08 Februari 2009

Kita pertahan kuasa dari orang yang GILA KUASA.

Kerajaan Negeri Perak Pakatan Rakyat mesti dipertahankan. Jika ada yang mengatakan kita sayangkan kepada kedudukan sebagai Menteri Besar yang dipegang tidak sampai setahun itu, juga Nizar ditohmah kononnya gila kuasa dan sebagai nya.

Sebetulnya kita sedang mempertahankan kedudukan kita dari orang yang gila kuasa, iaitu BN dan kuncu-kuncu. Najib dan kumpulannya adalah mereka yang gilakan kuasa yang telah ditentukan oleh rakyat di Perak dengan cara yang sah dan dengan demokrasi yang mereka sendiri tidak mahu iktiraf.

Selain itu kita mesti pertahankan Kerajaan ini kerana :

1. Tiada satu pun parti yang mempunyai majoriti mutlak untuk memerintah negeri Perak.

2. Sultan tidak sepatutnya di perdaya dengan permainan lompat ini dan terpaksa berhadapan dengan kerenah penubuhan kerajaan setiap kali tiga orang melompat ke parti lain.

3. Keadaan masa kini adalah tidak stabil kerana tiada siapa yang dapat menghalang tiga ADUN daripada melompat ke parti lain di masa depan. Kredibiliti keempat-empat ADUN ini adalah rapuh di mana sekurang-kurangnya seorang daripada mereka telah melompat sebanyak dua kali dan kemampuan mereka untuk berpegang kepada janji yang dibuat kepada rakyat amat dicurigai.

4. Dalam keadaan ini, mandat baru dari rakyat merupakan satu-satunya pilihan yang ada. Untuk membentuk kerajaan dengan menggunakan Ahli Dewan Undangan Negeri yang bermasalah, dua daripadanya sedang menghadapi tuduhan rasuah yang didakwa oleh Barisan Nasional yang telah meminta supaya kedua-duanya digantung perkhidmatan menjadikan sistem demokrasi ini ditertawakan ramai.

5. “Didalam keadaan biasa, Yang Dipertuan Agong tidak boleh menghalang permintaan untuk pembubaran Parlimen. Tanggungjawab Baginda hanyalah untuk mengesahkan.” Raja Azlan Shah…didalam bukunya yang bertajuk, “Constitutional Monarchy, Rule of Law and Good Governance .”

6. Dalam Perkara 16/6, sistem Raja Berpelembagaan Malaysia, Sultan hanya ada kuasa melucutkan jawatan ahli Majlis Mesyuarat Negeri (EXCO) tapi tidak Menteri Besar. MB hanya boleh dilucutkan jawatan melalui pembubaran DUN, undi tidak percaya dalam sidang DUN ataupun Menteri Besar sendiri meletakkan jawatan.