09 April 2008

Kilang arak boleh, ternak babi kenapa tak boleh ?

SHAH ALAM 7 April - Semua tiga Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor dari parti Pas tidak menghalang pelaksanaan projek ladang penternakan babi bernilai RM100 juta di Sepang.Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr. Halimah Ali berkata, Pas menyokong projek itu selagi ia tidak mencemarkan alam sekitar.

"Kita tidak ada masalah, kita sokong. Kita orang Islam hanya diharamkan daripada memakan daging babi tetapi orang bukan Islam pula mereka makan babi. Itu hak mereka. Kita sangat rasional untuk kegunaan mereka," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional Pas Pusat berkata demikian ketika ditemui sewaktu mengiringi pertemuan antara Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di sini hari ini.

Dua lagi Exco Selangor dari Pas ialah Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali yang memegang potfolio Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam manakala Iskandar Abdul Samad ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan.

Menurut Dr. Halimah, pihaknya menyokong semua projek yang baik serta menepati piawaian antarabangsa dan keadaan itu berbeza dengan penternakan babi di Melaka yang mencemarkan alam sekitar.

"Masalahnya sentimen orang Melayu seolah-olah babi lebih besar dosanya daripada rasuah dan jenayah, pada hal kita tidak boleh makan sahaja, pegang pun boleh tetapi nak kena samak," katanya.

Selain ini perlu diingatkan bahawa babi adalah makanan bagi orang bukan Islam, Islam juga tidak boleh menganggu cara hidup , makan, minum dan agama bangsa lain.

Persoalannya di Selangor terletaknya kilang arak yang terbesar dirantau ini, itulah peninggalan kerajaan BN yang lalu. Arak juga haram bagi orang Islam tetapi orang Islam masih sanggup meminumnya. Namun begitu kita katakan bahawa haramnya babi tetapi orang melayu dan Islam tidak sanggup memakannya.

Jadi apalah salahnya selagi tidak ada pencemaran dan diselia dengan baik hasrat tersebut mesti diluluskan kerana itu hak bangsa lain yang wajib dihormat.

Termasuklah memelihara binatang yang dihalalkan dalam Islam seperti ayam, lembu dan kambing. kalaulah menyebabkan pencemaran kita pun bantah dan tidak akan menyokong.

14 ulasan:

gaban berkata...

Apa komen YB berkenaan kenyataan YB Husam :

Agenda negara Islam tidak menjadi sebahagian inti Pakatan Rakyat tetapi sekadar idealisme ahli-ahli PAS, kata naib presiden parti itu Datuk Husam Musa.

“Pada zaman nabi Muhammad, tidak secara jelas menyebut negara Islam.

Perdebatan tentang istilah ini boleh mengelirukan. Pada pendapat saya, kita perlu mencari istilah yang lebih disenangi atau dapat difahami oleh masyarakat ramai.

“Oleh negara Islam sebagai idealisme (PAS), maka ia memberikan satu panduan kepada petugas-petugas PAS.

“Inti daripada apa yang diperjuangkan mereka ialah tadbir urus Islam - perkara-perkara yang perlu bagi sesebuah kerajaan yang berasaskan kepada prinsip-prinsip Islam seperti amanah, telus, adil dan saksama, tanpa diskriminasi, membantu yang lemah, prihatin, …

“Prinsip-prinsip tadbir urus ini lebih mustahak kerana keadaan negara hari ini - rasuah yang melanda, penghakisan (kebebasan) dalam badan kehakiman, kebebasan bersuara, kebebasan beragama,

“Pada pendapat saya, perkara yang paling kritikal yang memerlukan penyelesaian segera dan (agenda) ini semua selari dengan Islam.

“Jadi kita elakkan sesuatu yang kabur, yang menimbulkan kekeliruan, … kita pergi kepada sesuatu yang intipati yangg kritikal kepada negara kita.”

Admin berkata...

salam Yb

Satu point kalau boleh saya nyatakan..Selangor majority adalah golongan yang tak makan babi...Selangor juga majority adalah penganut Islam dan Melayu..

Kalau dulu kita bernada keras terhadap kilang arak terbesar di Asia- kini kita bernada lembut terhadap ladang babi yang saya kira akan menjadi ladang babi terbesar di Asia (mengira peruntukkan berjumlah rm 100j)

Pun-saya melihat dari sudut kesihatan.Risiko di kemudian hari.Bukan semata-mata dari sudut pandangan seorang Melayu (yg bukan melayu tulen pun..!)

Kalau saya selaku penyokong setia PAS pun rasa tergoyah...apatah lagi pegundi atas pagar dan pengundi BN yang mengundi PAS baru-baru ini.

PAS jangan terlalu gopoh menarik simpati bukan Islam sampai meberi kenyataan seperti yang Dr.Halimah ucapkan.YB fikir kalau saya balas balik makcik-makcik BN di kawasan rumah saya dengan jawapan..isu rasuah lebih besar dari isu babi...mahu ke makcik-makcik ini nampak apa perjuangan PAS.

Kita hanya ada 4 tahun sahaja...dan majority pengundi Selangor masih lagi bukan pemakan babi..

Gopoh sungguh kita mengikut kerakusan DAP

Jawap saya: Kilang Arak Terbesar di Asia tak boleh- Ladang babi Besar pun tak patut.

Ku berkata...

musykil..projek ladang ternakan babi ni betul ke untuk keperluan setempat? pelaburannya besar.. mesti nak ekspot punyer.. kalau bukan untuk tujuan ekspot rugila penternak.. pelabutran jangka panjang beb! melayu yg tak pandai bisnes macam saya ni pun tau untung rugi la.. renung2 kan lah umat melayu sekalian..

IbnAbdHalim berkata...

Assalamualaikum!

Bila sebut saja 'babi' ia menjadi satu perkara besar kepada orang Melayu tak kira UMNO, PAS atau atas pagar. Islam mengharamkan penganutnya makan babi. Begitu juga Yahudi dan Nasrani. Namun bagi orang yang menganut fahaman selain agama samawaat babi tidak ada halangan bagi mereka.

Arak dan judi juga diharamkan Allah kepada penganut Islam. Sekarang mari kita berfikir sejenak. Antara babi, arak dan judi yang mana lebih mudharatnya.

Jika seseorang itu minum arak atau berjudi mudharatnya lebih besar sebab selain pengamalnya mendapat kesan nagatifnya, perkara tersebut juga memudharatkan orang disekeliling pengamal maksiat tersebut.
Peminum arak yang mabuk akan terjerumus ke maksiat dan jenayah lain. Orang mabuk mampu mendatangkan bahaya kepada orang lain. Jika ia memandu, kemalangan boleh berlaku. Ini akan membabitkan pihak lain. Jika ia meninggal dalam kemalangan keluarganya akan mendapat kesusahan.
Orang mabuk juga mungkin akan mengganggu ketenteraman awam.

Bagi penjudi pula kesannya juga besar. Selain diri sendiri rosak dek judi, ianya juga boleh melibatkan orang lain. Rumah tangganya mungkin porak peranda. Penjudi juga boleh terlibat dalam kecurian atu rompakan kalau sudah ketagih judi tapi tak ada duit.

Bandingkanlah dengan orang yang makan babi. Adakah pemakannya akan merosakkan orang lain?

Kenapa orang Melayu sangat sensitif dengan babi? Kalau diharamkan jauhilah tapi biarlah orang yang anggap tak haram makan. Lain pula dengan arak. Orang Melayu tidak begitu ambil hal. Arak juga haram tapi kenapa tak kisah sangat? Adakah kerana Melayu merasa babi itu jijik?

Jadilah orang Islam dahulu kemudian baru Melayu. Jangan jadi orang Melayu dahulu kemudian Islam, seperti orang UMNO.

Dr. Abdul Wahab Arbain berkata...

Assalamu 'Alaikum semua!
Dalam sejarah Siyasah Syar'iyah, khususnya di zaman khalifah 'Umar ibn al-Khattab, 'ushur (cukai perniagaan) dikenakan keatas babi. Tetapi tidak ke atas arak.
Cukai babi adalah halal jika dipungut oleh negara; tetapi cukai arak tetap haram. Antara sebabnya ialah, babi makanan non-muslim tetapi arak diharamkan dalam semua agama, khususnya agama samawi.
WALLAHU A'LAM.

Tanpa Nama berkata...

Saya tidak nampak tindakan drastik ini memberi kekuatan kepada asas penubuhan PAKATAN.Seolah-olah tidak menghormati sensitiviti adat dan budaya kaum Melayu umumnya.

Zainal A. Kasim berkata...

Salam YB,

Kenapa kita menggunakan hujah menghalalkan cara? Sekiranya dulu PAS menentang habis-habisan berkaitan dengan kilang arak di Shah Alam, kenapa sekarang tidak ada usaha untuk menutup kilang itu?

Kenapa bila berkuasa, kilang arak itu digunakan untuk menghalalkan pembukaan kandang babi pula?

Bukit Lentang berkata...

Kalau YB2 yang bersetuju baik bina di kawasan yang YB itu tinggal agar mereka dapat merasakan betapa wangi ladang ternakan babi itu.

Fikirkan hal orang lain sama


sekian

Bukit Lentang berkata...

alihkan kawasan ladang ternakan babi itu ke kawasan bukam muslim agar mudah diuruskan jika program ini ingin diteruskan.

Alangkah baik diternak kambing yang harganya tinggi di pasaran kini daripada diternak babi yang menguntungkan segolongan orang sahaja


fikir dulu sebelum buat

Sue.Aleen berkata...

i'm a silent reader to this YB's blog.. tertarik nak kasi komen berdasarkan PC di harakahdaily..

Kenyataan Kerajaan Negeri Selangor mengenai projek ternakan babi
Harakahdaily
Wed | Apr 09, 08 | 7:04:10 am MYT
Kerajaan Negeri Selangor berharap pihak yang begitu prihatin tentang kelulusan Projek Ternakan Babi Moden di Selangor memeriksa fakta mereka terlebih dahulu.

Projek di Ladang Tumbuk, Mukim Batu Kuala Langat ini telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri dibawah Barisan Nasional dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipimpin YB Dato' Seri Dr. Khir Toyo pada 30 Januari 2008.

Dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2 April 2008, Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang baru merasakan wajar meneruskan projek tersebut dengan memantapkan lagi proses pelaksanaan memandangkan kawasan tersebut sememangnya sudah menjadi tapak ladang babi utama di negeri Selangor dan ia memenuhi piawaian kualiti yang tinggi selaras dengan kehendak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Kerajaan Negeri Selangor.

Sebarang bahan buangan dari ladang tersebut akan diguna semula dalam bentuk biogas untuk menjanakan elektrik, air untuk pembersihan ladang serta penanaman makanan untuk babi yang diternak. Justeru, tiada bahan buangan yang akan menjadi sisa dan keluar dari kawasan ladang tersebut.

Pada masa yang sama, menerusi projek ini, tiada ladang-ladang khinzir baru akan diluluskan di negeri Selangor dan semua ladang babi di luar kawasan ini dikehendaki memindahkan operasi mereka ke Projek Modern Pig Farming.

Ini sejajar dengan dasar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani agar sebarang usaha penternakan babi dilakukan di satu tempat untuk memudahkan kawalan dan penyeliaan bagi pihak berkuasa.

Kerajaan Negeri juga berhasrat memperkenalkan dasar 'one stop' yang sama bagi penternakan yang lain bagi menjadikan industri penternakan lebih efisyen dan dapat diteruskan di sebalik kemajuan pesat Selangor.

Kerajaan Negeri Selangor yang baru di bawah Pakatan Rakyat antara Keadilan, PAS dan DAP berhasrat menyelesaikan masalah perniagaan, sosial dan budaya masyarakat pelbagai kaum dengan meluluskan projek ini dan melaksanakan dengan adil dan saksama dengan mengambilkira keharmonian hidup berbilang kaum di Selangor.

****************

dari press conference di atas dapat dirumuskan seperti berikut:
1. ladang sedia wujud (cuma mungkin nak diupgradekan bagi memastikan tidak terkena kesan alam sekitar).
2. projek ni telah diluluskan oleh kerajaan BN.

jadi pastikan fakta tuan2 yang bagi komen benar.. dan paling penting digest semua sumber berita agar kita tidak berprasangka kerana berprasangka tu boleh membunuh..

yang baik itu datang dari Allah

amiesajiha berkata...

assalamulaikum yb...iyaaaaa..saya amat amat bersetuju dgn beberapa cadangan dari sahabat sahabat supaya ladng ladang babi ini dapat d alihkan ke tempat yg lebih jauh lagi dari penempatan org org islam khususnya dan d pantau dgn kaedah yg lebih efisyen seperti yg d nyatakan.kalaulah saya salah seorang penduduk d kawasan berkenaan,maunya tak tidor malam d buatnya kalau ladang babi terbesar ada d kawasan saya walaupun adanya teknik moden yg nak d aplikasikan

Ini Aku berkata...

Kenapa semua orang begitu gopoh sedangkan Allah baru saja memberikan kemenangan kepada PR. Jelasnya kita reramai perlu secara telus wujudkan medium yang lebih jelas untuk memberikan pandangan masing-masing. Kita bukan membina environment baru tapi apa yang kita akan bina adalah bersangkutan dengan hasil perancangan dan perlaksanaan 50 tahun pemerintahan BN. Membuka dan menutup sesuatu premis bukan macam menutup lampu. Tekan jer terpadam. kalu dah 50 tahun nak ada apa yg ada, sukar nak tiadakan dalam sehari dua. perlu ada transformasi yang lebih harmoni dan berkesan.

Snowflake berkata...

Tepuk lah dada, tanya lah selera. Pucuk pangkal terserah kepada tuanpunya badan.
Tetapi kita perlu ada contoh yang baik disekitar kita. Bila sebut sahaja perkataan haiwan ini, tentu di fikiran semua orang islam adalah "menjijikan". Apatah lagi bila terbayangkan yang negeri yang diduduki adalah negeri yang menternaknya.
Sebagai contoh, kalau ditaman taman rumah ada perkara perkara yang sumbang berlaku, saya kira pasti ada diantara kita yang resah kecuali perlakunya. Begitu juga dengan isu ini, tak dapat nak saya bayangkan jika saya seorang yang duduk berdekatan tempat yang akan di"laksanakan" projek ini.
Walaubagaimana pun, saya sudah terguris dengan perancangan ini. Takut takut nanti, mereka mereka ini sudah diberi betis, nak kan peha. Kalau dah diberi peha, alamatlah...... Saya tak musykil sekiranya orang orang yang mengundi PAS akan berkata ibarat "Paku kata dulang serpih, kata orang PAS yang lebih.
Sekadar pendapat saya.

Dr. Abdul Wahab Arbain berkata...

Assalamu 'Alaikum semua!
Saya bersependapat dng kawan2, kalau boleh diasingkan ke suatu tempat lain.
Namun, kalau benar projek tu menggunakan teknologi terkini macam di US dan UK, memang tak ada bau langsung, dan kawasannya cukup bersih.
Yang berbau ialah sistem lama. Kat Selangor semua sistem tradisional, tak saintifik.
WALLAHU A'LAM!