03 Disember 2008

Kerajaan Somchai tumbang

Mahkamah Perlembagaan Thailand semalam membubarkan tiga parti utama pakatan kerajaan dan mengharamkan Perdana Menteri, Somchai Wongsawat, daripada terbabit dalam politik, sekali gus menjatuhkan kerajaan yang sejak Ogos lalu berdepan dengan bantahan penunjuk perasaan.

Berikutan keputusan mahkamah itu, kumpulan antikerajaan yang diketuai Pakatan Rakyat Untuk Demokrasi (PAD), memutuskan menamatkan tunjuk perasaan jalanan selama enam bulan, termasuk menawan pusat pentadbiran negara di Rumah Kerajaan dan menutup dua lapangan terbang utama Bangkok, hari ini.

Sehubungan itu, pihak berkuasa berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi akan memulakan semula operasinya Jumaat ini dengan penerbangan ke Rom dan Sydney selepas ditutup sejak seminggu lalu apabila beribu penunjuk perasaan menduduki kemudahan itu dan Lapangan Terbang Don Muang, menyebabkan hampir 350,000 penumpang terkandas.


Somchai yang dilarang mahkamah daripada terbabit dalam politik selama lima tahun selepas partinya, Parti Kuasa Rakyat (PPP) bersama dua parti pakatannya, Machima Thipatai dan Chart Thai, dibubarkan atas kesalahan penipuan undi pada pilihan raya umum 2007, akur dengan keputusan itu.

“Tugas saya sudah selesai. Saya kini seorang rakyat biasa,” kata Somchai, 61, kepada wartawan di Chiang Mai.

Beratus penyokong kerajaan berhimpun di luar bangunan mahkamah di Bangkok yang dikawal polis antirusuhan ketika hakim mengumumkan keputusan pembubaran itu.

Ahli Parlimen pakatan enam parti yang memerintah berikrar untuk membentuk kerajaan baru tanpa Somchai pada 8 Disember ini - satu perkembangan yang mungkin mencetuskan semula bantahan PAD.

“Keputusan itu tidak memeranjatkan kami,” kata Jakrapob Penkair seorang pemimpin parti kerajaan.

“Ahli kami di Parlimen akan menubuhkan kerajaan baru kerana kami masih mempunyai majoriti,” katanya.

Sementara Perdana Menteri dan kerajaan baru dipilih Parlimen, Timbalan Perdana Menteri Pertama, Chavarat Charnvirakul akan menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri Sementara, kata jurucakap kerajaan.

Somchai, seorang bekas peguam hanya menjadi Perdana Menteri selama tiga bulan selepas mengambil alih daripada Samak Sundaravej yang meletak jawatan 9 September lalu apabila Mahkamah Perlembagaan memutuskan beliau melanggar Perlembagaan dengan menjadi hos rancangan masakan di televisyen.

Samak sendiri menjadi Perdana Menteri selepas memenangi pilihan raya pada 2007 yang diadakan berikutan rampasan kuasa oleh tentera yang menggulingkan sekutunya, Thaksin Shinawatra pada 2006. - AFP/Reuters