28 Mac 2013

Kilang Kualiti Alam: Bantahan 12 tahun lalu kini terbukti

16 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


SEREMBAN: Bantahan yang dibuat oleh PAS lebih 10 tahun lalu kini terbukti benar apabila kilang yang mengendalikan sisa berjadual, Kualiti Alam Sdn Bhd menelan dua mangsa Isnin lepas.

Semalam, Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS, Zulkifly Mohamad Omar buat kedua kalinya mengunjungi kilang itu.
(Zulkifly berbincang dengan balu K Segar, ibu dan anaknya di Taman Indah Jaya, Lukut petang semalam)

Kali ini beliau berjumpa dengan keluarga mangsa yang meniggal dunia akibat terdedah dengan gas toksid dari kilang itu.

Isnin lepas, dua pekerja kilang itu K. Segar, 42, dan pekerja Bangladesh Khalil Abdul Mozaid, 47, meninggal dunia selepas dipercayai terhidu hydrogen sulphid di kilang yang terletak di Bukit Nanas, Port Dickson itu.

Mendiang K Segar a/k Kandasamy. Umur 42 tahun anak ketiga dalam keluarga. Beliau meninggalkan isterinya Thilaga A/P Albin dan anaknya seorang perempuan umur 7 tahun serta ibu, Valiama A/P Arnasalam yang tinggal bersamanya.

Mereka sekeluarga tinggal di Taman Indah Jaya, Lukut, Negeri Sembilan

Mendiang telah bekerja di kualiti alam selama 16 tahun bermula daripada tahun 1997 sebagai general worker.

Setakat ini majikannya telah menanggung kos pengembumiannya.

"Saya mewakili PAS mengucapkan takziah kepada keluarga K Segar yang kehilangan beliau akibat dari kebocoran gas ini," kata Zulkifly.

Zulkifly pergi ke rumah Thilaga dan keluarganya bersama AJK Lajnah Alam Sekitar, Ahmad Zawawi bin Mat.

"Kami telah buat bantahan terhadap operasi kilang Kualiti Alam pada tahun 2001 lagi. Kita membantah operasi kilang tersebut didirikan dengan kediaman penduduk Felda Sendayan," kata Zulkifli kepada Harakahdaily.

Semasa itu penduduk Felda telah mengalami masalah penyakit asma dan sakit kulit.

Bila kilang melepaskan asap, gas dan debu ke udara, kawasan berhampiran akan mengalami debu dan habuk yg berwarna kuning dan hitam.

(Zulkifli dan Ahmad Zawawi bersama keluarga mendiang K Segar menunjukkan sijil-sijil yang pernah diterima mendiang)

Akibatnya, atap rumah, kenderaan termasuk kereta dan pokok serta tanaman diselaputi debu yang berwarna kuning.

"Saya sendiri melihat  bagaimana daun pokok atau bunga menjadi berlubang akibat kesan bahan buangan kilang itu ke udara," katanya.

Namun, bantahan penduduk ketika itu ditolak masa itu kerana kilang telah beroperasi dan mendapat kelulusan dari agensi kerajaan dan penguasa tempatan.

"Keadaan kin lebih kritikal lagi apabila lebih banyak taman perumahan baru yang telah siap dibina dan didiami oleh penduduk sekitar ini," kata Zulkifly.

Kini kilang itu ditutup buat sementara. Namun, penduduk sekitar dan pekerjanya terus dihantui pelbagai masalah yang tidak selesai sejak dahulu.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: