18 Mac 2008

Teks Penuh Kenyataan Akhbar MB Perak Ke 10

Saya bersyukur kepada Allah swt di atas selesainya majlis angkat sumpah yang diadakan baru sebentar tadi.Terima kasih tidak terhingga kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak dan pemangku Sultan Perak di atas perkenan dan kepercayaan Tuanku berdua kepada saya untuk mengetuai kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.Terima kasih juga kepada rakan-rakan Ahli Dewan Undangan Negeri DAP,PKR, dan PAS yang memberi kepercayaan dan laluan kepada saya sebagai Menteri Besar Negeri Perak.Penghormatan dan penghargaan tidak terhingga khususnya kepada seluruh rakyat perak yang telah membuat keputusan berani melakukan perubahan dengan memilih kami dari Barisan Alternatif dan DAP dalam pilihanraya baru-baru ini. Amanah ini akan kami gunakan sepenuhnya untuk membangunkan Negeri Perak dan rakyat dengan sebaik-baiknya.



Saya ingin memaklumkan bahawa kelewatan majlis angkat sumpah Menteri Besar adalah disebabkan beberapa masalah salah faham antara kami,saya akui itu semua,dan disebalik itu ada beberapa hikmah dan kebaikan,yang akhirnya kami semua mencapai kata sepakat yang Insyaalah tidak akan diganggu gugat lagi.


Jawatan yang saya pikul sebagai Menteri Besar merupakan amanah berat dari Allah swt,bukan kesempatan untuk sebarang kepentingan,Insyaallah saya akan pikul amanah ini dengan penuh keimanan dan ketaqwaan.

Saya ingin mengistiharkan bahawa kerajaan yang dipilih hari ini ialah kerajaan rakyat,bukan kerajaan PAS , bukan kerajaan DAP dan bukan juga kerajaan PKR.Ini bermakna saya adalah Menteri Besar kepada semua rakyat di negeri Perak tanpa mengira perbezaan agama,bangsa dan ideologi politik.Saya akan memastikan tidak akan ada sebarang diskriminasi dalam perjalanan pentadbiran kerajaan rakyat ini.Saya akan mengambil tindakan tegas dan wajar sekiranya berlaku amalam diskriminasi dan polarisasi samada dalam kenaikan pangkat,projek-projek pembangunan,agihan bantuan dan sebagainya.


Saya juga ingin menegaskan bahawa mana-mana dasar dan amalan pentadbiran kerajaan yang diterajui oleh kerajaan terdahulu tetap akan diteruskan sekiranya masih memberi kebaikan kepada rakyat negeri Perak,sekiranya sebaliknya kita akan menkaji dan mestrukturkan semula demi kebaikan rakyat.Saya sekali-kali tidak menindakkan peranan kerjaan terdahulu,malahan mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB Datuk Seri DiRaja Mohamad Tajol Rosli selaku mantan Menteri Besar dalam usaha membangunkan dan mensejahterakan negeri Perak,pandangan-pandangan positif dari beliau dan rakan-rakan ADUN BN yang lain sangat dialu-alukan,berilah pandangan yang positif samada dalam sidang Dewan Undangan Negeri mahupun diwaktu-waktu yang lain,pejabat saya sentiasa terbuka untuk menerima mana-mana ADUN BN bagi memberi pandangan dalam membangunkan negeri Perak.Saya akan sentiasa terbuka fikiran kepada semua pihak yang memberi pandangan.


Keutamaan yang akan saya beri tumpuan hari ini adalah kebajikan dan kesejahteraan rakyat dengan melaksanakan tawaran-tawaran yang kami kemukakan kepada raakyat dalam pilihanraya tempoh hari.Selain itu,projek-projek dan pelan pembangunan yang dirangka oleh kerajaan BN terdahulu sekiranya memberi faedah kepada rakyat tetap akan diteruskan.


Kesempatan ini saya ingin menyatakan,bahawa adanya pihak-pihak tertentu di kampung-kampung sebagaimana laporan yang saya terima telah mengeluarkan peralatan perabot,kerusi meja dan sebagainya dari dewan orang ramai dan balai raya oleh JKKK,saya tidak faham kenapa berlaku insiden seumpama ini,pada hal tidak ada arahan dari mana-mana pihak untuk mengosongkan balai raya, semua harta tersebut adalah milik kerajaan dan rakyat , bertukarnya kerajaan bukan bermakna harta kerajaan yang lama menjadi milik kerajaan yang lama,ia tetap milik kerajaan dan rakyat.Saya menasihatkan semua pihak jangan mengelabah,sebenarnya JKKK masih berfungsi sebagai JKKK selagi perkhidmatan mereka belum ditamatkan,Saya akan mengkaji kedudukan JKKK selagi beri jaminan tidak akan berlaku penganiyaan,mana-mana Pengerusi JKKK dan JKKK yang perkhidmatan mereka baik dan bersedia berkhidmat dengan kerajaan sekarang serta bersedia menerima dasar-dasar dan syarat-syarat kerajaan yang baru ini,kita pertimbangkan kedudukan mereka.Saya juga bagi menjamin sebarang kegiatan yang dijalankan selama ini di balai raya dan dewan tersevut terbuka kepada semua pihak untuk menggunakan dengan syarat mematuhi syarat dan peraturan.


Pembetukan EXCO kerajaan negeri perak yang baru akan distrukturkan semula,saya akan berbincang dengan pimpinan parti dari DAP,PKR dan PAS bagi menentukan perlantikan EXCO-EXCO baru,sebagaimana yang dipersetujui sebelum ini,agihan adalah 6 untuk DAP , 3 untuk PKR dan 2 untuk PAS.Secepat mungkin majlis angkat sumpah EXCO akan diadakan seawal minggu depan.


Dalam menetukan apa sahaja perkara,saya lebih suka mengamalkan prinsip musyawarah bersama anggota EXCO,Insyaalah saya tidak akan membelakangkan mereka,saya akan merasa kuat kalau mereka sentiasa bersama saya.Saya dan kamu akan bertambah kuat kalau seluruh rakyat turut bersama kami.


Kesempatan ini saya menyeru rakyat Perak supaya memberi kepercayaan sepenuhnya kepada saya dan kami semua untuk membuat yang terbaik kepada seluruh rakyat Perak


Sekian untuk kenyataan hari ini,terima kasih, dan saya buka untuk soalan.

Tiada ulasan: