17 Julai 2009

Terjemahan Muqaddam JUZ AMMA

Email Oleh : Mohamad Feroz

Assalamu'alaikum wahai Sahabat sekalian.

Dibawah adalah petikan berita dari Laman Web ALAF 21.

Menghasilkan buku, kongsi kebaikan

Dipetik dari:
SINAR HARIAN - 27 Jun 2009

REZEKI memperoleh anak sulung cetuskan usaha seorang bapa hasilkan sebuah buku panduan mudah pelajari cara membaca dan fahami al-Quran (Juz Amma). Orang yang dimaksudkan ialah Muhammad Nazir Mohammed Khalid, pensyarah elektronik di Universiti Industri Selangor (Unisel).

Pada awalnya, anak kelahiran Pulau Pinang cuba menghafal Juzul Amma sejak menerima kehadiran anak pertamanya, Muhammad Azri yang lahir pada 17 April 2005.

Saya teringat kata seorang rakan dari Indonesia yang mengatakan jika anak hendak masuk sekolah perlu pandai hafal Juzuk Amma. Jadi, saya terpanggil untuk cuba menghafal dan mengamalkan surah-surah tersebut, sebelum mengajar anak berbuat demikian.

“Dari situ, saya mula menulis pada akhir tahun 2007. Namun isteri saya, Noor Malawati Awang telah sarankan saya untuk menulis ayat-ayat al-Quran menggunakan komputer agar tulisan tersebut nampak lebih cantik dan boleh dikongsi dengan orang lain.”

Pada bulan Januari 2008, Muhammad Nazir dengan kerjasama abangnya, Ustaz Mohammad Najib, guru agama dan tahfiz dari Bukit Mertajam dan adik iparnya, Kamal Rul Ariffin Awang yang mahir dalam bidang komputer serta rakannya, Mohd Azim Sardan yang mahir dalam tulisan Jawi, telah berusaha menghasilkan buku berjudul Terjemahan Muqaddam Juz Amma.

Usaha membukukan hasil penulisan tersebut mengambil masa hampir setahun, sehinggalah mendapatkan kelulusan perakuan betul pruf daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Muhammad Nazir kemudiannya menghubungi syarikat penerbitan buku Alaf 21 melalui saranan seorang rakan sekerjanya, Mohd Karimi.

Bermula dari situ, buku Terjemahan Muqaddam Juz Amma secara Lafziyah Melayu-Inggeris – Jawi berserta tajwid akhirnya berjaya diterbitkan oleh Karya Bestari pada pertengahan Jun ini. Kini buku tersebut menjadi salah satu daripada 200 judul buku terbitan Alaf 21, Buku Prima dan Karya Bestari pada Pesta Buku Alaf 21 yang berlangsung pada 26 – 28 Jun.

Bapa kepada dua anak memberitahu, niat awalnya menghasilkan buku tersebut untuk berkongsi kebaikan dengan orang ramai. Ada dua syarat untuk mengaji dengan baik, iaitu dari segi tajwid dan kaedah berhenti dan sambung bacaan ayat al-Quran tersebut.

Bagi mereka yang kurang mahir berbahasa Arab boleh mendapatkan buku tersebut yang ada menyediakan terjemah ayat ke ayat dan perkataan ke perkataan dari tulisan Melayu, Inggeris dan Jawi.

“Sebenarnya saya melihat al-Quran sebagai medium pembelajaran yang berkesan dalam apa-apa jua bidang. Saya berharap buku Terjemahan Muqaddam itu dapat membantu pembaca dari segi menanam minat membaca, mudah baca al-Quran dan memperkayakan bahasa Arab.”

TERJEMAHAN MUQADDAM DAPAT SAMBUTAN

BUKU terbaru Karya Bestari bertajuk Terjemahan Muqaddam Juz Amma merupakan buku terbaru di pasaran dan kini mendapat sambutan hebat di Pesta Buku Alaf 21. Buku berwarna hijau ini mendapat sentuhan yang begitu istimewa daripada Ustaz Naib Mohammed Khalid, Muhammad Nazir Mohammed Khalid, Mohd Azim Sardan dan Kamal Rul Ariffin Awang.

Editor yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam pembikinan Muqaddam, iaitu Norhayati Mat Kassim dan Norliza Salih berasa syukur kerana melalui penerangan tentang buku ini, pengunjung rasa terpanggil untuk memilikinya.

“Alhamdulillah, jualan yang memberangsangkan sepanjang dua hari berlangsung jualan buku Alaf 21 walaupun pada mulanya, ada pengunjung agak sukar menerima keistimewaan buku ini. Lama-kelamaan apabila diterangkan satu per satu kaedah mempelajari buku ini, mereka sudah boleh faham dan terima.

Saya syorkan buku ini perlu dimiliki oleh semua orang kerana susunan isi kandungan iaitu surah-surah dalam Muqaddam sangat sistematik, mudah baca dan lebih istimewanya pembaca boleh belajar bahasa Inggeris, mengeja jawi, bahasa Arab selain bahasa Malaysia dalam setiap surah,” kata Norhayati.

Norliza pula menambah, “Tanggapan pengunjung tentang Muqaddam ini iaitu buku ini sama dengan Muqaddam yang ada di kedai-kedai buku. Sebagai editor yang bertanggungjawab, bagi saya tidak sama. Kerana apa? Kerana surah-surah yang terdapat dalam Muqaddam diterjemah satu per satu dan ini membezakan Muqaddam yang ada di pasaran.

Yang dikatakan istimewanya ialah kita memahami setiap patah perkataan itu satu per satu dan mudah menghafalnya. Malah, surah-surah yang terdapat dalam Muqaddam merupakan surah yang lazim dibaca dalam sembahyang.”

Selain keistimewaan yang diperkatakan oleh kedua-dua editor ini, Muqaddam diterjemah secara Lafziyah (Melayu-Inggeris-Jawi) berserta tajwid. Buku ini juga merupakan panduan mudah untuk mempelajari membaca dan memahami al-Quran. Hukum tajwid yang dibincangkan disusun secara sistematik dan disertakan penerangan ringkas mengenainya.

Anda tidak perlu waswas kerana buku Muqaddam ini telah mendapat perakuan kesahihan daripada Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM).

# Sila layari - http://bacalahsayangku.blogspot.com/

1 ulasan:

Guru Tajwid berkata...

Assalamualaikum,

Alhamdulillah dengan terbitnya buku ini akan memberikan lebih banyak lagi manfaat kepada umat Islam. Sememangnya penguasaan ilmu tajwid amatlah penting sebelum seseorang itu membaca al-Quran.

Ini kerana hanya dengan ilmu tajwidlah seseorang itu dapat menegtahui betul atau salah bacaan al-Qurannya.