19 Ogos 2009

PrtBntr - Kesihatan rakyat perlu diutamakan

Oleh : Zamri Keciks

Kerajaan diminta lebih serius atasi kekurangan bekalan gula

PARIT BUNTAR, 16 Ogos : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ( KPDNHEP) diminta lebih serius mengatasi masalah kekurangan bekalan gula yang kerap kali berlaku terutama ketika musim perayaan hampir tiba. Demikian kenyataan Timbalan Yang dipertua Pas Parit Buntar Abdul Bahrain Mat Desa mengulas isu kekurangan bekalan gula di pasaran.

“Kerajaan perlu meningkatkan bekalan gula dalam masa terdekat terutama menjelang bulan Ramadhan melalui kaedah yang lebih berkesan. Kekurangan bekalan gula ini berlaku kerana masih wujud ketempangan dalam sistem pasaran gula di negara ini” katanya.

Abdul Bahrain berpandangan sekiranya hal ini tidak dapat diatasi, ia akan mengakibatkan peningkatan harga gula di pasaran. Akibatnya, ia juga akan mengakibatkan kesan berganda kepada harga barangan lain terutama sekali menjelang musim perayaan terbesar umat Islam

“ Jika tidak diatasi, orang Islam akan menghadapi masalah besar mendapatkan bekalan gula untuk kegunaan semasa bulan Ramadhan dan Hari Raya Aidilfitri” katanya yang juga Pengerusi Lujnah Pekerja, Petani dan Nelayan PAS Parit Buntar.

Beliau hairan kekurangan bekalan gula ini berlaku setiap kali tiba musim perayaan.

“ Apakah ini taktik pengilang untuk menaikkan harga gula, memandangkan hanya terdapat empat syarikat yang mengimport dan memproses gula mentah” Katanya

Menurutnya, kerajaan perlu menamatkan monopoli pengeluaran gula ini dengan memberi lesen mengilang kepada lebih banyak syarikat secara telus dan terbuka.

“Segala kegiatan yang bertujuan untuk mengurangkan bekalan di pasaran seperti aktiviti penyeludupan, menyembunyi barangan atau mengurangkan pengeluaran adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab” katanya

Bahrain berharap kerajaan menyiasat dan menghentikan aktiviti berbentuk manipulasi ini kerana gula dikategorikan sebagai barang kawalan.

“ Agensi penguatkuasa KPDNHEP perlu meningkatkan lagi keberkesanan pemantauan pengedaran bekalan gula kepada pengguna”

“ Apa yang sangat dibimbangi kegagalan kerajaan menangani krisis ini menyebabkan kerajaan mengambil langkah menaikkan harga gula. Jika ini berlaku maka sekali lagi rakyat akan menjadi mangsa apabila dibebani dengan kenaikan harga gula “ tegasnya

Beliau merasakan tindakan menyeluruh perlu dibuat bagi membendung masalah ini daripada menjadi semaking meruncing dan membawa kesan negatif kepada rakyat, yang kini masih terhimpit dengan bebanan kewangan

Kesihatan rakyat perlu diutamakan

PARIT BUNTAR, 18 Ogos : Kerajaan diminta meletakkan keutamaan kepada kesihatan rakyat Malaysia ekoran meningkatnya wabak H1N1 di Negara ini.

Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Parit Buntar Puan Rahimah Osman memberitahu kerajaan sentiasa menafikan seriusnya penularan virus dan sekadar menjelaskan virus yang boleh membawa maut itu masih terkawal.

” Saya rasa kerajaan berbuat demikian untuk memberi gambaran kepada pelancong dan pelabur luar bahawa virus itu tidak serius” Katanya

Menurutnya, kerajaan seolah-olah lebih pentingkan pelabur dan pelancong daripada kepentingan rakyat.

”Tindakan kerajaan ini menyebabkan rakyat tidak mengambil langkah serius untuk mencegah dan mengelaknya”

“Kematian setiap hari berlaku dan menjangkau 60 orang. Jangan sampai virus ini meragut nyawa ribuan rakyat baru kerajaan hendak bertindak serius” Katanya

Beliau menyokong pandangan Naib Presiden PAS Salehuddin Ayob yang mencadangkan ditubuhkan Majlis Keselamatan Negara yang melibatkan parti politik dan NGO dalam menangani virus ini.

“ Majlis ini akan lebih berkesan mengatasi penularan wabak ini kerana mendapat pandangan luar dari kerajaan. Kalau hanya kerajaan yang buat keputusan, selamanya virus ini dikatakan masih terkawal” Katanya

Puan Rahimah meminta kerajaan memberikan topeng percuma kepada rakyat bagi mengambarkan seriusnya wabak ini.

“ Edarkan di tempat-tempat awam, hentian tol, pasaraya dan sekolah-sekolah. Jangan hanya parti politik dan NGO berbuat demikian kerana topeng yang mereka beri adalah terhad” Katanya

Beliau juga mencadangkan diberi vaksin percuma kepada rakyat melalui klinik-klinik swasta, supaya rakyat mudah mendapatkan vaksin tersebut.


Majlis bacaan Yasin dan Solat Hajat sempena peperiksaan

PARIT BUNTAR, 18 Ogos : Pejabat Ahli Parlimen Parit Buntar bersama Lujnah Kebajikan PAS Parit Buntar telah menganjurkan Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat sempena peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM yang akan dihadapi oleh pelajar sekolah-sekolah di Parit Buntar.

Majlis yang diadakan pada setiap tahun ini diadakan selepas solat Maghrib pada hari Ahad 16 Ogos di Surau Mujahideen, Kampung Kedah.
Pengerusi Lujnah Kebajikan Ahmad Azhar bin Haji Sharin berkata majlis ini bertujuan memohon kepada Allah mempermudahkan pelajar sekolah-sekolah di Parit Buntar menjawab soalan-soalan peperiksaan yang mereka hadapi.

" Walaupun majlis sebegini ini juga diadakan di sekolah, masjid dan surau dalam Parlimen Parit Buntar tetapi sebagai parti yang prihatin kepada semua lapisan masyarakat. Lujnah Kebajikan dan Pejabat Ahli Parlimen telah mengambil inisiatif mengadakan majlis ini" katanya.
Penceramah bebas Ust. Zulhibri Yusuf akan mengepalai bacaan Yasin yang diadakan selepas solat Maghrib dan mengimami solat hajat selepas solat Isyak.

Ahmad Azhar yang juga bekas Adun Titi Serong berkata ibu bapa yang mempunyai anak yang akan mengambil peperiksaan hadir bersama-sama anak masing-masing membaca yasin dan bersolat hajat memohon pertolongan dari Allah.
Menurutnya, pelajar dan ibu bapa perlu bertawakal kepada Allah selepas melakukan pelbagai usaha bagi mencapai apa dihajatkan.

Katanya, Allah berfirman yang bermaksud: "Apabila kamu bercita-cita maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal."

" Anak-anak kita sudah berusaha bersungguh-sungguh dan seharusnya disusuli dengan doa ibu bapa untuk kejayaan anak-anak. Amalan membaca yasin dan solat hajat ini dapat membantu memberi semangat dan keyakinan kepada anak-anak untuk menghadapi peperiksaan" katanya
Beliau berharap pencapaian pelajar sekolah-sekolah di Parit Buntar pada tahun ini akan terus meningkat dalam semua jenis peperiksaan yang mereka hadapi.Peperiksaan UPSR akan bermula bulan September diikuti PMR pada bulan Oktober dan seterusnya SPM dan STPM pada bulan November.

Pemuda PAS Parit Buntar turun berkempen di Permatang Pasir

PARIT BUNTAR, 18 Ogos : Dewan Pemuda PAS Parit Buntar akan mengerakkan jentera pemuda turun berkempen dalam pilihanraya kecil Permatang Pasir, Pulau Pinang. Pemuda PAS Parit Buntar akan bertindak sebagai pembantu kepada jentera pilihanraya Unit Peti Undi (UPU) Permatang Pauh.

Ketua Pemuda PAS Parit Buntar Khairulzami Muhammad berkata demikian selepas pulang bersama rombongan pemuda PAS Parit Buntar menghadiri pelancaran gerak kerja pemuda Pakatan Rakyat untuk pilihanraya kecil Permatang Pasir di Markas Pemuda, Kampung Pelet, Permatang Pauh.

" Pengalaman semasa menghadapi pilihanraya kecil Bukit Gantang akan digunakan sepenuhnya bagi membantu kempen PAS di Permatang Pasir" Katanya

Menurutnya, komposisi pengundi di Permatang Pasir hampir sama seperti di Bukit Gantang di mana terdapat 25 peratus pengundi bukan Melayu.

" Namun kelebihan di Permatang Pasir ialah PAS menang di semua pusat mengundi. Maksudnya, semua pusat mengundi merupakan kubu PAS" Jelasnya

Beliau berkata, kempen Umno yang mendakwa Dato' Seri Anwar Ibrahim pengkianat Melayu adalah strategi menarik undi orang Melayu di Permatang Pasir.

" Sedangkan, Umnolah yang menjadi pengkianat bangsa Melayu kerana merekalah yang memerintah negara selama lebih 50 tahun. Siapa yang mengadai tanah rezab Melayu, siapa yang menghapuskan biasiswa pelajar Melayu di Universiti, Siapa yang merendahkan taraf Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama" Tanya beliau

Khairulzami berkata, Umno hanya berani bercakap di hadapan media tetapi tidak berani berhujah di pentas perdebatan. Pemuda Pakatan Rakyat telah membuat cabaran kepada pemuda Umno berdebat di atas tajuk ' Siapa Pengkianat Melayu'.

" Sampai hari ini, pemuda Umno tidak berani menyahut cabaran pemuda Pakatan Rakyat. Ini bermakna Umnolah sebenarnya pengkianat kepada bangsa Melayu" katanya

Sementara itu, Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS Parit Buntar Hamdan Fadel Ahmad memberitahu Kelab Penyokong PAS Parit Buntar akan turun berkempen kepada pengundi bukan Melayu di Permatang Pasir.

" Kami akan turun menemui pengundi Cina dan India di kawasan komuniti mereka.Kelab Penyokong sudah membuat persediaan dan hanya menunggu arahan untuk turun berkempen" katanya




2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ramai yang mati kena kencing manis(lebih gula), tak ramai yang mati kerana tiada gula. tapi tanggugjawab pemerintah kena sediakan keperluan rakyat

Tanpa Nama berkata...

dengan kedatangan ramadan tak bimbang pun kekurangan gula, yang dibimbangi kekurangan iman dan amalan....apa ada pada gula????