06 Januari 2012

Azmin : Polis benarkan himpunan 901 diluar Mahkamah


12 Safar 1433H. [MOD] -

Polis telah membenarkan Pakatan Rakyat meneruskan perhimpunan ‘Bebaskan Anwar' di tempat letak kereta perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, Isnin ini.

Keputusan itu dicapai selepas kedua-dua pihak bermesyuarat selama sejam dengan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Walaupun timbalan presiden PKR Azmin Ali yang mengetuai rombongan parti itu, namun beliau tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga sidang akhbar jam 3 petang nanti.

Sebaliknya, perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin dalam laman twitternya yang berbunyi:

"Persetujuan dicapai dgn @PDRMsia utk perhimpunan solidariti utk @anwaribrahim 901 di kawasn letak kereta Kompleks Mahkamah KL. Jom turun".

Azmin pada sidang akhbarnya sekadar berkata keputusan perbincangan dengan polis hari ini "positif".

Bagaimanapun katanya, beliau akan mengumumkan hasil perbincangan secara terperinci pada sidang medianya pada jam 3 petang ini.

Walaupun diasak bertubi-tubi, beliau enggan mendedahkan butiran terperinci hasil perbincangan berkenaan.

"Keputusannya positif, saya gembira dengan (hasil) perbincangan pagi ini, kerana polis menunjukkan kesediaan untuk berbincang dengan parti-parti politik.

"Mereka mengambil sikap terbuka demi untuk menjamin keamanan rakyat," katanya sambil mengharapkan perhimpunan tersebut berjalan dengan aman dan teratur.

Azmin juga menegaskan bahawa pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjaga keamanan dan mampu mengatasi sebarang provokasi daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

PERKASA berhimpun di masjid

"Saya percaya polis mengambil langkah-langkah sewajarnya... Kita juga berbincang tentang program kita secara teliti dengan polis. Kita amat berpuas hati," katanya.

Menurutnya lagi, perhimpunan tersebut adalah untuk mrnunjukkan solidariti bagi membebaskan Anwar daripada fitnah.

"Ia bukan protes, tapi solidariti kepada Datuk Seri Anwar," katanya.

Sementara itu, Datuk Mohmad Salleh yang ditemui wartawan selepas mengadakan pertemuan itu mengesahkan pihak polis Kuala Lumpur membenarkan perhimpunan itu dengan dengan syarat ia berlangsung dalam keadaan aman dan teratur.

"Penganjur mesti memastikan perhimpunan itu dijalankan secara aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam," katanya.

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberi kelonggaran kepada penyokong Anwar untuk mengadakan perhimpunan di lokasi lain tetapi bukan di kawasan Kompleks Mahkamah, Jalan Duta.

Sehingga semalam sebanyak 535 laporan polis dibuat di seluruh negara membantah perhimpunan anjuran PKR itu pada Isnin depan oleh pelbagai pihak termasuk parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, kumpulan pendesak Melayu, PERKASA juga melaporkan polis telah memberi kebenaran kepada mereka untuk berhimpun di perkarangan masjid Kuala Lumpur pada Isnin depan.

Menurut timbalan presiden PERKASA Datuk Abdul Rahman Bakar yang juga mengadakan pertemuan dengan pihak polis, tidak ada permit yang diperlukan bagi tujuan berkenaan.

Malaysiakini/-

Pemuda PAS Sabah ketuai gerakan anak muda

12 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA KINABALU, 6 Jan: Pemuda PAS Sabah akan mengiringi gerakan anak muda yang terdiri di kalangan pemuda-pemuda Sabah bagi menyatakan bantahan terhadap kezaliman dan menuntut keadilan bagi memastikan hak rakyat dijamin berdasarkan peruntukan perlembagaan negara.

Ketuanya, Lahirul Latigu akan mengetuai gerakan tersebut bagi memecah keegoan dan keceluparan Umno BN yang memperhambakan rakyat Sabah sebagai fixed deposit Umno BN berkuasa.

“Kita nyatakan pendirian dengan tegas bahawa, sebarang kezaliman dan ketidakadilan yang berlaku dinegara ini adalah berpunca daripada Umno BN.

“Jangan terlalu ego dengan kesenangan yang ada ini. Hari ini, waktu ini dan di sini… anak-anak muda Sabah akan beraksi menentang kezaliman Umno BN,” ujarnya.

Momentum Bersih 2.0 merupakan satu bentuk manifestasi kebangkitan rakyat pada perhimpunan aman 901 ini yang menyaksikan kebangkitan kuasa rakyat terhadap kepimpinan zalim.

“Anwar telah diaib dan dimalukan sebelum keputusan mahkamah dibuat. Adakah ini keadilan yang dipertahankan Umno BN,” katanya.

Katanya, rakyat Sabah sudah muak dengan janji yang dimainkan saban hari oleh media perdana Umno BN.

“Pagi hari dia bagi tanah, malam hari dia rompak hasil tanaman rakyat. Siang hari dia derma baja, cukup bulan dia rampas tanah… apa ini?,” kata Lahirul.

Pemuda PAS Sabah katanya, akan memainkan peranan yang lebih agresif dalam mendepani kezaliman Umno BN.

Justeru katanya, pihak polis perlu mengawal dan menjamin kelancaran perhimpunan dan bukan mengikut telunjuk Umno BN.

“Uniform biru yang dipakai itu menunjukkan kesetiaan kepada Raja dan Perlembagaan Negara, bukan setia kepada Najib dan takut kepada Umno BN.

“Ingat semula surat aku janji yang dilafazkan itu,” jelasnya.

Harakah Daily

Najwa Latif di Kota Bharu sempena ‘Ladies Night’

12 Safar 1433H. [MOD] -

PENGKALAN CHEPA, 6 Jan: Artis baru yang terkenal dengan lagu ‘Cinta Muka Buku’ Najwa Latif bakal membuat persembahan di Kelantan sempena program ‘Kelantan Got Talent, Ladies Night’.

Program tertutup khusus untuk golongan wanita sahaja itu akan diadakan di Kelantan Trade Cantre kira-kira 2.30 petang dan pukul 8.45 malam untuk Ladies Night, pada 23 Januari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar (gambar) ketika memberitahu media berkata, program berkenaan dianjur bertujuan untuk mencari bakat-bakat baru dalam hiburan.

“Saya sedar ramai anak-anak kita serta kaum wanita kita yang boleh menyanyi atau membuat persembahan, cuma bakat saja tidak dicungkil.

“Program ini kita anjur juga untuk menghibur kaum wanita, kerana hiburan itu fitrah manusia yang memerlukan hiburan, cuma program ini tertutup macam biasalah khusus untuk kaum wanita sahaja,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis rebranding Perdana Resort oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam.

Katanya lagi, majlis itu bermula jam 2.40 petang dan ianya terbuka kepada kaum wanita berusia 15 tahun ke atas, termasuk rakan media di kalangan wanita.

Harakah Daily

901: Saya akan hadir, ahli terserah - Presiden PAS

12 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 6 Jan: "Saya akan hadir, dan untuk ahli PAS pula, terserah masing-masing," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) ketika ditanya apakah beliau akan hadir dalam perhimpunan aman 9 Januari ini.

Perkara ini disampaikan Setiausaha Politik beliau, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada Harakahdaily.

Manakala itu Dewan Muslimat PAS, Dewan Pemuda dan PAS Selangor membuat keputusan akan menyertai perhimpunan aman di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 9 Januari ini.

Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi meminta mana-mana pihak tidak salah faham dengan perhimpunan tersebut dengan menganggap ianya merupakan sokongan peribadi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Muslimat PAS akan memberi sokongan kepada perhimpunan pada 9 Januari bukan semata-mata atas isu Anwar.

"Isu Anwar adalah sebahagian yang menampakkan kepincangan sistem kehakiman negara, tetapi lebih daripada itu ianya adalah manifestasi kebencian rakyat terhadap kezaliman Umno BN yang mencampur adukkan sistem pengasingan kuasa iaitu Eksekutif, Perundangan, Legislatif dan Kehakiman," katanya kepada Harakahdaily, hari ini.

Pimpinan PAS Selangor juga memutuskan untuk turun 9 Januari ini, kata Pesuruhjayanya, Dr Rani Othman.

"Kita akan bersama presiden di sana. Dalam perbincangan di peringkat negeri juga, kita sudah putuskan akan turun," katanya kepada Harakahdaily.

Pemuda PAS pula sedang memobilisasi ahlinya untuk turun pada perhimpunan tersebut.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, pemuda memberi komitmen untuk mencapai sasaran 100,000 orang yang ditetapkan oleh penganjur.

"Jika Datuk Seri Najib kena zalim pun kita akan turun," kata Nasrudin.

Bersama Presiden

Aiman turut berkata, muslimat tidak perlu takut untuk bersama-sama 9 Januari ini atas kapasiti parti kerana Presidennya sendiri, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pimpinan tertinggi yang lain sudah menyatakan komitmen untuk menyertai perhimpunan tersebut.

"Muslimat tidak perlu ragu-ragu kerana PAS sendiri termasuk Presiden kita akan turun bersama-sama. Jadi tidak ada masalah di peringkat parti," katanya.

Zalim kepada mahasiswa

Sementara itu, beliau menambah sudah tiba masanya rakyat berani menyatakan kebencian terhadap kerajaan Umno BN yang bertindak zalim ke atas mahasiswa sendiri.

Sambil mengucapkan tahniah kepada kebangkitan mahasiswa yang menuntut Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dimansuhkan, Aiman berkata mahasiswa sekarang sudah bijak berfikir dan bertindak tanpa mengabaikan pelajaran.

"Muslimat juga mengucapkan syabas dan tahniah di atas kebangkitan gerakan mahasiswa yang bermula daripada Adam Adli dan tragedi berdarah di UPSI.

"Muslimat berpendapat mahasiswa pada abad ke-21 ini mesti lebih cekap dan cerdik iaitu meletakkan pelajaran nombor satu tetapi gerakan kebangkitan rakyat bukan di tempat kedua.

"Yang paling penting dalam kehidupan seorang manusia apabila dia dapat melawan kelemahan dalam dirinya dan juga melawan kezaliman di sekelilingnya," tegasnya.

Harakah Daily

Turun bendera PM: Adam adli beri keterangan

12 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 6 Jan: Koordinator Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Adam Adli Abdul Halim hari ini hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi susulan insiden beliau menurunkan bendera gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 18 Disember lalu.

Adam yang merupakan penuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditemani peguam dari Lawyers For Liberty, Fadiah Nadwa Fikri.

Menurut Fadiah, polis memberitahu Adam Adli dipanggil kerana terdapat laporan polis yang telah difailkan terhadapnya.

Bagaimanapun menurutnya, pegawai polis berkenaan tidak menyatakan asas mengapa Adam dipanggil dan enggan membenarkan beliau melihat laporan tersebut.

“Apabila ditanya atas alasan apa anak guam saya dipanggil, pegawai ini berkata, Adam dipanggil di bawah Seksyen 504 Kanun Acara Jenayah kerana didakwa menimbulkan sesuatu yang memecah belahkan keamanan dengan risikonya hukuman penjara dua tahun,” katanya kepada pemberita sebaik sahaja Adam selesai memberikan keterangan.

Sementara itu, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) menyerahkan memorandum yang didakwa mengandungi bukti kekasaran polis terhadap mahasiswa di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman petang ini.

Kekasaran itu didakwa dilakukan polis pada demonstrasi aman di hadapan UPSI, 31 Disember lalu, menuntut Adam tidak dikenakan tindakan tatatertib berhubung tindakan menurunkan bendera gambar Najib.

Demonstrasi itu turut mendesak Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dimansuhkan.

Polis didakwa bertindak kasar terhadap Pengerusi Bebas, Safwan Anang sehingga terpaksa dirawat di hospital.

Seramai 17 mahasiswa ditahan pada malam tersebut.

Harakah Daily

Penyamun kurung mangsa dalam tandas

12 Safar 1433H. [MOD] -

SUBANG JAYA – Dua penyamun tidak berhati perut sanggup mengikat dan mengurung seorang mangsanya yang mengandung enam bulan di dalam tandas rumah wanita itu sebelum membuat ‘kerja’ menyelongkar dan melarikan barang berharga milik mangsa.

Tidak cukup dengan tindakan kasar itu, kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an juga dikatakan bertindak kejam merentap rantai emas yang dipakai di leher serta menghentak kepala mangsa beberapa kali dilantai.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, mangsa menerima kunjungan dua tetamu tidak diundang itu di rumahnya di Casa Subang USJ 1, kira-kira jam 11.30 pagi, kelmarin.

“Ketika mangsa berada di dalam rumah, dia terdengar bunyi loceng dan terus membuka pintu sebelum dua lelaki berparang menyerbu masuk ke dalam rumahnya.

“Salah seorang suspek mencengkam muka mangsa dan mengacukan parang sambil bertanya di mana barangan berharga disimpan. Dalam keadaan takut dan cemas, mangsa menunjukkan tempat simpanan barang kemas,”katanya suspek kemudian mengikat dan mengurung mangsa dalam tandas rumah itu.

Yahaya berkata, setelah mendapat apa dihajati, suspek kemudian melarikan diri bersama barang kemas dan komputer riba milik suami mangsa.

“Meyakini keadaan sudah selamat, mangsa kemudian keluar dari tandas dan memberitahu insiden kepada jiran serta pengawal keselamatan yang bertugas di pangsapuri didiaminya.

“Bertindak atas aduan, pengawal keselamatan berjaya mengesan tindak tanduk dua lelaki mencurigakan dan terus mengejar suspek. Salah seorang daripadanya yang berusia 21 tahun berjaya dicekup manakala rakannya dapat melarikan diri,”katanya hasil pemeriksaan mendapati suspek bukan penghuni di kawasan pangsapuri itu.

Beliau berkata, dengan penangkapan suspek, barang kemas, komputer riba, sebilah parang dan sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Taman Putra Perdana berjaya ditemui.

“Suspek mengaku melakukan jenayah samun itu bersama seorang rakan yang didakwa baru dikenalinya seminggu lalu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis memburu seorang lagi lelaki yang masih bebas. Polis percaya terdapat beberapa lagi suspek yang terlibat dengan kes samun ini,”katanya kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian

Nenek dakwa dipukau

12 Safar 1433H. [MOD] -

BANDAR PEKAN – Seorang nenek mendakwa dipukau selepas menyedari beg tangannya dilarikan dua lelaki tidak dikenali ketika pergi ke bandar untuk menyelesaikan urusan peribadi kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin.

Mangsa, Sadiah Awang, 66, yang berseorangan dari Nenasi ke bandar menaiki bas mendakwa dipukau ketika dalam perjalanan ke terminal bas untuk pulang ke rumah selepas membeli barang keperluan di sebuah pasar raya di sini.

Menurutnya, ketika tiba di kawasan pondok telefon awam terminal bas, tiba-tiba dia ditegur dua lelaki berusia lingkungan 30-an di mana seorang daripadanya kemudian mengeluarkan sebentuk batu permata berwarna kuning daripada poket seluar untuk ditunjukkan kepada mangsa.

“Selepas memegang batu permata itu, saya seperti lupa segala-galanya dan hanya menurut ajakan untuk pergi ke bahagian belakang pasar raya berhampiran kerana mereka mahu memberi penjelasan lanjut mengenai batu tersebut.

“Ketika berada di belakang pasar raya itu, lelaki terbabit mengarahkan saya menyerahkan rantai bersama loket dan cincin emas termasuk beg tangan berisi RM200,” katanya.

Sadiah berkata, seorang daripada mereka kemudian memberi RM10 yang diambil daripada beg tangannya sendiri dan menyuruh membeli sabun serta air mineral sebelum mendapati mereka melarikan diri.

“Saya hanya sedar dipukau apabila pergi semula ke belakang pasar raya untuk menyerahkan sabun dan air mineral seperti diarahkan dua lelaki terbabit. Ketika itu, hanya Tuhan tahu perasaan saya.

“Walaupun sedar harta benda hilang, namun ingatan mengenai kejadian itu masih samar-samar hinggalah anak menemui dan membawa saya membuat laporan polis,” katanya.

Dalam kejadian itu, Sadiah kerugian lebih RM2,500 apabila barang kemas termasuk wang tunai miliknya dilarikan dua lelaki yang dipercayai mahir memukau menggunakan permata berwarna kuning.

Dia berharap orang ramai terutama mereka yang sering menggunakan kemudahan awam lebih berhati-hati untuk mengelak kejadian sama berulang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, pihaknya ada menerima aduan daripada Sadiah berhubung kejadian itu, kelmarin.

Yahaya berkata, menurut rekod, pihaknya ada menerima aduan kes seumpama itu dan berusaha mengesan kedua-dua penjenayah terbabit yang dipercayai mempunyai kemahiran melakukan rompakan menggunakan ilmu hitam atau pukau.

“Saya menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran menjual barangan seperti batu permata untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Sikap waspada dan sentiasa peka dengan keadaan persekitaran dapat membantu kita mencegah risiko kejadian jenayah,” katanya.

Sinar Harian

Pahang, Johor diramal hujan mulai Ahad ini

12 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Hujan sekejap-sekejap kadang kala sederhana yang dijangka berlaku di beberapa kawasan di Pahang dan Johor bermula Ahad ini akan berlanjutan sehingga hari Isnin.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, kawasan yang terlibat di Pahang ialah daerah Kuantan, Pekan, Rompin dan Maran manakala bagi Johor ialah daerah Mersing dan Kota Tinggi.

Jabatan Meteorologi juga mengeluarkan amaran angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 60 kmsj dan ombak melebihi 5.5 meter di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Samui, Tioman, Bunguran, Condore, Reef North, dan Layang-Layang yang dijangka berterusan sehingga 10 Januari.

Sementara itu keadaan yang sama juga diramalkan berlaku di Pantai Timur Semenanjung yang terdedah dengan kejadian kenaikan paras air sehingga Selasa ini.

Jabatan itu juga mengeluarkan amaran angin kencang dengan kelajuan 50 hingga 60 kmsj dengan ombak melebihi 4.5 meter yang dijangka berterusan sehingga Selasa ini di kawasan perairan Sarawak, Reef South, Palawan, Sulu, Wilayah Persekutuan Labuan dan beberapa kawasan di Sabah seperti Pedalaman, Pantai Barat, Kudat dan Sandakan.

Keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak, menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Sinar Harian

Letupan di premis barang lusuh, satu maut

12 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA — Seorang warganegara India terbunuh manakala dua rakan senegaranya cedera parah dalam satu letupan di premis perniagaan besi buruk di Kampung Bukit Lancang, Putra Heights, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli berkata Ganesan Selvakumar, 25, yang putus tangan kiri dan cedera parah di bahagian kepala dan badan, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Thiruvattachelvam Ayyachamy, 28, dan Marimuthu Chinnathambi, 37, dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada 8.45 pagi tadi apabila Ganesan dipercayai merungkaikan pemampat peti sejuk dan rakan-rakannya mengetuk beberapa barangan besi.

"Ini mengakibatkan satu letupan kuat berlaku menyebabkan Ganesan tercampak,” kata Yahaya.

Ketika kejadian berlaku hanya tiga pekerja itu sahaja yang berada di premis itu.

Yahaya berkata, siasatan awal mendapati premis besi buruk itu tidak mempunyai lesen untuk menjalankan perniagaan di kawasan setinggan itu.

Kematian Ganesan diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut, kata beliau.

Menurut Yahaya, Ganesan dan Thiruvattachelvam mempunyai pasport sah untuk berada di negara ini manakala Marimuthu pula telah berdaftar dengan program pemutihan pendatang asing tanpa izin baru-baru ini. — BERNAMA

20 tahun ketagihan dadah

12 Safar 1433H. [MOD] -

KUANTAN - “Kalau saya tak ambil benda tu, saya tak boleh melakukan sebarang kerja, saya rasa seperti orang bodoh,” demikian pengakuan salah seorang penagih tegar warga emas, Din, 54, yang ditahan dalam Ops Tapis, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), di sini.

Menurutnya, dia sudah ketagih dadah lebih 20 tahun lalu malah keluarganya mengetahui keadaannya.

“Saya rasa seperti orang gila dan tidak boleh buat kerja. Kalau saya tak dapat kerja, macam mana saya nak cari makan untuk anak isteri.

“Saya tidak boleh mengambil metadon kerana dinasihatkan mengambil ubat mental,” katanya.

Dalam operasi selama tujuh jam bermula 9 pagi itu, seramai 43 daripada 75 mat gian yang ditahan pihak berkuasa berusia 24 hingga 54 tahun disahkan positif dadah jenis heroin dan methamphetamine oleh pihak berkuasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Polis, Superintendan Yap Toon Kuan berkata, dalam operasi tersebut, beberapa port mat gian di sekitar jeti tersebut diserbu.

Menurutnya, port berkenaan sudah menjadi pilihan penagih untuk melepaskan gian malah ada di antara mereka orang luar.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada nelayan dan ada juga orang luar yang datang ke sini semata-mata mahu melepaskan gian.

“Hasil pemeriksaan awal didapati kebanyakan mereka menyertai program pertukaran jarum yang disediakan kerajaan, bagaimana pun pelbagai alasan diberikan untuk kembali menagih dadah,” katanya, semalam.

Toon Kuan berkata, pihaknya menggalakkan penagih yang belum mengikuti program yang disediakan supaya menyertainya supaya tidak bergantung pada bekalan yang dijual tokan.

Katanya, dalam operasi itu juga pihaknya turut menahan lima warga Myanmar dan dua daripada mereka didapati positif.

Kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sinar Harian

Ombak musnah kawasan pendaratan penyu

12 Safar 1433H. [MOD] -

RANTAU ABANG – Fenomena ombak besar yang melanda perairan pantai Dungun penghujung 2011 lalu mengakibatkan kemusnahan di beberapa lokasi peranginan di daerah ini.

Rantau Abang, sebagai destinasi pelancongan penyu yang terkenal di seluruh dunia tidak terkecuali terkena tempias ombak besar yang disifatkan sebagai tsunami kecil itu.

Seorang penduduk, Mohd Abdullah, 44, berkata, serangan ombak pada tahun ini disifatkan lebih ganas berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, kejadian ombak menghempas pantai pada tahun ini meninggalkan kesan yang amat teruk pada pantai yang menjadi tempat pendaratan bot nelayan tempatan.

“Landskap di tepi pantai, terutama berhampiran chalet penginapan juga banyak yang rosak teruk.

“Keadaan ini dibimbangi boleh menjejaskan kehadiran penyu ke sini kerana pantainya sudah tercemar selain semakin curam akibat hakisan ombak. Kalau boleh biarlah ada usaha dari pihak berkenaan untuk membaikinya sebelum keadaan menjadi bertambah teruk,” katanya.

Menurut Mohd, lokasi terbabit perlu dipulih segera untuk memastikan ia tidak menjejaskan kehadiran penyu mendarat dan pelancong ke lokasi yang pernah popular pada lewat tahun 70-an dan awal 80-an itu.

Sinar Harian

Padah curi kain batik

12 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU- Padah mencuri 10 helai kain batik yang bernilai RM280, seorang buruh terpaksa meringkuk dalam penjara selama seminggu dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam.

Tertuduh, Mohd Khairi Noh @ Mohd Noh, 29, didapati bersalah setelah mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dihadapinya di hada-pan Majistret Noradila Ab Latif manakala pendakwaan dibuat oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi.

Berdasarkan pertuduhan pertama, kira-kira jam 11 pagi pada 1 Januari lalu, bertempat di kedai kain atas Pasar Kedai Payang, tertuduh telah melakukan curi dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat kediaman manusia dan tempat menyimpan harta curi bernilai RM280 daripada milikan Muhamad Ismail, 46, seorang peniaga.

Dengan itu, dia telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kali kedua atau kemudian, hendaklah diseksa dengan penjara dan bolehlah dikenakan sebat.

Setelah mendengar pengakuan bersalah tertuduh, Majistret Noradila kemudiannya menjatuhkan huku-man penjara selama seminggu dan denda RM2,000. Jika gagal membayar denda, hukuman sebulan penjara akan dikenakan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati gagal membawa kad pengenalan dan didapati telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan penjara tidak lebih tiga tahun dan denda tidak lebih RM3,000.

Majistret Noradila kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM200 bagi pertuduhan kedua. Jika gagal membayarnya, hukuman seminggu penjara akan dikenakan.

Mengikut fakta kes, pada 1 Januari lalu, kira-kira jam 11 pagi, pengadu iaitu Muhamad Ismail berada di kedainya iaitu di Pasar Kedai Payang manakala tertuduh datang ke kedai itu untuk membeli kain.

Pengadu kemudiannya telah pergi ke bahagian sebelah lagi kedai itu dan meninggalkan tertuduh untuk memilih kain. Bagaimanapun, selang beberapa minit, pengadu diberitahu oleh pemilik kedai sebelah lelaki itu bahawa tertuduh telah mencuri kain.

Pengadu kemudian terus memegang lelaki tersebut dan memeriksa begnya. Dia mendapati tertuduh telah mencuri 10 helai kain batik pelbagai warna, lalu menghubungi polis dan menyerahkannya kepada pihak polis.

Sinar Harian

Warga emas dibelasah

12 Safar 1433H. [MOD] -

SUBANG JAYA - Tidak berperikemanusiaan! Itu gelaran layak diberi kepada lima lelaki yang membelasah seorang warga emas di sebuah tokong di Taman Bukit Kuchai, di sini sehingga pengsan meskipun mangsa menjerit meminta simpati supaya tidak dicederakan.

Sinar Harian difahamkan, mangsa, Toy Kin, 57, yang menjadikan rumah ibadat itu sebagai tempat tinggal sejak tiga tahun lalu ditumbuk berkali-kali di bahagian mata dan kepala menggunakan topi keledar sehingga tidak sedarkan diri.

Setelah puas ‘mengerjakan’ mangsa, kelima-lima suspek dikatakan melarikan diri bersama wang tabung derma tokong serta beberapa peralatan bernilai hampir RM25,000 yang diletakkan dalam tokong itu.

Mangsa berkata, dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi, empat lelaki dikatakan memecah masuk ke dalam Rumah Berhala Kuan Yin Tien dengan memanjat pintu pagar utama, manakala seorang lagi rakan mereka dipercayai menunggu di luar.

“Ketika itu saya baru bangun tidur untuk mengisi minyak di dalam bekas yang akan digunakan untuk upacara keagamaan.

“Apabila membuka pintu tokong, saya terkejut melihat empat lelaki yang kesemuanya memakai topi keledar sudah menunggu di luar, tanpa sempat berkata apa-apa dan tidak mengetahui tujuan mereka mengunjungi tokong pada awal pagi, mereka menumbuk mata dan memukul dengan topi keledar,” katanya.

Toy Kin berkata, dia beberapa kali mengadu kesakitan dan meminta suspek berhenti daripada memukulnya, namun tidak diendahkan.

“Saya terus ditumbuk dan dipukul sehingga pengsan, saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu,” katanya.

Difahamkan, kejadian itu hanya disedari apabila pembantu tokong datang untuk membuat kerja pembersihan sebelum mendapati Toy Kin sudah tidak sedarkan diri di tempat sembahyang.

Kejadian itu menyebabkan tulang di bahagian mata Toy Kin retak dan berlaku pendarahan pada kepala.

Kumpulan berkenaan dikatakan membawa lari sistem pembesar suara, peralatan kamera litar tertutup (CCTV), sebuah mesin dan wang tunai dianggarkan berjumlah RM4,000.

Toy Kin memberitahu, kesemua suspek berusia lingkungan 20-an, bagaimanapun dia tidak dapat mengecam muka suspek kerana masing-masing memakai topi keledar.

Sementara itu, Penyelaras Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kinrara, Datuk Wong Hock Aun berkata, kejadian itu agak mengejutkan kerana pertama kali berlaku membabitkan rumah ibadat yang sudah berusia puluhan tahun.

“Ada beberapa kes samun berlaku di sekitar Kinrara kebelakangan ini dan saya berharap orang ramai akan lebih berhati-hati bagi menge­lak diri daripada menjadi mangsa jenayah.

“Simpan nombor telefon Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau nombor telefon balai polis terdekat supaya senang dihubungi ketika berlaku kecemasan,” katanya yang turut menggesa polis meningkatkan rondaan di kawasan rumah ibadat dan perumahan.

Sinar Harian

Ikan tuna gergasi dilelong RM2.3 juta

12 Safar 1433H. [MOD] -

KIYOSHI KIMURA (kanan) bergambar di sebelah ikan tuna gergasi di pasar ikan Tsukiji, Tokyo semalam.

TOKYO - Seekor ikan tuna gergasi sirip biru seberat 269 kilogram (kg) yang ditangkap di luar perairan wilayah Aomori, utara Jepun mencipta rekod apabila dilelong dengan harga 56.49 iuta yen (RM2.3 juta) pada lelongan pertama hidupan laut itu dalam tahun ini.

Menurut agensi berita AFP, ikan itu dibeli oleh presiden sebuah syarikat yang mengendalikan rangkaian restoran popular Zushi-Zanmai, Kiyoshi Kimura.

"Saya mahu memenangi ikan tuna yang terbaik supaya pelanggan Jepun dan bukan pelanggan dari luar negara yang akan menikmatinya," kata Kimura.

Dia merujuk kepada seorang pemilik restoran sushi di Hong Kong yang membeli seekor ikan tuna sirip biru yang dilelong pada harga 32.49 juta yen (RM1.32 juta) di Tsukiji, Jepun.

Penduduk Jepun makan tiga suku daripada ikan tuna yang ditangkap di seluruh dunia. - AFP

Rugi RM650,000

12 Safar 1433H. [MOD] -

HI-TECH, KEDAH - Seorang kontraktor binaan berusia 46 tahun terkejut apabila mendapati sembilan saiz kabel berlainan berukuran 16,400 meter dilaporkan hilang apabila dia ingin memulakan kerja pemasangan.

Menurut seorang pekerja yang berada di tempat kejadian, mereka sedang melakukan kerja pemasangan pendawaian di sebuah kilang, di sini yang sudah 45 peratus siap.

“Sebelum ini semua kabel yang hilang tidak diletakkan di tempat kejadian, sebaliknya ia hanya diletakkan sehari sebelum projek pemasangan hendak dijalankan.

“Kira-kira jam 9.30 pagi ketika sampai di tempat kejadian, saya membuat pemeriksaan terhadap kabel yang ada untuk dipasang. tetapi terkejut apabila mendapati kesemua tempat di mana kabel itu digulung telah kosong,” katanya.

Difahamkan susulan kejadian, kontraktor berkenaan telah membuat laporan polis di Balai Polis Kulim semalam.

Terdahulu, menurut pekerja terbabit, terdapat sembilan jenis kabel yang disimpan di belakang bangunan di situ untuk pasang.

“Kesemua kabel ini baru dan ia memang panjang. Saya percaya suspek yang mencuri semua kabel ini datang dari arah belakang kerana pagar di belakang bangunan ini sudah dipotong.

“Secara logik, suspek harus menggunakan lori untuk mengangkat semua kabel. Saya mentafsirkan jumlah kerugian akibat kehilangan kesemua kabel itu kira-kira RM650,000,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) Khor Eng Khim berkata, kes melibatkan kehilangan kabel kerap berlaku.

Menurutnya, kejadian itu mungkin berikutan bahan logam yang terletak dalam kabel itu boleh dijual dengan harga mahal atau dijual semula kepada mana-mana kontraktor yang menjalankan tugas pendawaian dengan harga lebih murah.

“Terdapat beberapa kawasan yang sering dilaporkan berlaku kes kecurian kabel. Sehingga kini beberapa kejadian serupa dilaporkan berlaku dan terdapat individu berjaya ditahan.

“Kes kecurian kabel melibatkan jumlah kerugian besar sukar dikenal pasti kerana suspek terlibat seakan–akan sedang menjalankan tugas pemasangan kabel,” katanya.

Eng Khim tidak menafikan sukar untuk PPKM mengesyaki berlaku kes kecurian kabel sekiranya perlakuan suspek terlibat bersahaja dan seolah-olah mereka sedang menjalankan kerja pemasangan kabel.

Katanya, aktiviti pendawaian kabel bawah tanah ini selalunya dijalankan pada waktu malam dengan suspek akan memakai topi dan baju pantulan cahaya sama seperti pekerja pendawaian lain.

Sinar Harian