17 Julai 2009

Kampung Perdamaian Sukhirin - Kini Dan Silam

Email Oleh : hisham ikmal
sumbangan artikel dari Saudara Panji Darman


Kampung Perdamaian Sukhirin (Kampung Chulabhorn Patana 12) adalah sebuah kampung bermastautinnya bekas kader dan perajurit Rejimen Ke-10 Tentera Rakyat Malaya yang dibangunkan selepas penandatanganan perdamaian 3 pihak di Haadyai pada 2 Disember 1989. Justeru itu kampung ini berlatarbelakangkan perjuangan bersenjata yang bermula sejak Jun 1948 menentang penjajah Inggeris untuk kemerdekaan tanah air. Rejimen Ke-10 didirikan pada 21 Mei 1949 di Temerloh, Pahang di bawah pimpinan Abdullah C.D.

MENCARI MAKNA SEJARAH

Hegemoni imperialis British terhadap Malaya, bukan sahaja telah merantai kebebasan dan memunggah kekayaan kita keluar demi melampias kuasa empayar yang berpusat di London, malah ia juga telah meragut kebenaran sejarah dan warisan perjuangan kemerdekaan kita yang sebenar. Rentetan-rentetannya terputus-putus, penuh dakyah dan memihak kepada penjajah seolah-olah merekalah dewa penyelamat.

Kebengkokan ini diwarisi terus dari satu generasi ke satu generasi. Minda rakyat terus dibelenggu, tampak seolah-olah mereka masih dijajah. Justeru kerana sejarah yang bengkok ini, tidak hairanlah sekiranya masih terdapat segelintir pemimpin Melayu yang masih menjadikan mereka dewa pujaan seperti apa yang dilaporkan di dalam surat khabar tempatan tentang seorang pegawai daerah “haprak” yang mencadangkan agar didirikan satu papan tanda bagi memperingati, Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya, Sir Henry Gurney, yang ditembak oleh Tentera Pembebasan Nasional (TPN) di Bukit Fraser pada 6 Oktober 1951.

Henry Gurney adalah seorang Think Tank dan pakar strategi pecah-perintah, utusan Queen yang dihantar ke Palestin bagi menyelesaikan isu Palestin dan Israel pada tahun 1946. Beliaulah orang yang bertanggungjawab memecahkan Palestin dan mewujudkan Negara Israel. Dari buah fikirannyalah kita dapat manjamah hingga ke hari ini, Palestin hidup dalam ancaman Zionis serta lebih setengah abad dalam peperangan dan penindasan yang tidak berkesudahan.

KUALA KUBU BHARU, 21 Jun (Bernama) -- Dalam beratus-ratus kenderaan yang melalui Jalan Kuala Kubu Bharu untuk ke pusat peranginan Bukit Fraser setiap hari, mungkin tidak ramai yang tahu bahawa salah satu selekoh di jalan itu pernah menjadi saksi kepada satu peristiwa berdarah yang menggegarkan negara.

Bagi mengajak orang ramai dan pelancong luar mengimbau semula peristiwa pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu Sir Henry Lovell Goldsworthy Gurney, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor mengambil inisiatif meletakkan sebuah papan tanda di lokasi berlaku tragedi berdarah di selekoh itu.

Pegawai Daerahnya Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata perletakan papan tanda itu dibuat supaya orang ramai yang melalui jalan itu dapat memperingati dan mengimbau semula peristiwa hitam itu. (Bernama.com).

Satu lagi peristiwa penting dalam sejarah Malaysia iaitu Rundingan Baling di antara Tunku dan Chen Ping pada tahun 1955. Rundingan ini bukan sahaja berat sebelah dengan syarat-syarat yang tidak menasabah terhadap MCP, malah ianya adalah satu skima rundingan demi kepentingan dan hegemoni British seterusnya. Kehadiran David Marshall mengiringi Tunku adalah demi memastikan agar rundingan ini gagal dan peperangan terhadap TPN diteruskan. Kegagalan ini dapat memberi ruang kepada propaganda British untuk melebel MCP sebagai pengganas, kepala batu dan golongan yang sukakan peperangan.

Skima ini juga telah memperuntukan ruang masa yang cukup kepada British untuk terus memperkukuhkan strategi penguasaannya terhadap mobiliti sumber ekonomi Malaya dengan memperalatkan golongan bourgeoisie tempatan pula demi kelangsungan cengkamannya terhadap bumi ini.

Sekian lama masa berlalu; Kata Stalin, bahawa sejarah di tulis oleh tangan orang yang menang, tetapi dalam konteks ini sejarah Malaysia telah ditulis oleh tangan golongan oportunis Pro-British yang telah dirasuk oleh faham kebendaan. Tidaklah menghairankan sekiranya para pemimpin hari ini tidak mempunyai integriti untuk membela rakyat miskin yang mengharapkan pembelaan.

Kepada orang yang ingin menelusuri rentetan perjuangan kemerdekaan tentu sekali Terasatimbul pelbagai pertanyaan yang begitu banyak tidak terjawab. Mengikuti sebuah buku yang di tulis oleh Tunku sendiri ”The Road to Independence” (1988), terasa hidangannya begitu hambar dan kosong. Ia menceritakan bahawa kemerdekaan ini dicapai hanya dengan air liur dan tinta pemimpin-pemimpin seperti Tunku, Tan Cheng Lock dan kawan-kawannya. Memahami betapa dalam dan berbisanya cengkaman British di bumi Malaya ini, maka timbul lagi persoalan apakah kuasa imperialis ini telah membebaskan Malaya yang kaya raya ini dengan begitu mudah sekali. Orang putih memang bijak menyembunyi kelicikan tindakannya di bawah kulitnya yang cerah dan bahasanya yang lunak.

Sesekali mereka memperlihatkan diri sebagai sebuah bangsa yang berilmu dan bertamadun tinggi. Mereka tampak lebih menyayangi monyet dan orang utan serta sangat prihatin terhadap unggas lain di rimba seolah-olah mereka adalah golongan yang penyayang, bertanggungjawab dan bertamadun. Kepada monyet dan orang utan mereka melayani dengan baik kononnya menjaga spesis-spesis ini agar terus kekal. Mereka tidak menjajah monyet dan orang hutan kerana spesis ini tidak boleh menoreh getah, melombong bijih, membina jalan keretapi, pelabuhan atau membeli barang keluaran British pada masa itu.

Monyet dan orang utan juga tidak boleh dijadikan buruh paksa atau dikutip cukai setiap bulan seperti yang dilakukan terhadap orang-orang Melayu miskin di perkampungan Belum, Gerik pada suatu ketika dulu. Perkampungan itu, kini lenyap dari pandangan dan hilang dari sejarah oleh perbuatan mereka yang telah mengebom dan menghalau keluar penduduknya ketika darurat dulu. Terhadap spesis unggas, mereka persis seperti wakil Tuhan, kononnya memperjuangkan kemanusiaan sejagat.

Sebaliknya pula kepada rakyat yang lemah seperti di Malaya, dasar–dasar imperialis yang berpaksi di London telah dipaksakan ke atas mereka, demi mengukuhkan kedudukan sterling menerusi penguasaan terhadap mobiliti sumber ekonomi bagi keperluan industri dan dagangan. Rakyat yang lemah dilihat sebagai sumber yang boleh ditindas untuk membina syurga mereka di London.

Sungguhpun begitu, ramai juga pemimpin silam termasuk dari kalangan UMNO sendiri begitu menyedari terhadap fakta sejarah sebenar perjuangan mengusir keluar kuasa imperialis ini. Kuku imperialis yang begitu kuat mencengkam itu, tidak sekali-kali boleh menjadi longlai kerana pujukan dan rundingan. Kuku dan jari ini menjadi menggeletar apabila melihat askar-askarnya bergelimpangan dan darahnya membasahi bumi Malaya setiap hari. Justeru itu, ia terpaksa merencana satu pengunduran yang lebih selamat tanpa mengurbankan misi sebenarnya.

Lama sesudah semua peristiwa ini, pada tahun 1999, Universiti National Australia telah menganjurkan sidang dialog bersama Chen Ping, bekas Setia Usaha Agung MCP. Dialog ini kemudiannya disiarkan pada tahun 2004. Semasa ditanya kepada Chen Ping tentang sumbangan MCP dalam sejarah Kemerdekaan Malaya katanya dengan jujur;
” But we didn’t experience defeat in forcing the British to grant independence to Malaya. Without our struggle, I don’t think the British would grant independence to Malaya. Or it will be many years later. According to Sir Rober Thomson, he admitted we at least accelerated the Merdeka for 10 to 15 years” ( Dialog with Chin Peng 2004 page 234-234).

Dari perspektif sejarah yang lebih objektif, pengkaji sejarah melihat tentangan dan ancaman gerila, Darurat (1948-1960) yang meningkatkan ketegangan antara Gerila dan Penjajah serta peristiwa Rundingan Baling (1955) adalah antara kronologi penting ke arah memulakan rundingan untuk kemerdekaan. Dalam bahasa lain, pengunduran bagi menyelamatkan maruah kerana tidak lagi sanggup mendepani tentangan yang berterusan dari gerila Tentera Pembebasan Nasional Malaya. Pun begitu, British tidak pernah putus asa untuk meneruskan hegemoni ekonomi dan politiknya menerusi taktik yang lebih licik walaupun negara mencapai kemerdekaan.

Dasar pengukuhan sterling oleh British sebenarnya begitu berjaya hingga kini walaupun dasar ini telah dirangka semasa Churchill sekitar 1945 -1955. Dasar Neo-Imperialism yang lebih halus terhadap bekas tanah-tanah jajahannya pula diteruskan tanpa begitu disedari oleh rakyat. Jarum Propaganda yang halus terus tertusuk ke minda menerusi dasar-dasar politik, pendidikan dan ekonomi di negara-negara bekas tanah jajahannya. Mereka terus menikmati hasil titik peluh dari kerja keras rakyat negara ini. Kalau dulu mereka melebelkan komunis sebagai pengganas hari ini mereka mengguna label yang sama juga terhadap orang-orang Islam yang berjuang mempertahankan tanah air mereka dari penindasan. Ironinya, masyarakat kita terus menari mengikut rentak dan irama paluan gendang kaum penjajah yang licik ini kerana minda mereka masih jauh untuk menanggapi makna sejarahnya sebenar.

Tiada ulasan: