09 Ogos 2008

Mahkamah Tinggi Ipoh Tolak Petisyen Untuk Batal Keputusan Tiga Kerusi Dun Perak


IPOH, 8 Ogos :- Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menolak petisyen oleh calon-calon Barisan Nasional bagi membatalkan keputusan pilihan raya umum 8 Mac lepas masing-masingnya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Kuala Kurau, Lubuk Merbau dan Kuala Sepetang.

Kerusi Kuala Kurau dan Kuala Sepetang dimenangi calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala kerusi Lubuk Merbau dimenangi calon PAS.Abdul Yunus Jamahri dari Parti Keadilan Rakyat menang di Kuala Kurau dengan majoriti 467 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Mohd Salleh Mat Disa, di Lubuk Merbau, Mohd Zainuddin Mohd Yusof dari PAS menang dengan majoriti 72 undi mengalahkan Datuk Jamal Nasir Rasdi dari BN manakala di Kuala Sepetang, Tai Sing Ng juga dari PKR, menang dengan majoriti 564 undi menewakan See Tean Seng dari BN.




Y.B. Tuan Haji Mohd. Zainudin bin Mohd. Yusof
Pengerusi, Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan (PAS/Lubok Merbau)



Hakim Datuk Wan Afrah Wan Ibrahim menolak kesemua petisyen dengan kos.Dalam petisyennya bagi memohon pengisytiharan bahawa pilihan raya bagi kerusi Kuala Kurau adalah terbatal, Mohd Salleh mendakwa responden atau pekerjanya dilihat berada dan cuba memujuk pengundi di sekitar 50 meter dari tempat mengundi di Sekolah agama Al-Hidayah, tetapi Hakim Wan Afrah berkata perbuatan berlegar di kawasan 50 meter dari tempat mengundi bukan merupakan sebahagian daripada pilihan raya.




Y.B. Encik Tai Sing Ng
Pengerusi, Jawatankuasa Pembangunan Industri, Perdagangan dan Penerangan (PKR/Kuala Sepetang)



Bagi kerusi Lubuk Merbau, Jamal Nasir dalam petisyennya mendakwa responden pertama iaitu Mohd Zainuddin, telah melakukan perbuatan rasuah apabila memasang kain rentang yang tidak mengandungi nama dan alamat pencetak dan penerbitnya.Dalam penghakimannya Wan Afrah berkata pempetisyen gagal menyatakan dengan jelas orang yang didakwa melakukan rasuah selain gagal membuktikan dakwaan rasuah itu ada kaitan dengan pilihan raya berkenaan.




Y.B. Encik Abdul Yunus bin Jamahri
(PKR /Kuala Kurau)



See, dalam petisyennya bagi kerusi Kuala Sepetang, mendakwa antara lain kononnya satu kertas undi pos sengaja dicampur bersama undi yang ditolak tetapi Hakim Wan Afrah berkata bahawa sekalipun jika peraturan yang berkaitan tidak diikuti, dalam pengundian bagi kerusi berkenaan, satu undi tidak membawa kesan kepada keputusan itu.

Tiada ulasan: