28 Mac 2013

Wanita tua korban gempa bumi

16 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


  • Foto
    Beberapa retakan jelas kelihatan di sebuah bangunan selepas gempa melanda daerah Dali, Taichung, tengah Taiwan. - Foto REUTERS
  • Foto
    Sebuah bangunan di tengah Taiwan menunjukkan kesan retakan selepas gempa melanda tengah Taiwan semalam. - Foto REUTERS
Taipei: Seorang penduduk Taiwan terbunuh dan 19 lagi cedera selepas satu gempa bumi kuat melanda wilayah tengahnya menyebabkan banyak bangunan rosak.

Biro Cuaca Pusat berkata, gegaran gempa magnitud 6.1 itu dirasai di seluruh kepulauan itu. Banyak bangunan bergoyang di ibu kota ini dan beberapa bahagian landasan kereta api berkelajuan tinggi dihentikan untuk pemeriksaan. 

Biro Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) meletakkan kekuatan gempa pada magnitud 6.0 dan pada kedalaman agak cetek iaitu 15 kilometer. 


Maut ditimpa dinding kuil

Pihak berkuasa kecemasan berkata, seorang wanita 72 tahun adalah korban tunggal gempa. Mereka berkata, mangsa maut apabila dinding kuil di sebelahnya runtuh dan menghempapnya di daerah luar bandar di Nantou.

Berhampiran pusat gempa Nantou, sebahagian siling jatuh di sebuah pejabat kerajaan dan mencederakan seorang petugas, kata pihak berkuasa.

Secara keseluruhan, 19 orang cedera, kebanyakannya ditimpa objek yang jatuh, kata Jabatan Bomba. Satu kebakaran rumah disebabkan gas bocor berjaya dipadamkan segera. 
Pegawai kerajaan Nantou, Chen Min-hui, berkata jubin jatuh dari beberapa bangunan sekolah dan rekahan kecil jelas kelihatan pada dinding, namun semua struktur masih utuh.

Nantou adalah daerah pedalaman terletak kira-kira 250 kilometer selatan ibu kota ini. Ia berhampiran pusat gempa dengan magnitud 7.6, yang mengorbankan lebih 2,300 orang pada 1999. 
AP

Tiada ulasan: