Lebih
lima puluh tahun Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) memerintah
memperlihatkan keangkuhan mereka sebagai rejim yang mempunyai kuasa
raksasa. Memang lumrah alam, jika dilihat sejarah sekalipun bagi
mana-mana tamadun yang terlalu lama diperintah oleh satu pihak akan
hancur dek keselesaan yang dinikmati.
Catatan ini ditulis rentetan daripada tulisan sebelumnya berkenaan
dengan nasib gerakan mahasiswa lebih-lebih lagi setelah pengumuman
dibuat oleh Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13).
Sebelum ini saya pernah menulis artikel berkenaan dengan sikap
Solidariti Mahasiswa Malaysia yang seolah terlalu dahaga akan politik –
kekuasaan. Apabila pengumuman untuk bertanding dibuat, pada realitinya
ramai pihak tidak bersetuju. Maka, saya melihat tindakan tersebut
langsung tidak mewakili suara mahasiswa bagi menghadapi Pilihan raya
terpenting ini. Malah, tidak keterlaluan saya katakan ia merupakan
keputusan ‘poyo’, populis, dan ‘syok sendiri’.
Bagaimana SMM bermula?
Sejarah tidak menipu dan sejarah itu guru bagi mereka yang ingin
menilainya secara sedar dan bersedia untuk muhasabah tentang pergelutan
masyarakat sebelum ini.
Saya pasti jika saat catatan ini dibaca oleh pimpinan atau pengikut
setia SMM sendiri, berapa ramai sahaja yang dapat menjelaskan secara
jelas asal usul SMM? Bagaimana ia bermula? Bagaimana terciptanya nama
SMM?
Jika diselak kembali, SMM tertubuh tanpa sebarang campur tangan PAS, Abim, Jim, DAP apatah lagi Umno.
Sebenarnya, sebelum wujud SMM sudah ada satu gerakan mahasiswa yang
dinamakan Majlis Pelajar Malaysia (MPM) yang wujud sekitar tahun 2000
bagi menyatukan persatuan pelajar ; PKPIM, Dema, Gamis, Gemalang, Isrec
dan lain-lain pertubuhan ketika itu.
Saat ini MPM bangkit sebagai badan mahasiswa yang banyak
memperjuangkan isu rakyat. Namun begitu, pergerakan MPM yang dilihat
progresif cuba dipatahkan oleh pemerintah dibawah pimpinan Abdullah
Ahmad Badawi apabila tertubuhnya Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan
(MPPK).
Tidak tahu di mana silapnya gerak kerja MPPK terus berjalan manakala
MPM mati begitu sahaja. Apa yang hendak disampaikan di sini ialah MPM
adalah gerakan mahasiswa pertama yang ditubuh tanpa percaturan mana-mana
parti politik dan ‘brader’ NGO.
Jika dilihat, Karisma boleh dikatakan sebagai adik JIM, PKPIM itu
adik Abim, Gamis adalah adik PAS. Tetapi, SMM adalah idea dan cetusan
mahasiswa sendiri tanpa campurtangan mana-mana pihak. Sama juga seperti
MPM. Berapa ramai pemimpin dan pengikut SMM yang tahu?
SMM Bermula di New Era College, Kajang
Menurut catatan saudara Ali Bukhari Amir, seorang penggerak Sekolah
Pemikiran Kampung Baru (SPKB), SMM bermula sekitar tahun 2004 dan 2005
di New Era College, Kajang. Maka, ketika itu mahasiswa merasakan bahawa
perlu diwujudkan satu badan bagi menggabungkan tenaga seluruh persatuan
pelajar.
Maka, siapakah antara penggeraknya ketika itu? Mereka adalah
mahasiswa yang kini banyak berkecimpung dalam Parti Keadilan Rakyat.
Antara mereka adalah Ginie Lim, Gan Pei Nei, Soh Sook Hwa dari
Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Projek ini hakikatnya menyatukan golongan islamis dan sosialis.
Walaupun berlaku banyak pertempuran, mereka masih berusaha untuk
bertolak-ansur dan mencari titik persamaan walaupun berbeza fahaman dan
cara berfikir.
Mana pula datang nama SMM? Menurut catatan tersebut, sebelum
mahasiswa-mahasiswa itu hadir ke New Era College. Mereka telah
mengadakan satu pertemuan tidak rasmi di warung bagi memikirkan nama
pertubuhan baru itu. Antara yang hadir adalah Saudara Amin Iskandar atau
‘Black’ yang kini bersama ‘The Malaysian Insider’ serta pertubuhan
rakyat.
Beliau mencanangkan nama Solidariti Mahasiswa Malaysia. Sambil
menghisap rokok, beliau bertanya balik ; “Apa solidariti ini dalam
Bahasa Melayu?”
Mungkin agak sukar bagi semua mengintepretasikan makna ‘Solidariti’ ketika itu. Maka, nama tersebut kekal sehingga hari ini.
Nah, berapa orang pimpinan dan mahasiswa yang tahu?
SMM bersama denyut nadi mahasiswa dan rakyat
Saya mengakui sumbangan yang pernah dibuat oleh SMM. Secara
peribadinya, apabila menyingkap kembali sejarah yang lama-lama, saya
begitu kagum dengan aksi dan kenyataan SMM yang begitu lantang, berkuasa
dan menyiat-nyiat jantung.
SMM begitu cakna dalam segala isu, dari isu kampus hinggakan kepada
isu-isu besar rakyat. Lihat sahaja susur galur perjuangan SMM ketika
membebaskan Kampung Baru, Kuala Lumpur. Selain itu, mereka jugalah yang
memeriahkan demonstrasi bagi mempertahankan Surau Al-Falah yang bakal
dirobohkan oleh DBKL dan bermacam-macam lagi.
Pendek kata, pergerakan dan tindakan anak-anak muda inilah yang
menjadi inspirasi kepada rakyat dan anak muda lain bagi meneruskan
‘survival’ bagi melawan rejim.
SMM pada hari ini
Walaupun saya tidak berjalan sebaris dengan figura dan aktivis pujaan
seperti Syukri Razab, Safwan Anang, Adam Adli, Ekhsan Bukharee mahupun
Syis Abdul Kadir. Tetapi, sebagai rakyat yang mendukung perlembagaan dan
hak asasi. Maka, wajar bagi saya bercakap benar dan perkara yang haq.
Melalui zaman Saudara Shazni Munir, kita melihat SMM agak progresif.
Seterusnya di zaman Saudara Syukri Razab tidak keterlaluan saya katakan
bahawa ia adalah zaman gemilang dan terbaik yang pernah dilalui oleh
SMM.
Momentum SMM dilihat begitu padu apabila berdepan dengan isu
penggantungan Prof. Aziz Bari seterusnya menggerakkan gerakan kebebasan
akademik dibawah Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) di bawah
pimpinan Saudara Safwan Anang.
Turunnya bendera Najib Razak oleh Adam Adli adalah simbol protes anak
muda serta menjadi inspirasi bagi melawan rejim yang nyata. Gerakan ini
mencetuskan kesedaran yang begitu memberi impak dan menongkah kelesuan
sebelum ini.
Namun begitu, ia tidak lama. Setelah melalui beberapa isu sejujurnya
saya katakan pergerakan SMM semakin lesu, tidak bertenaga dan tidak
relevan. Lebih tepat saya katakan sudah hilang arah seperti yang saya
catatkan sebelum ini.
PRU13
Menjelang PRU13, SMM mengambil langkah untuk menubuhkan GM13 dan
mengambil keputusan untuk bertanding di Pekan. Sebagai pemerhati,
walaupun tidak bersetuju saya masih meraikan tindakan ini sebagai
kebebasan dan hak asasi.
Namun begitu, tindakan selepas itu menjadikan lidah saya semakin kelu
untuk bercakap mengenai SMM. Ramai mahasiswa di sana yang sudah bangkit
dan sedar. Mereka mula ingin bersama dengan gerakan mahasiswa bagi
melakukan aktivisme. Namun, disebabkan tidak bersetuju dengan SMM.
Mereka menolak untuk bersama.
Saya melihat SMM pada hari ini berbeza dengan SMM era sebelumnya.
Mungkin benar kata orang lain pemimpin lain acuannya. Tetapi, pergerakan
SMM pada hari ini langsung tidak relevan dan tidak mencerminkan
idealisme dan intelektual mahasiswa.
Idealisme menurut Syed Hussin Al- Atas adalah ‘Cita Murni’. Mahasiswa
adalah golongan terpelajar yang kaya dengan ilmu pengetahuan. Tetapi,
apa yang saya lihat hari ini SMM bertindak seolah tidak berfikir. Sebab
itu saya tekankan sebelum ini. SMM sudah hilang arah!
Lihat sahaja program sudut pidato, bertanding PRU, Occupy RTM dan
lain-lain. Pergerakan seperti itu hakikatnya langsung tidak mencerminkan
kecerdikan pimpinan mahasiswa. Momentum ketika bergerak ‘bebas’ dibawah
nama kebebasan akademik dahulu seolah sudah hanyut di Laut China
Selatan.
Mood mahasiswa sudah berubah
Hari ini, masyarakat dan mahasiswa sudah makin sedar. Konsep
pencerahan yang dibawa sebelum ini begitu menusuk ke jantung setiap
rakyat.
Konsep ‘politik radikal dan langgar’ tanpa berfikir sudah lapuk dan
ketinggalan zaman. Ini bukan zaman Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali mahupun
Hishamuddin Rais. Pergerakan masyarakat sivil akan berubah setiap zaman.
Lihat sahaja penjelasan filasuf Jerman Immanuel Kant dalam karya
agung What is AufKlarung? (Apa itu pencerahan?) ada menjelaskan bahawa
setiap zaman akan wujud pelbagai persoalan supaya muncul gerakan
pencerahan. Sebab itu moto idea tersebut adalah ‘Sapere Aude’ atau ‘dare
to know’.
Tetapi, masalahnya sekarang adalah tidak ada sesiapa yang berani mempersoal. Saya pasti!
Ya, saya pasti! waima persatuan dalam SMM sendiri ada yang ‘simpan
dalam’ ataupun takut untuk menyatakan pendirian tentang hal ini.
Justeru, menjelang PRU13 yang getir ini saya berharap supaya
mahasiswa seluruh Malaysia berfikir semula arah tuju yang patut dibawa.
Tidak kira pimpinan atau fron-fron dalam SMM, kalian tidak perlu
melatah. Ini adalah proses menjadi dewasa.
Namun, jika pergerakan sebegini yang diteruskan.
Maka, saya seru mahasiswa mengenang kembali kata aktivis terkenal
Indonesia Soe Hok Gie , “Lebih Baik diasingkan daripada menyerah kepada
kemunafikan”.
Mahasiswa UiTM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan