31 Januari 2009

Sah Tajol letak jawatan, diganti oleh Najib.

Spekulasi mengenai jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak berakhir apabila Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam tadi menerima peletakan jawatan Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkuat kuasa serta merta berdasarkan kehendak Tajol Rosli sendiri yang merasakan perlu ada pemimpin lain yang mengetuai UMNO Perak.

Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tempat Tajol Rosli digantikan oleh Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya akan menyandang jawatan tersebut sehingga berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO Mac ini.''Sementara yang akan jadi Timbalan Pengerusi ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

sebelum ini berlaku kekeliruan dan tanda tanya apa bila dalam dua hari berturut-turut Tajol mengeluarkan kenyataan berbeza mengenai jawatan yang dipegangnya.

Tajol Rosli ketika ditemui selepas mesyuarat itu berkata, beliau meletakkan jawatan kerana merasakan tidak cukup kuat untuk mengetuai jentera kempen bagi menawan semula negeri itu.

Katanya, keputusan itu yang dibuat tanpa paksaan sesiapa itu adalah bagi memastikan kekuatan UMNO di negeri itu kembali kukuh.

''Pada Isnin lalu saya telah memaklumkan hasrat meletakkan jawatan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan malam ini saya juga memaklumkan kepada mesyuarat MT bahawa saya tidak terpikul untuk memenangkan semula Perak dan alasan ini diterima dengan baik oleh MT.

''Saya merasakan kepimpinan baru yang dilantik untuk memimpin Perak adalah yang terbaik dan sekiranya mereka tidak boleh, tidak ada siapa lagi yang boleh melakukannya," katanya.

Terdahulu ketika bercakap kepada pemberita di Kampar, Perak, Tajol Rosli berkata, beliau akan meletakkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Perak pada 29 Mac dan memutuskan tidak bertanding mempertahankan jawatan MT.

''Pada akhir Mac ini, saya bukan lagi ahli MT dan pada 29 Mac pula saya akan letak jawatan Ketua UMNO Bahagian Gerik dan bila habis MT gugurlah semua jawatan yang dilantik,'' jelasnya