16 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
Pertanyaan bilakah tarikh PRU akan diumum telah mendominasi aliran perbualan pelbagai golongan rakyat. Ini menggambarkan bahawa PRU ke-13 ini bersifat luar biasa, menyebabkan begitu ramai orang ingin tahu dan menentukan sikap.
Ruang-ruang twitter dan face-book dan sms hampir dipenuhi perbincangan mengenai tarikh PRU ini dengan pelbagai ulasan - ada yang marah, sedih, lucu dan benci. Tidak kurang pula yang menyuruh bersabar menunggu.
Kata pepatah Melayu, ‘tak lari gunung dikejar, hilang kabut nampaklah ia’. Tetapi ini bukan gunung yang hendak dikejar dan bukan soal kabut yang melidunginya, tetapi soal mandate Umno-BN yang memerintah sudah hampir benar tarikh luputnya, iaitu sehingga 28 April depan, di mana parti itu hingga kini masih dalam dilema untuk menentukan tarikh PRU.
Dun Negeri Sembilan sudah dibubar pada 27 Mac lalu, Melaka dan Johor pada 22 April (tarikh sidang Dun pertama ialah pada 21 April 2008). Ini diikuti oleh Selangor pada 23 April (22 April) dan Perak 26 April (25 April). Selain itu, ada beberapa negeri yang boleh meneruskan kerajaan sehingga selepas Parlimen dibubarkan. Antaranya ialah Kedah, Sabah, Terengganu dan Pulau Pinang yang memulakan sidang Dun mereka pada bulan Mei 2008.
Apapun yang pastinya Parlimen akan bubar dengan sendirinya pada 28 April dan selepas itu SPR akan mengumumkan tarikh PRU Ke-13 bagi Parlimen dan Dun, kecuali Dun Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, PRU kali ini sangat luar biasa, bukan semata-mata kerana isu Lahad Datu, Sabah, khususnya isu Projek IC yang sangat menggemparkan dan berbahaya kepada negara, tetapi juga pelbagai isu besar yang lain. Antaranya isu perkauman yang dimainkan oleh pihak tertentu, isu rasuan, kronisme, nepotisme, pembaziran, ketirisan, isu kejadian jenayah yang sangat menakutkan, isu status pengundi yang masih berkecamuk, isu pengambilan tanah (terutama di Johor), isu sara hidup yang begitu tinggi dan sangat menekan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana serta pelbagai isu lagi.
Semua isu ini terdedah begitu rupa di pelbagai media baru, memberi peluang luas rakyat mengetahuinya. Ia terdedah melalui web-site, twitter, face-book, sms dan pelbagai lagi, hasil dari langit terbuka dunia siber.
Ramai tidak sedar bahawa komunikasi melalui internet ini dicetuskan di zaman Ronald Regan menjadi Presiden Amerika yang ke-40 dari Januari 1981 hingga Januari 1989. Inilah zaman bermulanya internet di Amerika.
Kini dengan penggunaannya yang begitu meluas seluruh dunia, termasuk di Malaysia, menyebabkan begitu banyak rahsia, khususnya di belakang tabir kuasa politik telah terdedah dan diketahui umum.
Oleh itu menjelang PRU Ke-13 ini banyak hal-hal dan isu yang tidak diketahui oleh orang ramai selama ini, termasuk pengundi di luar bandar telah terdedah. Media tradisional yang dikawal ketat oleh kerajaan telah ditewaskan oleh media baru menyebabkan semuanya sudah tidak ada rahsia lagi, semuanya sudah diketahui oleh pengundi bandar dan luar bandar.
Justeru, media baru ini dilihat oleh penganalisis sangat menolong Pakatan Rakyat menyebarkan maklumat yang diketahuinya, yang bukan bersifat fitnah. Skandal projek lembu, isu kapal selam, isu rasuah dan nepotisme sudah terdedah semuanya, bahkan isu Projek IC yang sangat menggemparkan terbongkar begitu rupa.
Semua ini memeranjatkan pelbagai pihak dan tentunya akan mempengaruhi aliran pengundian dalam PRU akan datang dan inilah yang mencemaskan parti yang memerintah.
Anak muda yang pulang ke kampung membawa alat komunikasi Tablets, umpamanya, menunjukkan berita dan gambar pelbagai peristiwa dunia politik yang tidak diketahui oleh ibu bapa di kampung yang selama ini hanya mendapat maklumat melalui media tradisional.
Ada ibu bapa di kampung yang terkejut sakan dan mulanya tidak percaya akan isu-isu yang didedahkan oleh anak mereka, tetapi selepas diterangkan barulah ibu bapa itu beransur percaya. Ini perkembangan menarik menjelang PRU Ke-13 dan inilah kelebihan media baru.
Oleh itu, PRU akan datang ini adalah sangat luar biasa dan critical, di mana parti yang memerintah tidak lagi berupaya mengawal maklumat, justeru semuanya terdedah. Rakyat dilimpahi banjir maklumat yang tidak pernah berlaku dalam sepanjang sejarah pilihan raya tanah air.
Walaupun media tradisional meneruskan propagandanya siang dan malam, tetapi kesannya sangat minima dan ‘tumpul’, justeru ia telah ditewaskan oleh media baru yang sangat berpengaruh. Kemudian ada kesan psikologi dalam masyarakat bahawa mereka yang hanya mendapat maklumat dari sumber media tradisional adalah ketinggalan zaman.
Sementara itu, PRU akan datang ini amat berbeza dengan PRU 10 atau 20 tahun lalu. Ia bukan lagi berlegar mengenai isu pembangunan dan bukan lagi isu perkauman yang jahat di mana di masa lalu isu ini mudah dapat mempengaruhi pengundi.
Isu yang mendominasi pengundi dalam PRU akan datang ialah isu integriti parti dan calon yang bertanding, isu perjuangan keadilan dan kebebasan, isu sara hidup yang tinggi, isu rasuah, nepotisme, ketirisan perbelanjaan negara dan lain-lain.
Inilah yang menyebabkan suasana sekarang sangat memihak kepada Pakatan Rakyat. Oleh itu, dalam keadaan sekarang, pendukung Pakatan Rakyat perlu mempunyai kesabaran yang tinggi, bijaksana menangani isu yang ada dan sentiasa meletakkan diri sebagai pembela rakyat.
Dalam suasana kebangkitan rakyat ini, Pakatan mestilah dilihat mampu bersama mereka dalam gelombang ini, justeru PRU akan datang ini sudah terlalu dekat, hanya beberapa ela saja lagi dari garis kemenangan.
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan