28 Mac 2013

Lebih baik bubar automatik

16 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Lebih baik bubar automatik

Ketika orang ramai sedang berteka teki mengenai tarikh pilihan raya, jadual PM padat dengan program bertemu rakyat.
DENGAN Dun Negeri Sembilan terbubar dengan sendirinya hari ini, tinggal 11 negeri lagi, kecuali Sarawak dan Parlimen, yang masih belum dibubarkan.

Rakyat kini boleh mengira dengan sendiri detik 30 hari bermula hari ini sehingga tarikh pembubaran secara automatik bagi Parlimen Malaysia pada 28 April 2013.

Jika ini berlaku, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menjadi pemimpin negara pertama yang membiarkan Parlimen terbubar dengan sendirinya dan menggunakan sepenuhnya mandat lima tahun yang diberikan.

Ini kerana walaupun sebelum ini negara pernah mengalami tempoh pemerintahan lima tahun iaitu dari 1969 sehingga 1974, namun ianya berlangsung secara tidak normal kerana Parlimen pernah digantung akibat tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, turut berpandangan Parlimen yang terbubar sendiri boleh dijadikan amalan kerana mempunyai implikasi positif, terutama dari segi pembangunan negara.

Ini kerana kaedah itu dapat mengelakkan spekulasi tarikh pilihan raya umum (PRU) yang sedikit sebanyak merencatkan kegiatan pelaburan di negara ini, khususnya.

"Pada saya cakap-cakap pasal pilihan raya ini tidak baik kerana pelabur asing dan dalam negara akan mengambil langkah tunggu dan lihat (sebelum buat pelaburan) dan ini tidak baik kepada ekonomi negara," katanya, semalam.

Katanya, langkah melambatkan pembubaran Parlimen atau membiarkannya terbubar sendiri juga membolehkan kerajaan memanfaatkan sepenuhnya tempoh lima tahun itu untuk membangunkan negara tanpa diganggu oleh perkara lain.

"Kalau memerintah tiga, empat tahun sudah cakap pasal pilihan raya, pening kepala, tak boleh buat kerja," katanya.

Parlimen penggal ke-12 akan terbubar secara automatik pada 30 April ini dan Dun Negeri Sembilan pula merupakan Dun pertama yang terbubar sendiri iaitu tengah malam tadi.

Selepas Negeri Sembilan, Dun yang akan terbubar dengan sendirinya adalah Pahang, Johor dan Selangor pada 7, 21 dan 22 April; kemudian diikuti Perak (24 April), Melaka (26 April), Kelantan dan Perlis (28 April), Sabah (29 April); manakala Pulau Pinang dan Terengganu masing-masing akan bubar pada 2 dan 5 Mei, 2013.

Sementara itu, penganalisis politik pula berpendapat tarikh paling hampir bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dijangka pada Mei ini, iaitu setelah Parlimen bubar dengan sendirinya 28 April.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azmi Hassan  berkata, beliau tidak nampak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai sebab untuk menunggu sehingga Jun bagi mengadakan pilihan raya.

“Walaupun, persepsi timbul bahawa Perdana Menteri cuba tangguhkan pilihan raya, tetapi sebenarnya beliau mahu guna waktu dengan sebaiknya untuk menjalankan program transformasi,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, SPR mungkin adakan pilihan raya serentak walaupun beberapa Dewan Undangan Negeri (Dun) akan terbubar dengan sendirinya dalam masa terdekat.

“SPR mahu lakukan pilihan raya serentak kerana ingin menjimatkan kos jadi tiada masalah jika Dun bubar lebih awal dari Parlimen,” katanya.  

Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Ismail Sualman pula berpendapat PRU13 perlu diadakan segera kerana mungkin banyak kemelut baru akan timbul jika pilihan raya ditangguhkan.

“Lagi lama PRU13 ditangguhkan, lagi banyak kemelut politik dari dalam dan luar negara akan terus datang. Tapi saya jangka pilihan raya mungkin diadakan pada pertengahan April.

 “Mungkin Perdana Menteri ada alasan tersendiri bila beliau masih lagi menangguhkan pembubaran Parlimen,” katanya.

Oleh yang demikian, sama ada Parlimen atau Dun akan terbubar dengan sendirinya satu per satu, ini perlu dinantikan dengan penuh sabar oleh rakyat di negara ini.

Mungkin ada yang kecewa disebabkan kesemua ramalan dan jangkaan tarikh PRU13 sebelum ini meleset, sekali gus menjejaskan perancangan sebahagian rakyat.

Bagaimanapun, yang pasti PRU13 akan menjadi medan pertarungan sengit di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) yang diramalkan mempunyai peluang seimbang untuk menang.

Najib sendiri sudah mengaku, mengapa beliau enggan mengumumkan pembubaran lebih awal, walaupun tahu ramai, termasuk pemimpin-pemimpin PR, tidak sabar untuk membuang undi dan menyaksikan keputusannya.

Yang utama, Najib mahu menentukan Polisi Transformasi Nasional yang diperkenalkan kerajaan, dilaksanakan dengan sebaik mungkin untuk kepentingan rakyat.

“Sebab itulah saya menanti sehingga kita semua jadi begitu letih bagi mengadakan pilihan raya.

“Saya mahu tunjukkan dan mahu buktikan, bahawa Polisi Transformasi Nasional dapat dilaksanakan dengan jayanya,” ujar Najib dalam satu majlis baru-baru ini.

Besar kemungkinan Najib tidak membuat pengumuman hingga ke akhir-akhir penggal untuk menentukan BN di bawah kepimpinannya mencapai kemenangan sekurang-kurangnya 2/3 majoriti.

Jika gagal, ia akan menjadi seperti apa yang berlaku pada PRU 2008 di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang melepaskan jawatan tertinggi itu kepada Najib pada 3 April, 2009.

Sebab itu Najib pastinya mahu berhati-hati sebelum mengambil sebarang langkah dalam menghadapi PRU13 yang berhadapan dengan cabaran yang sangat sengit ini.

Beliau sedar pergerakan dan tindakannya diikuti penuh teliti oleh rakyat dan pemerhati, dalam dan luar negara, apatah lagi 16 juta pengundi yang layak – 13.34 juta sudah mendaftar – yang menanti tarikh dan keputusan PRU itu dengan penuh debaran dan tanda-tanya.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: