23 Ogos 2011

Bekas Naib Presiden Persatuan Bekas-Bekas Tentera Malaysia (PBTM) mohon menjadi ahli PAS seumur hidup

Rosli menyerahkan borang permohonan menjadi ahli PAS seumur hidup kepada Mohd Nizar disaksikan Razman (kiri sekali) dan Nasir ( kanan sekali). Penyerahan borang dibuat pada malam ceramah perdana sempena pelancaran penubuhan KERABAT peringkat Negeri Perak di Markaz PAS Kampung Gelok baru-baru ini.

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Oleh Mohd Syamil Azhar.

LENGGONG: Bekas Naib Presiden Persatuan Bekas-Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Kapten (B) Mohd Rosli Yahaya mengejutkan banyak pihak apabila tampil di atas pentas ceramah PAS dengan menyerahkan borang permohonan menjadi ahli PAS seumur hidup.

Beliau yang juga bekas Yang DiPertua persatuan berkenaan bagi peringkat negeri Perak selama berbelas tahun, telah dilantik menjawat jawatan Timbalan Pengerusi Kelab Veteran Angkatan Tentera (KERABAT) peringkat Parlimen Lenggong.

Borang keahliannya diserahkan kepada Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Perak, Datuk Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin pada program ceramah perdana sempena pelancaran KERABAT Perak di Markaz PAS Kampung Gelok dekat sini baru-baru ini.

Penyerahan borang keahliannya disaksikan Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Perak yang juga Yang DiPertua PAS Lenggong, Haji Razman Zakaria, Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria dan Presiden KERABAT Malaysia, Kol (B) Nazri Mokhtar.

Lebih 2000 hadirin pada malam program itu turut menyaksikan penyerahan borang oleh Rosli yang selama di dalam PBTM, tidak henti-henti menyuarakan pembelaannya terhadap bekas-bekas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), balu-balu bekas tentera, anak-anak yatim bekas tentera dan semua peringkat bekas tentera.

Beliau juga lantang menuntut hak bekas-bekas tentera yang dijanjikan kerajaan, sepertimana telah termaktub dalam perlembagaan negara ini, seperti pemberian tanah serta lot tapak rumah dan sebagainya.

Rejim Gaddafi akhirnya tumbang

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Selepas lebih enam bulan berlaku pemberontakan di Libya, rejim Muammar Gaddafi akhirnya tumbang setelah kumpulan pemberontak berjaya menawan hampir seluruh bandar Tripoli.

Bagaimanapun nasib pemimpin Libya itu masih menjadi tanda tanya.

Menurut AFP, anak lelaki bongsu Gaddafi, Seif al-Islam ditangkap oleh pemberontak, manakala anak lelaki sulungnya, Mohammed Al-Gaddafi yang diwawancara oleh televisyen Al-Jazeera di kediamannya dilaporkan menyerah diri, tetapi nasib anak-anaknya yang lain masih tidak diketahui.

Awal pagi ini, Sky News melaporkan pemberontak Libya tiba di Dataran Hijau di tengah Tripoli.

NONERamai pemuda mengibarkan bendera merah, hitam dan hijau milik pasukan anti-kerajaan dan bersorak dan menari sambil bertakbir dan melepaskan tembakan ke udara.

Ramai yang menunjuk isyarat jari keamanan sambil menjerit "beritahu Muammar dan anak lelakinya bahawa Libya mempunyai anak jantan".

Sementara itu, Reuters yang memetik televisyen al-Jazeera melaporkan anak lelaki sulung pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, Mohammad, memberitahu awal hari ini bahawa beliau ditahan pemberontak dan dikenakan tahanan di rumah di Tripoli.

“Anggota bersenjata mengepung rumah saya dan saya masih berada di dalam dan mereka di luar. Mereka berkata akan menjamin keselamatan saya. Mereka mengepung rumah saya," katanya menerusi panggilan telefon dari Tripoli.

Bunyi tembakan boleh didengar semasa perbualan itu.

"Ya, tembakan itu dalam rumah saya," katanya sebelum talian tiba-tiba terputus.

NONEAP pula melaporkan harga minyak global dijangka mula mencatatkan penurunan sekiranya pemberontak Libya berjaya menggulingkan Gaddafi; namun kesan keseluruhannya tidak akan dirasai untuk tempoh beberapa bulan.

Malam Ahad (waktu tempatan), pasukan pemberontak bergerak ke Tripoli tanpa berdepan dengan tentangan, ia selepas beberapa jam pangkalan tentera yang mempertahankan ibu kota negara itu dimusnahkan.

Penganalisis bebas, Lipow Andrew, berkata pasaran minyak dijangka akan bertindak balas hari ini dengan mengunjurkan harga yang lebih rendah dalam "tanda lega selepas konflik semakin berakhir."

Namun, Lipow berkata, ia akan mengambil masa untuk pasaran kembali stabil selepas kenaikan harga yang besar terhasil dari penggantungan eksport minyak Libya sejak pemberontakan bermula pada Februari lalu.

Susulan pemberontakan itu, minyak diniagakan pada sekitar AS$84 setong dan menokok di atas AS$93 dan terus meningkat tinggi melebihi AS$110 pada akhir April. Permintaan dari pasaran baru muncul termasuk China juga mendorong harga yang semakin meningkat.

Harga minyak jatuh baru-baru ini bersama stok susulan kebimbangan mengenai ekonomi global. MK/-

Ekonomi Islam tak berkembang di bawah BN

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR,: Sistem perekonomian Islam di tanah air tidak akan berkembang dengan baik selagi negara ini berada di bawah pemerintahan Umno BN.

Realiti itu boleh dilihat dengan jelas apabila sesetengah bank di negara ini masih lagi dibenarkan menjalankan operasi dengan dua sistem untuk dipilih oleh para pelanggan iaitu sistem Islam dan sistem konvensional.

Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Nazri Chik berkata, tindakan kerajaan yang membenarkan sesebuah bank menjalankan dua sistem seperti itu merupakan satu langkah yang silap kerana ia boleh mengelirukan orang ramai.

Menurut beliau, dengan adanya dua sistem seperti itu yang dibenarkan untuk dilaksanakan oleh sesebuah bank, ia masih memberikan peluang kepada orang ramai untuk memilih sistem konvensional walaupun sistem Islam ternyata jauh lebih baik berbanding sistem konvensional.

Katanya, kesilapan membuat pemilihan seperti itu pasti berlaku terutama jika orang ramai masih tidak memahami perbezaan antara sistem Islam dan konvensional dan ia sepatutnya dielakkan oleh kerajaan.

"Di negara kita hanya bank Islam yang betul-betul melaksanakan sistem Islam sepenuhnya, tetapi bank-bank lain masih terdapat dua sistem yang dilaksanakan untuk dipilih oleh orang ramai iaitu sistem Islam dan konvensional.

"Keadaan itu berbeza dengan tindakan Kerajaan Qatar yang tidak sekali-kali membenarkan sesebuah bank menjalankan dua sistem dalam operasinya.

"Sebaliknya, jika sesebuah bank itu hendak melaksanakan sistem Islam, hanya sistem Islam sahaja yang dibenarkan di Qatar, manakala jika sesebuah bank itu memilih sistem konvensional, hanya sistem konvensional sahaja yang dibenarkan dilaksanakan oleh bank itu tanpa diberikan pilihan untuk dilaksanakan sistem Islam oleh bank yang sama," katanya.

Ketika menyampaikan tazkirah di ibu pejabat Harakah, di sini, hari ini, beliau berkata, Kerajaan Malaysia sepatutnya mengambil langkah yang sama dengan Kerajaan Qatar kerana dengan itu barulah wang orang ramai akan menjadi bersih dari unsur riba dan unsur-unsur haram.

Menurutnya, namun selagi Umno BN memerintah, tindakan seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Qatar itu tidak akan dilaksanakan di negara ini.

Tindakan Umno BN itu, katanya, sememangnya memberikan kesan buruk bagi perkembangan sistem perekonomian Islam di tanah air dan ia sepatutnya sudah lama diselesaikan oleh Kerajaan BN.

"Tetapi Umno BN sebenarnya tidak boleh diharapkan untuk melakukan perubahan itu. Sebaliknya, jika PAS dan Pakatan Rakyat yang memerintah negara ini nanti, barulah rakyat akan dapat melihat perubahan itu yang akan dilaksanakan sepenuhnya oleh Pakatan Rakyat," ujarnya.

Di negara kita, katanya, perlaksanaan sistem perekonomian Islam yang dipelopori oleh Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) sebenarnya adalah cetusan idea pemimpin PAS iaitu almarhum Zulkifli Mohamad.

"Perkara itu diketengahkan oleh Zulkifli Mohamad bagi kepentingan perekonomian umat Islam di negara kita pada persidangan Dewan Rakyat dan kemudiannya telah diteliti serta diberikan pertimbangan yang sewajarnya oleh pihak-pihak terbabit.

"Lanjutan cetusan idea Zulkifli Mohamad itulah kemudiannya lahirnya Bank Islam yang melaksanakan sistem ekonomi Islam sepenuhnya di negara kita.

"Perkara itu amat perlu diketahui oleh orang ramai bagi membolehkan setiap rakyat negara ini memahami pemikiran dan perjuangan para pemimpin PAS yang sentiasa berjuang untuk Islam, untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen di tanah air, bukan sahaja dalam politik tetapi juga dalam pelbagai aspek termasuk dalam sistem kewangan atau perekonomian," ujar beliau.

harakahdaily/-

Diskusi buku Negara Berkebajikan seluruh negara


23 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 22 Ogos: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyahut gesaan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang agar buku Konsep Asas Negara Berkebajikan terus dipercambahkan perbincangannya di kalangan seluruh rakyat Malaysia.

Setiausahanya, Dr. Khairuddin Aman Razali menegaskan komitmen Dewan Ulamak PAS Pusat untuk merealisasikan hasrat Presiden PAS itu.

"Insya Allah kita akan memastikan agar seluruh rakyat tanpa mengira perbezaan pandangan dan agama memahami hasrat PAS untuk mewujudkan sebuah Negara Berkebajikan yang lebin mapan dan jitu serta berbeza sekali dengan Negara Kebajikan bawaan barat," tambah beliau lagi.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh menegaskan bahawa menjadi keutamaan Dewan Ulamak untuk mempelopori usaha penerangan tentang Negara Berkebajikan.

"Kita, insya Allah akan berusaha memastikan agar buku Tuan Guru Presiden ini akan didiskusikan di seluruh negara, insya Allah kita akan menggerakkan Dewan Ulamak setiap negeri untuk merealisasikan hasrat ini," ujar beliau lagi.

Pihak web DUPP dimaklumkan bahawa Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu telah mendahului usaha itu dengan menganjurkan Nadwah Ulamak baru-baru ini dalam usaha memberikan penjelasan berkenaan gagasan Negara Berkebajikan.

harakahdaily/-

Tak bertanding di Pulau Pinang: Koh terus membisu

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Pengerusi BN Pulau Pinang, Tan Sri Koh Tsu Koon terus membisu mengenai spekulasi yang beliau tidak akan bertanding di negeri ini pada pilihan raya umum akan datang.

"Apabila tiba masanya, anda akan tahu sama ada dan di mana saya akan bertanding," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja BN negeri di Georgetown hari ini.

Ketika diminta mengulas lanjut, Koh yang juga presiden Gerakan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, beliau perlu berbincang dengan anggota parti sebelum membuat pengumuman.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Koh membayangkan yang beliau tidak akan bertanding di Pulau Pinang bagi memberi laluan kepada calon lebih muda.

Kebelakangan ini, kepimpinan beliau sama ada di peringkat negeri dan nasional dikritik hebat oleh pemimpin sedia ada dan bekas pemimpin parti yang mempersoalkan keupayaannya menerajui parti.

Sementara itu, Koh berkata, persediaan jawatankuasa BN negeri bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang kini masuk ke tahap fasa kedua bagi memperkukuhkan parti di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.

Katanya, jawatankuasa kerja BN juga memulakan tinjauan mesra mingguannya di beberapa kawasan Parlimen untuk bertemu rakyat dan memahami keperluan mereka.

Mengenai sama ada BN akan mampu menawan semula Pulau Pinang, Koh berkata, ia adalah tugas sukar tetapi bukan mustahil.

- Bernama

S'gor tubuh majlis syura untuk selesai isu JAIS-DUMC

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Kerajaan Selangor akan menubuhkan Majlis Penasihat Syura dalam usaha menyelesaikan pertikaian berhubung pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos lalu.

Majlis tersebut akan dianggotai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Mufti Negeri Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid dan timbalannya, Datuk Abd Majid Omar.

Menurut menteri besar, idea penubuhan majlis syura tersebut dicadangkan oleh Sultan Selangor ketika mereka mengadakan perbincangan minggu lalu.

"Saya menghargai nasihat baginda agar mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu ini secara berhemah dan memuaskan.

“Saya juga telah berjumpa dengan mufti negeri Selangor dan kami telah merumuskan formula untuk dirujuk oleh Majlis Syura,” kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, majlis tersebut akan mengkaji isu-isu yang membimbangkan masyarakat Islam dan komuniti bukan Islam di Selangor untuk dibangunkan garispanduan demi memastikan sikap hormati menghormati dan harmoni pelbagi kaum dan agama terus terpelihara.

Menteri Besar juga berkata majlis ini akan mendapatkan maklumat daripada JAIS dan penganjur majlis makan malam itu, Harapan Komuniti.

"Sekiranya perlu. Majlis Syura juga akan memanggil DUMC dan 12 orang Islam yang menghadiri majlis makan malam di gereja berkenaan ketika pemeriksaan itu dilakukan," tambahnya.

Majlis ini juga akan mendengar dan meneliti sedalam-dalamnya laporan penuh oleh JAIS termasuk memeriksa maklumat, bukti dan pita rakaman mengenai pemeriksaan itu.

“Keutamaan Kerajaan Selangor ialah memastikan setiap aspek pentadbiran mematuhi prinsip keadilan, telus, amalan pentadbiran yang baik dan berintegriti,” kata menteri bBesar.

Kerajaan Selangor mengulangi kesediaan untuk berbincang dan berdialog untuk menjaga keharmonian dan keamanan yang telah lama wujud di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

malaysiakini/-

Sanggup mengaku anak luar nikah

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KESAL...Sham mendedahkan perbuatan keluarga bekas isterinya kepada wartawan Harian Metro.

KUALA LUMPUR: Disebabkan tidak mahu bapa kandung menjadi wali pernikahannya, seorang gadis bersekongkol dengan ibunya membuat pengisytiharan palsu di mahkamah syariah dengan mengaku anak luar nikah untuk mendapatkan wali hakim.

Semuanya dipercayai berlaku kerana ibu gadis itu masih berdendam dengan bekas suaminya berikutan kegagalan rumah tangga mereka, seterusnya menghasut anak perempuannya mengetepikan hak bapa kandung dalam urusan pernikahan.

Mengejutkan apabila perancangan mungkar dua beranak itu mendapat sokongan nenek, datuk, bapa tiri dan bakal suaminya. Lebih mengecewakan apabila tanpa soal siasat terperinci, jurunikah menikahkan pasangan terbabit hanya dengan melihat surat pengisytiharan dikemukakan gadis terbabit.

Pasangan itu tinggal sebumbung sejak 2009 dan kini bapa kandung dengan bantuan Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam) berusaha untuk memfaraq atau memisahkan mereka kerana meragui status perkahwinan mereka.

Mendedahkan perkara itu, bapa kandung wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Sham, 43, berkata perancangan songsang anggota keluarga bekas isterinya itu diketahui menerusi anak lelakinya.


“Hasil perkahwinan saya dengan bekas isteri, kami dikurniakan dua anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Hubungan saya dengan anak serta keluarga bekas isteri baik kerana saya kerap mengunjungi mereka, membawa anak-anak keluar, malah saya dan bekas isteri memulakan hidup baru apabila masing-masing berkahwin lain.

“Sehinggalah anak lelaki saya memberitahu adik perempuannya akan berkahwin dan keluarga ibunya merancang menafikan hak saya sebagai wali,” katanya yang ditemui, semalam.


Terkejut dengan pendedahan itu, Sham berkata, dia mengadakan pertemuan dengan keluarga bekas isterinya termasuk anak perempuan dan bakal menantunya pada hujung 2009.

“Saya marah kerana rancangan mereka jelas penipuan dan bertentangan hukum syarak, malah saya bersedia menjadi wali kepada anak perempuan kerana dia satu-satunya anak perempuan saya.


“Saya anggap mereka faham, malangnya kira-kira sebulan selepas pertemuan itu, saya mendapat tahu anak perempuan saya sudah berkahwin dengan mengisytiharkan dirinya sebagai anak tidak sah taraf. Dengan izin Allah juga, saya nampak gambar anak perempuan saya yang berpakaian pengantin di facebook.


“Saya berusaha mendapatkan penjelasan daripada jurunikah, kenapa terlalu mudah menikahkan wanita yang mengaku anak luar nikah. Saya bertanya kenapa dia tidak menyoal pengantin perempuan sama ada dia mempunyai adik-beradik dan dengan selamba dia menjawab tidak,” katanya.

Tidak puas hati dengan penjelasan itu, Sham menghubungi pejabat agama Islam negeri tempat anaknya bernikah meminta pihak penguat kuasa agama segera memfaraqkan perkahwinan berkenaan.

“Saya sekali lagi terkilan apabila pegawai berkenaan meminta saya melantik peguam jika mahu berurusan dengannya.

“Apa yang berlaku sekarang ialah hukum Islam dipermainkan, tapi orang yang diberi tanggungjawab menjaganya mengambil sikap mudah. Saya mengambil masa dua tahun untuk mengumpul bukti bagi memisahkan anak saya dengan pasangannya yang melanggar hukum syarak, mujur SukaGuam mahu membantu saya dalam urusan ini,” katanya.

metro/-

22 Ogos 2011

Wanita hamil 7 bulan maut kemalangan

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -





BEGINILAH keadaan kereta Honda CRV yang terbalik dan menyebabkan seorang wanita mengandung tujuh bulan maut di Jalan Bahau-Keratong kelmarin.


JEMPOL – Seorang wanita yang sarat mengandung tujuh bulan maut apabila kenderaan pacuan empat roda jenis Honda CRV yang dinaikinya dirempuh sebuah kereta Perodua Kancil di Kilometer 15, Jalan Bahau-Keratong dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa, Lai Siew Chin, 37, maut di tempat kejadian akibat cedera di kepala dan badan manakala suaminya, Lai Cheon Kee, 37, yang memandu kereta tersebut cedera parah dan dirawat di Hospital Kuala Pilah.
Berikutan kemalangan itu, anak dalam kandungan Siew Chin turut meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Sabri Muhamad berkata, tiga lagi penumpang kenderaan berkenaan yang merupakan adik mangsa turut cedera.
Ujarnya, kejadian berlaku ketika kesemua mangsa dalam perjalanan dari arah Ladang Geddes dekat sini menuju ke Kuala Lumpur.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Kancil yang dipandu seorang lelaki dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta Proton Waja.
“Perlanggaran itu menyebabkan kereta Kancil itu terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh pula kenderaan mangsa,” katanya di sini semalam.
Ujarnya, rempuhan itu menyebabkan kenderaan mangsa hilang kawalan lalu melanggar tiang elektrik sebelum terbabas ke dalam ladang sawit berhampiran.
“Mangsa yang mengandung anak kedua tersepit di dalam kenderaan itu manakala pemandu Kancil dan Proton Waja hanya cedera ringan,” jelasnya.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat.

Panel Khas untuk tutup kerja kotor BN.

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Saya ingin mengeluarkan kenyataan berhubung isu Perdana Menteri menubuhkan Panel Khas bagi menangani tanggapan awam terhadap tatacara pengendalian pilihan raya di Malaysia, tindakan ini tidak ubah seperti helah beliau untuk menutup kerja kotor BN yang telah perkuda SPR yang sepatutnya badan ini bebas dari pengaruh mana-mana parti.

Saya juga ingin persoal apakah hak mereka (Umno-BN) mengatakan bahawa tarikh pilihan raya adalah prerogatif (hak istimewa) , adakah ada mana-mana akta yang menyebut bahawa tarikh keramat tersebut merupakan hak kerajaan yang wajib dirahsiakan?.

Tindakan menyembunyikan tarikh itu pun telah menyusahkan ramai pihak terutamanya Pakatan Rakyat, malah lebih merumitkan kebebasan akses media tidak berlaku, hal in terbukti apabila Pakatan tidak diberi peluang membuat kenyataan media di televisyen sepertimana BN.

Saya ingin mencabar supaya Najib tunaikan dulu dua dari lapan tuntutan Bersih 2.0 , iaitu yang pertama gunakan dakwat kekal, dan yang kedua akses media yang bebas dan adil menjelang PRU 13 nanti.

Kerajaan diharap jangan berdolak dalih lagi dengan cuma dua perkara ini, kedua ini jika dilaksanakan pun, dari segi kos, hampir tiada risikonya memandangkan dakwat telah dibeli pada 2008 cuma ia tidak dilaksana, manakala akses media, kerajaan cuma perlu buka pintu, beri laluan kepada wakil Pakatan untuk menyatakan sesuatu kepada rakyat, mudah, ringkas dan tiada kos.

Berkenaan tarikh pilihanraya pula, perkara ini patut diumumkan kepada khalayak supaya semua warga Malaysia sempat membuat persiapan.Kalau kebanyakan negara yang mengamalkan demokrasi mampu melakukaknnya kenapa Malaysia tidak boleh umumkan tarikh pilihanraya lebih awal.

Banyak tindakan indakan-tindakan Najib Razak meragukan, namun beliau mengajak supaya rakyat jangan letak sebarang keraguan, dalam isu penubuhan Panel Khas menurutnya tarikh PRU13 tiada kena mengena dengannya amat meragukan, BN gagal menipu rakyat dan DS Najib perlu diragui.

Justeru kerajaan yang benar-benar “anak jantan” perlulah bersikap berani berhadapan dengan apa juga situasi, berdasarkan apa yang berlaku hari ini, Kerajaan BN bukanlah “anak jantan”, rakyat perlu tolak pemimpin yang pengecut seperti Umno-BN pada PRU 13 nanti demi menjaga maruah Negara yang semakin lama makin tidak bermaruah
.
DRS KHALIL IDHAM LIM
PARIT BUNTAR, 22 OGOS 2011

Ancaman lanun antara faktor ikan kurang

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU — Bimbang dengan ancaman lanun terutama di pantai barat Semenanjung adalah antara faktor bekalan ikan kini agak berkurangan di pasaran.

Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Mohad Khazin Hamzah bagaimanapun memberi jaminan bekalan ikan segar mencukupi sepanjang musim perayaan ini.

Bercakap kepada pemberita di sini malam tadi, beliau mengakui harga ikan di pasaran kini naik sedikit berikutan masalah itu dan LKIM sukar membendungnya kerana ikan bukan barang kawalan kecuali ikan kembung yang tidak boleh dijual melebihi RM10 sekilo.

Katanya, faktor lain yang menyumbang kepada kekurangan bekalan ialah ikan bergred A kini banyak dieksport ke Singapura kerana permintaan tinggi terhadap ikan bersaiz besar dan harganya yang mahal.

Bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan itu, Mohad Khazin berkata pihaknya membawa masuk 40 peratus bekalan ikan dari Thailand, Indonesia dan Filipina.

Mengenai ancaman lanun, beliau berkata, kerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sedang dipertingkatkan dan yakin masalah itu akan dapat diatasi.

Berkenaan masalah kekurangan ikan di pantai timur, Mohad Khazin berkata ia tidak begitu ketara berikutan kemasukan ikan dari Thailand.

Selain itu katanya, ikan tidak mendapat permintaan tinggi pada musim perayaan terutama Aidilfitri, kerana pengguna lebih tertumpu kepada ayam dan daging. — Bernama

Pemberontak mara ke Tripoli, anak Gaddafi ditahan

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Pemberontak Libya dilaporkan tiba di Dataran Hijau di tengah Tripoli, menurut Sky News yang menunjukkan semakin ramai orang berkumpul di situ.

Ramai pemuda mengibarkan bendera merah, hitam dan hijau milik pasukan anti-kerajaan dan bersorak dan menari sambil bertakbir dan melepaskan tembakan ke udara.

Ramai yang menunjuk isyarat jari keamanan sambil menjerit "beritahu Muammar dan anak lelakinya bahawa Libya mempunyai anak jantan".

Sementara itu, Reuters yang memetik televisyen al-Jazeera melaporkan anak lelaki sulung pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, Mohammad, memberitahu awal hari ini bahawa beliau ditahan pemberontak dan dikenakan tahanan di rumah di Tripoli.

“Anggota bersenjata mengepung rumah saya dan saya masih berada di dalam dan mereka di luar. Mereka berkata akan menjamin keselamatan saya. Mereka mengepung rumah saya," katanya menerusi panggilan telefon dari Tripoli.

Bunyi tembakan boleh didengar semasa perbualan itu.

"Ya, tembakan itu dalam rumah saya," katanya sebelum talian tiba-tiba terputus.

AP pula melaporkan harga minyak global dijangka mula mencatatkan penurunan sekiranya pemberontak Libya berjaya menggulingkan Gaddafi; namun kesan keseluruhannya tidak akan dirasai untuk tempoh beberapa bulan.

Malam Ahad (waktu tempatan), pasukan pemberontak bergerak ke Tripoli tanpa berdepan dengan tentangan, ia selepas beberapa jam pangkalan tentera yang mempertahankan ibu kota negara itu dimusnahkan.

Penganalisis bebas, Lipow Andrew, berkata pasaran minyak dijangka akan bertindak balas hari ini dengan mengunjurkan harga yang lebih rendah dalam "tanda lega selepas konflik semakin berakhir."

Namun, Lipow berkata, ia akan mengambil masa untuk pasaran kembali stabil selepas kenaikan harga yang besar terhasil dari penggantungan eksport minyak Libya sejak pemberontakan bermula pada Februari lalu.

Susulan pemberontakan itu, minyak diniagakan pada sekitar AS$84 setong dan menokok di atas AS$93 dan terus meningkat tinggi melebihi AS$110 pada akhir April. Permintaan dari pasaran baru muncul termasuk China juga mendorong harga yang semakin meningkat.

Harga minyak jatuh baru-baru ini bersama stok susulan kebimbangan mengenai ekonomi global.

malaysiakini/-

Tiga termasuk ‘orang kuat’ Presiden MIC dilantik Senator

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 22 Ogos — Pengerusi MIC Petaling Jaya Selatan V Subramaniam, yang diterima semula oleh Datuk G Palanivel selepas dipecat oleh kepimpinan Datuk Seri S Samy Vellu tahun lalu, dilantik sebagai senator.

Subramaniam yang turut dikenali sebagai “Barat Maniam” mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara bersama Ketua Wanita MIC Selangor S Bagiam dan Pengerusi Parti Progresif Penduduk Melaka, Datuk Chiw Tiang Chai hari ini.

Upacara itu disempurnakan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang, lapor Bernama Online.

Samy Vellu, bekas presiden MIC, memecat Subramaniam tahun lalu dengan menggunakan kuasa presidennya ekoran kenyataannya mempertikaikan kepimpinan beliau, beberapa bulan sebelum melepaskan jawatannya.

Ketika itu Subramaniam mendakwa Samy Vellu tidak menunaikan janji mahu melantiknya sebagai anggota Dewan Rakyat.

Subramaniam memainkan peranan penting sebagai ‘pengurus’ ketika Palanivel bertanding semula mempertahankan jawatan timbalan presiden MIC pada 2009.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Subramaniam berkata: “Saya akan meneruskan kerja saya dalam parti seperti biasa, meskipun tiada jawatan ini sebelum ini, saya sudah melakukan kerja-kerja dalam parti.”

“Sekarang saya ada platform, saya akan mengutarakan isu-isu berkaitan dengan kaum India dan rakyat negara ini,” kata beliau.

Ketika ditanya mengenai nasibnya tahun lalu, Subramaniam berkata, “lupakan sahaja Samy Vellu, kita teruskan kerja untuk parti.”

Ditanya sama ada beliau merasakan kepimpinan semasa telah menghargai sumbangannya dengan memberi jawatan senator, “ya fikir begitu.”

Palanivel juga merupakan penerusi MIC Selangor.

Subramaniam dipecat dari MIC tahun bersama tiga pemimpin lain iaitu Kumar Aamaan dan K.P Samy yang merupakan anggota jawatankuasa kerja pusat dan timbalan ketua Pemuda MIC pusat V Mugilan, yang juga Ketua Pemuda MIC Selangor dan Hulu Selangor pertengahan tahun lalu.

Kesemua mereka telah diterima masuk ke dalam parti, sekali gus menimbulkan rasa tidak senang di kalangan segelintir ahli dan pemimpin MIC.

Subramaniam, 56, dan Bagiam, 52, pula dilantik sebagai Senator buat pertama kali.

Chiw, 54, yang juga Naib Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, dilantik semula selepas penggal pertamanya berakhir pada 2008.

malaysian insider/-

Subsidi: Tidak perlu perunding a'bangsa

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Tidak perlu perunding asing bagi menasihatkan negara bahawa pengurangan subsidi akan mengecilkan bajet negara yang terus melambung, kata PAS ketika membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamad Yakcop.

"Malah, guru Kemas pun boleh bagi tahu anda perkara itu,” kata pengerusi Kelab Protes Barang Naik Datuk Mahfuz Omarberhubung kenyataan yang dibuat oleh menteri yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancangan Ekonomi (EPU) itu.

Katanya, kerajaan sepatutnya lebih cekap menguruskan ekonomi negara dengan mengubal polisi fiskal yang lebih baik, memecahkan monopoli dan bekerja keras mempertahankan subsidi di sebalik kenaikan harga global.

malaysiakini/-

Al Quran di Malaysia hanya sekadar dimusabaqah

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 21 Ogos: Setiap kali tiba 17 Ramadan umat Islam di seluruh dunia diingatkan peristiwa Nuzul al Quran, turunnya kitab suci kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Tidak terkecuali juga di Malaysia, malah dijadikan cuti umum di kebanyakan negeri.

Biar pun lebih 1400 tahun al Quran diturunkan sebagai panduan bagi kehidupan manusia, malangnya di negara kita ia hanya sekadar dimusabaqahkan saban tahun.

“Musabaqah yang dianjurkan kerajaan sekadar untuk berlagu sahaja. Musabaqah hendak amalkan ajaran al Quran tidak ada,” kata pendakwah terkenal, Datuk Zawawi Yusof.

Menurutnya kesilapan yang berlaku itu berterusan sehingga ke hari ini.

Berlainan di Kelantan apabila kerajaan negeri bersungguh-sungguh mahu amalkan ajaran yang terkandung dalam al Quran.

Berbicara pada program Nuzul al Quran anjuran kerajaan negeri di Qaryah Ramadan baru-baru ini katanya juga, umat Islam sekarang lebih suka berbicara perkara-perkara yang kecil seperti memperdengarkan bacaan al Quran melalui pembesar suara sebelum solat Subuh.

“Sedangkan tuntutan yang lebih besar iaitu kewajiban melaksanakan Hudud dibiarkan. Sikap umat Islam sekarang perkara yang betul tidak dibuat secara betul-betul.

”Sebaliknya perkara tidak betul dibuat secara betul-betul (bersungguh-sungguh). Contohnya banyak berlaku dalam masyarakat sekarang,” ujarnya.

Hujah kepentingan penghayatan al Quran dalam kehidupan manusia dipertegaskan lagi Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dengan mengatakan al Quran bukan sekadar untuk dibaca, sebaliknya diamalkan dalam kehidupan manusia.

”Manakala bagi mereka yang membaca al Quran hendaklah meningkatkan lagi darjah dengan belajar memahami dan mengamalkan segala ajaran yang terkandung dalam al Quran,” katanya.

Sementara itu pada program pengkisahan Badar Qubra di lokasi sama malam tadi Speekar Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud berkata, mereka yang melawan perjuangan Islam melakukan pelbagai cara dan muslihat.

”Kalau kita baca sirah di mana tentera kafir Quraisy menggunakan khidmat penyanyi-penyanyi wanita bagi membangkitkan semangat perajurit ketika berperang dengan tentera Islam di Badar.

”Maka tidak hairanlah apa yag berlaku pada zaman Abu Jahal turut berulang sekarang apabila artis wanita digunakan bagi mengganggu ceramah-ceramah PAS,” katanya.

Hadir sama pada program berkenaan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, Fauzi Mat dan wakil Palestin, Dr Asyraf Abu Mahadi.

harakahdaily/-

Nenek diragut ketika ke klinik

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUANTAN — Ibarat jatuh ditimpa tangga, seorang wanita warga emas yang tidak sihat hilang rantai emas bernilai RM3,000 apabila diragut lelaki bermotosikal ketika dalam perjalanan ke klinik.

Mangsa yang berusia 68 tahun itu keluar bersendirian dari rumahnya di Bera untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Triang, kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Supt Nordin Mustapha, ketika ditemui di sini hari ini.

"Dalam kejadian 11 pagi Jumaat lepas itu, wanita terbabit sedang melintas jalan apabila dihampiri seorang lelaki bermotosikal yang bertindak meragut rantai lehernya,” katanya.

Warga emas terbabit bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan polis sedang mengesan suspek, katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan. — Bernama