28 Mac 2013

45 penumpang bas cemas

16 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


45 penumpang bas cemas

Bahagian hadapan bas rosak teruk akibat dirempuh belakang sebuah treler sehingga mengakibatkan tiga penumpang cedera.
CHENOR - Seramai 45 penumpang bas termasuk pemandu nyaris maut apabila bas persiaran dinaiki terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Kampung Jengka Batu 13, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, kesemua penumpang sedang dalam perjalanan pulang ke Seremban selepas meraikan sambutan Pangguni Uthiram di Kuil Marathandavar dekat Kampung Jaran, Kuala Sentul.

Menurut pemandu berusia 45 tahun itu, ketika melalui laluan menuruni bukit berselekoh di lokasi berkenaan, sebuah treler panjang dari arah bertentangan secara tiba-tiba memberhentikan kenderaannya secara mengejut.

“Saya akui memang bas ini masuk sedikit di laluan bertentangan. Mungkin terkejut dengan kedudukan bas, pemandu treler berkenaan membuat brek kecemasan.

“Akibatnya, bahagian belakang treler yang kosong terbabas lalu merempuh depan bas dengan kuat. Cermin depan bas pecah dan rosak teruk, namun saya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Akibat kemalangan itu, tiga penumpang mengalami kecederaan ringan dengan seorang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Pekan Awah, manakala dua lagi di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

Kesemua penumpang itu antara kira-kira 50,000 penganut Hindu yang membanjiri Kuil Marathandavar bagi meraikan perayaan tahunan agama itu  dengan acara kemuncak pada malam kelmarin.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: