02 Jun 2008

Petisyen salah laku penyokong dan aktivis Pas ditolak dengan kos

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak dengan kos petisyen salah laku penyokong dan aktivis PAS pada pilihan raya umum ke-12 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Manir.



Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Kang Hwee Gee, dalam penghakimannya berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas pempetisyen gagal mengaitkan responden iaitu anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Datuk Harun Taib dengan insiden memukul serta menahan pengundi daripada menjalankan kewajipan mereka pada pilihan raya berkenaan.

Katanya, kandungan petisyen sepatutnya mengandungi fakta material yang kukuh, iaitu sudah berlaku amalan menyeleweng serta salah laku yang mempunyai kaitan dengan pilihan raya.

Beliau berkata, petisyen itu juga mesti menyertakan bukti bahawa amalan menyeleweng serta salah laku sudah dilakukan oleh calon atau dengan pengetahuannya atau mendapat izin daripada ejen atau calon itu sendiri.

"Tidak cukup apabila pempetisyen hanya menyatakan amalan menyeleweng yang dikatakan itu, dilakukan responden atau dengan pengetahuannya. Tiada secebis fakta dalam petisyen ini yang boleh menyokong perkara tersebut,” katanya.- Bernama

Tiada ulasan: