31 Januari 2008

Ribut Kencang Melanda Parit Buntar

PARIT BUNTAR (27 Januari). Lebih dari 50 buah rumah mengalami kerosakan dan 10 darinya mengalami kerosakan teruk dengan hilang sebahagian besar bumbung akibat kejadian ribut kencang yang melanda kampung Titi Serong dan Parit 80L di sini semalam.Dalam kejadian yang berlaku selama 15 minit itu yang bermula pukul 4.30 petand, hujan lebat dan guruh disusuli dengan ribut yang dahsyat melanda kawasan kejadian.


Menurut En Osman, 45 tahun dari Tebuk Haji Musa, inilah pengalaman yang paling dahsyat yang pernah menimpa dirinya dan keluarga. Semasa kejadian, dia bersama-sama isteri dan tiga anaknya berada di rumah. Menurut beliau ribut yang amat dahsyat berpusing semacam puting beliung berwarna hitam kelam kelihatan sebanyak tiga kali dari arah yang berbeza.


Dia mengarahkan anak-anaknya berhimpun di ruang tamu dan melaungkan azan sekuat-kuat hati sebanyak tiga kali sehingga tidak terkeluar suara lagi. Ribut itu menimpa rumahnya dan menyebabkan bumbung berterbangan. Walaubagaimana pun beliau melahirkan rasa bersyukur kerana tiada yang mengalami kecederaan dalam peristiwa itu. Semasa ditemui dirumahnya, beliau bersama-sama tiga anak lelakinya sedang mengumpulkan atap zink rumah yang keseluruhanya tercampak bersama-sama dengan rasuk bumbung yang dibawa oleh angin sehingga 100m ke dalam bendang.
Seorang lagi penduduk kampung yang ditemui di sini menyatakan dia terasa seperti helikopter hendak jatuh ke atas rumahnya. Di saat-saat genting dan panik itu dia melaungkan azan dan tanpa disedari bumbung rumah dua tingkatnya itu telah diterbangkan oleh angin dan menimpa rumah jiran yang berada 30m dari rumahnya. Sementara itu adik Nurul Huda, 9 tahun menceritakan dia bersama-sama abangnya berada di atas rumah dan jatuh bergulingan akibat rumahnya terangkat dari batu pelapik dan jatuh ke atas tanah. Semasa menceritakan saat yang getir itu, dia menyatakan dia sempat membaca Al-Fatihah sebelum tiba-tiba mereka terguling dan tersepit di celah almari. Walaubagaimanapun dia tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian ini.


Semasa PAS kawasan Parit Buntar menjalankan lawatan ke kawasan kejadian, kawasan itu tidak ubah seperti kawasan yang baru ditimpa bencana yang dahsyat dengan banyak rumah yang bumbung dan rasuknya tercabut akibat diterbangkan oleh ribut yang kencang.

PAS kawasan yang diketuai oleh Timbalan Ditertua, Ust Drs. Khalil Idham Lim, melahirkan rasa simpati dan keperihatinan PAS kawasan Parit Buntar sambil menghulurkan derma bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh mangsa ribut tersebut. Turut hadir sama dalam ziarah tersebut ialah beberapa orang pimpinan muslimat kawasan yang diketuai oleh Puan Rahmah.

Ustaz Idham Lim menasihatkan penduduk yang terbabit agar bersabar di atas dugaan yang menimpa yang mana setiap sesuatu yang terjadi ada hikmahnya. Menurutnya lagi bala yang diturunkan oleh Allah adalah disebabkan oleh kemungkaran dan maksiat yang dilakukan oleh segelintir manusia sambil merujuk kepada program seperti pertandingan keraoke di pusat bandar yang heboh diperkatakan oleh masyarakat sekitar yang melibatkan anak gadis melayu berpakaian seksi dan percampuran remaja lelaki dan perempuan.

Sementara itu YDP PAS kawasan Parit Buntar, Haji Haron pula melahirkan rasa simpati terhadap mangsa-mangsa ribut dan mengajak penduduk bersama-sama berdoa agar dijauhkan dari bala bencana yang menimpa. Beliau juga merayu kepada para dermawan agar dapat menghulurkan derma dan sumbangan untuk meringan kesusahan yang mereka alami.

Sumbangan derma boleh dibuat melalui Tabung Dana Prihatin Lajnah Kebajika PAS Kawasan Parit Buntar melalui akaun bernombor 0801-0000839-71-1 Bank Muamalat Malaysia Berhad di atas nama Jawatankuasa Dana JPR Parit Buntar.

Tiada ulasan: