12 Ogos 2009

Adun Galas semakin pulih selepas jalani pembedahan

KOTA BHARU, 11 Ogos : - Adun Galas, Chek Hashim Sulaima kini beransur pulih selepas menjalani pembedahan bagi merawat kanser di bahagian paru-parunya pada Jumaat lepas.

Malah beliau kini sudah boleh menjamah makanan dan kemungkinan berada di The First People's Hospital Fu San di Guangdong kira-kira dua minggu lagi bagi mendapat rawatan susulan.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Kelantan, Ustaz Abdullah Ya'kob yang menemankan Adun di hospital berkenaan sebelum ini berkata, pembedahan yang dilakukan Jumaat lepas mengambil masa kira-kira empat jam setengah.

"Beliau sekarang sudah boleh berdiri dan berjalan di kawasan sekitar katil. Dan kalau tidak ada wayar di badannya beliau boleh berjalan lebih jauh lagi," katanya ketika dihubungi di Jeli.

Abdullah yang juga Adun Air Lanas berada di China sejak 23 Julai lalu dan kembali ke Kelantan kelmarin selepas mendapati keadaan Adun Galas semakin pulih.

Bagaimanapun katanya, BBC akan menghantar pegawainya, Haji Shamsuddin Mat Daud pada 13 Ogos ini untuk menemankan Chek Hashim di sana sebelum pulang ke tanah air.

Turut berada di Fu San sekarang isterinya, Aida Zakaria dan penghulu serta pemimpin masyarakat Cina di Gua Musang.

"Selain dirawat menggunakan kaedah moden, rawatan herba juga dilakukan doktor di hospital berkenaan terhadap Chek Hashim," katanya.

Hospital terbabit antara yang terbaik bagi rawatan kanser di China di mana setiap bulan menerima berpuluh-puluh kes membabitkan penyakit itu.

Adun Melor, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh berkata, Chek Hashim semakin sihat, batuknya juga sudah hilang dan selera makan bertambah.

"Selain itu rambutnya sudah mulai tumbuh selepas gugur kerana menjalani kimoterapi di sini sebelum bertolak ke China.

"Beberapa doktor pakar di China yakin yang penyakit Adun Galas boleh dirawat melalui pembedahan bagi membuang tisu yang dijangkiti kanser di paru-parunya,� katanya.

Wan Ismail yang juga berada di Fu Shan beberapa hari bagi melawat Adun Galas minggu lepas berkata, pembiayaan rawatan Chek Hashim ditanggung kerajaan negeri.

Beliau juga memuji tiga pemimpin kaum Cina dari Gua Musang yang menemankan Adun berkenaan ketika dirawat di hospital berkenaan di China.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas solat hajat yang diadakan di Dewan Zulkifli Mohamad malam Jumaat lalu sebelum Chek Hashim menjalani pembedahan.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob, beberapa anggota Exco dan Timbalan Speaker Dun Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim. Solat hajat itu diimamkan Adun Demit, Ustaz Mohamad Mustapha.

Harakahdaily.

Tiada ulasan: