26 Julai 2012

Kawan pun bagitahu saya press polis terus pukul’

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seorang petugas media hari ini berpandangan polis melanggar Seksyen 24 Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 ketika bertugas di Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Wartawan akhbar The Sun, Radzi Razak bersetuju ketika wakil pemerhati daripada Bersih pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini membacakan kandungan sekyen 24 dan meminta pandangan beliau.

Seksyen 24 memperuntukkan mana-mana wakil media boleh mempunyai akses yang munasabah kepada tempat perhimpunan dan menggunakan apa-apa kelengkapan untuk membuat laporan tentang perhimpunan itu.

"Adakah anda rasa seksyen 24 Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 ini telah dilanggar?" soal pemerhati dan disusuli jawapan 'ya' oleh Radzi.

Pada hari tersebut, Radzi, 27, dipukul oleh tujuh anggota polis ketika berada di persimpangan Jalan Raja Laut dan Jalan Tuanku Abdul Razak pada perhimpunan tersebut.

Menurutnya, sebelum beliau dipukul, beliau nampak dua anggota polis bercakap sesuatu kepada sekumpulan anggota yang berkumpul berhampiran Dataran Merdeka sebelum mereka berpecah dan memukul peserta yang berada di kawasan sekitar.

"Sekumpulan polis menuju ke arah saya dan menendang kepala saya sehingga jatuh terlentang. Saya jerit 'press' dan kawan-kawan saya pun bagitahu saya press. Polis terus pukul dan kemudian berlalu tanpa kata apa-apa," kata beliau yang merupakan saksi ke-17.

Beliau berkata demikian di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

HARAKAHDAILY/-

Selangor potong 25% cukai taksiran pangsapuri

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju akan satu mekanisme bagi pemilik di pangsapuri kos rendah mendapat potongan 25 peratus untuk cukai taksiran.

Pengerusi jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad berkata menjadi hasrat kerajaan negeri untuk memudahkan pemilik mendapat potongan itu.

Katanya, kelayakan untuk mendapatkan pengurangan cukai taksiran adalah pemilik yang mendiami sendiri kediaman mereka atau yang didiami oleh waris pemilik dan pemilik yang tidak mempunyai tunggakan.

Menurutnya, pemilik hanya perlu mengisi borang khas dan membawanya semasa membayar cukai untuk mendapatkan pengurangan tersebut.

Jelasnya, borang tersebut adalah untuk mengesahkan bahawa mereka mendiami sendiri kediaman mereka yang boleh disahkan oleh Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bersama (Joint Management Committee - JMC), Ahli Majlis Perbadanan Pengurusan (Management Corporation - MC), Unit Pesuruhjaya Bangunan (Commissioner of Building – COB atau Ahli Majlis PBT setempat.

“Mereka perlu mengemukakan dokumen yang sah di sisi undang-undang untuk mengesahkan bahawa mereka adalah pemilik atau waris yang sah,” jelasnya yang juga Adun Cempaka dalam satu kenyataan.

Katanya, pengurangan akan diberikan tanpa menunggu kesemua maklumat pembeli-pembeli di sesebuah pangsapuri diperolehi.

Justeru, ujarnya mana-mana pemilik yang datang membuat pembayaran bersama borang khas yang telah disahkan akan mendapat pengurangan.

HARAKAHDAILY/-

Rakyat tidak nampak Syabas bersungguh urus air

KUALA LUMPUR: Rakyat Selangor tidak nampak kesungguhan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam menangani pengurusan air yang berlaku di negeri itu.

Bagi Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, BN Selangor sudah ketandusan isu untuk menyerang Pakatan Rakyat (PR).

“Oleh itu direka kisah yang kononnya air sudah mula habis dan catuan oleh Syabas terpaksa dilakukan.

“Air habis pula, adalah angkara PR yang degil, tidak mahu dengar nasihat kerajaan Pusat dengan membenarkan pembinaan Langat II,” tulis beliau di dalam blognya.

Sebenarnya, kata beliau bekalan air yang tidak terawat dan yang terawat adalah lebih dari apa yang digunakan penduduk Negeri Selangor.

Jelasnya, loji pembersihan air mempunyai kapasiti yang lebih tinggi dari permintaan dan oleh itu, pada hakikatnya terowong untuk membawa air tidak dirawat dari Pahang dan pembinaan loji pembersihan air baru iaitu Langat II adalah perkara yang tidak diperlukan.

Katanya, yang perlu adalah pengurusan bekalan air yang lebih cekap supaya ketirisan dan kebocoran dapat diatasi sambil itu saluran paip baru juga perlu dipasang.

Malangnya, tambah beliau rakyat Selangor tidak nampak kesungguhan Syabas dalam menangani masalah ini semua dan sebaliknya hanya ingin untuk memenangkan BN dalam PRU ke-13.

Dengan itu, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor berkata Syabas akan kekal kedudukannya sebagai syarikat kroni yang akan dibenarkan menaikkan tarif air.

“Oleh yang demikian ini, maka ‘krisis’ bekalan air direka untuk mengelirukan rakyat,” ujarnya lagi.

Pada masa yang sama, kata beliau penyokong dan kroni BN amat sangat teringin untuk diluluskan projek Langat II supaya melalui projek yang bernilai berbillion ringgit itu, semua akan mendapat komisyen dan habuan mereka.

“Maka, di atas kesedaran inilah maka PAS Selangor menyokong penuh usaha pengambilalihan Syabas oleh kerajaan negeri Selangor,” tegasnya.

HARAKAHDAILY/-

Jual cendol RM120,000 sebulan

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

TANJUNG KARANG: “Saya pernah diisytiharkan muflis hingga wang seringgit pun tiada dalam poket dan bank,” kata Muhamad Burhan Salikon, 45, peniaga cendol di sini yang mampu meraih pendapatan antara RM90,000 hingga RM120,000 sebulan.

Muhamad Burhan yang memiliki gerai Cendol Durian Burhan di tepi Jalan Kuala Selangor – Tanjung Karang, di sini memulakan perniagaan itu sejak 1997 dengan pendapatan RM90 sehari sebelum menerima bantuan perniagaan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada 2008.

Katanya, dia mula menjual cendol menggunakan basikal roda tiga pada 1997 sebelum perniagaannya maju hingga mampu membeli lori dan beberapa van serta menggaji pekerja.

Muhamad Burhan berkata, selepas perniagaan cendolnya maju, dia cuba menjalankan perniagaan berkaitan balak dan kayu getah, namun bapa kepada sembilan anak ini tersilap langkah hingga diisytiharkan muflis pada 2002.

“Waktu itu memang susah. Bayangkan anak sedang membesar dan saya tiba-tiba hilang segala-galanya.

Harian Metro

Seorang terkorban dalam kebakaran kapal MISC

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

LABUAN – Kebakaran di atas kapal tangki bahan kimia dan minyak sawit milik MISC Berhad ”Bunga Alpinia” di Labuan awal pagi tadi dilaporkan mengorbankan satu nyawa.

Menurut sumber Unit Kecemasan Hospital Labuan, mangsa ialah warga tempatan, Syahril Azmi Baharudin yang dipercayai meninggal akibat melecur.

Menurut pasukan Bomba dan Penyelamat pula, tiga yang lain dilaporkan cedera sementara operasi mencari seorang lagi mangsa yang hilang masih diteruskan.

Senarai awal mangsa yang dibawa ke hospital tersebut ialah Zahari Hashim, Mohd Hanafi Khairil, Mohd Nazim Kamsani dan dua warga Filipina, Colangoy dan Krrol Salalv An.

Punca kejadian yang berlaku kira-kira 2.30 pagi itu masih disiasat.

Menurut MISC, kapal 38,000 DWT IMO II itu mempunyai 29 anak kapal yang terdiri daripada 23 rakyat Malaysia dan enam rakyat Filipina.

Seramai 24 anak kapal telah berjaya diselamatkan. – BERNAMA

Kerajaan Selangor beri dua Bonus Raya

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor hari ini meluluskan pemberian pemberian bonus setengah bulan gaji atau sekurang-kurangnya RM500 kepada semua kakitangan awam Selangor bagi membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Berbeza dengan bonus yang diumumkan Perdana Menteri kepada penjawat awam semalam, Kerajaan Selangor turut meluluskan bonus tambahan dalam bentuk Simpanan Selangorku sebanyak RM200 kepada setiap kakitangan awam.

"Bagi yang beragama Islam, wang ini akan dimasukkan dalam Simpanan Tabung Haji manakala bukan beragama Islam akan diberikan dalam bentuk Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN).

"Kedua-dua bonus ini akan dimasukkan dalam akaun kakitangan awam pada minggu hadapan," kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini sambil menambah sebanyak RM20 juta diperuntukkan untuk tujuan itu.

Menurut Khalid, pemberian bonus kali ini diharap dapat meringankan beban penjawat awam untuk membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Pada masa sama, Kerajaan Selangor mahu menggalakkan kakitangan awam menabung demi masa depan," katanya.

HARAKAHDAILY/-

Masak, makan katak di dapur kopitiam

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

JELUTONG – “Kakak, saya cuma hendak beritahu kakak, tadi baru saja tukang masak kami makan katak di dapur,” bisik seorang pekerja kopitiam kepada gadis yang mahu dikenali Alia ketika berhasrat membuka puasa di sebuah pasar raya di Jelutong.

Ketika itu, Alia bersama rakannya berhajat berbuka puasa di kopitiam berkenaan, bagaimanapun hasrat mereka terbantut apabila terdengar luahan itu.

Mereka diberitahu tentang perkara itu ketika sedang berbual sementara menanti waktu berbuka.

“Pelayan itu memaklumkan perkara itu kepada kami memandangkan saya dan kawan-kawan datang dengan niat untuk berbuka puasa.

“Pelayan itu cuma beritahu tukang masak makan katak di bahagian dapur. Katanya, ini bukan kali pertama tetapi sudah masuk kedua atau ketiga,” katanya.

Alia dan rakan-rakannya yang terkejut dengan cerita itu kemudian mempertikaikan sama ada tukang masak itu menggunakan kuali yang digunakan sama untuk memasak makanan pelanggan atau sebaliknya.

“Bagaimanapun, pelayan itu mengaku tidak pasti. Tetapi katanya, yang makan tetap tukang masak itu, apa pun dia akan pegang katak dan memasak makanan untuk orang lain.

“Kata pelayan itu dia baru bekerja, dan dia bersama seorang lagi kawan berbangsa Melayu yang nampak kejadian itu. Tetapi menurutnya, dia tidak berani menegur kerana ramai pekerja di restoran itu adalah warga asing,” katanya.

Katanya, ketika ditanya mengenai status halal, pelayan mengakui restoran yang mempunyai francais di seluruh negara itu hanya memiliki sijil halal untuk kopitiam mereka di Kuala Lumpur sahaja.

“Tapi saya tahu ramai yang ingat kami halal sebab di KL sudah halal. Saya boleh beritahu saja, terpulang pada kakak,” kata pelayan restoran itu kepada Alia.

Mendengar maklumat yang diberikan, Alia dan rakan-rakannya hilang selera dan terus ke kedai lain untuk berbuka puasa memandangkan hari sudah hampir Maghrib.

Alia kecewa kerana kopitiam berkenaan menjadi kunjungan orang ramai termasuk pelanggan beragama Islam. Rata-rata yang berkunjung selalunya memesan minuman dan makanan yang berasaskan mi dan pencuci mulutnya.

Mendengar cerita Alia, Sinar Harian ke restoran itu untuk mengintai kesahihannya.

Salah seorang pengunjung yang enggan dikenali mengakui rata-rata pekerja di kopitiam berkenaan adalah warga asing khasnya Nepal dan Bangladesh.

“Kadangkala mereka berbau busuk walaupun pada waktu bekerja. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana bau mereka ketika berada di dapur menyediakan makanan dan mengambil pesanan pelanggan.

“Nampak saja kopitiam yang agak mahal dan selesa tetapi kebersihan pekerjanya memang mendukacitakan,” katanya.

Meneliti maklum balas orang ramai mengenai restoran berkenaan melalui laman web, beberapa pelanggan turut memberikan pandangan negatif terhadap kopitiam berkenaan.

Antaranya ialah melalui www.penangfoodreviews.com di mana pemilik blog tersebut jelas tidak berpuas hati perkhidmatan kopitiam berkenaan.

Dalam tulisan blogger itu, beliau turut memaklumkan harga yang dikenakan juga agak mahal dan tidak berpatutan dengan kualiti makanan.

Sinar

‘Keadaan seperti di medan perang’

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SYUKUR...tujuh pelajar Malaysia selamat pulang dari Syria mengaminkan doa di KLIA.

GEMBIRA...Abdul Halim memeluk bapanya, Mohd Ghazali Mohd Sahar setibanya di KLIA.

SEPANG: “Situasi di sana memang tidak ubah seperti di medan perang, sebab setiap hari boleh dengar letupan. Paling menakutkan kawasan letupan itu hanya kurang sekilometer daripada rumah,” kata seorang penuntut Malaysia di Syria, Mohd Luqman Saidin, 23, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.

Menurutnya, setiap hari dia dan tiga rakan serumah menjalani kehidupan dalam ketakutan dan cemas kerana mendengar bunyi letupan dilepaskan pihak bertelagah di antara tentera pembebasan dan tentera kerajaan negara berkenaan.

“Walaupun kawasan itu berdekatan dengan tempat kediaman, saya tidak pernah lihat daripada dekat apa yang terjadi. Saya cuma nampak helikopter selalu berlegar di ruang udara.

“Letupan berlaku selepas waktu Asar hingga ke tengah malam. Sebab itu kami tidak dibenarkan keluar pada waktu malam dan duduk di rumah saja,” katanya.

METRO/-

Tiba-tiba 'pelacur' berkeliaran dalam kawasan masjid

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Orang ramai yang mahu menunaikan solat Tarawikh di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah I dekat sini malam tadi gempar dengan kelibat seorang wanita seksi dan mengiurkan yang cuba mengganggu jemaah yang mahu masuk ke masjid berkenaan. Tidak diketahui dari mana wanita terbabit, namun apa yang berlaku ini sungguh memalukan.

Sebelum ini masjid negeri digemparkan dengan kelibat "babi hutan" yang masuk ke kawasan terbabit, terbaru menjelang Sukan Malaysia (SUKMA XV) Pahang baru-baru ini. Namun, kejadian yang berlaku malam tadi sungguh memalukan dan tidak wajar sebenarnya. Seorang mangsa yang menghubungi kami semalam berkata,

beliau terkejut dan tergaman apabila seorang wanita seksi dengan pakaian yang mengiurkan menegur beliau di kawasan masjid berkenaan. "Saya datang dari luar Kuantan kerana mempunyai tugasan di sini.

Saya sudah solat jamak Isyak semasa dalam perjalanan dan kemudian menginap di hotel Shahzan Inn yang berdekatan dengan masjid berkenaan. Sekitar lebih kurang jam 9.o0 malam saya telah bergegas ke masjid untuk menunaikan solat sunat Tarawikh. Saya tergamam dan terkejut apabila didatangi wanita (berbangsa Cina) itu dan kemudian dia menegur saya ....

Asslammualaikum Ustaz, Do you want have some fun !!... katanya. Saya mengucap panjang sebelum bergegas masuk ke dalam masjid", kata saksi terbabit. Apa yang berlaku ini kemungkinan tidak disedari oleh Ahli Jawatankuasa Masjid sebenarnya. Namun, pihak pengawal yang ditugaskan menjaga keselamatan di masjid berkenaan seharusnya memantau pergerakan orang ramai yang lalu lalang di situ. Tambahan pula kejadian berlaku di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini.

Keselamatan di Masjid Negeri pada sebelah malam kini diragui sebenarnya

[Persoalannya yang timbul, siapakah wanita terbabit dan kenapa dia bebas menganggu jemaah masjid?. Malah, perkataan yang diluahkan itu saling tak tumpah sama seperti perkataan yang diucapkan oleh "pelacur" sebenarnya. Jika benar dia pelacur, kenapa di boleh terlepas?. Apakah ia ada kaitan dengan pendedahan awal PDO bahawa penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) pada bulan Ramadhan ini agak longgar dari hari biasa sebelum ini.

Amat malang sekali bila adengan ini berlaku kepada orang luar yang berkunjung ke masjid terbabit. Ada maklumat mengatakan wanita itu "tidak betul" atau "gila". Tapi yang menghairankan, kenapa wanita berbangsa Cina itu boleh memberi salam sedemikian rupa?. Inilah yang memusykilkan sekarang, Justertu, pihak berkuasa dan masjid sendiri diminta memantau perkara ini dan mengambil tindakan segera demi imej agama Islam. Kita tidak mahu orang ramai menuduh pelacur pun boleh berkeliaran dan cari makan di dalam kawasan masjid di negeri Pahang ini.

harakahDAILY/-

Saluran TV guna pekerja wanita berpurdah

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KAHERAH - Mesir mempunyai satu-satunya saluran televisyen yang menggunakan pengacara, pemberita dan jurukamera yang memakai purdah. Saluran televisyen itu, Maria TV turut dikendalikan oleh wanita Muslim.

SEORANG jurukamera saluran Maria TV.

Ia dilancarkan pada Sabtu lalu dan diilhamkan pengarah televisyen itu, Ahmed Abdallah. Antara program yang disiarkan adalah tentang kecantikan, perubatan dan perkahwinan. Saluran itu disiarkan enam jam seminggu. - AP

'BN mungkin hilang separuh daripada kerusi Sabah'

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

BN mungkin tewas lebih daripada 60 peratus kerusi parlimennya di Sabah dalam pilihan raya umum akan datang, kata seorang penganalisis politik dari negeri itu.

Pensyarah UiTM Sabah, Arnold Puyok berkata BN mungkin tewas di 14 daripada 22 kerusi yang diwakilinya di negeri tersebut.

Pembangkang mungkin berpeluang mudah di kerusi seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Pensiangan, katanya.

"Saya tidak fikir deposit tetap itu akan kekal" katanya lagi yang merujuk kepada gelaran popular untuk Sabah dan Sarawak yang secara tradisinya menjadi kubu kuat BN.

Beliau bercakap dalam majlis perbincangan meja bulat di Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh kluster politik, keselamatan dan hubungan antarabangsa Majlis Profesor Negara.

malaysiakini/-

Semoga puasa kita terbaik kali ini

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Beberapa jam lagi kita akan memasuki Ramadan, semoga kita dapat masuk ke dalamnya sehingga berakhirnya Ramadan dengan sempurna. Semoga persiapan yang kita buat sebelum ini dapat memberi ruang yang baik untuk kita menunaikan pausa dengan sempurna.

Sebelum itu saya mengambil kesepatan ini untuk memohon kemaafan kepada semua umat Islam khususnya yang menziarahi blog sayaa dan yang lain juga. Sesungguhnya saya manusia biasa yang tidak terlepas daripada berdosa dan bersalah. Jadi, kemaafan kalian boleh memudahkan saya melaksanakan puasa dengan yang terbaik.

Saya bimbang, tanpa kemaafan, saya terus berdosa di sisi Allah maka dengan ini puasa yang dilakukan tidak diterima oleh Allah. Nanti banyak tawaran Allah dengan Ramadan tidak boleh dikecapi.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَة رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ” : خُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَّبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ . قَالَ : قَالَ رَبُّكُمْ عَزَّ وَجَلَّ : عَبْدِي تَرَكَ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ وَشَرَابَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِي ، فَالصَّوْمُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ “. هَذَا حَدِيثٌ صَحِيحٌ . أَخْرَجَهُ أَحْمَدُ

Daripada Abu Hurairah r.a, daripada nabi SAW dia bersabda: “Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bauan miski (kasturi).” Bersabda lagi, Allah berfirman: “Hambaku meninggalkan keinginannya, makan dan minumnya demi mendapat keredhaanku, maka puasa itu untukku dan Aku akan menilai berdasarkan puasa itu.” (Riwayat Ahmad – Sahih)

Marilah kita sama-sama berpuasa dan melaksanakan ibadah yang diperuntukkan di dalamnya. Salam Ramadan Karim.

Ahmad Baei Jaafar

Iktibar Ramadhan

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِ‌ۚ فَمَن شَہِدَ مِنكُمُ ٱلشَّہۡرَ فَلۡيَصُمۡهُ‌ۖ وَمَن ڪَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ۬ فَعِدَّةٌ۬ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ‌ۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِڪُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِڪُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُڪۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُڪَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَٮٰكُمۡ وَلَعَلَّڪُمۡ تَشۡكُرُونَ

Maksud: Bulan Ramadan yang diturunkan padanya Al-Quran, menjadi petunjuk bagi manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa ; (Al-Baqarah :185)

Petikan ayat ini bukan sahaja menegaskan wajib berpuasa dibulan Ramadan. Bulan yang mulia ini juga dipilih masa yang paling munasabah diturunkan Al Quran kitab petunjuk, keterangan-keterangan dan penjelasan kepada petunjuk, serta menegaskan pemisah yang mebezakan diantara dua perkara yang bertentangan. Ia bagi menentukan benar dan salah, adil dan zalim, petunjuk dan kesesatan daripada Allah Pencipta Alam Yang Maha Mengetahui segala-galanya dan bersifat dengan segala sifat kepujian.

Ibadat puasa bukan hanya sekadar ibadat yang terlalu besar pahalanya, tidak saperti ibadat lain yang dinyatakan pahala sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda. Allah menyimpan puasa itu disisinya dan berjanji untuk diserahkan pada hari qiamat kelak. Ibadat puasa juga adalah tarbiyah diri dengan sifat ikhlas dan kemuncaknya membuahkan taqwa yang menentukan nilai harga diri manusia disisi Allah. Menjelaskan bahawa martabat manusia bukannya keturunan, bangsa, pangkat, ilmu, harta dan warna kulit.

Apabila berpuasa dengan ikhlas bermakna kesediaan patuh kepada Allah di atas sifat hamba, sehingga meninggalkan makan minum dan kepuasan hawa nafsu walaupun dihalalkan dimasa yang lain. Walaupun semua perkara yang membatalkan puasa itu adalah rukun hidup manusia secara tabie'nya. Kepatuhan menunaikan perintah itu secara memperhambakan diri kepada Allah, yang berbeza dengan patuh kepada sesama makhluk saperti ibubapa, ketua, raja dan pemimpin. Menunjukkan bahawa ketaatan kepada Allah adalah mutlak. Adapun ketaatan kepada sesama makhluk pula bersyarat selagi tidak berlawanan dengan perintah Allah. Ia menunjukkan bahawa hubungan hamba dengan Allah adalah Maha tinggi, berbeza dengan hubungan rakyat dengan raja dan pemimpin, hubungan pekerja dengan majikan, hubungan anak dengan ibu bapa.

Adalah menjadi hikmat paling besar Allah memilih bulan ramadan, bahawa Al Quran diturunkan seluruhnya ditempat mulia yang ditentukannya. Ada kalangan para ulama yang menamakannya dengan Bait Al Izzah dan ada yang menamakanya dengan Mawaqei’ Al Nujum. Kemudian Al Quran diturunkan melalui wahyu oleh Malaikat Jibril A.S secara berperingkat mengikut sebab dan keperluan yang diatur supaya mendidik generasi awal yang menerimanya dengan cara paling berkesan. Ini kerana mereka menjadi contoh kepada seluruh manusia.

Al Quran adalah kalam Allah. Sifatnya yang wajib dinyatakan ke dalam bahasa Arab, bahasa pilihan Allah di dunia dan pada hari Qiamat. Al Quran juga adalah petunjuk daripada Allah kepada manusia dalam semua perkara yang berkait dengan kejadian mereka dan peranan mereka di alam dunia dengan cara yang betul. Allah memilih manusia berperanan dibumi kerana sifat kejadian mereka dan menguji kesetiaan mereka kepada Allah dengan kemampuan jasad, roh dan akal. Dengan kemampuan ini manusia mampu beribadat dibumi dan memakmurkan segala yang lain dengan petunjuk Allah dan kemampuan akal dan ilmu yang ada kepada mereka.

Ada kalangan manusia yang menerima perintah Allah itu dengan Islam (menyerah diri) dan Iman (percaya). Namun ramai kalangan manusia yang tidak bersyukur, lalu menjadi kufur dan sombong menolak petunjuk Allah dengan mencipta cara yang merosakkan diri manusia dan alam kelilingnya. Maka berlakulah perlawanan sengit dalam kalangan manusia itu. Rasulullah S.A.W. terpaksa berdepan dengan pertembungan yang membawa kepada perpecahan yang wajib berlaku, bermula daripada perbalahan sehingga terpaksa berperang kerana adanya kalangan manusia yang melampau. Maka menjadi ujian diantara hubungan dengan Allah yang lebih diutamakan atau hubungan dengan manusia yang wajib dijaga dengan semangat kekeluargaan dan persaudaraan.

Bulan ramadhan dipilih berlakunya peristiwa Badar dan Fathu Makkah. Rasulullah S.A.W. dituduh menjadi sebab perpecahan dalam satu bangsa dan satu keluarga kerana tidak bersedia menerima tawaran menjadi Raja Makkah atau pemimpin bersama harta kekayaan dengan syarat yang ditetapkan supaya meninggalkan Islam, sama ada semua atau sebahagian. Puncanya para pemimpin Makkah tetap mempertahankan sistem jahiliyah dan menolak petunjuk Allah yang diamanahkan kepada Rasulullah S.A.W. menyampaikannya supaya dilaksanakan kepada seluruh manusia di seluruh dunia sehingga hari qiamat.

Allah mewajibkan kepada Rasulullah S.A.W. mencari tempat hijrah. Akhirnya berjumpa Madinah dan berbagai kaumnya yang bersedia menerima Islam sehingga ditegakkan negaranya. Maka Islam yang adil kepada seluruh manusia masyarakat majmuk dapat ditunjukkan secara nyata dan terbuka. Tiba-tiba para pemimpin Makkah berketuakan Abu Jahal membawa bala tentera menyerang Rasulullah dan para sahabatnya, kerana Islam yang diamalkan itu mendedahkan kejahatan dan kesesatan penentangnya. Kedua-dua belah pihak bertempur di tempat bernama Badar dan berlaku dibulan ramadhan.

Abu Jahal berdoa kepada Allah supaya membinasakan Muhamad yang dituduh membawa ajaran sesat dan memecahbelahkan keluarga dan bangsa. Rasulullah S.A.W. juga berdoa dengan munajat memohon pertolongan supaya Islam dan penganutnya diselamatkan. Kedua-dua belah pihak mengaku benar dan berdoa.

Akhirnya Allah mengurniakan kemenangan kepada Rasulullah S.A.W. dan para sahabat yang setia dalam keadaan terlalu kecil jumlahnya dan tidak mencukupi kelengkapan peperangannya. Bala tentera Musyrikin Makkah dikalahkan. Abu Jahal pemimpin utama dan ramai kalangan para pemimpin dibunuh dan ramai yang ditawan dengan hina walaupun jumlahnya berlipat kali ganda dan lengkap bersenjata.

Allah menamakan hari Badar dengan Hari Furqan (pemisahan diantara dua pihak), daripada satu bangsa dan satu keluarga. Menjadi peristiwa yang menguji diantara perasaan beriman dan cintakan Allah bertembung dengan perasaan kasihkan keluarga dan bangsa. Maka Allah menentukan supaya hubungan dengan Allah mengatasi hubungan dengan sesama manusia. Walaupun kalangan paling hampir hubungan kekeluargaannya. Allah memberi sanjungan paling tinggi kepada mereka yang berjaya dalam ujian perasaan dan peperangan dalam peristiwa Badar dengan firmannya :

يا أهل بدر اعملوا ما شئتم , قد غفرت لكم .

(wahai Ahli Badar! Lakukanlah apa sahaja yang kamu mahu, kerana aku telah mengampunkan kamu).

Di bulan ramadhan juga berlakunya Fathu Makkah (Makkah di bebaskan). Apabila negaranya yang dipimpin oleh Abu Sufian (bapa mertua Rasulullah S.A.W.) yang dilantik selepas terbunuhnya Abu Jahal dalam peperangan Badar. Apabila pengikut Abu Sufian mencabuli perjanjian damai (Hudaibiyah) dan apabila qabilah yang bernaung di bawah kerajaan Islam diserang oleh kabilah yang berpihak kepada Makkah. Maka Rasulullah S.A.W. menggerakkan bala tentera Islam menyerang Makkah (tanah airnya sendiri) yang dikuasai oleh keluarga dan bangsanya sendiri, bukannya bangsa asing atau makhluk asing. Akhirnya Abu Sufian dan pengikutnya menyerah kepada Islam dan masuk Islam. Rasulullah S.A.W. mengisytiharkan pengampunan umum yang tidak diduga oleh mereka yang pernah berlaku zalim terhadap Rasulullah S.A.W. dan para sahabatnya, menyebabkan hati mereka terbuka beramai ramai menerima Islam dengan redha tanpa paksaan.

Semua perkara tersebut adalah hikmat ramadhan yang tinggi nilainya kepada seluruh alam, khususnya kepada umat Islam. Hidayahnya! Bahawa Islam yang menyelamatkan diri, keluarga, bangsa dan tanahair. Maka Islam hendaklah diutamakan dengan melaksanakan rukun puasa sehingga membuahkan taqwa dan menegakkan Islam diutamakan, perintah Allah didahulukan, sehingga mengatasi kepentingan diri. Begitulah makan minum, hawa nafsu yang dihalalkan diketepikan dahulu, apabila berpuasa kerana Allah dengan ikhlas .

harakahdaily/-

Perigi 100 tahun dari batu sungai

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

MARANG – Perigi lama berusia kira-kira 100 tahun masih digunakan seorang penduduk di Kampung Rhu Rendang Pantai di sini, untuk mendapatkan bekalan air kerana airnya tidak pernah kering walaupun ketika musim kemarau panjang melanda.

Perigi unik itu dibina daripada batu sungai yang disusun padat dan kemas. Uniknya mengenai perigi itu adalah ciri–ciri seni binaan warisan lama masih terpelihara kerana perigi tersebut tidak pernah dibaiki dan sesuai dijadikan produk pelancongan.

Perigi milik Abdul Ghani Said itu adalah perigi tertua di daerah ini, malah pemiliknya mendakwa tidak keterlaluan jika dia mengatakan perigi yang dibina semasa kedatangan tentera Jepun ke Terengganu itu adalah perigi tertua di negeri ini.

Abdul Ghani berkata, sehingga ke hari ini, air dari perigi berkenaan masih digunakan keluarganya, termasuk penduduk kampung berdekatan jika mereka menghadapi masalah gangguan bekalan air terutamanya untuk mandi dan berwuduk.

“Sewaktu ingin membina perigi ini saya berulang alik sejauh lebih kurang dua kilometer memunggah batu sungai dari rumah untuk membinanya. Airnya bukan sahaja jernih tetapi sejuk dan sejak dahulu lagi kami hanya menggunakan timba untuk mencedok airnya.

“Pam air yang biasanya digunakan bagi mempercepatkan proses mengambil air telaga juga sengaja tidak digunakan bagi mengekalkan keunikannya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Rhu Rendang Pantai di sini, semalam.

Abdul Ghani berkata, usia perigi itu lebih kurang sama dengan usia Surau Ayah Ngah Him, iaitu satu-satunya surau terawal wujud di kampung tersebut yang diasaskan tokoh agama terkemuka di kawasan berkenaan iaitu Ayah Ngah Him.

“Kalau surau itu dibina 100 tahun lalu, bererti perigi tersebut digali sudah hampir 100 tahun yang lalu juga. Namun, perigi tersebut tidak pernah dibaiki, cuma surau itu sudah tiada dan kini sudah dijadikan rumah kediaman keluarga Ayah Ngah Him,” katanya.

sinar harian/-

Peniaga maut dirempuh kereta api di Kangar

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KANGAR — Seorang peniaga, Yahya Kassim, 74, terbunuh apabila sebuah kereta api barang merempuh kereta yang dipandunya di lintasan kilometer 134.25, Ngulang dekat sini semalam.

Kejadian dilapor berlaku kira-kira 3.05 petang apabila kenderaan warga emas dari arah Mata Ayer menuju Ngulang itu terlajak ke landasan selepas gagal berhenti di palang penghadang yang diturunkan petugas lintasan.

Menurut polis, sebaik tiba di landasan, kenderaan Yahya dirempuh kereta api dari arah Butterworth menuju Padang Besar.

Mangsa yang menetap di Ngulang cedera parah di kepala dan badan manakala keretanya rosak teruk.

Yahya meninggal dunia pada 5.30 petang selepas dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi. — BERNAMA