28 Mac 2013

Kebakaran: 7 keluarga berteduh di masjid

16 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


kebakaran

Suami Sharifah Rohaya, Samsul Anwar Othman bersama anaknya mencari saki-baki barangnya, semalam
PETALING JAYA – Sebanyak tujuh keluarga kini hidup sehelai sepinggang di Masjid Al Hidayah Kampung Sungai Penchala di sini akibat kejadian kebakaran yang memusnahkan rumah mereka, kelmarin.

Kesemua mangsa seramai 40 orang itu kini ditempatkan sementara di kawasan itu selama tiga hari selepas kebakaran berlaku kira-kira jam 2.30 petang itu memusnahkan enam rumah di Jalan Sungai Penchala 5.

Seorang kerani, Sharifah Rohaya Syed Husain, 33, berkata, dia sangat terkejut apabila dimaklumkan bapanya berhubung kejadian itu kerana baru sahaja pulang ke rumah untuk menikmati makanan tengah hari.

Sharifah Rohaya berkata, selepas mengetahui berita mengejutkan itu dia terus pulang kerana bimbangkan keselamatan keluarganya namun bersyukur kerana ayah, ibu dan tiga anaknya sempat menyelamatkan diri.

Menurutnya, kebakaran itu dipercayai berpunca daripada litar pintas di rumahnya sebelum api merebak dengan pantas sehingga keluarganya tidak sempat menyelamatkan dokumen penting serta barang berharga.

“Masa saya sampai rumah memang sudah musnah, api merebak dengan begitu pantas dalam masa sejam. Saya mengalami kerugian sebanyak RM50,000,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Bagaimanapun katanya, dia bersyukur kerana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Unit Amal Pas Kampung Sungai Penchala, pihak masjid, Persatuan Bulan Sabit Merah dan Kumpulan Mofaz menghulurkan bantuan sumbangan berupa makanan serta pakaian.

Katanya, dia berharap dapat berpindah ke rumah lain dalam masa terdekat ini.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, beliau turun melawat kawasan selepas mengetahui kejadian itu.

Menurutnya, beliau membantu mendaftarkan jumlah mangsa kejadian itu selain menyerahkan bantuan seperti tikar untuk kegunaan mangsa.

“Kita bersama Pas Sungai Penchala juga akan kenal pasti jumlah pelajar sekolah dan akan bantu beri mereka pakaian serta kelengkapan persekolahan Sabtu ini.

“Saya juga berhubung dengan DBKL untuk membantu mendapatkan rumah awam terutama kepada keluarga warga tempatan terlibat,” katanya.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: