28 Mac 2013

Bantu suami lepas gian, ulang alik dapatkan bekalan air ketum

16 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
 
KAMPUNG RAJA - Seorang wanita dipercayai sanggup berulang alik menghantar dan menjemput suaminya menggunakan motosikal untuk mendapatkan bekalan air ketum di sebuah port ketum dekat Kampung Kolam, Bukit Kenak di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, suami wanita berkenaan, seorang buruh berusia 30an ditahan bersama 12 suspek lain dalam operasi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah yang diketuai, Asisten Superintendan Shamsuddin Abbas.

Menurutnya, semua mereka ditahan di sebuah lokasi berhampiran sebuah rumah tempat memproses air ketum terbabit dalam operasi bermula 4 hingga 7 petang.

“Walaupun sudah beberapa kali diserbu dan diambil tindakan mahkamah, namun peniaga ketum itu dikatakan tidak pernah serik sebaliknya terus melakukan kegiatan memproses daun ketum untuk dijual kepada pelanggan,” katanya.

Kamaruddin berkata, ketika serbuan suspek utama berusia 25 tahun sedang memegang satu guni dipercayai daun ketum di belakang rumah berkenaan.

Menurutnya, suspek berjaya ditahan dan dijumpai tiga guni lagi daun sama, selain sebiji pil dipercayai pil kuda dalam salah satu seluar suspek.

“Selepas berjaya menahan suspek utama, polis memasang perangkap menunggu dan menangkap 12 pelanggan yang datang membeli ketum di rumah berkenaan berusia 28 hingga 54 tahun,” katanya.

Beliau berkata, seramai 12 daripada semua suspek didapati positif dadah termasuk tiga yang dikehendaki berkait kes lampau.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta 13(3) Akta Racun 1952.

“Polis akan melakukan operasi berterusan di mana-mana sahaja tempat yang dikenal pasti menjadi port dadah termasuk juga sekiranya menerima maklumat daripada pihak awam,” katanya.

sinar/-

Pelajar mati dibaham 5 anjing

Foto16 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
 
Manchester: Seorang pelajar Jade Lomas-Anderson dibaham lima anjing hingga mati semalam selepas dia berjalan masuk ke dalam bilik sambil memakan pai daging.
Seekor haiwan berkenaan menerkam makanan itu dan ketika Jade, 14, cuba merampasnya semula anjing berkenaan menerkam lehernya hingga dia jatuh ke lantai.

Empat lagi haiwan berkenaan kemudian datang dan menyerang remaja itu.
Polis yang bergegas ke kediaman itu terpaksa menembak mati empat anjing itu yang dikatakan daripada spesies kacukan anjing pit bull Staffordshire kerana terlalu ganas.

Haiwan kelima dipercayai juga jenis pit bull berjaya ditenteramkan.

Rakan Jade yang terkejut memberitahu dia dibaham di kediaman temannya, Kimberley Concannon di Atherton, Manchester tengah hari semalam selepas bermalam di rumah itu.
JADE mati akibat diserang sekumpulan anjing.
Seorang rakan berkata: “Jade pergi ke kedai untuk membeli pai daging dan membawanya ke kediaman Kimberley. Kami dengar anjing itu menyerangnya ketika dia makan pai itu. Dia cuba mengelak tetapi anjing berkenaan berang dan menerkam lehernya.

“Dia tewas diserang haiwan itu di dalam rumah Kimberley.
“Ketika polis tiba, empat anjing berkenaan berada di luar rumah.

“Jade berada di dapur. Kami dengar bunyi tembakan. Kami percaya anjing terbesar ditembak sembilan das sebelum ia mati.” Thomas Jefferies, 18, berkata: “Sepupu saya kata, dia dengar bunyi tembakan dan jeritan.” Seorang lagi rakan berkata: “Anjing itu memang menakutkan. Tetapi Jade kenal dengan haiwan itu. Saya tidak faham mengapa haiwan itu menyerangnya. “Mungkin ia terbau darah selepas anjing pertama menyerang Jade. Ia satu tragedi. Jade benar-benar gadis yang baik.” Seorang penduduk berkata: “Anjing itu selalu menyalak dalam rumah kecil itu. Semua kanak-kanak di sini takut dengan anjing itu.” Oliver Carrick, 15, 

berkata: “Ia betul-betul anjing yang jahat - ia tidak pernah dibiarkan di taman dan tiada siapa pun masuk ke situ.” Anjing berkenaan milik ibu Kimberley, Beverley. Kedua-dua beranak itu berada dalam kediaman terbabit ketika kejadian. - Agensi

Lagi masjid dibakar

16 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

Yangon: Perusuh beragama Buddha semalam membakar sebuah lagi masjid dan kediaman penduduk Islam di bandar di tengah Myanmar.

Ia kejadian keganasan terbaru membabitkan penduduk berbeza agama itu yang setakat ini sudah meragut kira-kira 40 nyawa.
Dalam kejadian terbaru yang berlaku selepas keganasan meletus, polis berkata, sebuah masjid di bandar Nattalin dibakar perusuh.

Penduduk berkata, polis tidak dapat berbuat apa-apa ketika sekumpulan perusuh Buddha tiba di bandar itu dan membakar masjid berkenaan.

“200 perusuh datang ke bandar ini. Polis tidak dapat mengawal mereka...mereka memusnahkan masjid dan beberapa kediaman. Kemudian mereka beredar,” kata seorang penduduk.

Perintah berkurung dari senja hingga ke Subuh turut dikenakan di tiga lagi bandar, lapor media kerajaan ketika pihak berkuasa cuba untuk menghentikan keganasan itu yang mula tercetus di Meiktila 130 kilometer ke utara Naypyidaw, hab komersial Myanmar.

Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke Myanmar, Vijay Nambiar yang mengunjungi Meiktila berkata semalam, penduduk Islam menjadi sasaran kekejaman penganut Buddha.

Keganasan bermula 20 Mac lalu berikutan pertengkaran di kedai emas di Meiktila. Ia bertukar menjadi ganas dengan masjid dan kediaman penduduk Islam dijadikan sasaran.

Ia adalah keganasan terburuk sejak penduduk Islam Rohingya di negeri Rakhine diserang oleh penganut Buddha tahun lalu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 180 orang dan menyebabkan lebih 110,000 kehilangan tempat tinggal. - AFP

Cari biri-biri di dalam timbunan salji

16 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

AUGHAFATTEN, Ireland Utara - Seorang petani, Donald O'Reilly mencari biri-biri di dalam timbunan salji di sini kelmarin. 

Beberapa ekor biri-biri ditemui mati di dalam timbunan salji dalam operasi mencari haiwan ternakan yang disertai oleh beberapa orang petani.

Sejumlah haiwan itu terperangkap akibat hujan salji.
Salji tebal setinggi lima meter turut melanda kawasan ini. - Reuters

Projek UMNO Bangkitkan Sentimen Perkauman Di Kalangan Mahasiswa Terbongkar

16 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - 

Satu lagi projek membodohkan rakyat, kali ini mahasiswa jadi mangsa ketakutan politik jahat Umno dan Barisan Nasional (BN).

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, Perak dilaporkan telah disalahgunakan sebagai tempat indoktrinisasi yang berunsur politik kepartian.

Merujuk kepada laman sosial Facebook rasmi Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), pengisian yang berbentuk ceramah yang disampaikan kepada mahasiswa antaranya menyentuh berkenaan pendirian Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang disebut kononnya mengancam agama Islam serta hak keistimewaan orang Melayu.

Antara ucapannya, "..kita sudah tahu yang Parti Tindakan Demokratik (DAP) sentiasa menjadi musuh kepada umat Islam di bumi Malaysia ini. Dimaklumkan, seorang pemimpin kanan DAP pernah mengeluarkan kenyataan dalam satu ucapannya, yang berbaur hasutan terhadap agama Islam..".

Mohamed Razali Bin Abdul Rahman, bekas Pegawai Khas Ahli Parlimen Jelutong selaku penceramah jemputan bagi program tersebut dipercayai turut memberi ceramah berbaur hasutan ini di beberapa kampus lain.

Sebelum ini, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) didapati telah menyalahgunakan masjid untuk sesi ‘brainwash’ terhadap mahasiswa bagi menolak pembangkang.

Antara inti pati kandungan propaganda yang disebar adalah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng setiap minggu terbang ke Singapura bertemu bekas perdana menteri republik itu, Lee Kuan Yew tanpa menjelaskan sebab dia berbuat demikian.

Berikut sedutan daripada propaganda dan fitnah yang disebarkan:

Kita sudah tahu yang Parti Tindakan Demokratik (DAP) sentiasa menjadi musuh kepada umat Islam di bumi Malaysia ini. Dimaklumkan, seorang pemimpin kanan DAP pernah mengeluarkan kenyataan dalam satu ucapannya, yang berbaur hasutan terhadap agama Islam.

“Kita mesti memastikan Kristian menjadi agama rasmi Malaysia dan juga Perdana Menteri seterusnya beragama Kristian.”

Razali pernah ke Balai Polis untuk membuat laporan polis tentang pengumuman Kristian sebagai agama rasmi. Tetapi Mat Sabu mengarahkannya supaya laporan tersebut ditarik balik.

Guan Eng pula menawarkan RM 1Juta dan bercuti di Melbourne dan minta beliau menarik balik laporan polis tersebut. Usaha demi usaha dilakukan sehinggakan isteri beliau juga turut dilibatkan. Paderi datang di tempat kerja isterinya dan membuat tawaran yang lumayan untuk menarik balik laporan polis tersebut. Segala ugutan bunuh juga banyak kali dilakukan tetapi beliau tetap bertegas dengan keputusan untuk tidak menarik balik laporan tersebut.

Senarai rancangan besar DAP yang diberitahu oleh Mohamed Razali adalah seperti berikut:

1. Kristian sebagai Agama Rasmi.

2. Malaysia akan dijadikan negara republik. Dimaklumkan, Guan Eng mempunyai pejabat mewah di Singapura dan setiap minggu berjumpa dengan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew. Kekayaan DAP kini lebih daripada UMNO/BN.

3. YDP Negeri Pulau Pinang akan ditukar kepada Cina.

4. Sudah tentunya, sistem monarki negara akan dibubarkan, berdasarkan kenyataan Lim Kit Siang bahawa raja berketurunan lanun.

5. Isu azan, baru-baru ini, hanya untuk menilai tahap sensitiviti orang Islam. Tidak mustahil nanti azan akan diharamkan.

6. Pertandingan tilawah Al Quran akan dihapuskan.

7. NGO Melayu akan dihapuskan. Contohnya PEKIDA dan PERKASA.

8. Perkahwinan Antara-Agama akan digalakkan, Insentif RM 5,000 akan diberikan atas alasan human rights (penghapusan etnik Melayu).

9. Bahasa Inggeris dijadikan bahasa Rasmi. Bahasa kedua adalah Mandarin.

10. Mata pelajaran Agama Islam akan dimansuhkan.

11. Chin Peng akan diberi pengampunan dan diberi gelaran Tun.

12. MARA yang dianggap rasis akan dibubarkan.

13. GLC akan dipegang dan diterajui oleh orang Cina.

14. Di hotel Palma Penang, lagu Negaraku yang baru telah dimainkan, tanpa sebutan ‘raja’.

15. Rejimen Askar Melayu Diraja akan dibubarkan kerana telah banyak bunuh orang cina (komunis) sebelum ini.

16. Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara akan ditukarkan kepada orang Cina.

17. Kakitangan kerajaan berketurunan Melayu akan dikurangkan. Fokus kepada Kementerian Pendidikan.

18. KEMAS, BTN dan MKN akan ditutup.

19. Kedutaan Israel akan dibuka.

20. Pengkalan Tentera Israel akan dibuka di Port Dickson.

21. Majlis antara agama akan menggantikan Majlis Agama Islam.

22. Wang zakat akan digunakan oleh orang bukan Islam. Percubaan telah dibuat di Perak sewaktu dibawah Nizar MB boneka. Ngeh pernah minta untuk guna wang zakat tetapi dihalang oleh Mufti.

23. Seperti yang dijangka, DEB akan dimansuhkan.

24. Parti berteraskan agama akan dibubarkan termasuk PAS. Mat Sabu pernah kata "Saya sanggup makan babi dengan Lim Guan Eng dari makan ayam dengan Najib” dalam satu majlis tertutup. PAS telah berjaya diliberalkan.

25. Yahudi dan CIA akan bantu menjayakan rancangan DAP. Mereka ini dilatih oleh Israel sebahagian daripada agen perisikan, MOSSAD selama 3 tahun dengan pelbagai ideologi termasuk ideologi ‘Malaysian Malaysia’ dan ‘Zionis’. Mengamalkan perjuangan mereka adalah segala-galanya, dan prinsip agama diketepikan.

Hal ini telah didedahkan oleh Mohamed Razali Bin Abd Rahman Bekas Setiausaha Organisasi DAP dan Timbalan Ketua Pemuda DAP.

Beliau mengaku pernah tinggal di gereja selama 2 minggu. Beliau mengatakan bahawa, Paderi Marine, warga USA telah berada di Malaysia selama 5 tahun untuk mengkristiankan orang Islam di Malaysia, terutamanya dalam kawasan Sibu. Setiap minggu sekurang-kurangnya 2 orang Melayu telah dimurtadkan.

Beliau telah keluar dari menjadi ahli DAP di atas kesedarannya kerana mendapati bahawa DAP paling benci kepada bangsa Melayu beragama Islam dan Raja-Raja Melayu. DAP berniat jahat untuk menukar perlembagaan Islam kepada Perlembagaan Kristian.


PRU13: PAS pertahan Parlimen Bukit Gantang

16 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


BUKIT GANTANG: PAS akan mempertahankan kerusi yang dimenangi di Parlimen Bukit Gantang dan merampas kerusi Dun Terong yang dimenangi Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Keyakinan itu disuarakan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Bukit Gantang, Abdul Rahman Adam apabila melihat sokongan yang diberikan oleh rakyat semakin meningkat.

Beliau menyatakan sokongan rakyat tidak kira kaum sama ada Melayu, Cina mahupun India telah meningkat sejak dari tahun 2008 lagi.

Malah menurut beliau lagi sejak krisis rampasan kuasa yang berlaku sebelum ini juga turut membuka mata rakyat Perak dengan sikap Barisan Nasional yang membelakangi prinsip demokrasi.

"Tiada apa yang perlu kita khuatirkan dan saya berkeyakinan kita dapat mempertahankan kerusi Bukit Gantang dan turut merampas kerusi Dun yang dimenangi BN.

"Krisis sebelum ini memberi impak yang besar dan rakyat Perak akan menghukum BN kerana sikap mereka membelakangi prinsip demokrasi," jelas beliau.

Beliau yang turut menyatakan sepanjang pengambil alihan kuasa oleh BN sebelum banyak permasalahan yang timbul terutamanya melibatkan pengambilan tanah serta isu hak milik yang belum diselesaikan oleh kerajaan yang sedia ada sekarang.

Tambah beliau lagi, sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh semua jentera parti Pakatan Rakyat menunjukkan Pakatan Rakyat khususnya PAS bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihanraya bila-bila masa.

Dalam pada itu, Abdul Rahman menjelaskan, walaupun pengundi bukan Melayu hanya 37 peratus sahaja namun sumbangan mereka turut memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat nanti.

Dewan Rakyat: Pilihan raya kecil Bukit Gantang, 2009
Parti Calon Undi % ±%

PAS PR-PAS Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin 21,860
-

Barisan Nasional BN-UMNO Ismail Safian 19,071
-

Bebas BEBAS Kamarul Ramizu Idris 62
-


undi rosak 456
-
Majoriti 2,789
-
Peratusan mengundi 41,449 75.10 -
Sumber: Wikipedia

Bual bicara 'Wanita di ceruk dapur' 31 Mac

16 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Selebriti Farah Asyikin Zulkifli akan berkongsi pentas dengan kolumnis Majalah Muslimah, Ustazah Teh Izanuri di majlis 'Hi Tea Anak Muda' pada 31 Mac ini.

Program anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa itu akan diadakan di pekarangan Blok E Flat Sungai Baharu, Kampung Baru bermula jam tiga hingga lima petang.

Mereka akan mengupas topik hangat berkaitan wanita iaitu 'Wanita Di Ceruk Dapur?'.

Justeru, orang ramai khususnya wanita dijemput hadir ke majlis ini bagi mendengar sendiri kupasan menarik mengenai kemampuan dan peranan wanita dalam zaman serba mencabar ini.

Hadiah misteri dan cabutan bertuah turut menanti tetamu yang hadir.

Penyelaras Parlimen Titiwangsa yang juga peguam, Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi akan bersama-sama dalam program tersebut.

HARAKAHDAILY/-

Awas tiga cara BN mahu tipu

16 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

PERMATANG PAUH: Para pengundi diingat tiga cara menipu yang cuba dibuat oleh pihak tertentu termasuk petugas Umno dan BN menjelang pilihan raya ini.
Ketua Srikandi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Siti Aishah Sheikh Ismail (gambar) mendedahkan, terdapat tiga perkara sedang dirancangkan oleh jentera Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kuasa Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Perkara ini baru sahaja di kesan dan beliau meminta semua pihak berwaspada dengannya.
Katanya, mereka diminta mengawasi gerak geri Wanita Umno yang akan berlakun sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang turun ke rumah-rumah khususnya di luar bandar untuk mengajar cara mencelup jari kelingking dengan dakwat hitam.
Bila kelingking dicelup dakwat tersebut katanya, ia akan mengambil masa tujuh hari untuk luntur.
Bila berlaku begitu mereka dianggap sudah mengundi dan tidak sama sekali diberikan peluang memasuki bilik pengundian pada hari pilihan raya nanti.
"Lazimnya jentera tajaan BN menggunakan nama NGO untuk menyenangkan mereka menyelinap masuk ke kampung-kampung kononnya untuk mengajar terutamanya kaum ibu tentang kaedah penggunaan dakwat hitam oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) ketika mengundi kelak.
"Mereka akan bertindak dalam masa tiga hari sebelum hari pengundian, " tegasnya di majlis ceramah Pentas Wanita di perkarangan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti semalam.
Perbuatan kedua yang dirancang ialah mereka akan menyamar sebagai pegawai TEKUN, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sebagainya untuk meninjau projek atau bertemu dengan kelompok yang membuat pinjaman.
Mereka akan meminta kad pengenalan dan mengambil gambarnya lalu memproses untuk diklonkan kad pengenalan individu terbabit.
Bila proses ini berjaya kad pengenalan itu nanti diiberikan kepada pengundi hantu dan bila pemilik asal hendak masuk mengundi namanya telah pun dipotong tanda sudah ada orang mengundi bagi pihaknya.
Ketiga sambung Siti Aishah, mereka akan menggunakan ruang di sebelah tengahari hari mengundi iaitu petugas kita alpa dan tinggalkan pondok panas atau balik ke rumah untuk mandi, solat dan sebagainya.
Petugas jelasnya, hendaklah senantiasa berada di pondok panas dan sepanjang perayu undi bertugas.
"Jika sampaI waktu solat, makan dan seumpamanya berikan tugasan orang lain sekejab. Jangan biarkan hadapan pintu masuk tempat mengundi tiada petugas Pakatan Rakyat," tegasnya.
"BN dan Umno mesti laksanakan perkara tersebut di kala kita alpa. Justeru itu, para petugas yang dilatih khas kena bersedia setiap masa," jelasnya diiringi laungan 'Lawan Tetap Lawan'.
Berceramah sama ialah Pemangku Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang, Aida Yusuf Rawa, bekas penyanyi, Dayangku Intan, Ketua Wanita DAP, Choong Eng dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.- 
 
harakahdaily.com

Utusan Disaman Lagi, Kali Ini Sebanyak RM40 juta Oleh Bekas Timb Panglima Tentera Darat

16 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid telah mengambil tindakan undang-undang ke atas Utusan Melayu (Malaysia) Berhad dengan menyaman sejumlah RM20 juta kerana memburukkan reputasi dan nama baik beliau kepada umum.

Dalam satu kenyataan media hari ini, peguam pemohon Samarudin Md Rejab berkata kes tersebut telah difailkan semalam dan menamakan Datuk Abdul Aziz Bin Ishak dan Raja Shahrir Abu Bakar sebagai pihak defendan.

“Dalam artikel Utusan Online bertarikh 13 Mac, 2013, secara palsu dan berniat jahat, telah menyiarkan satu artikel dalam talian menuduh anak guam kami sebagai 'telah memperleceh' Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mengendalikan insiden pencerobohan pengganas dari Sulu,” kata Samarudin dalam satu kenyataan.

Menurut Samaruddin lagi, artikel tersebut juga menuduh Abdul Ghafir telah mengatakan PDRM dan ATM menangani pengganas dari Sulu itu sehinggakan kini hanya “duduk di bawah rumah orang dan di reban ayam”.

Disamping itu, Samarudin berkata tuduhan tersebut sengaja direka memandangkan Abdul Ghafir adalah bekas Timbalan Panglima Tentera Darat Malaysia dan bertujuan untuk mewujudkan kebencian kepada PKR dan Pakatan Rakyat.

“Dakwaan di atas adalah benar-benar palsu, berniat jahat dan fitnah kepada Datuk Ghafir.

“Dalam hal ini, kita semua sedar bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 bakal menjelang dan Datuk Ghafir adalah salah satu daripada bekas pegawai tertinggi yang menyokong Parti Keadilan Rakyat serta Pakatan Rakyat,” tambah Samaruddin lagi.

Dalam tuntutan yang dihantar semalam, Abdul Ghafir telah meminta Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Datuk Abdul Aziz Bin Ishak dan Raja Shahrir Abu Bakar memohon maaf serta menarik menarik balik artikel tersebut dan berjanji tidak akan mengeluarkan sebarang artikel yang sama bertujuan memburukkan nama beliau.

Berita tentang kenyataan oleh Abdul Ghafir telah dilaporkan oleh Utusan ketika berucap dalam Forum anjuran Akademi Pak Sako bertajuk Solidariti Lahad Datu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor di Jalan Maharajalela di sini.

Turut menjadi panel pada forum itu ialah Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing dan Editor Malaysiakini, Fathi Aris Omar. -TMI

Andai itu Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)

16 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

Lebih lima puluh tahun Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) memerintah memperlihatkan keangkuhan mereka sebagai rejim yang mempunyai kuasa raksasa. Memang lumrah alam, jika dilihat sejarah sekalipun bagi mana-mana tamadun yang terlalu lama diperintah oleh satu pihak akan hancur dek keselesaan yang dinikmati.

Catatan ini ditulis rentetan daripada tulisan sebelumnya berkenaan dengan nasib gerakan mahasiswa lebih-lebih lagi setelah pengumuman dibuat oleh Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13).

Sebelum ini saya pernah menulis artikel berkenaan dengan sikap Solidariti Mahasiswa Malaysia yang seolah terlalu dahaga akan politik – kekuasaan. Apabila pengumuman untuk bertanding dibuat, pada realitinya ramai pihak tidak bersetuju. Maka, saya melihat tindakan tersebut langsung tidak mewakili suara mahasiswa bagi menghadapi Pilihan raya terpenting ini. Malah, tidak keterlaluan saya katakan ia merupakan keputusan ‘poyo’, populis, dan ‘syok sendiri’.

Bagaimana SMM bermula?

Sejarah tidak menipu dan sejarah itu guru bagi mereka yang ingin menilainya secara sedar dan bersedia untuk muhasabah tentang pergelutan masyarakat sebelum ini.

Saya pasti jika saat catatan ini dibaca oleh pimpinan atau pengikut setia SMM sendiri, berapa ramai sahaja yang dapat menjelaskan secara jelas asal usul SMM? Bagaimana ia bermula? Bagaimana terciptanya nama SMM?

Jika diselak kembali, SMM tertubuh tanpa sebarang campur tangan PAS, Abim, Jim, DAP apatah lagi Umno.

Sebenarnya, sebelum wujud SMM sudah ada satu gerakan mahasiswa yang dinamakan Majlis Pelajar Malaysia (MPM) yang wujud sekitar tahun 2000 bagi menyatukan persatuan pelajar ; PKPIM, Dema, Gamis, Gemalang, Isrec dan lain-lain pertubuhan ketika itu.

Saat ini MPM bangkit sebagai badan mahasiswa yang banyak memperjuangkan isu rakyat. Namun begitu, pergerakan MPM yang dilihat progresif cuba dipatahkan oleh pemerintah dibawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi apabila tertubuhnya Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK).

Tidak tahu di mana silapnya gerak kerja MPPK terus berjalan manakala MPM mati begitu sahaja. Apa yang hendak disampaikan di sini ialah MPM adalah gerakan mahasiswa pertama yang ditubuh tanpa percaturan mana-mana parti politik dan ‘brader’ NGO.

Jika dilihat, Karisma boleh dikatakan sebagai adik JIM, PKPIM itu adik Abim, Gamis adalah adik PAS. Tetapi, SMM adalah idea dan cetusan mahasiswa sendiri tanpa campurtangan mana-mana pihak. Sama juga seperti MPM. Berapa ramai pemimpin dan pengikut SMM yang tahu?

SMM Bermula di New Era College, Kajang

Menurut catatan saudara Ali Bukhari Amir, seorang penggerak Sekolah Pemikiran Kampung Baru (SPKB), SMM bermula sekitar tahun 2004 dan 2005 di New Era College, Kajang. Maka, ketika itu mahasiswa merasakan bahawa perlu diwujudkan satu badan bagi menggabungkan tenaga seluruh persatuan pelajar.

Maka, siapakah antara penggeraknya ketika itu? Mereka adalah mahasiswa yang kini banyak berkecimpung dalam Parti Keadilan Rakyat. Antara mereka adalah Ginie Lim, Gan Pei Nei, Soh Sook Hwa dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Projek ini hakikatnya menyatukan golongan islamis dan sosialis. Walaupun berlaku banyak pertempuran, mereka masih berusaha untuk bertolak-ansur dan mencari titik persamaan walaupun berbeza fahaman dan cara berfikir.

Mana pula datang nama SMM? Menurut catatan tersebut, sebelum mahasiswa-mahasiswa itu hadir ke New Era College. Mereka telah mengadakan satu pertemuan tidak rasmi di warung bagi memikirkan nama pertubuhan baru itu. Antara yang hadir adalah Saudara Amin Iskandar atau ‘Black’ yang kini bersama ‘The Malaysian Insider’ serta pertubuhan rakyat.

Beliau mencanangkan nama Solidariti Mahasiswa Malaysia. Sambil menghisap rokok, beliau bertanya balik ; “Apa solidariti ini dalam Bahasa Melayu?”

Mungkin agak sukar bagi semua mengintepretasikan makna ‘Solidariti’ ketika itu. Maka, nama tersebut kekal sehingga hari ini.

Nah, berapa orang pimpinan dan mahasiswa yang tahu?

SMM bersama denyut nadi mahasiswa dan rakyat

Saya mengakui sumbangan yang pernah dibuat oleh SMM. Secara peribadinya, apabila menyingkap kembali sejarah yang lama-lama, saya begitu kagum dengan aksi dan kenyataan SMM yang begitu lantang, berkuasa dan menyiat-nyiat jantung.

SMM begitu cakna dalam segala isu, dari isu kampus hinggakan kepada isu-isu besar rakyat. Lihat sahaja susur galur perjuangan SMM ketika membebaskan Kampung Baru, Kuala Lumpur. Selain itu, mereka jugalah yang memeriahkan demonstrasi bagi mempertahankan Surau Al-Falah yang bakal dirobohkan oleh DBKL dan bermacam-macam lagi.

Pendek kata, pergerakan dan tindakan anak-anak muda inilah yang menjadi inspirasi kepada rakyat dan anak muda lain bagi meneruskan ‘survival’ bagi melawan rejim.

SMM pada hari ini

Walaupun saya tidak berjalan sebaris dengan figura dan aktivis pujaan seperti Syukri Razab, Safwan Anang, Adam Adli, Ekhsan Bukharee mahupun Syis Abdul Kadir. Tetapi, sebagai rakyat yang mendukung perlembagaan dan hak asasi. Maka, wajar bagi saya bercakap benar dan perkara yang haq.

Melalui zaman Saudara Shazni Munir, kita melihat SMM agak progresif. Seterusnya di zaman Saudara Syukri Razab tidak keterlaluan saya katakan bahawa ia adalah zaman gemilang dan terbaik yang pernah dilalui oleh SMM.

Momentum SMM dilihat begitu padu apabila berdepan dengan isu penggantungan Prof. Aziz Bari seterusnya menggerakkan gerakan kebebasan akademik dibawah Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) di bawah pimpinan Saudara Safwan Anang.

Turunnya bendera Najib Razak oleh Adam Adli adalah simbol protes anak muda serta menjadi inspirasi bagi melawan rejim yang nyata. Gerakan ini mencetuskan kesedaran yang begitu memberi impak dan menongkah kelesuan sebelum ini.

Namun begitu, ia tidak lama. Setelah melalui beberapa isu sejujurnya saya katakan pergerakan SMM semakin lesu, tidak bertenaga dan tidak relevan. Lebih tepat saya katakan sudah hilang arah seperti yang saya catatkan sebelum ini.

PRU13

Menjelang PRU13, SMM mengambil langkah untuk menubuhkan GM13 dan mengambil keputusan untuk bertanding di Pekan. Sebagai pemerhati, walaupun tidak bersetuju saya masih meraikan tindakan ini sebagai kebebasan dan hak asasi.

Namun begitu, tindakan selepas itu menjadikan lidah saya semakin kelu untuk bercakap mengenai SMM. Ramai mahasiswa di sana yang sudah bangkit dan sedar. Mereka mula ingin bersama dengan gerakan mahasiswa bagi melakukan aktivisme. Namun, disebabkan tidak bersetuju dengan SMM. Mereka menolak untuk bersama.

Saya melihat SMM pada hari ini berbeza dengan SMM era sebelumnya. Mungkin benar kata orang lain pemimpin lain acuannya. Tetapi, pergerakan SMM pada hari ini langsung tidak relevan dan tidak mencerminkan idealisme dan intelektual mahasiswa.

Idealisme menurut Syed Hussin Al- Atas adalah ‘Cita Murni’. Mahasiswa adalah golongan terpelajar yang kaya dengan ilmu pengetahuan. Tetapi, apa yang saya lihat hari ini SMM bertindak seolah tidak berfikir. Sebab itu saya tekankan sebelum ini. SMM sudah hilang arah!

Lihat sahaja program sudut pidato, bertanding PRU, Occupy RTM dan lain-lain. Pergerakan seperti itu hakikatnya langsung tidak mencerminkan kecerdikan pimpinan mahasiswa. Momentum ketika bergerak ‘bebas’ dibawah nama kebebasan akademik dahulu seolah sudah hanyut di Laut China Selatan.

Mood mahasiswa sudah berubah

Hari ini, masyarakat dan mahasiswa sudah makin sedar. Konsep pencerahan yang dibawa sebelum ini begitu menusuk ke jantung setiap rakyat.

Konsep ‘politik radikal dan langgar’ tanpa berfikir sudah lapuk dan ketinggalan zaman. Ini bukan zaman Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali mahupun Hishamuddin Rais. Pergerakan masyarakat sivil akan berubah setiap zaman.

Lihat sahaja penjelasan filasuf Jerman Immanuel Kant dalam karya agung What is AufKlarung? (Apa itu pencerahan?) ada menjelaskan bahawa setiap zaman akan wujud pelbagai persoalan supaya muncul gerakan pencerahan. Sebab itu moto idea tersebut adalah ‘Sapere Aude’ atau ‘dare to know’.

Tetapi, masalahnya sekarang adalah tidak ada sesiapa yang berani mempersoal. Saya pasti!

Ya, saya pasti! waima  persatuan dalam SMM sendiri ada yang ‘simpan dalam’ ataupun takut untuk menyatakan pendirian tentang hal ini.

Justeru, menjelang PRU13 yang getir ini saya berharap supaya mahasiswa seluruh Malaysia berfikir semula arah tuju yang patut dibawa. Tidak kira pimpinan atau fron-fron dalam SMM, kalian tidak perlu melatah. Ini adalah proses menjadi dewasa.

Namun, jika pergerakan sebegini yang diteruskan.

Maka, saya seru mahasiswa mengenang kembali kata aktivis terkenal Indonesia Soe Hok Gie , “Lebih Baik diasingkan daripada menyerah kepada kemunafikan”.

Mahasiswa UiTM