18 Ogos 2008

Penjelasan Presiden rungkaikan kegusaran perwakilan

IPOH, 17 Ogos (Hrkh) - Tepat jam 3 petang Muktamar PAS kali ke-54 yang mencatat sejarah diadakan di Stadium Indera Mulia melabuh tirainya.



Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar berharap perwakilan dapat merungkaikan segala masalah yang terbuku sebelum ini dengan isu muqabalah (muzakarah).

"Ucapan penangguhan presiden diharap dapat memberi kefahaman yang lebih jelas kepada seluruh perwakilan dan pemerhati bagi memastikan mereka tidak keliru lagi," katanya selepas muktamar berakhir.

Menurutnya penjelasan itu dapat merungkaikan segala permasalahan yang ditimbulkan perwakilan sebelum ini.

Ucapan penangguhan ringkas dan penuh bermakna itu dirungkai Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang untuk dibawa balik perwakilan dan pemerhati.

Beliau berkata, laporan media sama ada cetak atau elektronik yang membesarkan isu tersebut sebelum ini seolah-olah menggambarkan sesuatu yang besar berlaku pada muktamar kali ini.

"Muktamar ini dikatakan tak boleh dikawal dan berlaku perpecahan hebat seperti mana digambarkan media massa.

"Sedangkan kita ada rahsia, di mana Islam mengajar kita untuk berparti atau berjemaah untuk wala' kepada pemimpin.

"Muktamar sebenarnya tempat kita berkhilaf pendapat, berbahas dan bertukar pandangan. Adab inilah kita amalkan dalam muktamar ini. Ia hedaklah dihafal dan diamal oleh ahli bagi memperkasakan parti," katanya.

Beliau berkata, ahli parti hendaklah berilmu, beriman dan berakhlak melalui program tarbiyah.
Beliau juga berkata, agenda kerajaan Pakatan Rakyat hendaklah dilaksana dengan melahirkan Majlis Menteri Besar melibatkan semua pemimpin peringkat kerajaan.

Menurutnya juga Kelab Penyokong PAS akan diperkasakan di mana sebelum ini ada cadangan mahu melantik mereka sebagai senator.

Namun katanya belum lagi ada persediaan untuk mereka sebagai senator memandangkan ia melibatkan banyak prosedur.

Selain itu ada juga cadangan melantik senator dari kalangan ahli PAS di Sabah dan Sarawak di negeri-negeri yang diterajui kerajaan Pakatan Rakyat.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada PAS Perak kerana berjaya menjadi tuan rumah muktamar kali ini.

Tiada ulasan: