16 April 2012

Kekalahan tahun lalu jadi pengajaran

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BALING - Kekalahan pasukan Bawah 18 Tahun Baling/Sik dengan pasukan Kota Setar tahun lalu terubat setelah menjadi johan Bola Baling Majlis Sukan Sekolah Kedah (MSSK) di Dewan Futsal Tun Abdul Razak, Baling kelmarin.

Pasukan yang terdiri daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Bakai dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai itu membuktikan sekolah kampung turut boleh menandingi pasukan dari sekolah bandar.

Pengerusi Teknik Bola Baling Baling, Mohamad Naim Ishak berkata, pasukan Baling/Sik berjaya menundukkan musuh tradisinya iaitu Kota Setar dengan mata 5-4.

Kota Setar yang pernah menundukkan Baling/Sik dengan mata 3-1 tahun lalu terpaksa akur dengan ketangkasan dan balingan padu pasukan Baling/Sik yang diketuai Ibrahim Zakaria.

Mohamad Naim berkata, kejayaan itu adalah hasil komitmen padu pemain, selain latihan yang berterusan sejak awal tahun lagi.

“Saya berpuas hati dengan corak permainan pasukan ini yang ternyata menggunakan kekuatan mereka dengan sepenuhnya.

“Saya kagum dengan semangat yang ditunjukkan setiap pemain dan berharap, mereka dapat mengekalkan rentak permainan ini kelak,” katanya.

Menurutnya, strategi yang digunakan iaitu ‘fast brake’, selain kelincahan mengawal bola berjaya menembusi palang gol pasukan lawan.

Pasukan Baling/Sik akan mewakili Kedah ke peringkat kebangsaan pada 2 sehingga 9 Jun ini di Kelantan.

“Saya berharap pasukan Baling/Sik dapat meningkatkan lagi kekuatan mereka untuk memperoleh kemenangan di peringkat kebangsaan kelak,” katanya.

Majlis penyampaian pingat dan sijil disempurnakan Pegawai Pejabat Pelajaran Baling/Sik, Abdul Razak Md Noh.

Sinar Harian

Debat Lynas di RTM tak muncul-muncul

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Selepas tiga minggu, rakaman debat melibatkan anggota parlimen Kuantan daripada PKR Fuziah Salleh berhubung kontroversi pembinaan pusat pemprosesan nadir bumi bernilai RM700 juta di Gebeng, Kuantan masih tidak disiarkan di televisyen.

Fuziah berkata, RTM tidak memberikan sebarang penjelasan kepadanya kepada debat dalam rancangan "Bicara Rakyat" yang dikendali oleh Syed Munawar Syed Mustar masih belum disiarkan.

Katanya, beliau hanya dapat berhubung dengan moderator yang berkata masih belum menerima sebarang arahan siaran setakat ini.

Ahli panel lain termasuk Ketua Pengarah Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) Datuk Raja Abdul Aziz Raja Adnan dan Ketua Pemuda GERAKAN Kedah, Tan Keng Liang.

Rancangan itu dirakam pada 16 Mac dan dikatakan sepatutnya disiarkan pada 23 Mac. Rakaman audio rancangan itu kini dimuatkan di Internet.

malaysiakini/-

Bayi dua minggu mati dipijak bapa

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Lelaki gaduh dengan isteri, ipar naik angin

IPOH: Seorang bayi lelaki yang baru berusia dua minggu meninggal dunia dipercayai selepas dipijak bapanya sendiri yang naik berang selepas bergaduh dengan isteri dan iparnya di rumahnya di Taman Bernam Jaya, berdekatan Tanjung Malim, awal pagi kelmarin.

Sumber berkata, sebelum kejadian itu suspek berusia 40-an dan bekerja dengan syarikat mengumpul barang lusuh dikatakan bertengkar dengan isterinya berusia 30-an dan tindakannya ditegur adik iparnya.

“Teguran itu menyebabkan suspek bertambah berang hingga berlaku pergaduhan.

“Suspek yang tidak berpuas hati kemudian dikatakan mencapai parang lalu menyerang iparnya yang berusia 32 tahun.

“Selepas itu, suspek dikatakan memijak pula bayi lelakinya hingga menyebabkan bayi berkenaan mengalami kecederaan organ dalaman,” katanya di sini, semalam.

Sumber berkata, bayi berkenaan kemudian dikejarkan ke Hospital Tanjung Malim (HTM) untuk mendapatkan rawatan tetapi disahkan meninggal dunia sebelum mayatnya dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk dibedah siasat.

Katanya, salah seorang keluarga terdekat suspek kemudian membuat laporan mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kubu Baru.

Difahamkan, empat ahli keluarga bayi, iaitu suspek dan beberapa ahli keluarganya ditahan polis untuk disoal siasat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim yang dihubungi berkata, siasatan kes bunuh itu dilakukan polis Selangor berikutan kejadian dilaporkan di Balai Polis Kuala Kubu Baru.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi, ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek, kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Beliau berkata, polis turut menahan seorang lelaki lain bagi membantu siasatan kerana memukul suspek ketika pergaduhan dalam keluarga berkenaan.

- BERITA HARIAN

Pendedahan Samy Mengelirukan Rakyat

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Datuk Seri Samy Vellu tiba-tiba membuat kenyataan media bahawa kekalahan beliau di Sungai Siput dalam PRU12 adalah kerana anti kempen yang disusun oleh Tun Mahathir. Pertama sekali, kenapakah perkara ini tidak dipampang oleh Datuk Seri Samy Vellu sebaik sahaja beliau kalah dalam pilihanraya itu? Kedua, kenapakah beliau membuat kenyataan ini selepas 4 tahun selepas PRU 12? Ada sesuatu yang tidak kena dengan kenyataan pacul yang dibuat oleh beliau. Saya rasa cukup yakin bahawa Datuk Seri Samy Vellu sedar bahawa ‘bermain air basah,

bermain api letup’. Oleh yang demikian, kenyataan beliau itu pasti dibuat selepas berfikir masak-masak akan akibatnya.
Walau bagaimanapun kenyataan media yang dibuat oleh Datuk Seri Samy Vellu telah membuka mata seluruh rakyat Malaysia. Datuk Seri Samy Vellu menuduh Tun Mahathir sebagai orang yang bertanggungjawab bagi kekalahannya dalam PRU12. Kenapakah Tun Mahathir mahu Datuk Seri Samy Vellu kalah?

Tun Mahathir dan Datuk Seri Samy Vellu dilihat begitu sahabat akrab dan rakan kongsi utama dalam komponen Barisan Nasional. Perkara ini diketahui dan terpahat dalam minda seluruh rakyat Malaysia. Apa pula yang menyebabkan Tun Mahathir membenci Datuk Seri Samy Vellu sehingga mahu melihat beliau tumbang dalam pilihanraya. Mesti ada sesuatu sebab yang masih belum diketahui oleh rakyat Malaysia.

Oleh yang demikian, Datuk Seri Samy Vellu harus mendedahkan semua perkara-perkara yang disimpan dalam hatinya sebagai rahsia setakat ini. Datuk Seri Samy Vellu telah berani tampil ke hadapan untuk menuduh Tun Mahathir yang menamatkan ‘riwayat’

politiknya. Tetapi, pendedahan itu tidak cukup kerana tidak ada bukti yang kukuh untuk kenyataan yang dibuat oleh beliau. Datuk Seri Samy Vellu harus membongkarkan sebab-sebab Tun Mahathir mahu memalitkan dan menumbangkan beliau. Apakah keuntungan bagi Tun Mahathir jika Datuk Seri samy Vellu kalah dalam pilihanraya.

Datuk Seri Samy Vellu juga perlu mendedahkan kaedah-kaedah yang digunakan oleh Tun Mahathir untuk menumbangkan beliau dalam pilihanraya umum. Ini adalah penting untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa orang yang menghancurkan riwayat politik seorang Presiden MIC yang paling berpengaruh ialah Tun Mahathir. Datuk Seri Samy Vellu mempunyai tanggungjawab untuk mendedahkan segala-galanya mengenai orang yang menumbangkan beliau dalam PRU12.

Kenyataan media Datuk Seri Samy Vellu hanya mengelirukan rakyat dan tidak mempunyai asas yang kukuh. Maka, beliau perlu menjernih air yang dikeruhkan olehnya beberapa hari yang lalu. Rakyat Malaysia juga berhak mengetahui apa yang sebenarnya telah berlaku dalam percaturan politik negara kita sebelum dan semasa PRU12.

Kenyataan Media YB V.Sivakumar

Mahkamah khas India minta M'sia kemuka bukti

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Mahkamah Khas Biro Siasatan Pusat India (CBI) telah mengeluarkan surat permintaan kepada pihak berkuasa kehakiman di empat negara bagi memohon butiran menjejaki aliran wang dalam urusan
Aircel-Maxis.

Permohonan itu dibuat atas permintaan CBI yang menyiasat bekas menteri telekomunikasi India Dayanidhi Maran yang dituduh dalam konspirasi jenayah membabitkan urusan telekomunikasi Maxis dan Aircel.

Minggu lepas, mahkamah khas di Patiala House mengeluarkan Surat Rogatari (LR) kepada United Kingdom, Bermuda, Malaysia dan Mauritius bagi memohon keterangan, dokumen atau bukti berhubung kes itu.

CBI telah mendakwa Dayanidhi menerima wang sogokan berjumlah Rs547 crore (Rs100 = RM5.57 daripada syarikat telekomunikasi Malaysia, Maxis, menurut sumber yang dipetik oleh agensi berita India, Press Trust of India (PTI).

Surat LR adalah percubaan CBI untuk mendapatkan butiran transaksi kewangan dari empat negara tersebut yang boleh membantu mentafsirkan jumlah pergerakan wang yang terbabit dalam kes itu, menurut sumber.

Sumber itu berkata siasatan CBI telah membawa ke Bermuda di kepulauan Caribbean dan United Kingdom yang mana wang sogokan itu didakwa disalurkan kepada syarikat-syarikat India.

Sebelum ini, agensi siasatan itu hanya tertumpu kepada Malaysia dan Mauritius berhubung penghantaran wang dalam pengambilan Aircel oleh Maxis, kata PTI.

- Bernama

Sikap pemandu menjengkelkan

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LIPIS - Pengguna jalan raya yang kerap melalui jalan Kuala Lipis - Jerantut melahirkan rasa kecewa mengenai sikap pengusaha dan pemandu kenderaan berat yang mengaut keuntungan besar, tetapi tidak mempedulikan keselamatan orang ramai.

Seorang pengguna jalan raya, Mohd Faizul Jamal, 30, berkata, laluan berkenaan kerap dilalui kenderaan berat yang memunggah bijih besi dan kayu-kayan.

Menurutnya, lebih menjengkelkan apabila melihat sikap pemandu kenderaan berat terbabit yang tidak menitikberatkan aspek keselamatan kenderaan dan muatan masing-masing tanpa mematuhi spesifikasi had muatan dan ciri keselamatan lain.

“Sebagai contoh, baru-baru ini ketika memandu pulang ke Bandar Jerantut melalui Kampung Lentang, Lipis, saya terserempak dengan sebuah treler yang sendat muatan kayu bergergaji (papan) menaiki jalan berbukit.

“Saya amat kesal, tahap keselamatan muatan dipandang enteng oleh pemandu kenderaan berkenaan sehingga boleh mengundang risiko kemalangan kepada pengguna lain,” katanya, di sini, kelmarin.

Mohd Faizul berkata, ketika lori yang sarat muatan memerah enjin menaiki laluan berbukit betapa muatan kayu di belakang senget barangkali tidak diikat kemas dan berkemungkinan bila-bila masa jatuh menimpa pengguna jalan raya berkenaan.

“Persoalannya, adakah pemandu berkenaan terlepas pandang atau pun sengaja tidak mempedulikan keselamatan pengguna lain.

“Lantas saya juga berasa gerun melihat senario muatan berkenaan dan membayangkan betapa ngerinya jika muatan dan papan tersebut jatuh menghempap kereta dan penunggang motosikal,” katanya.

Mohd Faizul berkata, hal yang sama juga kerap berlaku apabila kenderaan berat seperti muatan bijih besi dan kayu kerap terkandas dan rosak di laluan berbukit sehingga membahayakan keselamatan orang ramai.

“Bila berlaku keadaan ini, pemandu membiarkan kenderaan berat berkenaan yang posisinya melintang jalan dan terkandas di laluan berbukit membahayakan kenderaan lain.

“Justeru, adalah diharapkan agar pihak berwajib dapat memantau serta penguatkuasaan keselamatan khususnya mengenai spesifikasi dan peraturan muatan kenderaan berat di semua laluan penting di daerah ini,” katanya.

Sinar Harian

Curi 30 biji kelapa sebab terdesak

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Dek kerana terdesak mendapatkan wang, seorang buruh mengambil jalan mudah mencuri 30 biji kelapa dalam kebun milik jiran sekampungnya di Kampung Jeram Tepoh, di sini, 19 Mac lalu.

Bagaimanapun, perbuatan tidak bermoral tertuduh, Mohd Azman Awang @ Mohd Amin, 35, dari Kampung Jeram Tepoh, di sini, menerima pembalasan setelah dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret, semalam.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi selepas tertuduh mengaku bersalah mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri 30 biji kelapa milik Mohamad Najibullah Mohd Zin, 23, kira-kira jam 11 pagi, 19 Mac lalu.

Berdasarkan fakta kes, Mohamad Najibullah yang ketika itu berada di hadapan rumahnya dimaklumkan oleh datuknya berhubung kehadiran tertuduh yang sedang mencuri buah kelapa di kebun milik bapanya.

Sejurus mengetahui kejadian itu, dia yang bekerja kontrak terus bergegas ke kebun bapanya bersama bapa saudaranya sebelum menemui tertuduh yang dikenal sebagai Tuki.

Bagaimanapun, tertuduh cuba melarikan diri sejurus menyedari kehadiran mangsa sebelum berjaya ditahan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Dalam masa sama, Mahkamah Majistret di sini, turut menjatuhkan hukuman penjara dua tahun selepas tertuduh mengaku salah memecah masuk dan mencuri dua bentuk cincin kuning keemasan, seutas jam tangan, sebuah telefon bimbit Sony Ericsson milik Rosnawati Abdul Rahim, 38, di Kampung Jeram Manir, di sini.

Mohd Azman mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan itu antara jam 11 malam hingga 6 pagi pada 8 dan 9 April lalu.

Bagaimanapun, Rozianti memerintahkan kedua-dua hukuman berkenaan dijalankan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan iaitu pada 11 April lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Zainudin Abd Ghani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu kira-kira jam 9.30 pagi pada 11 April lalu, susulan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Manir.

Tertuduh yang ketika itu berada dalam mencurigakan di tepi jalan Pengkalan Pinang, Jeram, Manir mengaku melakukan jenayah curi dan pecah masuk rumah mangsa.

Sinar Harian

Puluhan ribu sertai ceramah Kadir Sheikh Fadzil

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BALING, 16 April: Puluhan ribu telah menyertai majlis ceramah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil malam tadi di Kupang, dekat sini.

Turut serta di majlis itu adalah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak.

Ini adalah majlis ceramah pertama yang dibuat oleh Tan Sri Kadir di atas pentas PAS selepas mengisytiharkan keluar dari Umno.

Kadir ketika bertemu dengan Presiden dan pimpinan PAS yang lain di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut baru-baru ini telah bersetuju untuk berceramah di atas pentas PAS.

Sebelum ini, Kadir telah mengumumkan keluar dari Umno ekoran tindakan pimpinan Umno mempertikaikan beberapa kenyataannya sebelum ini.

Namun sehingga kini beliau belum mengisytiharkan untuk menyertai mana-mana parti.


(Antara puluhan ribu yang menyertai ceramah Tan Sri Kadir malam tadi di Kupang)

Ceramah yang sertainya malam tadi adalah sempena dengan kunjungan pimpinan PAS yang diketuai Ustaz Abdul Hadi ke Kedah.

14 April lepas, Abdul Hadi berkunjung ke Perlis sebelum berlepas ke Kedah dalam dalam siri kunjungan pimpinan PAS ke negeri-negeri.

Sebelum ini, Abdul Hadi telah mengunjungi Johor, Terengganu dan Pahang.

Ia diatur oleh Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.

Satu lagi pasukan diketuai oleh Timbalan Presiden PAS, Haji MOhamad Sabu.

Semalam, kumpulan yang diketuai Mohamad Sabu melawat Perak dalam siri mempersiapkan jentera PAS sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya ke 13.

Harakah Daily

Gabenor Wilayah Qom kunjungi Kelantan

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 16 April: Gabenor Wilayah Qom, Mohammed Hussein, tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra malam tadi sempena kunjungan hormat ke Kelantan selama dua hari.

Ketibaannya disambut anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah dan timbalan exco Zulkifli Mamat, Timbalan Ketua Eksekutif PKINK, Zainal Abdul Rahim.

(Gambar: Mohammed Hussein menyampaikan cenderahati kepada Zulkifli.)

Turut menyambut deligasi dari Republik Iran seramai enam orang itu, Pengurus Tunjung Development Corporation, Nazri Deraman dan pegawai protokol, Nik Abdul Halim Nik Hassan.

Selain itu Said Redza, Mohsen Rouhi, Yones Aali Pour dan lain-lain juga turut berkesempatan mengunjungi Kelantan.

Sejurus ketibaan itu, mereka diraikan makan malam oleh kerajaan negeri di sebuah hotel.

Keesokannya akan bertemu Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Rombongan ini juga akan melawat Bandar Baru Tunjong, Perdana Resort dan seterusnya pembangunan di Tok Bali, Pasir Putih sebelum menghadiri majlis makan malam yang juga bakal disertai Duta Iran ke Malaysia Prof Dr Mohd Mehdi Zahedi.

Harakah Daily

Masyarakat Miri sambut baik lawatan Mohd Sabu

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

MIRI, 16 April: Lawatan sambil kerja dua hari lalu Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu di Miri dan Sibuti mendapat sambutan hangat daripada masyarakat tempatan.

Pada sebelah malam, Mat Sabu telah bertemu dengan penduduk di Kg Lusut Jaya 1 di kawasan Lambir.

Walaupun pada mulanya perjumpaan bersama penduduk hendak diadakan di kawasan dewan masyarakat di Taman Tunku, tetapi di saat-saat akhir terpaksa dibatal disebabkan kerana ada halangan pihak tertentu.

Walau bagaimana pun program Mesra Rakyat bersama beliau tetap diteruskan, di Kg Lusut Jaya 1 di salah sebuah rumah penduduk.

Jalan menuju ke kampung tersebut agak teruk dan becak sewaktu musim hujan dan penduduk kampung tersebut sudah lama menanti janji pihak kerajaan untuk menurap jalan tersebut tetapi sehingga kini belum ada tanda-tanda jalan tersebut diturap dengan tar.

Pada keesokan hari, PAS Miri sekali lagi mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan ke-3 di sebuah hotel di bandaraya Miri. Di antara yang hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak, Fidzuan dan juga wakil dari Pakatan Rakyat.

Ucapan dimulakan oleh YDP PAS Kawasan Miri, Jofri Jaraiee sebelum perbahasan berlangsung pada sebelah petangnya.

Mat Sabu merasmikan mesyuarat agung tahunan tersebut sebelum beliau bersama rombongan Pakatan Rakyat melawat kawasan Niah dalam kawasan Parlimen Sibuti.

Pada sebelah malamnya pula diadakan Dialog Pakatan Rakyat bersama beliau di sebuah dewan di bandaraya Miri di mana semua pimpinan Pakatan Rakyat hadir.

Pimpinan tempatan yang hadir adalah Jofri Jaraiee, Dr Micheal Teo selaku Ketua Cabang PKR Miri, Zuhaidah timbalannya dan wakil DAP Miri, Lim Su Kien dan lain-lain.

Pada malam tersebut, Mat Sabu menjelaskan isu-isu semasa, antaranya masalah wang rakyat yang disalahgunakan oleh pemerintah BN di mana sekiranya Malaysia terus diperintah oleh kerajaan BN selepas PRU13 nanti, negara ini akan jatuh muflis seperti Greece.

“Sekiranya 5 tahun lagi BN memerintah pada masa itu sesiapa saja yang hendak ambil alih kerajaan, BN akan serah terus kuasa tanpa perlu ada pengundian sebab pada masa itu negara sudah jatuh bankrap dan wang pun sudah habis digunakan oleh pemimpin BN,” katanya.

Semoga dengan kedatangan Mat Sabu ke Miri akan memberi semangat baru kepada Pakatan Rakyat di Miri dan seluruh Malaysia untuk bersatu menumbangkan kerajaan BN pada PilihanRaya Umum ke-13 nanti.

Harakah Daily

Israel sekat flytilla

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

TEL AVIV - Kira-kira 650 polis Israel mengadakan kawalan ketat di Lapangan Terbang Ben Gurion berhampiran Tel Aviv, semalam kononnya sebagai persediaan untuk menyekat kemasukan ratusan aktivis yang menyertai kempen ‘Selamat datang ke Palestin’ atau flytilla untuk tahun ketiga berturut-turut.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Sabine Haddad berkata, beberapa aktivis pro-Palestin itu turut disoal siasat oleh pihak berkuasa dan ada di antara mereka dilarang memasuki negara tersebut.

Difahamkan, kesemua aktivis pro-Palestin dari seluruh Eropah merancang untuk transit di lapangan terbang itu sebelum meneruskan perjalanan mereka ke Tebing Barat bagi mengadakan protes membantah pembinaan penempatan haram di kawasan tersebut.

“Israel bertindak mengancam beberapa syarikat penerbangan supaya membatalkan tempahan tiket para aktivis. Mereka turut menuduh kami mahu melakukan provokasi dan mencetuskan kekacauan,” menurut Dr Mazin Qumsiyeh.

Puluhan aktivis tidak dapat meneruskan penerbangan ke Israel, gara-gara nama mereka telah disenarai hitamkan oleh beberapa syarikat penerbangan Eropah, Jumaat lalu.

Pada Julai lalu, lebih 300 aktivis antarabangsa tiba di Israel untuk menyertai flytilla sama dan 120 daripada mereka ditahan pihak berkuasa rejim Zionis.

Sinar Harian

19 maut Taliban serang Parlimen Afghan, kedutaan

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KABUL - Dua anggota pasukan keselamatan dan 17 militan terbunuh dalam serangan tersusun pihak Taliban ke atas kedutaan-kedutaan asing, ibu pejabat Nato dan Parlimen Afghanistan di Kabul, semalam.

Laporan media antarabangsa menyebut pertempuran antara militan dan pasukan keselamatan berterusan sehingga awal pagi ini.

Serangan yang disifatkan dikoordinasikan dengan baik dan teratur ini, melibatkan pengebom berani mati, adalah yang pertama di Kabul dalam tempoh enam bulan lalu.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, seramai 17 pegawai polis dan sembilan orang awam juga cedera dalam kejadian ini.

Taliban digulingkan dalam tindakan ketenteraan pimpinan Amerika Syarikat (AS) akhir 2001 susulan peristiwa serangan 11 September.

Pihak Taliban mengakui bertanggungjawab atas kejadian terbaru ini dan memberitahu bahawa sekumpulan pengebom berani mati telah masuk ibu negara Afghanistan.

Agency

‘Toyol’ dicekup jiran

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Misteri kehilangan barang berharga di dalam kereta Proton Saga milik seorang warga emas akhirnya terjawab apabila tertangkapnya seorang lelaki yang juga merangkap jiran sekampung dalam satu kejadian di Kampung Kubang Badak, di sini, tengah hari semalam.

Yahya Abdullah, 78, berkata, dia menyangkakan sebelum ini, barang berharga termasuk wang tunai yang ditinggalkan di dalam kereta di hadapan rumahnya sering hilang adalah perbuatan toyol.

“Saya langsung tidak terfikir kereta ini diceroboh orang kerana tidak ada kesan mencurigakan, apatah lagi kereta ini diletakkan di hadapan rumah dalam keadaan berkunci.

“Disebabkan itulah, setiap kali saya menyedari barang berharga yang ditinggalkan di dalam kereta ini hilang, saya hanya berserah dan menganggap sudah tidak ada rezeki,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Menurut Yahya, semasa kejadian iaitu kira-kira jam 12 tengah hari, dia bersama isterinya, Aishah Long, 68, sedang bersembang di ruang dapur dan tiba-tiba dikejutkan suara riuh rendah jiran menjerit memberitahu ada pencuri yang sedang menceroboh masuk ke dalam keretanya.

“Terkejut dengan jeritan itu, saya terus berlari keluar dan ketika itu, saya lihat jiran yang juga anak saudara saya sedang memegang seseorang dikenali yang ditangkap di dalam kereta saya ketika sedang asyik mencari sesuatu,” katanya.

Katanya lagi, ‘si toyol’ itu memberi alasan ingin mencari rokok dan tidak ada niat untuk mencuri.

Bagaimanapun, bimbang perkara sama akan berulang lagi, Yahya mengambil keputusan menyerahkan ‘si toyol’ itu kepada pihak polis di Balai Polis Gong Badak, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi Sinar Harian semalam mengesahkan menerima tangka­pan terbabit dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Sinar Harian

Tunggu untuk raba, dua remaja ditahan

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA KANGSAR - Demi melampias nafsu, dua remaja belasan tahun sanggup menunggu sebelum mencabul dan meraba beberapa mangsa di sekitar kawasan berhampiran lintasan kereta api di Taman Indah, di sini.

Sejak seminggu lalu dua remaja ini termasuk pelajar tingkatan dua dari sebuah sekolah di Pekan Kuala Kangsar, di sini, menunggu mangsa yang kebanyakan rakan perempuan dari sekolah jenis kebangsaan Cina, semata-mata mencari peluang untuk meraba dan mencabul mereka.

Bagaimanapun, perbuatan tidak bermoral itu akhirnya terbongkar apabila mangsa membuat laporan polis dan kedua-dua mereka berjaya diberkas dalam satu serbuan di sekitar Taman Indah, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Mohammad berkata, sejak 12 April lalu beberapa laporan polis mengenai kes cabul melibatkan pelajar dari sekolah jenis kebangsaan Cina telah dibuat.

“Dua remaja ini kebiasaannya menunggu mangsa selepas tamat waktu persekolahan dan menyasarkan pelajar perempuan yang berjalan bersendirian.

“Bagi laporan pertama dan kedua, kedua-dua mangsa mendakwa dua remaja ini telah menyentuh buah dada dan perut mereka ketika melintas di landasan kereta api,” katanya kepada pemberita, di sini, kelmarin.

Abdul Gaffar berkata, dalam kejadian pada 14 April (kelmarin), seorang pengadu yang juga pelajar dari sekolah jenis kebangsaan Cina mendakwa telah ditolak sehingga terjatuh dan tercedera.

“Kedua-dua remaja ini bertindak mengambil kesempatan memegang buah dada, perut serta alat sulit mangsa. Mangsa kemudiannya membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata, pada 12 April sahaja, tiga kes cabul melibatkan pelajar sekolah berkenaan telah dibuat.

“Antara mangsa yang membuat laporan polis ialah pelajar berusia 14, 15 dan 16 tahun,” katanya.

Katanya, susulan laporan yang dibuat dua remaja Melayu telah diberkas pada 14 April lalu dan kedua-dua mereka mengaku melakukan aksi cabul berkenaan.

“Kira-kira jam 1 petang, dua lelaki yang disyaki terlibat dengan kes ini termasuk seorang pelajar tingkatan dua dari sebuah sekolah lelaki di sini, telah ditahan, manakala seorang lagi remaja tidak bersekolah.

“Hasil siasatan awal, kedua-dua remaja ini mengaku telah melakukan kegiatan itu sejak seminggu lalu dan kes ini masih lagi dalam siasatan lanjut,” katanya.

Difahamkan, tangkapan kedua-dua suspek turut dibantu penduduk dan pengawal keselamatan di sekitar taman itu yang sudah membuat intipan terlebih dahulu.

Sinar Harian

Tengkorak hancur, rusuk patah

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

HULU BERNAM - Polis mengesahkan kematian seorang bayi lelaki berusia dua minggu yang didakwa dipijak bapanya disebabkan keretakan tengkorak dan patah tulang rusuk.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Norel Azmi Yahya Affandi berkata, hasil bedah siasat mendapati keretakan tengkorak bayi itu dipercayai akibat dihentak pada dinding, manakala tulang rusuk patah, berkemungkinan dipijak.

“Menurut doktor pakar Patalogi Hospital Ipoh, tengkorak bayi terbabit retak dan hancur. Doktor juga telah mengeluarkan enam kepingan cebisan tengkorak kepala yang sudah hancur.

“Satu tulang rusuk bayi itu juga patah, namun tiada kecederaan luaran berlaku. Doktor mengesahkan ada unsur jenayah dan berdasarkan kecederaan pada bayi itu mereka tidak menolak kemungkinan ia dipijak,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Norel berkata, kejadian itu berlaku pada 12 April lalu kira-kira jam 1.30 pagi di rumah mangsa di Taman Bernam Jaya di sini.

Menurut beliau, ketika kejadian mangsa bersama ibunya dipercayai tidur sebelum dikejutkan kehadiran suspek dalam keadaan mabuk.

Katanya, berlaku pertengkaran antara pasangan suami isteri itu apabila suspek mengatakan bayi tersebut bukan anak kandungnya.

“Saksi utama iaitu ibu mangsa berusia 32 tahun mengakui suspek yang merupakan suaminya berusia 41 tahun, telah menolak bayi mereka yang berada di dalam buaian ke dinding dengan kuat.

“Tindakan itu, kata Puspa, dilakukan ketika suspek dalam keadaan mabuk dan marah serta bertindak sedemikian kerana mengatakan bayi itu bukan anak kandungnya,” katanya.

Menurutnya, kejadian turut disaksikan seorang anak perempuan pasangan itu, yang berusia 15 tahun, sebelum memanggil bapa saudaranya, K Rajendran, 32, bagi meleraikan pertengkaran tersebut.

Menurutnya, Rajendran cuba meleraikan pertengkaran itu dengan memukul suspek menggunakan mangga besi kerana suspek ketika itu memegang parang.

“Polis menangkap suspek atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh anaknya & 324 kanun sama kerana mencederakan adik iparnya, Rajendran. Polis juga menahan Rajendran untuk membantu siasatan.

Norel berkata, siasatan kes itu masih diteruskan sementara isteri dan anak perempuan suspek dijadikan saksi utama kes.

Sementara itu, difahamkan kedua-dua individu berkenaan dikenakan tahanan reman seminggu.

Sinar Harian