28 Mac 2013

Bantu suami lepas gian, ulang alik dapatkan bekalan air ketum

16 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
 
KAMPUNG RAJA - Seorang wanita dipercayai sanggup berulang alik menghantar dan menjemput suaminya menggunakan motosikal untuk mendapatkan bekalan air ketum di sebuah port ketum dekat Kampung Kolam, Bukit Kenak di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, suami wanita berkenaan, seorang buruh berusia 30an ditahan bersama 12 suspek lain dalam operasi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah yang diketuai, Asisten Superintendan Shamsuddin Abbas.

Menurutnya, semua mereka ditahan di sebuah lokasi berhampiran sebuah rumah tempat memproses air ketum terbabit dalam operasi bermula 4 hingga 7 petang.

“Walaupun sudah beberapa kali diserbu dan diambil tindakan mahkamah, namun peniaga ketum itu dikatakan tidak pernah serik sebaliknya terus melakukan kegiatan memproses daun ketum untuk dijual kepada pelanggan,” katanya.

Kamaruddin berkata, ketika serbuan suspek utama berusia 25 tahun sedang memegang satu guni dipercayai daun ketum di belakang rumah berkenaan.

Menurutnya, suspek berjaya ditahan dan dijumpai tiga guni lagi daun sama, selain sebiji pil dipercayai pil kuda dalam salah satu seluar suspek.

“Selepas berjaya menahan suspek utama, polis memasang perangkap menunggu dan menangkap 12 pelanggan yang datang membeli ketum di rumah berkenaan berusia 28 hingga 54 tahun,” katanya.

Beliau berkata, seramai 12 daripada semua suspek didapati positif dadah termasuk tiga yang dikehendaki berkait kes lampau.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta 13(3) Akta Racun 1952.

“Polis akan melakukan operasi berterusan di mana-mana sahaja tempat yang dikenal pasti menjadi port dadah termasuk juga sekiranya menerima maklumat daripada pihak awam,” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: