Berita penuh seperti berikut:-
KUALA LUMPUR 9 Mei – Kesemua 14 bahagian Pemuda UMNO Pahang akan mencalonkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu, Datuk Seri Adnan Yaakob untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada pemilihan parti Disember ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Datuk Khairuddin Yaakob berkata, pihaknya beranggapan Adnan merupakan calon terbaik bagi mengisi jawatan berkenaan kerana beliau seorang yang berkarisma dan memiliki personaliti tegas yang sesuai bagi mengawal golongan muda dalam parti.
“Kesemua Ketua Pemuda bahagian di Pahang telah bersetuju untuk mencalonkan Adnan dalam mesyuarat yang akan bermula Oktober depan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Khairuddin, Pemuda UMNO kini berhadapan dengan krisis kepercayaan untuk memilih pemimpin baru berikutan ketua sedia ada, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut.
Katanya, beberapa nama yang disebut-sebut untuk jawatan itu setakat ini dilihat masih belum mampu untuk mengemudi Pergerakan Pemuda UMNO dengan berkesan terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 yang menyaksikan UMNO memerlukan pemulihan yang serius.
“Beliau (Adnan) seorang yang berani, seorang yang vokal dan banyak pengalaman dalam politik,” katanya.
Khairuddin juga melahirkan keyakinan Adnan, 58, akan bersetuju dengan cadangan tersebut memandangkan sokongan itu datang dari peringkat akar umbi Pemuda UMNO Pahang.
“Adnan Yaakob tidak akan suka untuk menawarkan diri (bagi jawatan Ketua Pemuda) tetapi kemungkinan besar beliau akan menimbangkan jika ada permintaan," ujarnya.
Mengenai kenyataan Adnan sebelum ini yang tidak mahu mempertahankan jawatannya sebagai ahli Majlis Tertinggi bagi memberikan tumpuan kepada usaha memperkuatkan parti, Khairuddin berkata, jawatan Ketua Pemuda UMNO adalah platform terbaik untuk Adnan berbuat demikian.
Jelasnya, amat merugikan jika bakat dan kepimpinan Adnan hanya bertumpu di Pahang sedangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Pahang telah memperlihatkan prestasi yang baik dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Ketokohan Adnan dalam memimpin Pahang, kata Khairuddin, mungkin boleh dilebarkan dan digunakan untuk memperkukuhkan kembali Pemuda UMNO.
Beliau menjelaskan, analisis awal pilihan raya umum lalu menunjukkan kehilangan undi BN banyak berlaku dalam kalangan pengundi muda dan situasi itu menuntut sayap muda berusaha lebih gigih menarik sokongan golongan itu kepada UMNO.
Beliau juga mencadangkan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mempertahankan jawatannya.
Katanya, Ahli Parlimen Rembau itu masih muda.
“Masa menyebelahinya dan mungkin dia boleh menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda pada pemilihan lain selepas Disember ini,” katanya.
Ditanya mengenai usia Adnan yang kini telah mencecah 58 tahun yang mungkin dilihat terlalu tua untuk memimpin Pergerakan Pemuda UMNO, Khairuddin berkata, perkara itu bukan satu halangan.
“Sejarah UMNO memperlihatkan seorang pemimpin senior iaitu Allahyarham Tan Sri Syed Jaafar Albar pernah mengetuai Pergerakan Pemuda kerana situasi politik ketika itu menuntut orang luar memulihkan semula idealisme Pemuda UMNO,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan