29 Mei 2009

PMBK lancar skim Imam Al-Ghazali bantu pelajar miskin

KOTA BHARU, 28 Mei :- Kelantan yang dikenali sebagai negeri kebajikan tambah semarak lagi dengan pelancaran pelbagai tabung bagi membantu rakyat miskin.

Sebelum ini ada Tabung Serambi Mekah, Tabung Amanah Tok Kenali dan Tabung Qardhu Hassan.

Dan semalam skim bantuan Imam Al-Ghazali pula dilancarkan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Skim tersebut dikendalikan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Bantuan bulanan akan diagih kepada 100 pelajar miskin yang dipilih dari sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (Yik).

Ketua Pegawai Operasi PMBK, Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman idea bagi mewujudkan skim bantuan tersebut dicetus memandangkan ramai pelajar cemerlang di Kelantan dari keluarga kurang berkemampuan.

"Contohnya adik Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, anak nelayan yang muncul pelajar terbaik SPM seluruh negara. Maka PMBK merasakan bertanggungjawab untuk membela mereka.

"Oleh itu PMBK memperuntukkan sebanyak RM5,000 sebulan bagi membantu 100 pelajar miskin yang cemerlang," katanya pada majlis pelancaran tersebut yang diadakan di Dewan Teratai, Kota Darulnaim.

Setiap pelajar terbabit mendapat bantuan sebanyak RM50 sebulan dan ia akan dimasuk ke akaun Bank Islam pelajar terbabit sama tarikh gaji yang diterima kakitangan PMBK.

Ariffahmi berkata, walau pun sumbangan tersebut agak kecil, namun ia amat bernilai bagi mereka yang dhaif.

Bagaimanapun katanya, jumlah sumbangan itu akan dikaji dari semasa ke semasa.

Sementara itu, anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Mohd Amar Abdullah berkata nama Imam Al-Ghazali yang dipilih PMBK amat bertepatan kerana imam tersebut merupakan seorang alim dalam mazhab ahli sunnah wal jamaah dan juga syiah.

"Al-Ghazali merupakan seorang yang digelar Hujjahtun Islam kerana mempunyai keperibadian mulia dan seharusnya menjadi ikon kepada mereka yang ingin menuntut ilmu dunia dan akhirat.

"Saya amat gembira kerana nama yang agung ini digunakan sebagai perangsang kepada penerima skim bantuan ini. Diharap PMBK dapat mempertingkatkan lagi jumlah penerimanya pada masa akan datang," katanya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, walaupun sumbangan yang diberikan PMBK agak kecil namun sekiranya diberi secara ikhlas nilainya lebih besar di sisi Allah Taala.

Hadir sama pada program itu Ketua Penolong Pengarah (Pendidikan) Yik, Ustaz Zakaria Muhamad dan Pengurus Bank Islam Cawangan Kota Bharu, Muhd Zafrullah Ghazy.

Manakala Nik Nur Madihah yang mendapat 20A dalam SPM tahun lalu dijemput sebagai penceramah jemputan pada majlis tersebut.

(petikah dari harakahdaily)

2 ulasan:

andy4484 berkata...

memandangkan saya anak jati kelantan,maka saya sangat-sangat bangga dengan kerajaan negeri. apa yang kerajaan negeri buat akan memberi kesan yang besar kepada seluruh rakyat. ini bukan sahaja menguntungkan rakyat kelantan sahaja,tapi kepada seluruh rakyat malaysia. sedarlah, sedikit masa lagi kerajaan pusat akan mengikut jejak langkah ni. so kepada rakan-rakanku di luar sana, x payah cemburu.kamu jugak akan dapat. kalu xpun tunggu pru ke 13 nanti,tukar je kerajaan pusat smua akan dapat sama rata. insyaallah.
Takbir!!!!!!!

yes berkata...

Tolong hebahkan alamat bagi mereka yang ingin menyumbang juga adakah resit di keluarkan untuk kegunaan pengecualian dari income tax