28 Mac 2013

PRU13: Peluang terbaik rakyat buat perubahan

16 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Zakaria menyerahkan bendera PAS kepada Timbalan Ketua Pemuda Dun Seberang Takir, Hamidi Jusoh.

KUALA NERUS: PAS telah lama masuk politik dan berkecimpung dalam pilihan raya seawal tahun 1959 yang konsisten dengan dasar perjuangan Islam.

Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata pilihan raya merupakan satu cara bagi rakyat memilih pemerintah.

Sebab itu, katanya politik tidak dapat dipisahkan dengan agama yang akan menjadi pengawal serta pemandu sesebuah kerajaan.

“PAS masuk politik dan terlibat dengan pilihan raya. Kita (PAS) telah terlibat dengan pilihan raya seawal tahun 1959. PAS tetap konsisiten dan tidak berubah dasarnya.

“Pilihan raya satu cara untuk kita pilih pemerintah berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. Politik tidak dapat dipisahkan dengan agama,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Ceramah Perdana di Markas Besar Pemuda Dun Seberang Takir, Kampung Bukit Tok Beng, malam tadi.

Justeru, katanya, pilihan raya menjadi penting kepada orang Islam kerana melibatkan kuasa pemerintahan negara.
Beliau turut menyeru kepada rakyat dan pengundi agar dapat membuat keputusan yang terbaik dalam memilih kepimpinan negeri dan negara.

“Saya minta orang (pengundi) Seberang Takir buat keputusan yang baik dalam memilih pemimpin. PAS pernah diberi mandat memerintah Terengganu tahun 1999-2004 dan banyak perkara yang PAS buat sebagai kerajaan.

“Walau pun, Umno BN diberi kuasa yang panjang (lama) memerintah tetapi gagal dan tidak berjaya untuk gubal undang-undang Islam (Enakmen Hudud dan Qisas) di Terengganu,” jelasnya.

Katanya, perjuangan PAS selama ini menentang Umno kerana mahu membetulkan banyak kepincangan yang dilakukan oleh kerajaan BN.

Tambahnya, inilah peluang dan ruang terbaik bagi rakyat untuk membuat perubahan ke arah sebuah pemerintahan yang lebih baik pada pilihan raya umum akan datang.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang dan mantan Penerbit & DJ Radio Ikim, Ustaz Zamri Zainal Abidin.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: