04 Julai 2008

Anak tahanan ISA akan dikebumikan esok

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Hrkh) - Jenazah anak mangsa tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Aina Mardiah Shahrial akan dibawa ke kediamannya di Lorong Serai 8, Batu 11 1/2, Hulu Langat (berhampiran Masjid Kg. Sungai Serai) selepas Isyak, setelah segala urusan berhubung kematiannya selesai.

Menurut Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman, jenazah Allahyarhamah akan dikebumikan esok.

Sehingga berita ini ditulis, ayah Allahyarhamah, Shahrial Sirin masih belum tiba di hospital.

Usaha ahli keluarga Allahyarhamah untuk menghubungi pegawai Cawangan Khas bagi mendapat kepastian di mana Shahrial berada menghadapi jalan buntu.



Shahrial dilaporkan dibawa keluar dari Kem Tahanan Kemunting selepas mendapat kelepasan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar jam 1.00 tengahari tadi.

Kegagalan pihak polis cawangan khas menemukan Sahrial dengan anaknya dikecam sanak saudara, sahabat handai dan para simpatisan yang hadir di Hospital Kajang.

Aina Mardhiah menghembuskan nafas terakhir di sisi ibunya, Siti Fatma dan ahli keluarga terdekat jam 6.25 petang tadi.

Anak sulung pasangan terbabit dilaporkan terjatuh di rumahnya semalam dan berada dalam keadaan koma sehingga disahkan meninggal dunia.


Shahrial ditahan di Kem Tahanan Kamunting sejak tujuh tahun lalu.

Usaha Pusat Sokongan Keluarga Gerakan Mansuhkan ISA (ISA), untuk mendapatkan pelepasan sementara Shahrial bagi menziarahi anaknya menghadapi kerenah birokrasi sehingga mangsa tahanan ISA itu tidak dapat menatap wajah anak sulungnya yang sedang koma sejak semalam.





Moga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas roh Allahyarhamah, mengurniakan kesabaran kepada keluarganya dan menimpakan azab balasan yang setimpal kepada mereka yang melakukan kezaliman. Alfatihah.

Tiada ulasan: