Oleh: Imran al-Malizi
(imran_almalizi@ yahoo.com)
Masa depan negara Yaman kini berada pada fasa yang sangat kabur sebagaimana cuaca jerebu yang melanda kota Sana’a baru-baru ini. Situasi politik Yaman mengalami hari-hari yang muram untuk tempoh yang mendatang. Ini kerana pada awal bulan yang lalu, pihak pemerintah negara republik itu telah membuat keputusan untuk menunda pilihanraya umum mereka selama dua tahun lagi.
Ini bukan sahaja penangguhan yang paling lama dalam sejarahnya bagi menafikan hak demokratik rakyat Yaman, bahkan mendedahkan hakikat betapa penyelesaian ini dibuat setelah tiada lagi jalan keluar bagi menangani masalah demokrasi yang berbentuk komedi di republik ini.
Saya masih ingat bagaimana 4 tahun lalu, jawatan presiden dilanjutkan tempohnya walaupun dari segi perlembagaan, mandat untuk Presiden Ali Abdullah Saleh telah pun sampai tarikh luput. Seorang lelaki tua yang saya temui di jalanan pada ketika itu menyatakan bahawa perlembagaan adalah ‘barang mainan’ di tangan orang-orang yang berkuasa. Benar katanya, setelah pelbagai spekulasi dibuat untuk membayangkan pengganti Ali Abdullah Saleh, tiba-tiba di saat akhir diumumkan bahawa Ali Abdullah Saleh akan terus memimpin negara republik itu.
Wajah segak beliau menghiasi kain rentang yang digantung di merata-rata tempat hampir di kesemua bangunan-bangunan kerajaan dan kiri kanan jalanraya dengan slogan-slogan pujian yang mempesonakan.
Dalam pada itu, ramai juga yang merungut kerana tahap ekonomi negara yang tidak menjanjikan masa depan yang jelas dengan kenaikan harga barang yang meningkat setiap tahun. Dalam suasana itulah, terdapat penyokong kuat presiden yang berkata, “Walaupun harga tepung gandum naik sehingga 20,000 riyal (RM370) sekilo, aku tetap akan menyokong Ali!”
Setelah mengharungi perang saudara pada tahun 1994 yang mana menyaksikan kejatuhan Parti Sosialis dan golongan yang sehaluan dengannya, negara ini telah kembali pada pemerintahan autokratik yang baru berusaha untuk menjana ekonomi, sosial dan sistem pentadbirannya. Sayangnya, rakyat negara ini masih kuat dengan sistem kabilah yang akhirnya membawa kepada pemilihan kerusi kuasa banyak memihak kepada kepala-kepala kabilah yang paling kuat dan berpengaruh.
Keadaan ini telah menyaksikan terdapatnya di kalangan ahli-ahli majlis perwakilan rakyat yang tidak tahu membaca dan menulis. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui siaran langsung di kaca televisyen. Sistem pemilihan pemimpin melalui pilihanraya yang dijalankan selama beberapa sesi ini masih tidak dapat lari daripada pengaruh yang bersifat kabilah dalam memilih kepimpinan negara.
Ini menyebabkan hampir tiada saingan untuk memilih para pemimpin dan perwakilan rakyat yang benar-benar berwibawa. Satu-satunya parti pembangkang yang memainkan peranan besar ialah Parti Islah yang berteraskan Islam dan berjuang untuk memastikan negara ini tidak tersasar daripada landasan agama. Parti ini hampir memecahkan tradisi kepimpinan berdasarkan pengaruh kabilah dan menampilkan tokoh-tokoh ulama dan golongan berpendidikan sebagai calon-calon mereka.
Walaupun menghadapi cabaran dan dugaan yang banyak, parti yang berteraskan Islam ini semakin hari telah mendapat sokongan dari segenap lapisan masyarakat. Ini kerana dalam kuasa yang terhad, mereka dapat melakukan usaha mendidik anak-anak bangsa mereka melalui program pembinaan di masjid-masjid. Parti Islah sangat beruntung kerana masjid-masjid mereka tidak berada di bawah cengkaman pemerintah. Mereka bebas untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti keagamaan yang hanya bertujuan untuk membina masyarakat yang berpegang teguh dengan nilai-nilai Islam.
Menurut kebanyakan pemerhati, sekiranya pilihanraya dijalankan dalam tempoh terdekat ini, tentangan yang terpaksa dihadapi oleh pihak pemerintah bukanlah sedikit dalam suasana kejatuhan ekonomi dan dasar-dasar kerajaan yang kehilangan arah tuju dan masih tidak jelas.
Mereka juga berpendapat regim pemerintah yang sedang berkuasa ini bertindak menangguhkan pilihanraya pada tahun ini bagi ‘membeli masa’ untuk memperbaiki imej birokrat mereka di mata umum.
Banyak isu-isu yang membimbangkan masyarakat telah timbul apabila terdapat tokoh-tokoh pemerintah yang sudah mula bercakap tentang isu kebebasan hak-hak wanita dan lain-lain yang nampaknya banyak berkiblatkan pemikiran barat. Suara-suara ini akhirnya lenyap apabila menghadapi tentangan dari pihak berhaluan Islam yang didokongi oleh para ulama. Mungkin ini di antara sebab mengapa penangguhan pilihanraya ini dibuat walaupun tanpa alasan yang jelas dan kukuh.
Situasi ini mengingatkan saya kepada sebuah parti kebangsaan di negara saya yang pernah menutup pintu agar jawatan presiden mereka dipertandingkan. Bukan sekadar itu, malah pemilihan pucuk pimpinan parti mereka juga telah ditangguhkan dari tahun lepas hingga ke bulan Mac tahun ini.
Kadang kala dalam dunia politik ini terdapat drama-drama komedi yang kita sendiri tidak pasti sama ada untuk ketawa kerana terhibur atau ketawa kerana tenggelam punca..

Tiada ulasan:
Catat Ulasan