauhi. Oleh yang demikian, kita hendaklah memelihara diri dan keluarga kita dari perbuatan menabur fitnah. Maka apabila disampaikan kepada kita suatu berita yang memburuk-burukkan orang lain, maka kita hendaklah memelihara diri kita daripada mendengarnya dan menghebah-hebahkannya kepada orang lain.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Memang tidak dapat dinafikan, dalam kehidupan kita berkeluarga, berjiran dan bermasyarakat, sememangnya kita tidak dapat mengelakkan diri dari mendengar berita-berita atau cerita-cerita yang diperbualkan ketika bertemu, samada ketika berada di majlis-majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, majlis kenduri atau di kedai-kedai makan dan sebagainya. Dalam hal sedemikian, jika kita mendengar perbualan yang boleh mendatangkan dosa seperti cerita yang direka-reka, memburukkan orang lain, memfitnah dan sebagainya, maka kita hendaklah berusaha mengelakkan diri kita daripadanya, seperti tidak membenarkan atau mempercayai apa yang disampaikan itu kerana orang yang membawa fitnah itu adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang fasik dan berita yang dibawa oleh mereka itu tidak boleh dipercayai.

Selain itu, kita sepatutnya melarang orang yang membawa fitnah itu daripada meneruskan perbuatannya dan menasihatinya serta menerangkan kepadanya bahawa perbuatannya itu adalah salah di sisi agama. Janganlah pula cerita yang disampaikan oleh orang yang memfitnah itu membuatkan kita terdorong untuk menyelidiki dan mencari-cari samada benar atau sebaliknya. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Hujuraat ayat 21, tafsirnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakkan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain".

Ahli jumaat yang dirahmati Allah,

Ketahuilah bahawa tidak ada orang yang suka dirinya diperkatakan atau menjadi bahan cerita orang, apatah lagi cerita itu tidak berasas, tidak benar dan hanyalah fitnah semata-mata. Oleh itu jika mendengar sesuatu cerita, berita atau khabar-khabar angin, maka hendaklah orang yang mendengar cerita, berita atau khabar-khabar angin itu tidak menceritakan atau memanjang-manjangkan lagi apa yang telah diceritakan kepadanya. Sebagaimana kita tidak suka diri kita diperkatakan orang, sepatutnya kita tidak juga memperkatakan tentang orang lain.

Jika difikirkan, apakah kebaikan yang boleh diperolehi daripada perbuatan-perbuatan sedemikian? Ia tidak lain hanyalah mengembirakan orang yang berhati busuk. Sedangkan sebenarnya mereka itu telah diperdaya oleh syaitan sehingga mereka menjadi kabur, lalu merasakan apa yang mereka lakukan seolah-olah tidak salah tetapi sebenarnya adalah buruk dan berdosa besar. Perkara ini bukan sahaja dilarang oleh agama islam, bahkan undang-undang dalam bernegara juga menegahnya dan boleh diambil tindakan, lebih-lebih lagi jika fitnah itu boleh menggugat keselamatan dan keharmonian dalam beragama, bermasyarakat dan bernegara, begitu juga dengan perbuatan mereka-reka dan menyebarkan khabar angin, baik dilakukan secara individu atau kumpulan, yang bertujuan untuk memfitnah atau mengaibkan maruah atau martabat mana-mana pihak, maka dalam hal ini, perbuatan tersebut akan diambil tindakan oleh pihak-pihak yang berkenaan sebagai langkah dalam memastikan keharmonian dan kententeraman awam.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sebagai bahan renungan, pernah berlaku suatu perisriwa di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam, yang lebih dikenalkan dalam kitab-kitab 'Sirah' Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam sebagai 'Hadisul Ifkhi', bila mana terjadinya fitnah ke atas isteri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam iaitu Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha.

Dalam peristiwa tersebut, Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha telah difitnah oleh orang-orang 'munafik' yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul, dan beberapa orang di kalangan Muslimin telah terpengaruh dengan cerita fitnah yang disebarkan itu. Mereka menabur fitnah mengatakan bahawa Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha telah berlaku curang atau membuat hubungan sulit dengan seorang sahabat yang terkenal jujur dan amanah iaitu Safwan bin Al-Muathal. Akhirnya Allah Subhanahu Wata'ala menurunkan ayat Al-Quran sebagai penjelasan bersihnya Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha di atas fitnah yang dilemparkan ke atasnya.

Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Nuur ayat 19, tafsirnya:

"Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebahnya tuduhan-tuduhan buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman,mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan ingatlah Allah mengetahui segala perkara sedang kamu tidak mengetahui yang demikian".

Muslimin yang berbahagia,

Membuat fitnah itu dipandang berat dan berat dan dilarang oleh agama islam sebab ia boleh menimbulkan permusuhan dan permusuhan pula boleh menimbulkan kepada perpecahan dan huru-hara. Fitnah adalah tuduhan yang tidak benar dan tidak berasas dan perbuatan itu mendatangkan azab diakhirat kelak. Ingatlah! Bahawa semua anggota tubuh badan termasuk lidah akan menjadi saksi di depan penghakiman Allah Subhanahu Wata'ala pada hari kiamat.

Akhirnya peliharalah diri dari perbuatan fitnah dan menaburnya. Didiklah diri kita, keluarga kita dan masyarakat dengan saling menasihati dan tegur menegur terhadap perbuatan yang membawa kepada dosa dan maksiat, apatah lagi membawa kepada dosa-dosa besar seperti membuat dan menabur fitnah. Semoga dengan sedemikian, kita dapat menikmati kehidupan yang aman tenteram, dan sentiasa mendapat petunjuk, hidayah dan berkat dari Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Yarabal Alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah Ayat 191 tafsirnya:

"Dan ingatlah bahawa angkara fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan".

(Teks khutbah Jumaat di atas dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam yang dibacakan di seluruh masjid negara itu pada 10 Jun lalu. Rujuk: http://www.religious-affairs.gov.bn/index.php?ch=bm_info&pg=bm_info_khutbah&ac=464)

Selangor lantik pengawai wanita untuk ketuai MPKS

14 Rejab 1432H. [MOD] -

Kerajaan Negeri telah melantik Puan Noraini Roslan sebagai Yang diPertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) yang baru berkuatkuasa 1 Julai 2011.

Noraini, 46, adalah pegawai wanita pertama yang memegang jawatan YDP di Selangor. Ini menunjukkan komitmen kerajaan Pakatan Rakyat terhadap kesamaan jantina dan keberdayaan wanita.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Noraini telah menerima tawaran sebagai YDP MDKS minggu lepas dan yakin beliau akan menjalankan tugas dengan cekap, telus dan bertanggungjawab.

"Perlantikan beliau adalah berdasarkan pengalaman beliau sebagai pengarah perancang Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya selama 21 tahun serta kelayakan pendidikan beliau. YDP yang cekap perlu tahu selok-belok perancangan bandar dan kami percaya beliau boleh memenuhi amanah ini dengan baik.

"Kami juga berbangga kerana berjaya melantik YDP wanita pertama di Selangor - dasar kami adalah bahawa wanita harus selalu diberi peluang yang sama dengan lelaki berdasarkan kebolehan dan kelayakan mereka," kata Dato Menteri Besar.

Beliau menambah, bahawa kerajaan negeri mengalu-alukan kehadiran pegawai professional seperti Noraini untuk menambah baik polisi kerajaan negeri serta agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.

Perlantikan ini bukan sahaja menunjukkan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengamalkan meritokrasi tetapi juga, menunjukkan kesediaan untuk keluar dari amalan biasa sebelum ini bila mana hanya pegawai PTD sahaja yang berpeluang menjadi YDP.

Noraini berkelulusan Sarjana dalam bidang perancangan dari Universiti North Carolina, Amerika Syarikat pada 1988. Sebelum itu beliau mendapat ijazah Sarjana Muda dari Universiti East Carolina, juga di Amerika Syarikat.

Beliau bekerja sebagai pegawai perancang di Syarikat Bernas sebelum menyertai MPK sebagai pengarah perancang, Beliau ditukarkan ke MBPJ pada 2010.

Pada tahun 2005 dan 2008, beliau telah dianugerahkan pingat khidmat cemerlang. Beliau juga adalah ahli Institut Perancang Malaysia.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO MENTERI BESAR SELANGOR

Murtad: 2 versi penjelasan menteri

14 Rejab 1432H. [MOD] -

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menafikan laporan portal berita mengenai 135 kes permohonan murtad diluluskan bagi tempoh 2000 hingga 2010.

Beliau menegaskan bahawa sehingga kini belum ada satu pun kes murtad yang diluluskan oleh Mahkamah Syariah, lapor Bernama.

Jamil Khir menjelaskan 135 kes itu dipohon di bawah murtad tetapi setelah diteliti oleh Mahkamah Syariah mereka didapati tidak sah masuk Islam, sekali gus tidak timbul soal (mereka) murtad.

"Timbul kekeliruan di sini, contohnya seseorang itu memohon untuk kedudukannya sebagai Islam, tetapi kemudian mahu kembali ke agama asalnya, setelah disiasat, mahkamah mendapati dia bukan Islam, jadi tidak timbul soal murtad.

"Sama juga untuk pasangan berkahwin yang hendak daftar untuk perceraian, tetapi mahkamah mendapati mereka berkahwin secara tidak sah di Thailand kerana tiada saksi dan wali, jadi tidak timbul soal perceraian," katanya kepada Bernama pada Rabu.

Malaysiakini kelmarin melaporkan jumlah permohonan untuk murtad adalah 686 manakala permohonan yang diluluskan adalah 135 orang.

Jawapan di parlimen

Laporan itu dibuat berdasarkan jawapan Jamil Khir yang menjawab pertanyaan lisan anggota parlimen Bakri Er Teck Hwa di parlimen kelmarin.

Soalan itu berbunyi: "Tuan Er Hwa [Bakri] minta perdana menteri menyatakan jumlah permohonan murtad bagi penganut Islam dan berapakah permohonan yang diluluskan mengikut negeri dari tahun 2000 - 2010 serta tindakan Jabatan Agama Islam untuk menangangi gejala murtad."

Sementara jawapan Jamil Khir pula berbunyi: "Permohonan menukar status agama oleh orang Islam di Mahkamah Syariah dari tahun 2000 hingga 2010 adalah berjumlah 863 kes. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 168 kes telah diluluskan."

Jamil Khir juga memberikan statistik lengkap yang menyatakan jumlah permohonan dan kelulusan mengikut negeri.

Bagaimanapun perangkaan yang dibekalkan kepada Dewan Rakyat itu tidak selaras dengan jumlah yang dikira.

Mengikut kiraan Malaysiakini, jumlah permohonan untuk murtad adalah 686 manakala permohonan yang diluluskan pula adalah 135 orang.

malaysiakini/-

Militan Islam tawan banyak bandar Yemen

14 Rejab 1432H. [MOD] -

SANAA, Yemen - Militan-militan Islam melancarkan serangan mengejut pada waktu subuh di Houta, selatan Yemen semalam dan menawan beberapa kawasan bandar berkenaan selepas bertempur dengan tentera pemerintah, kata pegawai-pegawai keselamatan.

Beberapa kawasan penduduk di Houta yang merupakan ibu negeri wilayah Lahj, jatuh ke tangan kumpulan terbabit yang turut dianggotai anggota Al-Qaeda.

Serangan berlaku sehari selepas seorang pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) menyatakan, AS bimbang kekacauan berterusan di Yemen akan mengukuhkan kerjasama di antara militan Al-Qaeda rantau Arab dengan kumpulan pemisah Al-Shabab di Somalia.

Koordinator antipengganas Jabatan Negara AS, Daniel Benjamin turut berkata, anggota-anggota pemisah Yemen kini semakin berani untuk beroperasi secara terbuka dan berupaya menguasai lebih banyak wilayah.

Beberapa pegawai keselamatan Yemen pula memberitahu, sejumlah militan bergerak menerusi beberapa kawasan penduduk di bandar pelabuhan Aden, selatan negara itu awal semalam dan melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan.

Bagaimanapun, mereka tidak memberikan butiran lanjut berhubung insiden itu.

Kekacauan di Yemen itu berlaku ekoran tunjuk perasaan dilakukan rakyat bagi menuntut peletakan jawatan Presiden Ali Abdullah Saleh. - Agensi