Isu Himpunan oleh HINDRAF memberi kesan yang sangat drastik kepada senario politik tanah air sekarang ini. Sebetulnya sebelum itu kesan dari himpunan BERSIH lebih awal memberi impak yang besar kepada beralihnya sokongan rakyat kepada Barisan Alternatif (BA) .
Contohnya sekembali saya ke Malaysia dalam tempoh dua minggu ini, saya sempat berada dalam 3 ceramah umum yang diadakan di kawasan Parlimen Parit Buntar anjuran Lajnah Penerangan Pas Kawasan. Kesemuanya diadakan dalam DUN Titi Serong yang pernah dimenangi calon PAS dalam PR Umum ke 10 tahun 1999. Sayangnya kita gagal mempertahannya pada PR Umum ke 11 pada tahun 2004. Pada tahun yang sama saya gagal dalam cubaan pertama di DUN Kuala Kurau.
Kesemua 3 ceramah tersebut menjadi perhatian masyarakat India di kawasan Parit Buntar dan mereka hadir dalam jumlah yanng ramai. Misalnya dalam Ceramah bersama Naib Presiden Hj. Mohd. Sabu orang India mula kelihatan dalam ceramah tersebut.
Ikhlas saya nyatakan amat susah malah tiadapun kehadiran orang India dalam Ceramah PAS sebelum dari ini. Sesudah itu ceramah Hj. Mahfuz dan Cikgu Wahab Abd. Rahman yang terpaksa diganti keduanya dengan dua penceramah dari pemuda Kedah dan pemuda Perak kerana keduanya ada masalah yang tidak dapat dielakkan. Sambutan orang India juga begitu baik.
Begitu juga malam tadi ceramah dari Ust. Sharir Long dan Ust Sidek Noor, saya dapati lebih ramai lagi orang India yang memenuhi ruangan ceramah. Selain itu saya melihat sendiri orang India yang datang memberi derma dalam kutipan derma kilat yang dilancarkan.
Beberapa ceramah lagi akan diadakan dalam bulan Januari 2008, saya yakin dengan sikap orang India yang berubah ini sekiranya kita dapat memberikan penjelasan secara hikmah pada setiap kali ceramah, mereka pasti datang lagi. Sikap prajudis kepada PAS dan Islam nampaknya mula terhakis dari fikiran mereka. UMNO tidak lagi menjadi harapan kepada orang Melayu, malah dialah yang memusnahkan segala-galanya. Begitu juga MIC bukan lagi tempat kebergantungan orang India. Mereka bersama kita untuk memperjuangkan apa yang dinamakan " keadilan" yang padam dalam kamus BN, UMNO, MIC dan MCA.
Demikianlah suasana berubah ini berlaku di seluruh negara. Saya ada bertemu dengan seorang India di Tol Tanjung malim, beliau mengatakan orang India di Tanjung Malim akan bagi sokongan kepada BA. Suatu pertemuan khusus PAS Kawasan Tg. Malim dengan orang India telah diadakan. Katanya ramai yang hadir.
Saya difahamkan oleh sahabat dari Kulim Kedah seramai 7000 orang India telah hadir dalam satu pertemuan dan ceramah Dato' Sri Anwar Ibrahim. Keadaan ini saya yakin berlaku dimana-mana diseluruh negara. Sahlah orang India telah berubah.
Kitalah yang dari dulu sehingga sekarang dan akan datang memperjuangan keadilan, kerana keadilan itu adalah tunggak pemerintah Islam. Keadilan kepada semua bangsa dan agama inilah yang telah menyebabkan kita bertahan di Kelantan sehingga 17 tahun hingga sekarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan