01 Julai 2011

Putera Albert 11 digesa pulangkan derma Rosmah

29 Rejab 1432H. [MOD] -

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa Putera Albert II supaya memulangkan derma 100,000 euro yang disumbangkan oleh isteri perdana menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor.

Badan pejuang alam sekitar, Bruno Manser Fund (BMF), "mengesyaki" derma itu mungkin dibiayai Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang mereka dakwa bertanggungjawab terhadap kegiatan pembalakan yang memusnahkan hutan di negeri ini.

"Sumber 100,000 euro (RM437,500) itu adalah tidak jelas, dan oleh itu, dana tersebut tidak sepatutnya diterima oleh Yayasan Putera Albert.

"Kami mencadangkan Albert memulangkan wang tersebut kepada masyarakat Penan, golongan paling terpinggir di Malaysia, bagi menyokong perjuangan mereka untuk mempertahankan hutan daripada pembalakan," kata BMF dalam satu kenyataan akhbar.

Rosmah menyerahkan sumbangan tersebut kepada Albert di Festival Fesyen Islam di Monte Carlo Ogos tahun lalu untuk Yayasan Putera Albert.

Menurut lamanweb yayasan tersebut, yayasan itu adalah untuk "melindungi alam sekitar dan menggalakkan pembangunan mampan".

Sebelum ini, Borneo Post melaporkan, dan diterbitkan semula dalam lamanweb rasmi Taib, bahawa derma tersebut dikumpulkan oleh Festival Fesyen Islam KL- Jakarta (IFF) ""melalui penaja untuk menyokong promosi pelancongan Sarawak".

BMF - yang dinamakan sempena aktivis Switzerland yang mempertahankan kepentingan kaum pribumi di Sarawak dan hilang sejak 2000 - juga menimbulkan persoalan mengenai hubungan antara Taib dan Albert.

oleh zeanaaima

Lima guru terima gangguan seksual

29 Rejab 1432H. [MOD] -

TELUK INTAN - Gara gara tidak dapat menahan nafsu serakah, tiga lelaki dicekup Jabatan Imigresen kerana menunjukkan aksi lucah kepada lima wanita yang bertugas sebagai guru kelas tadika, di sini.

Ketua Imigresen Cawangan Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman berkata, tiga lelaki warga Bangladesh berusia antara 23 hingga 29 tahun itu, dikatakan sering kali mempamer aksi lucah kepada lima guru berkenaan masing-masing berusia antara 20 hingga 25 tahun.

Menurutnya, kesemua mereka diberkas serentak kira-kira jam 6.55 petang Selasa lalu menerusi Ops Sapu yang diketuai beliau sendiri.

“Mereka bekerja sebagai penjaga bangunan� sebuah pasar raya di Jalan Changkat Jong, di sini dan dikatakan mendiami salah sebuah premis yang bertentangan dengan bangunan kelas, tempat guru berkenaan mengajar.

:“Siasatan awal mendapati, ketiga-tiga lelaki itu tidak tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya kepada pemberita di Pejabat Imigresen Cawangan Teluk Intan, di sini kelmarin.

Sinar Harian dimaklumkan, pelbagai aksi lucah yang ditunjukkan tiga lelaki itu bertujuan untuk menggoda guru tadika berkenaan.

Khairul Anuar berkata, kerana tidak tahan sering kali diganggu, guru tadika itu tampil membuat aduan kepada Jabatan Imigresen.

“Ini merupakan kes pertama yang diterima Pejabat Imigresen membabitkan aduan pendatang melakukan aksi lucah.

“Ada kemungkinan kes ini akan dirujuk kepada polis untuk siasatan lanjut di bawah kesalahan� menunjukkan aksi lucah itu,” katanya.

Siasatan dibuat di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen

1959/63 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak melebihi lima tahun, denda RM10,000 dan enam sebatan.

Buat masa ini, kesemua lelaki berkenaan dihantar ke Depoh Tahanan Langkap selama 14 hari bermula kelmarin untuk siasatan lanjut.

sinarharian/-

Wanita hamil ketagih syabu

29 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Seorang wanita yang sarat mengandung enam bulan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mengambil dadah berbahaya jenis Methamphetamine.

Tertuduh, Noradila Arifin, 30, dari Jalan Pasir Panjang, Kuala Terengganu yang kini sedang hamil anak ketiga disahkan positif syabu dan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (pindaan 2002) dan boleh didakwa di bawah Seksyen 15 Akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga bulan dan denda tidak lebih RM5,000.

sinarharian/-

PAS Sarawak Organise IT Convention For GE 13 Preparation

29 Rejab 1432H. [MOD] -

BINTULU, 27 Jun: Perhubungan PAS Sarawak dengan kerjasama Jabatan IT PAS Pusat (JITP) berjaya menganjurkan Konvensyen IT & Pengurusan selama dua hari berakhir 26 Jun 2011. Program itu diadakan di sebuah hotel di sini yang dirasmikan Pengerusi Lajnah ICT PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Samsudin. Program ini juga disertai oleh 50 orang petugas IT dari kawasan Miri, Bintulu, Sibu, Petrajaya, Batang Lupar dan Batang Sadong di Sarawak.

Abdul Ghani dalam ucapannya berkata petugas-petugas ICT perlu menyedari tanggungjawab dan amanah Allah dengan berusaha mengadakan kursus, seminar dan latihan IT yang berkala di semua peringkat PAS Sarawak serta mempertingkatkan koordinasi antara ICT PAS Sarawak dengan ICT PAS Pusat.

Beliau turut menyarankan diadakan “engagement” dan kolaborasi yang berkesan diantara ICT dan penerangan untuk pemberitaan elekronik dan media baru, selain dengan jabatan pilihanraya seperti yang dilakukan dalam pilihan raya negeri Sarawak pada bulan April yang lepas.

Beliau berharap tenaga pakar IT yang datang dari Jabatan IT PAS Pusat (JITP) dapat memperturunkan ilmu dan pengalaman mereka melalui aplikasi-aplikasi pengurusan dan pilihanraya serta e-media kepada tenaga-tenaga muda IT di Sarawak agar mereka dapat menjadi tulang belakang kepada PAS Sarawak dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Turut hadir adalah Fidzuan Zaidi, Setiausaha Perhubungan PAS Sarawak, Suhaimi Embong, Pengarah Jabatan IT PAS Pusat dan Saudara Sheikh, Pengarah Jabatan IT PAS Sarawak.

pas sarawak/-

Himpunan Bersih tidak ada kaitan dengan tuntutan piliharaya dipercepatkan

29 Rejab 1432H. [MOD] -

Saya ingin menjawab dakwaan Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan bahawa BERSIH 2.0 menuntut supaya pilihan raya diawalkan apabila beliau berucap dihadapan para hadirin ketika lawatannya ke Sabah semalam, ini satu penipuan terhadap rakyat negeri itu dan seluruh rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak faham bahasa,dengan lain yang diminta, lain pula reaksi apabila BERSIH 2.0 mengemuka tuntutan yang langsung tidak menyebut supaya pilihan raya disegerakan.

Seolah-olah pemimpin kita ini sangat gelabah dan sudah tidak tahu apa yang diucapkannya dan apa yang berlaku di dalam negara yang beliau sendiri tadbir sejak beberapa tahun ini.

Saya ingin ulangi bahawa lapan tuntutan BERSIH 2.0 adalah merangkumi isu bersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan kelapan iaitu yang terakhir hentikan politik kotor. Satu pun dari kelapan-lapan tuntutan tersebut tidak menyebut supaya pilhan raya diawalkan dan satu pun tidak menggambarkan bahawa tuntutan tersebut mirip berkepentingan parti tertentu.

Sudah tentulah ia bukan berkepentingan parti kerana ia adalah suara rakyat Malaysia yang sudah tidak boleh bertahan lagi dengan sistem sedia ada yang menjadi amalan UMNO-BN.

Isu sebenar yang ditutup rapat olen UMNO-BN ialah mereka sedaya mungkin cuba mempertahankan sistem pilihan raya yang mereka reka sendiri untuk menjaga kepentingan survival parti mereka bagi memastikan UMNO-BN akan menang disetiap kerusi PARLIMEN mahupun DUN yang dipertandingkan.

Apabila Ahli Parlimen PR bertanya ketika sidang Dewan Rakyat berlangsung baru-baru ini mengapa UMNO-BN enggan laksana penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya, wakil UMNO-BN jawab itu merupakan hak peribadi rakyat samada mahu guna atau tidak jadi kerajaan tidak boleh paksa rakyat jika dilaksanakan juga.

Ini antara jawapan-jawapan pemimpin UMNO yang korup dan penuh dengan agenda yang dibayangi kepentingan parti dan perlu segera ubah.

