29 Januari 2009

Isnin lepas Tajol Rosli serah surat letak jawatan, Nasaruddin serah surat keluar parti.

Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali hari ini mengesahkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri.

Keputusannya itu berikutan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Nasaruddin Hashim keluar daripada Umno dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahad lalu.

Tajol Rosli yang juga bekas Menteri Besar Perak, berkata, surat peletakan jawatan itu diserahkan kepada Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jam 4.30 petang Isnin lalu.

Sementara itu dalam perkembangan lain Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang mengumumkan melompat parti Ahad lalu, mengesahkan beliau sudah menyerahkan surat keluar parti ke pejabat Umno Perak, juga pada Isnin lalu.

Nasaruddin berkata, beliau juga sudah mengemukakan borang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada hari sama ketika beliau membuat pengumuman keluar parti di Petaling Jaya.