21 Mac 2013

RTM diarah bayar RM150,000 kepada Adun PAS

9 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi Kedah hari ini memutuskan Radio Televisyen Malaysia (RTM) milik kerajaan membayar tuntutan saman fitnah sebanyak RM150,000 kepada Adun Kubang Rotan (PAS) Mohd Nasir Mustafa.
Pesuruhjaya Kehakiman See Mee Chun ketika di dalam penghakiman hari ini mengarahkan dua defendan Mohd Hanafiah Hanafi dan Zakri Suid dari RTM untuk membayar ganti rugi sebanyak RM50,000.

Sementara itu, penerbit rancangan RTM 'Titik Sentuhan' Hartini Haris dan ketua pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Datuk Norhayati Ismail pula di arah membayar sejumlah RM70,000, selain pihak defendan juga diarahkan membayar kos guaman RM30,000.

Mohd Nasir diringi penguamnnya Aminuddin Zulkifli.

Mohd Nasir telah memfailkan saman pada Mei tahun lalu ekoran rancangan “Titik Sentuhan” yang disiarkan pihak RTM pada 18 November 2011 kerana menfitnah beliau gagal menjalankan tanggungjawab dan tugas sebagai Adun di Kubang Rotan.

Dalam writ saman yang dikemukakan juga, Mohd Nasir juga menolak tuduhan mengatakan beliau mengamalkan diskriminasi pembangunan dikawasan undangannya dan mendakwa ia telah mencemarkan imejnya serta kredibilitinya.

Mohd Nasir menewaskan calon Umno, Nordin Salleh pada Pilihan Raya 2008 dengan majoriti 1,387.

harakah/-

Isu Twit Perkauman: UMNO BN Itu Memang Extreme & Rasis

9 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Isu Taib: Relawan BN mohon maaf atas twit 'perkauman'

Sukarelawan Pemuda BN (BNYV) memohon maaf atas kenyataan "tidak menyenangkan" berhubung milikan tanah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud melalui Twitter BNYV Sarawak yang dilihat berunsur perkauman.

Ia dibuat selepas akaun @BNYV_SWK dalam statusnya menyebut:

"Sedar-sedarlah 'orang kita'.

Walau Taib banyak tanah di Sarawak tok sekurang-kurangnya baguslah milik bumiputera dari jatuh ke orang ca-ya-nun-alif (Cina)."


Kenyataan itu dipercayai merupakan respon kepada video Global Witness yang mendakwa mendedahkan salah guna kuasa keluarga Taib.

Akaun Twitter itu menggesa agar "orang-orang kita" sedar walaupun banyak tanah di Sarawak didakwa dimiliki keluarga Taib, keadaan itu lebih baik daripada dimiliki oleh orang-orang Cina.

Pengarah BNYV Zaidel Baharuddin (kanan) dalam kenyataan segeranya di laman web berkata, kenyataan itu "tidak menyenangkan dan bercanggah dengan semangat muhibah 1Malaysia yang kini sedang dipupuk oleh perdana menteri kita".

Menurutnya, twit itu hanya pandangan peribadi seorang pengendali akaun sahaja dan tidak dikongsi oleh pengendali-pengendali yang lain.

"Saya mewakili pergerakan BNYV memohon maaf atas beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh akaun Twitter berkenaan," kata Zaidel lagi.

Status tersebut kini dikesan dipadam daripada garis masa akaun Twitter berkenaan, seperti satu lagi mesej di Twitter rasmi BN sebelum itu berhubung pentadbiran Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebelum ini.

BNYV adalah inisiatif untuk merekrut sukarelawan muda bagi membantu kempen BN yang dilancarkan pada Mei 2012.

Antara tugas-tugas utama sukarelawannya adalah dalam bidang pengurusan acara, khidmat nasihat media sosial dan kempen rumah ke rumah sewaktu pilihan raya umum.

 

Taubat, kesalahan lampau tidak boleh dibongkar


9 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -



Setiap manusia selain nabi dan rasul tidak terjamin selamat daripada berbuat dosa dan maksiat. Malah mereka terdedah kepada dosa setiap hari. Buktinya kenyataan hadis daripada Anas:

عَنْ أَنَسٍ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ ، فَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ."
Maksudnya: Daripada Anas r.a dia berkata Rasulullah SAW bersabda: “Semua anak Adam berdosa, maka sebaik-baik orang yang berdosa ialah bertaubat.” (Riwayat Ahmad)

Realitinya di dalam rumah sendiri, suami berdosa dengan isteri begitu juga sebaliknya. Kemudian sebaik sahaja melangkah keluar daripada rumah ke tempat kerja misalnya, mata sudah melihat aib orang lain dan secara sepontan pula lidah menuturkan kata nista terhadap orang itu. Memang benar, dosa sering dicetuskan manusia.

Selain itu dalam perjalanan ke tempat kerja banyak lagi dosa yang boleh dilakukan tanpa sedar. Marah orang yang memotong keretanya, sanggup dia memaki orang itu. Sementara di pejabat, umpat dan fitnah boleh berlaku dengan mudah apatah lagi pada waktu berehat di kantin, banyak cerita yang boleh dihasilkan.

Walaupun sesetengah dosa-dosa itu termasuk dalam kategori dosa kecil, kita tidak boleh mengambil sikap “tidak kisah” kerana sikap mengecilkan dosa kecil akan menjadinya dosa besar pula. Begitu juga dengan perkara makruh, jika dilakukan secara berterusan boleh menjadi haram dan berdosa. Menyedari hal ini mereka seharus bertaubat.

Dosa yang diabaikan

Selalunya dosa yang kita lakukan sama ada terhadap Allah mahupun manusia, dibiarkan begitu sahaja tanpa rasa berdosa dan hendak bertaubat. Pada mereka enjoy dulu kerana usia masih awal dan muda. Tetapi lain halnya kalau dosa yang melibatkan manusia terutama ibu bapa mereka tangguhkan untuk meminta maaf pada hari raya. Agaknya mereka tahu bahawa umur mereka masih panjang.

Walau bagaimanapun Allah Yang Maha Pemurah dan Penyayang tidak mahu hambanya terus melakukan dosa. Oleh sebab itu Allah masih menawar pengampunan dan bersedia menerima taubat hambanya. Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah suka kepada orang yang bertaubat dan suka kepada orang yang membersihkan diri.” (Surah al-Baqarah : 222)

Tetapi pada hari ini berapa ramai yang melakukan dosa dan sanggup bertaubat dengan segera. Dalam penelitian saya ramai yang melakukan dosa tanpa henti seolah-olah mereka tidak tahu semua itu adalah dosa.

Antara Dosa dengan Allah:

1.    Menyekutukan Allah SWT dengan mana-mana makhluk (Syirik). Mereka bergantung harap dengan orang dan wang. Mereka lupa kepada Allah yang memberi rezeki. Inilah golongan syirik yang pada mereka adalah kecil.

2.   Meninggalkan solat fardu. Anak-anak remaja malah ada ibu bapa yang tidak kenal sejadah, apatah lagi masjid. Kalau sudah bekerja dan mendapat pendapatan sendiri, solat ditinggalkan sedikit demi sedikit sehingga akhirnya terlupa semua bacaannya. Padahal waktu di sekolah sudah mengahafalnya. Mereka tidak sedar bahawa itu juga adalah dosa besar.

3.   Tidak membayar zakat. Ahli perniagaan yang mengaut keuntungan berganda tidak pernah terfikir untuk mengeluarkan zakat mahupun berderma kepada orang susah. Pada mereka cukup dengan zakat fitrah setiap tahun sebelum syawal.

4.     Melakukan zina, bukan sahaja dalam kalangan remaja malah orang tua juga. Perbuatan ini adalah dosa besar.
5.  Homoseksual (hubungan sesama jantina) terjadi dalam masyarakat kita tanpa kawalan. Mereka ini tahu amalan songsang ini salah tetapi tetap melakukannya.

Antara dosa dengan manusia ialah:

1.  Melakukan perbuatan Sihir atau mempelajari ilmu sihir. Sehingga ke hari ini ada umat Islam yang mengamalkan sihir terutama peniaga atau pasangan yang cemburu kepada suaminya. Ketika melakukannya tidak menyedari yang dosa itu adalah dosa besar.

2.    Derhaka kepada kedua ibu bapa. Anak-anak sejak remaja lagi sudah tahun melawan ibu bapa, apatah lagi apabila hendak berkahwin terlupa untuk mengambil pandangan ibu bapa. Hakikatnya mereka derhaka kepada ibubapa tanpa sedar.

3.    Memutuskan hubungan silaturrahim. Antara adik beradik sudah ada yang tidak bertegur sapa hanya mungkin kerana sedikit salah faham. Perbuatan ini adalah dosa besar.

4.  Tidak menunaikan hak anak dan isteri. Suami atau ayah ini bukan miskin tetapi harta yang banyak itu disalahgunakan ke tempat yang haram.

5.   Membiarkan jiran kelaparan sedangkan dia kekenyangan. Inilah kehidupan lazim dalam masyarakat kita. Masalah jiran tidak dapat dikesan kerana perhungan yang longgar. Tetapi kita juga patut tahu mana jiran kita yang miskin untuk dibantu. Kita lupa tanggungjawab ini.

Sikap Orang Mukmin

Orang mukmin yang terbaik seperti yang digambarkan Rasulullah dalam hadis di atas, setiap kali melakukan dosa terus bertaubat daripada dosa tersebut. Sikap orang mukmin ini selaras dengan sifat Allah yang suka terhadap orang yang terus bertaubat. Oleh sebab itu orang mukmin tidak boleh bertangguh dalam bertaubat kerana demikian itu adalah sikap orang yang sombong iaitu sifat syaitan.

Sebenarnya, sebesar manapun dosa seseorang mukmin kalau dia mahu bertaubat kepada Allah pasti diterima oleh-Nya. Malah mereka yang bertaubat itu kedudukannya sama seperti tiada dosa lagi. Demikian dinyatakan oleh Rasulullah dalam hadisnya:

أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : النَّدَمُ تَوْبَةٌ ، وَالتَّائِبُ مِنَ الذَّنْبِ كَمَنْ لا ذَنْبَ لَهُ  (أبو نعيم الأصبهاني)
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW berkata, penyesalan adalah taubat, dan orang yang bertaubat daripada dosanya sama seperti mereka yang tiada dosa.” (Riwayat Abu Naim al-Asbahani)

Berdasarkan hadis di atas, taubat amat mudah di sisi Allah iaitu cukup dengan rasa menyesal. Maknanya kalau seseorang itu kelihatan sangat menyesali perbuatannya sudah dikira bertaubat di sisi Allah. Cuma taubat itu perlu dilakukan bersungguh-sungguh seperti yang pernah diamalkan oleh nabi Adam dan nabi Yunus.

Nabi Adam a.s setelah diturunkan ke bumi, dia bertaubat selama 40 tahun dengan membaca doa:
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا لَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الخَاسِرِينَ
Bermaksud: “Tuhan, kami telah melakukan kezaliman terhadap diri kami dan jika Engkau tidak mengampunkan kami nescaya kami tergolong dalam orang-orang yang rugi.”

Begitu juga dengan nabi Yunus a.s setelah dimasukkan ke dalam perut ikan, dia terus bertasbih beberapa kali seperti berikut:
اللَّهُمَّ ، لا إِلَهَ إِلا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya: Ya Allah, tiada Tuhan lain melainkan Engkau, Maha Suci Engkau sesungguhnya aku termasuk dalam orang yang zalim.” (Surah al-Ambia’: 87)

Syarat Taubat

Sungguhpun tanda taubat itu ialah penyesalan namun kesungguhan bertaubat itu perlu dibuktikan seperti yang diamalkan oleh para nabi di atas. Sesuai dengan itu maka para ulama telah menentukan beberapa syarat taubat yang harus dipatuhi:

1.     Menyesali diri di atas dosa-dosa yang telah lalu
2.     Menyucikan diri dan dosa dengan tidak lagi melakukan dosa yang sama.
3.     Berazam tidak akan melakukan dosa lagi, selagi hayat dikandung badan.

Ketiga-tiga syarat ini adakah untuk kesalahan hamba kepada Allah. Jika syarat ini dipenuhi oleh seseorang nescaya diampunkan dosa tersebut seperti firman Allah SWT yang bermaksud:
"Barangsiapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan, laIu memilih jalan lurus, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya dan Tuhan itu maha pengasih lagi maha penyayang." (Surah aI-Maidah :39)

Walau bagaimanapun kalau seseorang itu melakukan dosa terhadap hamba Allah yang lain perlu ditambahkan satu syarat lagi iaitu meminta maaf daripadanya. Dan jika dosa itu melibatkan harta perlu diselesaikan dengan ganti rugi. Begitu juga kalau melibatkan hutang, perlulah diselesaikannya terlebih dahulu.

Malah jika kesalahan itu melibatkan jiwa atau nyawa hendaklah dilakukan qisas (hukuman menurut hukuman Islam) kecuali setelah dimaafkan walinya. Namun dia tetap wajib membayar diyah atau ganti rugi atau pampasan yang setimpal dengan kesalahannya.

Jelas di sini, apabila kesalahan itu melibatkan orang lain, kemaafan orang itu perlu diutamakan. Kemaafan mereka inilah yang menjadi ukuran pengampunan Allah dan seterusnya menerima taubatnya. Maknanya selagi seseorang itu tidak dimaafkan kesalahannya, Allah tidak menerima taubatnya walaupun tiga perkara di atas sudah dipenuhi.

Kedudukan Setelah Diterima Taubat

Berdasarkan hadis di atas, “…dan orang yang bertaubat daripada dosanya sama seperti mereka yang tiada dosa,” sekali lagi menyedarkan kita betapa Allah Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat. Sikap baik Allah ini harus disambut oleh umat Islam apatah lagi orang yang pernah melakukan dosa supaya segera bertaubat.

Berdasarkan itu seseorang yang sudah diterima taubatnya, mereka sudah dianggap bersih daripada dosa. Keadaan ini menjadikannya orang yang bebas merdeka sama seperti orang yang tidak berdosa. Mereka boleh mengatur kehidupan di dunia tanpa diganggu oleh orang lain. Walau bagaimanapun mereka harus memenuhkan aktiviti hariannya dengan perkara yang baik.

Cuma dalam keadaan ini, ramai juga umat Islam masih memberi persepsi yang buruk terhadap mereka. Padahal mereka sudah benar-benar berubah ke arah kebaikan, malah sudah bertaubat daripada maksiat. Tetapi mereka yang bertaubat itu masih dicop sebagai orang yang bersalah. 

Sebagai contoh, orang yang bersalah yang telah dibebaskan daripada penjara, orang ramai masih memandang serong kepadanya. Sepatutnya diberi layanan sama seperti orang yang baik-baik. semoga dengan itu mereka boleh menjadi orang yang soleh dn solehah.

Keadaan yang sama berlaku kepada orang politik, hanya kerana dia musuh politiknya maka kesalahan mereka diungkit lagi sedangkan dosa itu telah lama berlalu. Segala kejahatan lama dimainkan seperti perkara baru lalu mengaibkannya di mata ramai. Sepatutnya mereka menerima baik perubahannya dan taubatnya kepada Allah. Kita hanya wajib menilai yang zahir.

Selain itu, seseorang yang telah bertaubat, dia dianggap bersih daripada dosa. Maka sesiapa yang menyebutkan dosanya lagi, mereka itu boleh dianggap sebagai menuduh orang baik melakukan dosa. Jika ini yang terjadi, maka orang yang menuduh itu dianggap sebagai tuduhan palsu. Mereka ini bukan sahaja berdosa tetapi diharamkan syurga untuk mereka.

Sebenarnya dalam ajaran Islam, kita wajib menutup aib orang lain walaupun kita mengetahui keaibannya. Dalam kes ini, kita yang menutup aib itu tidak dianggap bersyubahat dengan dosanya tetapi kita cuba menutup aibnya. Namun pada masa yang sama, kita wajib membetulkan kesilapan silamnya.

Percayalah kalau semua umat Islam boleh membuat perubahan dan bertaubat daripada dosa lampau Allah akan terima taubat itu dengan senang hati. Nanti dengan sebab itu Allah selamatkan umat Islam dan dunia ini daripada kehancuran.

 Ahmad Baei Jaafar

Chua Soi Lek pemimpin 'touch-no-go'

9 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Tindakan Lim Kit Siang menawarkan diri bertanding di Johor tidak sepatutnya dijadikan isu oleh MCA jika benar-benar MCA masih kuat dan relevan sekarang ini.

“Pertamanya LKS sememangnya berasal dari Johor dan tidak sepatutnya penhijrahan beliau ke Johor menjadi isu kepada mana-mana pihak,” tulis Aspan Alias.
Justeru, baginya tidak perlu melabelkan LKS sebagi pemimpin ‘touch-n-go’ seperti yang dituduh oleh pihak Chua Soi Lek.

Ulasan penuh beliau sebagaimana di bawah.

Kita boleh nampak dengan jelas reaksi dari BN khususnya MCA apabila Lim Kit Siang (LKS) mengambil keputusan untuk bertanding di Johor dalam pilihanraya kali ini. Tindakan Penasihat DAP untuk menawarkan diri bertanding di Johor ini tidak sepatutnya dijadikan isu oleh MCA jika benar-benar MCA masih kuat dan relevan sekarang ini.

Pertamanya LKS sememangnya berasal dari Johor dan tidak sepatutnya penhijrahan beliau ke Johor menjadi isu kepada mana-mana pihak.Tidak perlu melabelkan LKS sebagi pemimpin ‘touch-n-go’ seperti yang dituduh oleh pihak Chua Soi Lek (CSL) itu kerana LKS merupakan pemimpin  parti yang diterima oleh mana-mana kawasan di negara ini.

Yang bertanding itu bukannya LKS tetapi adalah DAP dan LKS sebagai seorang yang berpengalaman beliau sememangnya boleh meletakkan diri beliau di mana-mana parti merasakan perlu untuk bertanding. Yang penting beliau diterima oleh parti kerana DAP adalah parti yang sudah diterima oleh semua kaum dan rakyat.

Tindakan CSL melabelkan LKS sebagi ‘touch-n-go’ itu hanya melambangkan ketakutan MCA yang kian hari kian merosot sokongan seperti juga UMNO dan MIC serta Gerakan. Kemampuan LKS bertanding di mana-mana menunjukkan yang beliau adalah pemimpin ‘versatile’ dan diterima oleh rakyat di mana-mana.

CLS sebaliknya menghadapi kesukaran untuk mencari kawasan yang boleh menerima beliau secara keseluruhan rakyat di negara ini. Bagi saya jika CLS melabelkan LKS sebagai ‘touch-n-go’ saya pula ingin melabelkan CLS sebagai pemimpin ‘touch–no-go’ kerana beliau tidak dapat diterima oleh rakyat di kebanyakan kawasan dalam negara ini.

CSL lebih elok tumpukan usaha untuk mencari kawasan yang boleh menerima beliau dengan baik secara peribadi kerana partinya sudah boleh dianggap sebagai parti yang semakin hampir kepada kematian. Sampai sekarang ini CLS masih teraba-raba mencari tempat untuk diri beliau bertanding. Di mana sahaja beliau mencuba jawapannya ialah 'no-go' untuk beliau. CSL tidak boleh hendak 'equate' kan dirinya dengan LKS. Perbezaan beliau dengan LKS ibarat menyamakan buah bacang dengan buah epal.

Biarkan DAP melakukan apa yang baik untuk parti itu dan menjadi parti harapan rakyat untuk bersama-sama dalam kerajaan baru yang bakal dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya ini.

Semasa itu nanti barulah MCA dan rakan-rakannya dalam BN tahu rupa-rupanya ada parti lain yang jauh lebih berkemampuan dan bersih menguruskan kerajaan negeri-negeri dan Persekutuan kita ini.

Semasa itu nanti MCA dan rakan-rakan komponen yang lain mesti belajar dari pimpinan kerajaan yang baru itu bagaimana menguruskan kerajaan dengan cara yang lebih baik dan selari dengan kehendak rakyat dan sistem demokrasi itu sendiri.

Hanya BN sahaja yang terlalu 'obsessed' memuji diri sendiri sehinggakan mereka tidak sedar ada pihak lain yang lebih baik dan tidak pun memuji diri mereka kerana kejayaan DAP dan rakan-rakan lain itu merupakan kejayaan rakyat sendiri.

CSL akan melihat keadaan dalam mana kerajaan baru dengan rakyat itu 'berpisah tiada' buat jangka masa yang lama. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Tidak boleh ambil Islam sebahagian dan tolak sebahagian

9 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Lengkap dan menyeluruhnya ajaran Islam adalah kerana ia merangkum aspek rohani, akidah dan wacana kehidupan lain yang pelbagai dan rencam.

Aspek teologinya dicerakinkan oleh Syeikh Abu Zahrah, Dr Abdullah Darraz, Syeikh Abd Rahman Hassan al-Habanakah, Abu al-A’la al-Maududi, Said Hawwa, Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dan lain-lain lagi.

Dari sudut ibadah pula metodologinya telah dihuraikan dengan panjang lebar oleh Syeikh Abdul Karim Zaidan, Syeikh Mohammad al Ghazali, Syeikh Hasan Ayub, Dr Wahbah al-Zuhaili, Syeikh Sayyid Sabiq dan lain-lain lagi.

Dari sudut pendidikan nama-nama besar seperti Dr Omar al-Toumi al-Syaibani, Dr Majid 'Irsan al-Kailani, Dr Miqdad Yalchin, Dr Adnan Hasan Saleh.

Dari sudut politik Dr Abd Salim al-Awwa, Dr Azam Tamimi, Dr Othman Abdul Mu’iz Raslan, Dr Abdul Aziz al Khayyat.

Dari sudut ekonomi buku-buku karangan Baqir al-Sadr (al Marhum), Dr Ref’at Sayyid al-'Iwadhi, Dr Hussin Shehata dan lain-lain.

Dari sudut psikologi Dr Hasan Langgulung, Dr Hasan al Syarqawi dan lain-lain.

Mana kala dari sudut harakah dan gerakan Islam dihuraikan oleh Imam Hassan al Banna, Syed Qutub, Syeikh Omar al-Telmesani, Fathi Yakan, dan lain-lain lagi.

Pendek kata terdapat deretan nama-nama besar dalam setiap bidang ilmu yang mencerakinkan perspektif Islam dalam berbagai bidang hidup. Usaha menggarap dan meneroka konsep yang lebih terperinci ini akan berterusan hingga hari kiamat selaras dengan pesanan Rasulullah bahawa; "Agama Islam ini sangat utuh dan kukuh dan terokalah untuk mendalami ajarannya secara perlahan-lahan, lemah lembut dan bijaksana."

Program penghayatan Islam kaffah adalah demi mengenengahkan sudut pandangan Islam dalam berbagai bidang untuk difahami, digarap dan dihayati oleh berbagai-bagai kalangan umat berdasarkan posisi dan peranan mereka dalam masyarakat.

Asas Penghayatan Islam Secara Kaffah

Dalil pokok dalam hal ini ialah firman Allah yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah agama Islam secara keseluruhan; dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan; sesungguhnya Syaitan memang  musuh kamu yang nyata." (Surah al- Baqarah : ayat 208)

Kehidupan yang rencam di samping pergaulan yang luas dengan manusia daripada pelbagai agama, budaya dan warna kulit telah menyebabkan terdapat umat Islam yang lemah keyakinan serta iltizam mereka kepada agama ini sehingga bertindak memusuhinya secara sedar atau tidak sedar. Walaupun wacana dan ungkapan lahir mereka menegaskan tentang keislaman mereka, malah mereka bersumpah untuk meyakinkan tentang keimanan mereka kepada orang Islam namun mereka disisi Allah tetap dianggap musuh. Inilah yang ditegaskan oleh ayat 208 dalam surah berkenaan.

Golongan ini apabila memegang tampuk kuasa mereka merosakkan asas-asas kehidupan beragama yang mantap sebelumnya dengan niat untuk melemahkan komitmen umat kepada Islam. Bahkan polisi dan arah pentadbiran yang merosak ini sampai merosakkan juga alam, tanaman dan persekitaran dalam jangka panjang. Ini digadai kerana tujuan mendapatkan keuntungan yang segera para kroni dan kaum kerabat.

Golongan berkenaan tidak boleh ditegur atau dinasihati. Mereka berterusan melakukan penyimpangan dan kezaliman. Tegur nasihat dihadapi dengan tindakan agresif menindas rakyat dan sebagainya. Mereka merasa serba betul dan pandai. Mereka tidak dapat dipulihkan lagi. Hati mereka tertutup rapat kerana lumuran noda dan dosa perbuatan mereka.

Bertentangan dengan golongan ini terdapat pula dalam masyarakat kumpulan yang bersedia berkorban untuk kepentingan agama dan masyarakat. Golongan ini perlu dibantu dan diperkasa demi kebaikan umat dan negara. Mereka adalah golongan yang istiqamah berpegang teguh dengan Islam yang bersifat menyeluruh.

Melaksanakan Gerak Kerja Penghayatan Islam Syumul

Gerak kerja ini bertemakan kepada firman Allah yang bermaksud:

"Berpegang teguhlah kalian dengan agama Allah. Jangan berpecah belah. Ingati nikmat Allah. Sebelum ini kalau bermusuhan namun Allah bibitkan rasa kasih dalam hati dan tautkan kemesraan sesama kamu sehingga kamu bersaudara. Sebelum ini kamu ditubir neraka tapi Allah selamatkan kamu daripadanya. Demikianlah penjelasan Allah kepada kamu tentang bukti kebenaran agama-Nya, semoga kamu mendapat hidayah petunjuk." (Surah al-Imran : ayat 103)

Seruan berpegang teguh kepada agama yang padu ini adalah kerana mengelakkan terungkainya perasaan kasih sayang dan timbul krisis pertelingkahan sesama umat kerana penyimpangan dan keingkaran kepada ajaran agama ini. Sebab itu Allah mengingatkan tentang bencana hukuman dan bala Allah kepada para pendusta dan pengabai agama Allah dalam berbagai peringkat sejarah.

Allah mengingatkan dalam al-Quran bermaksud:

"Tetapi jika kamu menyimpang, sesudah datang bukti-bukti yang nyata kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana (untuk bertindak ke-atas kamu)." (Surah al-Baqarah : ayat 209)

Ayat seterusnya menjelaskan bahawa para penyeleweng yang tegar itu hanya mahu menunggu datangnya azab Allah, nasib (malang) mereka sudahpun Allah putuskan dengan tuntas. Memang segala urusan terpulang kepada Allah menentukannya.

Contoh nyata penyimpangan ini ialah kaum Bani Israel. Mereka telah mendapat rahmat kedudukan,  kurnia yang sangat baik dan banyak daripada Allah. Tetapi mereka tidak bersyukur. Malah mereka tukar sifat bersyukur yang sepatutnya dengan sifat kufur kepada rahmat Allah. Iaitu nikmat agama yang telah diturunkan oleh Allah kepada mereka. Mereka mengikut fahaman dan ajaran yang membawa mereka kepada kejahatan dan penentangan terhadap nilai, hukum dan undang-undang Allah. Justeru mereka digodam oleh Allah dengan bala bencana dan berbagai jenis wabak penyakit.

Segala bencana dan petaka di dunia ini ada kaitannya dengan penderhakaan dan maksiat kepada Allah. Sebab itu manusia perlu segera bertaubat kepada Allah. Mereka mesti kembali ke hadhrat-Nya demi mematuhi semua titah perintah yang tidak boleh diderhakai. Allah menegaskan dalam al-Quran, bermaksud:

"Apa jua kebaikan yang kamu dapati maka itu adalah daripada rahmat Allah. Sebaliknya apa jua keburukan yang menimpa kamu maka sumbernya adalah daripada diri kamu sendiri. Manakala engkau pula (wahai Muhammad) Kami lantik menjadi Rasul. Cukuplah Allah sebagai saksi (kerasulanmu)." (Surah al-Nisa’ : ayat 79)

Allah menegaskan tentang keperluan berjihad melawan penderhakaan kepada Allah serta kemungkaran. Umat mesti diajak turut serta untuk mencegah kejahatan, keingkaran kepada perintah Allah. Mereka mesti diingatkan bahawa mereka tidak mungkin masuk syurga tanpa usaha dan jihad melawan kejahatan dan kezaliman. Mereka mesti bersedia menanggung kegetiran hidup dan pedih perit perjuangan kerana Allah. Mereka wajar menggembeleng tenaga dalam suatu atau pelbagai gerakan yang menumpaskan kebatilan. Tanpa penggembelengan usaha ke arah itu mereka sukar untuk masuk syurga Allah Taala.

Allah berfirman yang bermaksud:

"Apakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepada kamu ujian seperti yang dialami oleh orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digegarkan dengan berbagai-bagai cubaan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya tertanya-tanya; Bilakah akan datang pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu hampir jua." (Surah al-Baqarah : ayat 214)

Kesimpulan yang dapat diraih dalam menyorot ulasan tajuk ini ialah;

Umat Islam wajib menerima pakai seluruh ajaran syariat Islam. Haram meninggalkannya atau memilih-milih sebahagian dan menolak sebahagian yang lain. Penerimaaan secara “kaffah” dan “syumul” ini suatu kemestian.

Orang yang menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah dan meninggalkan apa yang diwajibkan oleh Allah adalah para pengikut syaitan dalam hal itu.

Kita wajib mengandaikan hampir turunnya bala dan hukuman Allah apabila berleluasa kejahatan, maksiat dan dosa-dosa besar dalam masyarakat. Kita tidak boleh menjadi orang yang lalai dan sentiasa merasa selamat tanpa bersungguh-sungguh berusaha mencegah maksiat dan kezaliman. Kita tidak boleh merasa selamat daripada bala Allah kalau lalai bertindak.

Allah tetap akan berperanan di dunia dan di akhirat menangani permasalahan manusia. Allah akan menyelesaikan pertelingkahan mereka secara tuntas pada hari kiamat kelak.

Haram menunda dan melengah-lengahkan taubat dan menangguhkan kepulangan kepada jalan kebenaran setelah nyata dan jelas kebatilan faham kufur dan kebenaran jalan Islam.

http://www.tarbawi.my

Lukisan berusia lebih 17,000 tahun dipamerkan

9 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


CHIGACO, Amerika Syarikat - Muzium Field di sini mempamerkan salinan beberapa lukisan yang berusia lebih 17,000 tahun kepada orang ramai bermula semalam.
Lukisan tersebut ditemui di sebuah Gua Lascaux di Perancis.

Gua tersebut ditutup kepada orang awam pada tahun 1963 sebagai usaha untuk memulihara lukisan tersebut.
Penutupan tersebut menyebabkan salinan lukisan itu dibuat untuk dipamerkan kepada orang awam.
Pelbagai gambar orang dan haiwan terdapat pada lukisan itu.

Bagaimanapun, pakar-pakar masih belum dapat mentafsirkan makna lukisan tersebut.
Terdapat hampir 2,000 lukisan di dalam gua itu. - Agensi

Muzium Kosong, Monorel Rosak dan Lapangan Terbang Sunyi Legasi Umno-BN Melaka

9 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Monorel yang kerap kali rosak dan muzium kereta yang hanya ada tiga kereta proton. Itu lah keadaan dua projek pelancongan di Melaka yang diheboh-hebohkan oleh pimpinan Umno-BN negeri itu, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin.

Shamsul Iskandar juga mendakwa Lapangan terbang Antarabangsa Melaka (MIA) hanya digunakan oleh dua kapalterbang. Manakala taman haiwan purba “Jurassic Park” yang akan dibina dengan kos RM 200 juta dikhuatiri juga akan menjadi satu lagi projek gajah putih.

“Datuk Seri Ali Rustam nak buat taman haiwan ala Jurassic Park bernilai RM 200 juta. Sekarang hutang ditanggung kira-kira RM 800 juta.

“Apa kebaikan dan manfaat yang rakyat akan dapat? Rakyat bukan nak tengok sangat haiwan dinosaur ni,” katanya di dalam ceramah Pakatan Rakyat (PR) di Bukit Piatu, Melaka semalam .


Beliau menjelaskan PR tidak menolak pembangunan tetapi mahu setiap projek dirancang dan dilaksanakan untuk kebaikan rakyat.

Apa dipersoalkan, katanya, segala dijalankan Kerajaan Melaka setakat ini tidak membawa perkembangan positif tetapi lebih memberi kerugian negeri tersebut.

“Banyak projek yang mendatangkan kerugian. Projek monorel Ali Rustam kata bagus tetapi 27 kali rosak. Muzium kereta di Air Keroh pula hanya tiga kereta yang ada. Itupun kereta Proton,” dakwanya.

Pada 25 Februari lalu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengumumkan pembinaan taman “Jurassic Park” sebagai taman tarikan pelancong.

Mohd Ali berkata, taman itu akan mempamerkan 200 spesies dinosaur melalui kaedah hidrolik dan elektronik.

“Jurassic Park” itu akan dibina bersebelahan dengan sebuah lagi taman tema iaitu Melaka Sea World, membabitkan kawasan seluas 12.1 hektar yang akan dilaksanakan secara usahasama oleh Yayasan Melaka dan syarikat swasta, Eden Incorporation Berhad. -selangorku

ADUN PAS Kedah menang saman RM150 ribu ke atas RTM

9 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


ALOR SETAR — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan Mohd Nasir Mustafa berjaya memenangi kes tuntutan saman fitnah ke atas Radio Televisyen Malaysia (RTM) milik kerajaan sebanyak RM150 ribu selepas Mahkamah Tinggi Kedah membuat keputusan pagi ini.
Mohd Nasir memegang keputusan penghakiman diluar Mahkamah Tinggi. — Gambar oleh Md Izwan
Dalam penghakiman hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman See Mee Chun mengarahkan dua defendan Mohd Hanafiah Hanafi dan Zakri Suid dari RTM untuk membayar ganti rugi sebanyak RM50 ribu, manakala penerbit rancangan RTM “Titik Sentuhan” Hartini Haris dan ketua pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Datuk Norhayati Ismail pula diarah membayar sejumlah RM70 ribu.

Selain itu, pihak defendan juga diarahkan membayar kos guaman RM30 ribu.
“Hari ini hakim telah membuat keputusan mengarahkan empat defendan untuk membayar sejumlah RM150 ribu kepada YB Nasir,” kata peguam Aminuddin Zulkipli apabila ditemui oleh The Malaysian Insider.
“Dua defendan diarah untuk membayar RM50 ribu, kedua-dua mereka dibahagikan RM25 ribu setiap seorang. RM70 ribu pula perlu dibayar oleh Hartini dan Norhayati... serta RM30 ribu kos guaman.”
Mohd Nasir telah memfailkan saman pada Mei tahun lalu ekoran rancangan “Titik Sentuhan” yang disiarkan pihak RTM pada 18 November 2011 kerana menfitnah beliau gagal menjalankan tanggungjawab dan tugas sebagai Adun di Kubang Rotan.
Dalam writ saman yang dikemukakan juga, Mohd Nasir juga menolak tuduhan mengatakan beliau mengamalkan diskriminasi pembangunan dikawasan undangannya dan mendakwa ia telah mencemarkan imejnya serta kredibilitinya.
Mohd Nasir menewaskan calon Umno, Nordin Salleh pada Pilihan Raya 2008 dengan majoriti 1,387.
The Malaysian Insider/-