Jika begitu bagaimana pula cukai melampau yang dilaksanakan oleh kerajaan terhadap rakyat? Adakah rakyat rela hati dengannya? Dalam perkara ini kerajaan tidak pula berkata ia (cukai melampau seperti GST) adalah hak peribadi rakyat samada perlu laksana atau tidak.

Inilah isu sebenar yang cuba ditutup oleh UMNO-BN sedaya mungkin dari diketahui rakyat Malaysia, kerana kita tahu jika berita ini sampai ke pengetahuan rakyat, UMNO-BN akan tumbang pada PRU 13 nanti.

DRS. KHALIL IDHAM LIM
PARIT BUNTAR, 1 JULAI 2011.

TV, radio diarah 'momokkan' BERSIH

29 Rejab 1432H. [MOD] -

Pihak berkuasa dikatakan semakin terdesak kerana rakyat terus berkeras mahu menghadiri perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai ini bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil di negara ini meskipun terus dihambat.

Dalam usaha terbaru, Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melancarkan kempen media bagi melabelkan perhimpunan itu sebagai sesuatu yang haram.

Sehubungan itu juga, semua stesen televisyen dan radio diwajibkan menghantar laporan harian mengenai liputan mereka. Antaranya, mereka diarah menyatakan jumlah berita dan kandungannya dalam laporan mereka berhubung BERSIH.

Semalam, SKMM juga mengarahkan perwakilan daripada 22 media elektronik dan telekomunikasi untuk menghadiri seminar sehari bertajuk “Seminar Kawal Selia Kandungan 2011" di auditoriumnya di Cyberjaya.

Menurut surat SKMM yang diedarkan kepada semua media elektronik itu, dengan sesalinannya diperolehi Malaysiakini, tujuan seminar itu “mengenai pematuhan kepada syarat-syarat lesen serta lain-lain peruntukan yang relevan.”

Menurut beberapa editor yang tidak mahu identiti mereka didedahkan, mereka diarahkan supaya tidak merujuk perhimpunan 9 Julai itu sebagai “perhimpunan BERSIH” tetapi sebagai “perhimpunan haram” dalam semua liputan berita serta tidak menggalakkan orang ramai menyertainya.

Selain itu, jika polis menggunakan kekerasan ke atas rakyat yang berhimpun, rakaman visual perbuatan itu dilarang sama sekali daripada disiarkan.

Sebaliknya, laporan media elektronik perlu memberi tumpuan kepada kesukaran dan ketidak-selesaan yang dihadapi rakyat akibat perhimpunan itu, termasuk orang ramai merusuh, harta benda dimusnahkan dan kesesakan lalu lintas yang teruk.

malaysiakini/-

Tumbukan baca SMS

29 Rejab 1432H. [MOD] -

GOMBAK: Tindakan seorang isteri memeriksa telefon bimbit suaminya selepas curiga dengan tingkah laku lelaki itu bertukar pergaduhan besar sebelum wanita itu ditumbuk di muka dalam kejadian di rumah mereka di Pinggiran Lembah Hijau, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, wanita berusia 27 tahun terbabit yang mengandung dua bulan, tersedar daripada tidur dan pada masa sama melihat telefon bimbit suaminya berada di atas meja manakala suaminya yang berusia 30-an masih tidur nyenyak.

Wanita itu memeriksa kandungan SMS dalam telefon itu apabila suaminya terjaga dan merampas telefon itu sebelum memarahi mangsa.

Menurut sumber, lelaki itu yang marah dengan tindakan mangsa mengambil telefon bimbitnya tanpa kebenaran naik angin.

“Mangsa memberitahu hanya ingin memeriksa telefon bimbit itu kerana curiga kemungkinan suaminya menyimpan rahsia.

metro/-

Berbaju BERSIH: Dua lagi ADUN ditangkap

29 Rejab 1432H. [MOD] -

Polis terus menghambat penyokong BERSIH 2.0 dengan dua lagi pemimpin pembangkang ditangkap kerana memakai kemeja T Bersih pada satu majlis makan malam semalam.

Kali ini mangsa mereka adalah ADUN Lukut Ean Yong Ting Sin dan ADUN BahauTeo Kok Seong yang dicekup ketika menghadiri majlis makan malam DAP di Titi, Jelebu, Negri Sembilan.

Menurut twitter Teo, anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan polis telah bersiap sedia untuk menangkap sesiap yang berani memakai baju T BERSIH.

Sebaik keluar dari majlis itu, Teo (bawah, kiri) menulis beliau dan Ean Yong (kanan) “dijemput” untuk merakamkan kenyataan mereka di balai polis Titi.

Katanya lagi, polis juga menggeledah keretanya dan sehelai baju kuning dan DVD kepunyaan ahli parlimen Taiping Nga Kor Ming.

Kedua-dua mereka dilepaskan pada awal pagi ini.

Semalam, polis menangkap ahli parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye dan ADUN Simpang Pulai Chan Ming Kai, bersama dua anggota PKR ketika mereka beramah mesra dengan pengundi di sebuah pasar di Gunung Rapat di Ipoh, Perak.

Lee (bawah, tengah) mendakwa beliau dicekup sebaik tiba sekitar pasar itu dan terus digari serta diheret ke ibu pejabat polis daerah Ipoh.walaupun tidak memakai baju BERSIH tetapi baju yang berwarna kuning.

Rabu lalu, di Sungai Siput, Perak polis menangkap ADUN Jalong Leong Mei Ming dan ADUN Teja Chang Lih Kang kerana memakai kemeja BERSIH.

Ahad lalu, ahli parlimen Sungai Siput Dr D Jeyakumar dan 14 aktivis PSM ditahan polis di tol Sungai Dua ketika mereka dalam perjalanan ke Pulau Pinang bagi menghadiri majlis bertema "Udahlah...Bersaralah".

malaysiakini/-

Tersembam belakang bas

29 Rejab 1432H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas tersembam di belakang sebuah bas sekolah selepas motosikal dinaiki bersama pekerja bapa saudaranya dan sepupunya terbabit dalam kemalangan di Jalan Padang Kemunting, Pengkalan Balak, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, Muhammad Haziq Naufal Mohd Zaidi, 5, maut selepas motosikal jenis Honda EX-5 ditunggangi Yusoh Malee, 27, dan Najla NurKamelia, 7, merempuh sebuah bas berkenaan.

Motosikal berkenaan dipercayai hilang kawalan selepas selekoh, menyebabkan merempuh bas yang berhenti menurunkan penumpang.

Akibat rempuhan, Muhammad Haziq yang duduk di bahagian depan motosikal tersembam ke bahagian belakang bas, manakala Najla Nurkamelia terlentang.

Muhammad Haziq dikejarkan ke Hospital Kem Terendak, di sini oleh orang awam sebelum meninggal dunia di hospital berkenaan, manakala Yusoh dan Najla Nurkamelia mengalami kecederaan pada badan.

Menurut Yusoh yang bekerja di kedai milik bapa saudara mangsa, mereka bertiga dalam perjalanan ke Tanjung Bidara untuk menjemput isterinya dari tempat kerjanya.

Sementara itu, nenek kepada Muhammad Haziq, Fazidah Jantan, 58, berkata, dia tidak sangka, sikap cerewet cucunya itu semasa hendak makan, petanda akan pergi buat selama-lamanya.

“Dia (Muhammad Haziq) merungut bila saya sediakan telur goreng untuk dimakan bersama nasi dan kicap selepas dia balik dari sekolah. Biasanya dia tidak macam tu.

“Dia kata, kicap itu tidak sedap sampai saya keluar pergi belikan kicap lain untuknya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Menurut Fazidah, dia menjaga cucunya itu kerana ibunya, Norashikin Hashim, 29, berada di Kuala Lumpur selama 15 hari atas tugasan luar daerah sementara bapanya, Mohd Zaidi Abu Shah, 31, bertugas di Singapura.

“Semasa kejadian, saya sibuk mengemas dan tidak sedar cucu saya mengikut pekerja saya keluar menaiki motosikal,” katanya.

sinarharian/-

Gempa Bumi Sederhana Landa Semenanjung Minahassa, Sulawesi

29 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana dengan magnitud 5.1 pada skala Richter melanda Semenanjung Minahassa di Sulawesi pada 10.39 pagi Jumaat.

Kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia di sini menyebut gempa itu berpusat di 467km barat Manado, Indonesia dan 417km tenggara Tawau, Sabah.

Gempa itu tidak membawa ancaman tsunami.- BERNAMA

Sijil lahir merah untuk bukan warganegara

29 Rejab 1432H. [MOD] -

PUTRAJAYA 1 Julai — Mulai hari ini Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengeluarkan Sijil Kelahiran berwarna Merah bagi kanak-kanak yang bertaraf bukan warganegara.

Menurut kenyataan JPN di sini hari ini, sebelum ini warna sijil kelahiran kanak-kanak warganegara dan bukan warganegara adalah sama iaitu hijau.

Perbezaan warna itu adalah untuk memaklumkan bahawa sijil kelahiran berwarna hijau hanya dikeluarkan kepada kanak–kanak yang bertaraf warganegara Malaysia sementara sijil kelahiran berwarna merah untuk kanak–kanak bukan warganegara.

"Ia juga untuk mengelakkan ibu bapa atau warga asing yang melahirkan anak di negara ini beranggapan bahawa dengan memiliki sijil kelahiran Malaysia, anak-anak mereka adalah secara automatik menjadi warganegara,” kata kenyataan itu. - Bernama

Kakitangan awam mogok di Britain

29 Rejab 1432H. [MOD] -

LONDON – Ramai guru dan kakitangan awam menyertai piket besar-besaran di Britain semalam ketika ratusan ribu pekerja mengadakan mogok untuk membantah pencen dikurangkan oleh kerajaan.

Kesatuan-kesatuan sekerja di Britain menyatakan sekitar 750,000 pekerja menyertai mogok sehari itu yang menyebabkan kegiatan di pejabat kerajaan, lapangan terbang dan sekolah lumpuh.

Beribu-ribu ahli kesatuan sekerja berarak di ibu kota Britain, di sini dan bandar-bandar untuk mendesak kerajaan supaya menimbang semula rancangan untuk mengurangkan pencen sektor awam.

Kerajaan Britain mengambil inisiatif untuk mengurangkan defisit negara yang melambung tinggi dengan memotong perbelanjaan awam sebanyak £80 bilion (RM242.8 bilion).

Sebagai langkah berjimat cermat, kerajaan Britain mengurangkan pekerjaan sektor awam dan bayaran pencen selain menaikkan had umur persaraan daripada 65 tahun kepada 66 tahun.

Kenaikan had umur persaraan itu bagi mengurangkan bayaran pencen kepada kakitangan awam yang bersara. – Agensi

UMNO BN Komunis, Bukan PSM - Khalid Samad

29 Rejab 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 1 JULAI : Pihak yang menolak tuntutan pilihan raya bersih dan adil merupakan golongan yang mendokong fahaman komunis menurut ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Ini kerana menurut beliau ideologi komunis bertentangan dengan hasrat rakyat untuk melihat reformasi dalam sistem pilihan raya.

"Kalau betul komunis di Malaysia mahukan pilihan raya maka komunis ini murtad. Dia lebih baik daripada Umno, mahukan pilihan raya bersih. Umno-Barisan Nasional pula yang ikut fahaman komunis mahukan pilihan raya kotor," katanya.

Khalid yang berucap pada sebuah program di Shah Alam baru-baru ini mengulas tuduhan yang dilemparkan oleh polis terhadap Parti Sosialis Malaysia (PSM) kononnya, parti itu cuba menghidupkan fahaman komunis.

Mereka juga didakwa cuba menggunakan fahaman tersebut untuk menggulingkan kerajaan UMNO BN melalui perhimpunan Bersih 2.0 pada minggu hadapan.

Menurut polis, lima pemimpin PSM dikesan mengunjungi perkampungan Khao Nam Khang iaitu kawasan penempatan bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM) di Selatan Thailand untuk bertemu dengan bekas ahli kumpulan itu.

Walhal menurut kepimpinan PSM, pertemuan tersebut hanya bertujuan untuk bertukar- tukar pandangan.

Khalid kemudian mengambil pendirian bahawa kerajaan UMNO BN tanpa disedari telah lama mengamalkan kaedah komunis dalam pemerintahannya.

Perkara itu dapat dilihat melalui cara media dimonopoli sepenuhnya tanpa memberi ruang kepada pihak pembangkang untuk muncul di kaca televisyen selain mengamalkan penyampaian maklumat secara selektif dan berat sebelah.

"Komunis tidak mahu pilihan raya. Mana ada komunis yang amalkan pilihan raya ? Negeri China, Russia tiada. Kalau mahu pilihanraya dia mahu ala Malaysia yang mana TV semua cakap pro kerajaan sahaja," tambah beliau lagi.

Beliau sebelum itu mengulas tentang tuntutan Bersih 2.0 yang dianggap relevan dan tidak mustahil untuk dilaksanakan kerajaan pemerintah.

tv selangor/-

Imej ikan pari gergasi dirakam jurugambar

29 Rejab 1432H. [MOD] -

SEORANG penyelam mendekati seekor ikan pari manta di Teluk Hanifaru, Kepulauan Maldives baru-baru ini.

MALE - Imej sekumpulan ikan pari manta gergasi berenang di Teluk Hanifaru, Kepulauan Maldives dirakamkan seorang jurugambar Britain, lapor sebuah akhbar semalam.

Jurugambar berkenaan, Warren Baverstock, 42, mengambil masa selama sembilan hari untuk merakamkan kumpulan ikan pari gergasi itu yang tiba untuk memakan plankton di perairan tersebut baru-baru ini.

Terdapat sekitar 200 pari manta dengan lebar lebih tiga meter berkumpul di teluk sebesar padang bola sepak itu untuk mencari makanan. - Agensi

BERSIH: Tentukan laluan ke Istana, kita akan patuhi

29 Rejab 1432H. [MOD] -

Di sebalik segala hambatan dan tekanan ke atas penganjuran BERSIH 2.0 pada 9 Julai ini, jawatankuasanya masih berusaha mencari jalan perdamaian dengan pihak berkuasa.

Menurut pengerusi BERSIH 2.0, Datuk S Ambiga, mesyuaratnya dengan Tan Sri Ismail Omar berjalan dalam suasana 'mesra' meskipun Ketua Polis Negara itu melahirkan kebimbangannya jika perhimpunan aman itu diteruskan.

"Kami maklumkan kepada beliau, kami akan melakukan sedaya upaya bagi memastikan perhimpunan itu adalah aman... Sebab itu, kami cadangkan kepada polis untuk memutuskan jalan yang patut kita lalui dan kita akan ikut semua arahan mereka,” katanya kepada wartawan di Bukit Aman selepas mesyuarat berkenaan.

Ambiga, diiringi ahli jawatankuasa pemandu BERSIH, Maria Chin Abdullah semasa pertemuan itu berkata Ismail membisu mengenai cadangan itu tetapi tetap optimistik.

Katanya, mereka juga meminta Ismail mempertimbangkan cadangan berkenaan dan meminta pertemuan kedua dengan ketua polis negara minggu depan bagi mendapatkan maklum balas berhubung permintaan mereka.

“Beliau tak kata tidak dan saya fikir saya agak kelapangan untuk membuat temujanji untuk berjumpa IGP minggu depan.

"Kami buat cadangan dan minta polis mempertimbangkannya.

“Kami minta mereka, polis... Awak pilih satu lokasi di KL ke Taman Jaya atau mana-mana. Awak pilih, kita akan patuhi.”

Jaminan BERSIH 2.0 aman

Ambiga, yang sebelum ini menerima ugutan bunuh menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) berhubung BERSIH berkata ancaman itu tidak ditimbulkan dalam pertemuan tersebut, mahupun hambatan dan tekanan pihak berkuasa ke atas penganjur perhimpunan itu.

Sebaliknya, mesyuarat mereka tertumpu pada perhimpunan berkenaan dan beliau berulangkali memberi jaminan akan memastikan ia diadakan secara aman.

Penyokong BERSIH 2.0 dijadual berkumpul di pusat membeli-belah Sogo, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan masjid Kampung Baru sebelum berarak ke Istana Negara.

Perarakan ini bagi menyampaikan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memohon campur tangan Seri Paduka supaya memastikan pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara dilakukan. Ia termasuk melanjutkan tempoh berkempen kepada sekurang-kurangnya 21 hari dan penggunaan dakwat yang tidak boleh dipadam.

Kumpulan pendesak Melayu - PERKASA pula mengesahkan empat lokasi berkumpul bagi perhimpunan 9 Julai bagi menolak perhimpunan yang menuntut supaya reform pilihan raya.

Mereka akan berkumpul di perkarangan Masjid Negara, Dataran Merdeka, perkarangan Stadium Merdeka dan Istana Negara.

Selain itu, Pemuda Umno juga telah meluahkan hasrat mereka untuk mengadakan perhimpunan. Namun lokasi dan jalan bagi perarakan mereka belum diumumkan.

malaysiakini/-
Joseph Sipalan