17 Julai 2009

Mahkamah benar Anwar peroleh dokumen kes liwat

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan pihak pendakwa bagi kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan semua dokumen (barang kes) yang dipohon beliau kecuali sampel DNA.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah mengarahkan pihak pendakwa menyediakan semua dokumen itu termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam masa 10 hari

BERITA TERDAHULU

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pagi tadi selesai mendengar hujah permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar pihak pendakwa memberikan kepadanya semua dokumen berkaitan kes liwatnya sebelum perbicaraan bermula.

Pendengaran di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah selesai selepas satu jam pihak pembela mengemukakan hujahan balas terhadap hujahan pihak pendakwa semalam.

Hakim kemudiannya menangguhkan prosiding sehingga pukul 2.30 petang ini untuk keputusan permohonan tersebut.

"Saya fikir petang ini saya boleh berikan keputusan bagi permohonan ini.

"Namun saya hanya akan berikan keputusan serta alasannya secara ringkas... Saya perlukan masa untuk sediakan penghakiman penuh," kata hakim Mohamad Zabidin.

Terdahulu dalam hujah balas hari ini, peguam bela Edmund Bon sekali lagi menegaskan pihak pendakwa raya sememangnya perlu menyerahkan semua dokumen dan yang berkaitan di bawah Seksyen 5, 51 dan 51 A Kanun Acara Jenayah (KAJ).

"Dokumen dan bahan-bahan itu penting untuk persediaan kami menghadapi perbicaraan nanti... tanpa dokumen-dokumen berkenaan akan menyukarkan kami untuk bersedia," kata Bon.

Antara dokumen yang diminta ialah pita rakaman CCTV yang asal yang diambil di beberapa lokasi di tempat kejadian di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara dari tarikh 25 Jun hingga 27 Jun 2008, sampel DNA, kenyataan-kenyataan saksi termasuk pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan, kenyataan polis dan beberapa dokumen lain.

Bon juga membantah hujah Peguam Cara Negara II, Datuk Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pihak pendakwaan semalam bahawa pihaknya tidak memahami dan tersalah tafsir maksud yang terkandung dalam seksyen itu.

Beliau berkata, kandungan seksyen berkenaan ada menyatakan bahawa pihak pendakwa perlu menyerahkan dokumen dan bahan-bahan yang berkaitan termasuk seperti sampel asal DNA, rakaman asal CCTV dan juga keterangan pengadu.

"Undang-undang jelas menunjukkan seksyen berkenaan membenarkan kami memperolehinya," katanya.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari, 23, di Unit 1151, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun lepas.

Tiada ulasan: