28 Mac 2013

Politik Selangor: Dapatkan maklumat yang sah

16 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -



Ustaz Salehuddin menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima.

GOMBAK: Masyarakat diseru supaya berusaha mendapatkan maklumat yang sah dan benar berkenaan situasi terkini politik dan pilihan raya di Selangor.

“Rakyat boleh membuat pilihan untuk mengundi sesiapa yang dikehendaki, namun galilah maklumat dan berita tambahan yang sahih dan benar berkenaan sesuatu situasi.

“Bukan hanya melalui televisyen dan media arus perdana semata-mata, namun carilah juga maklumat lanjut di laman sosial seperti Facebook, twitter dan blog serta web,” kata Yang Dipertua PAS Gombak, Ustaz Salehuddin Nasir.

Ini kerana, katanya maklumat sekarang boleh dicapai dengan mudah dan selepas itu, barulah anda boleh menilai mana yang benar dan palsu.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyampaian sumbangan sempena program Ziarah Kebajikan anjuran Dewan Pemuda PAS Gombak dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dun Gombak Setia di Pangsapuri Mesra, Bolton, Batu Caves petang semalam.

Pada program tersebut, beliau yang merupakan Penyelaras Dun Gombak Setia menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 15 keluarga yang kurang berkemampuan.

Turut hadir adalah Timbalan Penyelaras Dun Gombak Setia, Hasbullah Mohd Rizwan, Ketua Pemuda PAS Gombak, Syarhan Humaizi Halim, Pengerusi Penduduk Pangsapuri, Nordin Kasmin serta AJK PAS kawasan dan juga aktivis Pemuda PAS Gombak yang lain.

harakah/-

Tiada ulasan: