23 Ramadhan 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR,: Sistem perekonomian Islam di tanah air tidak akan berkembang dengan baik selagi negara ini berada di bawah pemerintahan Umno BN.
Realiti itu boleh dilihat dengan jelas apabila sesetengah bank di negara ini masih lagi dibenarkan menjalankan operasi dengan dua sistem untuk dipilih oleh para pelanggan iaitu sistem Islam dan sistem konvensional.
Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Nazri Chik berkata, tindakan kerajaan yang membenarkan sesebuah bank menjalankan dua sistem seperti itu merupakan satu langkah yang silap kerana ia boleh mengelirukan orang ramai.
Menurut beliau, dengan adanya dua sistem seperti itu yang dibenarkan untuk dilaksanakan oleh sesebuah bank, ia masih memberikan peluang kepada orang ramai untuk memilih sistem konvensional walaupun sistem Islam ternyata jauh lebih baik berbanding sistem konvensional.
Katanya, kesilapan membuat pemilihan seperti itu pasti berlaku terutama jika orang ramai masih tidak memahami perbezaan antara sistem Islam dan konvensional dan ia sepatutnya dielakkan oleh kerajaan.
"Di negara kita hanya bank Islam yang betul-betul melaksanakan sistem Islam sepenuhnya, tetapi bank-bank lain masih terdapat dua sistem yang dilaksanakan untuk dipilih oleh orang ramai iaitu sistem Islam dan konvensional.
"Keadaan itu berbeza dengan tindakan Kerajaan Qatar yang tidak sekali-kali membenarkan sesebuah bank menjalankan dua sistem dalam operasinya.
"Sebaliknya, jika sesebuah bank itu hendak melaksanakan sistem Islam, hanya sistem Islam sahaja yang dibenarkan di Qatar, manakala jika sesebuah bank itu memilih sistem konvensional, hanya sistem konvensional sahaja yang dibenarkan dilaksanakan oleh bank itu tanpa diberikan pilihan untuk dilaksanakan sistem Islam oleh bank yang sama," katanya.
Ketika menyampaikan tazkirah di ibu pejabat Harakah, di sini, hari ini, beliau berkata, Kerajaan Malaysia sepatutnya mengambil langkah yang sama dengan Kerajaan Qatar kerana dengan itu barulah wang orang ramai akan menjadi bersih dari unsur riba dan unsur-unsur haram.
Menurutnya, namun selagi Umno BN memerintah, tindakan seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Qatar itu tidak akan dilaksanakan di negara ini.
Tindakan Umno BN itu, katanya, sememangnya memberikan kesan buruk bagi perkembangan sistem perekonomian Islam di tanah air dan ia sepatutnya sudah lama diselesaikan oleh Kerajaan BN.
"Tetapi Umno BN sebenarnya tidak boleh diharapkan untuk melakukan perubahan itu. Sebaliknya, jika PAS dan Pakatan Rakyat yang memerintah negara ini nanti, barulah rakyat akan dapat melihat perubahan itu yang akan dilaksanakan sepenuhnya oleh Pakatan Rakyat," ujarnya.
Di negara kita, katanya, perlaksanaan sistem perekonomian Islam yang dipelopori oleh Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) sebenarnya adalah cetusan idea pemimpin PAS iaitu almarhum Zulkifli Mohamad.
"Perkara itu diketengahkan oleh Zulkifli Mohamad bagi kepentingan perekonomian umat Islam di negara kita pada persidangan Dewan Rakyat dan kemudiannya telah diteliti serta diberikan pertimbangan yang sewajarnya oleh pihak-pihak terbabit.
"Lanjutan cetusan idea Zulkifli Mohamad itulah kemudiannya lahirnya Bank Islam yang melaksanakan sistem ekonomi Islam sepenuhnya di negara kita.
"Perkara itu amat perlu diketahui oleh orang ramai bagi membolehkan setiap rakyat negara ini memahami pemikiran dan perjuangan para pemimpin PAS yang sentiasa berjuang untuk Islam, untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen di tanah air, bukan sahaja dalam politik tetapi juga dalam pelbagai aspek termasuk dalam sistem kewangan atau perekonomian," ujar beliau.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan