22 November 2008

Gelanggang tinju Wanita UMNO bermula

Pengumuman Shahrizat itu menjawab teka-teki selama ini sama ada beliau akan menerima pencalonan untuk bertanding jawatan tersebut.Keputusan ini pastinya membuka satu gelanggang tinju yang amat dasyat di kalangan dua tokoh wanita UMNO ini.

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan yang dia sah akan bertanding jawatan ketua Wanita Umno. Beliau mengumumkan demikian dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan petang ini.

Menurutnya, beliau menerima pencalonan dan sokongan untuk bertanding jawatan ketua Wanita Mac depan. Beliau akan berdepan dengan Tan Sri Rafidah Aziz, tokoh ketua Wanita yang paling lama berkhidmat selama 21 tahun, sekiranya ahli parlimen Kuala Kangsar itu tetap mahu mempertahankan jawatan tersebut.

Sementara itu, Rafidah ketika diminta mengulas tentang keputusan Shahrizat itu memberitahu bahawa beliau akan mengeluarkan kenyataan esok.


“Kenyataan saya esok,” katanya menerusi jawapan SMS yang dikirim kepada mStar Online, sebentar tadi.


Keputusan beliau itu sekaligus melenyapkan pelan peralihan kuasa yang dirancang oleh Rafidah untuk menyerahkan kepimpinan pergerakan itu pada Shahrizat pada Jun depan.


Dengan keputusan itu juga bermakna Shahrizat akan memberi laluan kepada satu-satunya saingan beliau bagi jawatan Naib Ketua iaitu Datuk Kamilia Ibrahim untuk menang tanpa bertanding pada pemilihan akan datang.


Kamilia tidak hadir pada mesyuarat itu sebagai tanda beliau tidak menyetujui pelan berkenaan.


Nampaknya keputusan yang dibuat oleh Shahrizat itu bakal menjadi satu tamparan hebat buat Rafidah Aziz. Beliau yang masih mengintai jawatan Ketua Wanita UMNO dan hanya akan melepaskan jawatan menerusi pelan peralihan itu bakal ditentang oleh kroninya sendiri. Inilah politik namanya, kawan menjadi lawan.


Apakah Rafidah akan menangis lagi mengeluarkan air mata seperti ketika Mahathir umumkan perletakkan jawatannya dulu. Namun, kini terbukti Rafidah harus terima hakikat bahawa zamannya sudah berakhir. Beliau sepatutnya mengundur diri dan memberi kemenangan percuma kepada Shahrizat.


Bayangkan jika beliau masih menang, apakah jawatan itu akan dikosongkan? Atau beliau akan terus bertakhta dan kembali ke kabinet zaman Najib Razak nanti?. Inilah agaknya yang ditunggu, kerana beliau tahu Mahathir sudah pasti akan menariknya ke dalam jika Najib berkuasa nanti.-sumber SabahDaily(TranungKite)