16 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
HULU TERENGGANU - Kegembiraan lima sekawan mandi-manda di Lata Pak Tahir, Taman Pertanian Negeri Sekayu, di sini, semalam bagi mengisi masa pada musim cuti sekolah bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka menemui ajal akibat lemas.
Dalam kejadian kira-kira 11.20 pagi itu, mangsa, Mohamad Aliff Imran Ghani, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan yang tidak tahu berenang dipercayai lemas selepas pautannya pada batu besar terlepas.
Difahamkan, sebelum kejadian mangsa yang tinggal di Kampung Tanjung Putat itu berada dalam air di kawasan air terjun sedalam kira-kira tiga meter sambil berpaut pada batu besar, namun secara tiba-tiba kepalanya dikatakan terhantuk pada batu akibat arus deras.
Mangsa berjaya ditemui orang awam di bahagian dasar antara 10 hingga 15 minit selepas kejadian tidak berapa jauh dari lokasi.
Rakan mangsa, Muiz Hanafi Mat Razol Ghani, 15, berkata, sebaik melihat mangsa terkapai-kapai dia cuba membantu dengan menolaknya ke atas, namun usaha itu gagal sebaliknya dia juga hampir lemas walaupun pandai berenang apatah lagi mangsa turut berpaut padanya.
“Saya berada berhampiran arwah, manakala tiga yang lain berada tidak berapa jauh daripada kami. Kejadian berlaku sekelip mata. Saya sendiri tidak menyangka pautannya akan terlepas, kerana dia hanya berada di tepi.
“Arwah sempat mengajak kami pulang, namun tiba-tiba pautannya pada batu terlepas lalu dibawa arus sungai dan melihat keadaan arwah yang terkapai-kapai, saya terus terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkannya.
“Dalam keadaan panik itu, dua rakan yang lain terlebih dahulu berlari mencari pengunjung untuk meminta bantuan, tetapi gagal.
“Apabila kembali ke lokasi kejadian, saya dapati terdapat beberapa orang awam datang membantu. Hanya kira-kira sekitar 10 minit baru mangsa berjaya ditemui dan ketika itu keadaannya sudah tidak bernyawa, katanya di sini, semalam.
Arwah bersemangat mahu mandi manda
Tambah Muiz, mereka berlima tiba di lokasi air terjun itu kira-kira jam 10.30 pagi dengan motosikal.
Menurutnya, perancangan untuk mandi-manda itu dirancang beberapa hari lalu, namun dia tidak menyangka akan kehilangan seorang rakan sepermainan dikenalinya sejak kecil lagi.
“Kami memang bercadang datang mandi di Sekayu ini, tetapi arwah dilihat begitu bersemangat untuk datang ke sini. Kira-kira jam 8.30 pagi tadi (semalam) juga, dia datang ke rumah saya sebelum kami menaiki motosikal pergi ke rumah kawan-kawan yang lain mengajak mereka.
“Malah, arwah juga ada menghantar sistem pesanan ringkas kepada Ahmad Shazwan Mohd, 15, sebagai ingatan tentang perancangan kami untuk datang mandi-manda di sini,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir mengesahkan kejadian dan hasil bedah siasat mendapati kematian berpunca daripada lemas.
“Mangsa terlepas pautan pada batu yang dipegangnya sebelum dihanyutkan arus. Kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tidak mempunyai sebarang unsur-unsur jenayah,” katanya.
Ibu mangsa, Nora Jusoh, 48, berkata, dia benar-benar terkejut apabila dimaklumkan kejadian menimpa anak kedua dari tiga beradik itu apatah lagi arwah tidak memberitahunya ingin mandi-manda bersama kawan-kawan di Sekayu.
“Saya ingatkan dia hanya keluar di sekitar kampung sahaja. Saya mengetahui kejadian ini daripada seorang jiran lalu terus bergegas ke lokasi. Ketika itu saya sedang memasak di dapur. Arwah tidak pernah tunjukkan sebarang perubahan dan saya reda dengan pemergiannya,” katanya.
Sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan