28 Mac 2013

Bayi hidap masalah jantung, mulut sumbing perlu bantuan biayai kos bedah

16 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Bayi hidap masalah jantung, mulut sumbing perlu bantuan biayai kos bedah

Khamsiah meriba bayinya, Mohamad Nazmi yang masih ceria bermain walaupun sedang demam ketika ditemui di rumah ibu saudaranya
TAMAN PELANGKAH - Kelahiran cahaya mata kelima yang juga anak bongsu sepasang suami isteri di sini, diiringi dugaan apabila bayi mereka mengalami kecacatan mulut dan hidung (sumbing bibir dan celah lelangit) serta masalah jantung.
Kecacatan yang dialami Mohamad Nazmi Haziq Mazlan menyebabkan ibu bapanya, Khamsiah Omar, 43, dan Mazlan Zakaria, 44, bingung memikirkan kos rawatan bagi mengubati bayi mereka.

Menurut Khamsiah, kecacatan yang dialami bayinya yang kini berusia setahun lima bulan itu dikesan sejak dalam kandungan, selain saiz kepalanya yang besar akibat simptom Hidrosefalus atau lebihan cecair terkumpul di dalam kepala.

“Ketika mendapat tahu keadaan Nazmi dalam kandungan, saya hanya mampu berserah kepada ALLAH SWT dan berdoa supaya saat kelahirannya nanti tidak diduga dengan ujian lebih besar.

“Walaupun dia lahir dengan masalah sumbing, saya dan suami bersyukur kerana saiz kepalanya seperti bayi normal lain berikutan cecair berkenaan semakin berkurangan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Bagaimanapun Khamsiah berkata, doktor memaklumkan anaknya memiliki struktur otak yang tidak terbentuk dengan sempurna, sekali gus melambatkan pertumbuhan minda dan fizikal bayi mereka.

“Walaupun begitu, keadaan Nazmi cergas seperti bayi lain walaupun kebolehannya untuk bersuara, merangkak dan berjalan sedikit lambat daripada bayi seusia dengannya.

“Apa yang membimbangkan keadaan kesihatannya kerana dia turut mengalami masalah injap jantung sempit menyebabkannya mudah demam, batuk dan lelah,” katanya.

Khamsiah yang bekerja sambilan sebagai pembantu katering berkata, Nazmi dibedah kali pertama ketika usianya 40 hari di Institut Jantung Negara (IJN) untuk memasang injap bantuan sementara.

“Ketika itu, sebanyak RM19,000 digunakan bagi menampung kos perubatannya dan kini kami sedang berusaha mencari dana bagi menampung kos pembedahan pemasangan injap jantung kekal di IJN yang dijangka dilakukan 11 April ini.

“Anak saya juga perlu menjalani pembedahan untuk masalah sumbingnya di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Kami memang memerlukan wang yang banyak untuk rawatannya, namun kami tidak mampu kerana suami hanya bekerja sebagai pemandu bas ekspres,” katanya.

Menurutnya, keadaan anak mereka yang sering sakit menyebabkan suaminya kerap mengambil cuti kerana perlu membawa bayi mereka mendapatkan rawatan di hospital.

“Gaji suami tidak banyak, malah tidak menentu selain perlu menampung kos pengajian anak kedua di kolej dan belanja persekolahan dua lagi anak yang berada di tingkatan tiga dan dua.  

“Kami memang tertekan dengan kos rawatan Nazmi, tapi kami juga ingin melihatnya sembuh seperti bayi lain,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu bayi malang ini boleh menyalurkan sumbangan terus kepada akaun simpanan Giro Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 06002-41-00006852-6 yang tercatat nama Khamsiah Omar dan bayinya, Mohamad Nazmi Haziq Mazlan.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: